Tuesday, December 30, 2008

Antara Banu Hasyim dan Banu Umayyah

KELUARGA ANTARA PENDOKONG (BANU HASYIM) DAN PENENTANG (BANU UMAYYAH)

Nama Banu Umayyah adalah disandarkan kepada keturunan Umayyah b. cAbd Shams b. cAbd Manaf b. Qusay. Umayyah adalah salah seorang pemimpin bangsa Quraisy pada zaman Jahiliyyah dan Banu Umayyah (keluarga Umayyah) adalah antara kumpulan paling kuat menentang Rasulullah s.a.w. sebelum memeluk Islam berbanding Banu Hashim (keluarga Hashim) yang menjadi penyokong kuat baginda s.a.w. Banu Umayyah merupakan antara kelompok terakhir yang memeluk agama Islam, tetapi kemudiannya mereka telah menunjukkan kepahlawanan yang cukup gemilang seolah-olah untuk menampung kembali penentangan mereka kepada Rasulullah s.a.w dan agama Islam sebelum itu.

Banu Hashim dan Banu Umayyah adalah dua keturunan cAbd Manaf yang cukup terkenal dengan ketokohan serta kepimpinan mereka. Namun demikian, Banu Umayyah sebenarnya memiliki lebih banyak kekayaan, lebih ramai keturunan dan mempunyai lebih ramai tokoh-tokoh pemimpin berbanding Banu Hashim. Kemuliaan pada zaman itu adalah dinilai dengan ramainya keturunan. Bahkan Banu Umayyah merupakan antara golongan korporat dan ahli perniagaan yang terkenal serta bangsa Arab Quraisy yang paling kaya.


Banu Umayyah memang cukup terkenal dengan kepimpinan dan ketokohon mereka dalam berpolitik sejak zaman Jahiliyyah lagi. Sebagai contoh, sepanjang Perang al-Fijar, Quraisy telah dipimpin oleh Harb b. Umayyah manakala selepas zaman Islam, semasa perang Uhud dan al-Ahzab ketua Kafir Quraisy adalah di bawah pimpinan Abu Sufyan b. Harb. Selepas Banu Umayyah memeluk Islam, mereka tidak menunggu lama untuk menggilap bintang ketokohan dan kepimpinan mereka. Antara yang paling awal menonjol ialah Yazid b. Abu Sufyan yang telah dilantik oleh Khalifah Abu Bakr s al-Siddiq ebagai salah seorang daripada empat panglima tentera untuk membuka Syam dan beliau kemudiannya telah dilantik sebagai gabenornya pada zaman Khalifah cUmar b. al-Khattab. Begitulah, akhirnya kepimpinan dan ketokohan mereka pada zaman jahiliyyah berpindah kepada kepimpinan mereka pada zaman Islam.

Monday, December 22, 2008

Perjalanan Hijrah sejauh 447 kilometer

Pada 29 hb Disember 2008 ini kita akan memperingati sejarah Hijrah Rasulullah saw dari bumi Mekah ke Madinah. Baginda berjalan sejauh 447 kilometer, setelah mendapat izin dari Allah untuk keluar berhijrah.
Lihatlah begitu jauhnya perjalanan baginda semata-mata untuk menyebarkan Islam.
Lalu apakah sumbangan kita pada Islam? Kita akan memasuki tahun 1430 hijrah hanya beberapa hari lagi. Ayuh fikir sejenak sumbangan kita pada kerja yang telah dimulakan oleh junjungan besar kita saw. Apa yang telah kita wasiatkan pada anak2 kita agar mereka juga mampu menyumbang kepada usaha murni ini.
Ayuh semua, kita tunjukkan pada dunia betapa mulia dan agungnya Islam ini...

Saturday, December 20, 2008

Musuh2 Islam


Apabila kita membaca sejarah Islam maka kita akan bertemu musuh-musuh Islam.
1. MUSYRIKIN MEKAH

2. YAHUDI
Banu Quraizah, Banu Nadhir dan Banu Mustalaq

3. PARSI

Ban
u Sasan yang memerintah Parsi antara tahun 226-651M seramai 30 orang raja iaitu 28 raja lelaki dan 2 orang wanita bermula ‘Ardashir b. Babik sehinggalah Yadzdajard b. Shahriyar.
4. BYZANTINE
(476-1453M) yang juga dikenali sebagai empayar Rom Timur adalah kesinambungan empayar Rom

5. GOTH

Bangsa Goth ialah etnik bangsa Jerman yang keluar daripada tanah asal mereka di Scandinavia ke kawasan Roman antara kurun ketiga hingga keenam masehi. Bangsa Goth terbahagi kepada dua bahagian iaitu Visigoth (goth barat) dan Ostrogoth (goth timur). Bangsa Visigoth ini telah bertapak di Semenanjung Iberia merangkumi Andalus dan selatan Perancis. Kerajaan goth ini telah menguasai Semenanjung Iberia sehinggalah pembukaan Islam pada tahun 711M

6. BARBAR

7. TENTERA SALIB
8. MONGOL




Friday, December 5, 2008

Hebatnya Nabi Ibrahim...

Anda perasan tak antara nabi yang kita sebut namanya sewaktu kita solat ialah Nabi Ibrahim Khalilullah. Dia juga antara nabi Ululazmi yang lima.

Hari Raya Korban sewajarnya menjadi wadah untuk kita sama-sama mengambil pelajaran dari Nabi Ibrahim seterusnya berusaha mengikuti jejak loangkahnya.

Nabi Ibrahim antara nabi yang paling banyak menerima ujian Allah. Beliau diuji dengan bapanya, raja di zamannya, orang kampunghnya, isteri serta anaknya.

Bayangkanlah antara yang menentang kebenaran dakwahnya ialah bapa kandungnya sendiri. Bapa yang sememangnya mengenal anaknya sendiri.

Begitu juga orang kampungnya sendiri yang sepatutnya mengenal asal usulnya. Bahkan di saat beliau berada di kampungnya itulah beliau telah dibakar oleh rajanya sendiri.

Seterusnya Nabi Ibrahin diuji lagi apabila terpaksa meninggalkan kampung halamannya di Iraq, meredah ribuan batu untuk menuju ke Palestine. Dari sebuah negeri yang panas terik ke sebuah negeri yang mempunyai salji dan musim sejuk.

Tidak cukup dengan itu, Nabi Ibrahim diuji dengan tidak dikurniakan anak sehingga usia tua. Namun beliau sabar, tabah...

Setelah doanya dikabulkan Allah, lalu dukurniakan zuriat, diperintahkan pula untuk meninggalkan si anak yang masih kecil bersama ibunya di satu lembah yang kering kontang iaitu Mekkah. Yang ketika itu tiada berpenghuni. Meninggalkan si isteri dan si anak yang kecil sendirian tanpa sesiapa yang menjaga mereka. Namun beliau yakin dengan Yang Maha Memelihara iaitu Allah....

Tapi kita, yakinkah kita dengan Allah, bantuan Allah? Ayuh jawablah dengan suara hati kita yang ikhlas. Benarkah kita betul-betul yakin dengan Allah. Mengapa hati kita dibelenggu sehingga kita tidak yakin. Kerana hati kita kotor...

Kemudia Dia diuji lagi untuk kesekian kalinya. Apabila si anak telah membesar, Dia pun pergi menemuinya. Bertemu dengan si anak yang mahu membesar setelah sekian lama tidak bertemu. Bertemu untuk menumpahkan kasihnya pada si anak kesayangannya.

Namun ujian buatnya tidak terhenti. Dia bermimpi untuk menyembelih si anak yang kecil itu. Diberi wahyu melalui mimpi agar Dia menyembelih anak yang baru didakapnya, baru dilimpahkan kasih sdayangnya. Ujian apakah ini? Ya, ini adalah ujian dari Tuhan Yang Menjadi Kamu wahai Ibrahim...

Dengan penuh iman, Dia patuh dan setia melaksanakan perintah besar ini. Semuanya kerana menjunjung perintah Tuhan Sekalian Alam. Wahai Nabi Ibrahim! walaupun engkau begitu kasih pada anakmu Ismail, namun kasih mu pada Allah lebih agung dan lebih tinggi. Allahu Akbar.

Di mana kita semua? Di mana kita letakkan kasih kita pada Yang Menjadika kita? Mengapa di setiap kali doa kita selepas solat kita hanya pohonkan untuk kepentingan duniawi kita. Mana munjat kita untuk Tuhan Yang Menjadikan kita.

Yang memberi kita wang ringgit tetapi tidak meminta kita pulangnya kembali padanya. Yang memberi kita cahaya untuk kita bergerak, udara untuk kita bernafas lalu hidup, bumi untuk kita bergerak, anak isteri untuk kita saling berkasih sayang.

Tetapi apa yang kita balas untuk-Nya. Ayuh! semua kita perbanyakkan istifgfar untuk diri kita. Kita leka dengan mencari kepuasan untuk diri kita semata-mata.

Saturday, November 29, 2008

Antara Aidil Fitri dan Aidil Adha

Kedua-duanya adalah hari kebesaran umat Islam. Sehinggakan Allah sendiri mengharamkan kepada kita berpuasa pada 2 hari tersebut.
Malangnya, kita dapati keghairahan menyambut hari raya Aidil adha agak sepi jika dibandingkan dengan sambutan hari raya AidilFitri. Tiada lagu raya, tiada iklan di kaca TV atau radio.

Antara keduanya yang manakah lebih besar?
Ketauilah semua bahawa Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban adalah cukup besar. Bayangkanlah;

1. Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangakan tempoh tekbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

2. Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (I Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah)pada hari raya Korban.

Ayuh! Sama-sama kita membesarkan Hari Raya Aidiladha ini dengan kita mengeluarkan wang kita untuk kita sama-sama menyembelih binatang korban. Pada waktu yang sama juga kita berazam untuk menyembelih sifat kebinatanagn yang ada dalam jiwa kita.

Takbir!!!

Friday, November 28, 2008

Sejarah Yang Telah Berubah

Sudah hampir 2 minggu saya balik kampung di rumah mertua saya di Kampung Behor Inai, Pauh Perlis.
al-Kisahnya setiap petang saya akan membawa anak2 saya bermotosikal mengelilingi kampung di celah-celah batas2 sawah yang semakin menguning.
Dengan konsep dakwah 3S, yang sememangnya telah lama saya praktikkan, maka saya tidak berasa sukar untuk bertaaruf dengan sesiapa sahaja yang saya temui. Senyum, salam dan sahabat. Kita lemparkan senyuman , kemudian menghulur salam seterusnya ingin menjalinkan persahabatan.
al-Kisahnya dalam tempoh yang singkat ini saya menemui pelbagai pelajaran buat saya. Semoga kita selalu berjiwa besar kerana orang yang berjiwa besar akan melihat sesuatu yang biasa itu sebagai luar biasa. Adapun orang yang memiliki jiwa biasa akan melihat sesuatu yang luar biasa itu biasa sahaja.
Pak Cik Talib (bukan nama sebenar) menangis di hadapan saya apabila menyebut dia tersentuh dengan gaya hidup anak menantunya. "Ustaz! Kita boleh tegur anak kita sendiri tetapi kita payah untuk memberi terguran pada anak menantu kita." Sebab mereka dididik oleh suasana yang berbeza dengan kita mendidik anak kita.
Alangkah hibanya Pak Talib apabila sepasang baju yang diberikan kepada cucunya tidak sanggup dipakaikan kepada mereka oleh ibu bapanya (anak + menantu Pak Talib) kerana ia dibeli di Nat (pasar pagi). Mereka telah biasa disarungkan dengan baju2 berjenama termahal.
Alangkah terkejutnya Pak talib bila cucu-cucunya enggan menjamah makanan pagi yang disediakannya tetapi membalas dengan "Tok! nugget tak ada ke? coco krunch tak ade ke?"
Dengan hibanya si atuk yang telah tua itu terpinga dengan jenama makanan yang dimintanya sedang dia sendiri pun tidak pernah menjamah makanan2 tersebut.

Tok Mah dan Wan Mat adalah dua orang tua melebihi umur 75 tahun, yang mempunyai anak-anak yang berjaya. Saya sempat menziarahi beliau suatu pagi. "Tok! Mak Cik Kiah (anak Tok Mah dan Wan Mat yang berkelulusan luar negara dan bekerja di satu bandar besar) tak balik kampung ke?"
"Tak taulah, depa kat nak balik tp tak jadi sebab depa sibuk" Jawab Tok Mah sayu walaupun cuba menunjuk reaksi biasanya. Bayangkan sepasang suami isteri orang tua ini yang duduk di sebuah rumah kayu lama, saban hari menggu kepulangan anak-anaknya yang mereka sendiri tidak tahu bila.
Sedangkan seminggu lagi adalah hari Raya Aidiladha...

Wednesday, November 19, 2008

Mencari Kebenaran

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari
Demi bualan apabila ia mengiringi (matahari)
Demi siang apabila ia menampakkan
Demi malam apabila ia menutupinya
Demi langit dan yang membinanya
Demi bumi dan segala hamparannya
Demi jiwa dan penyempurnaannya

Allah mengilhamkan sukma kebaikan dan kejahatan
Beruntunglah sesiapa yang menyucikannya
Dan rugilah sesiapa yang mengotorinya

Matahari, bulan, siang, malam adalah makhluk besar yang sentiasa untuk dan patuh menurut arahan yang telah ditetapkan Tuhan. Mereka beredar pada paksinya dan sama sekali tidak terkeluar dari orbitnya. Jika matahari terkeluar dari garis orbitnya maka binasalah alam.

Begitulah juga jiwa manusia, jika ia keluar dari garis orbitnya iaitu garisan kejujuran, keadilan, prihatian, tanggungjawab, kerjasama maka akan binasalah hidup manusia.

Tidak hairanlah Rasulullah menuju ke Gua Hira' untuk mengasingkan diri daripada masyarakat jahiliyyah ketika itu. Berkhalwat untuk menyucikan jiwa. Untuk mengenal Sang Pencipta yang menjadikan seluruh alam semesta ini.

Tuesday, November 18, 2008

Beruntunglah orang yang menyucikan jiwa...

Hidup ini adalah sebuah pencarian. Kita perlu bergerak untuk mendapat sesuatu kerana semuanya bergerak. Bumi bergerak, awan bergerak, matahari bergerak, malang siang bergerak untuk saling silih berganti dan semuanya harus bergerak....
Saya baru kembali mengikuti program ESQ Training selama 3 hari pada 14,15 dan 16 hb yang lalu. Saya bergerak untuk mencari sesuatu yang boleh membantu saya mencari sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa saya. Hidup perlu bergerak dan terus mencari. Pecahkan segala belenggu yang cuba menghalang kita untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Akhirnya saya ditakdirkan untuk mengikuti progran 3 hari ESQ ini. Hasilnya sungguh luar biasa...
Mengapa kita bersolat dengan membaca al-Hamdulillah hi Rabbil Alamin. Kita membaca amin bersama serentak dengan makmum2 yang lain. Kita menghulur salam ke kanan dan ke kiri di hujung solat kita. Dengan 17x rakaat yang kita kerjakan namun kita masih lesu. Masih ada prasangka buruk pada orang lain, masih saling bermusuhan sesama manusia, masih tidak mahu jujur dalam gerak geri.
Apakah solat yang kita kerjakan tidak memberi kesan pada diri kita, pada umat Islam. Kita solat tetapi pada yang sama kita tidak jujur, kita sering berprasangkat jahat pada saudara kita. Di mana kita dan solat kita sebenarnya. Mengapa solat kita kosong. Bahkan jangan hairan jika ada orang yang menipu untuk solat. Tidak solat tetapi mengaku sudah solat.
Adakah kerana kita jahil dengan rahsia solat itu. Solat yang satu-satu kefarduan yang difardukan di atas langit semasa peristiwa Istrak dan Mikraj.
Bukan bilangan solat yang kita kerjakan itu melatih untuk kita jujur. Kita tidak menipu dalam bilangan rakaat kita. Jemaah itu sendiri mengAjar kita bekerjasama. Saf itu mendidik kita kepada keadilan. Mengapa perlu sombong dengan pangkat, jawatan, kerdudukan, kekayaan yang merupakan pinjaman Allah.
Solat tidak boleh diwakilkan pada orang lain, mengajar kita nilai tanggungjawab. Menoleh dengan memberi salam ke kiri dan kanan mendidik kita sikap prihatian. Prihatian pada jiran tetangga kita, adik beradik kita, ibu bapa kita dan seluruh saudara mara kita yang lain.
Bukan untuk kita sendiri-sendiri. Ayuhlah keluarkan diri kita dari belenggu yang sempit.
Salam ukhuwwah buat Pak Aminul, Pak Saiful, Firdaus dan Faizi yang merupakan Trainer ESQ. Juga rakan rakan Saudara Safuan, Mahathir dari UTEM, Sahrul, Raja Azmi, Aznur, Dato' Samsuddin, Aizad pengerusi Kalam, Saudara Badiuz ATS ESQ dan ramai lagi.

Tuesday, November 11, 2008

Kuching ooo Kuching

Al-hamdulillah saya selamat sampai di Kuching dan menyampaikan hajat kawan di sana. Perjalanan saya ke Kuching Sarawak bermula apabila Us Zaini Hasbollah menjemput saya menyampaikan ceramah Kursus Penulisan Dakwah Peringkat Negeri Sarawak 2008 di Hotel Penview, Kuching bertarikh 10 dan 11 November.
Maka petang Isnin 10 hb saya pun bertolak dari KLIA ke Kuching menaiki pesawat 737 MAS bernombor MH 2718. Selepas 1 jam 3/4 perjalanan saya pun tiba di AirportKuching buat pertama kali dalam hidup saya. Ustaz Suyuti telah bersedia menunggu saya di sana dan terus membawa saya ke hotel tersebut. Selepas menjamu sedikit makanan saya terus menyampaikan slot pertama saya di hadapan kawan2 yang telah bersedia menunggu ketibaan saya. Saat itu rasa letih saya hilang sama sekali kerana mereka kelihatan begitu semangat. Muka-muka mereka umpama saya doakan akan menjadi penulis2 terkenal seperti A Samad Said, Shahnon, Ariwati dll. Mereka adalah bakal2 penulis yang akan dilahirkan dari Sarawak.
Esoknya saya menyambung slot kedua saya selama lebih 2 jam, namun saya melihat mereka terus bersemangat dengan cabaran baru yang bakal mereka lalui nanti. Selesai berceramah saya bersedia untuk kembali ke Semenanjung pada jam 2.25 ptg 11 hb.
Saya sempat dibawa bersiar-siar oleh kawan2 yang sudah berbelas tahun menghuni bumi Boeneo ini. Ust Zakaria (Pak Ya) guru SK Gersik, Kuching dan Norhanizam guru Sk Pulo, Kuching menjadi teman rihlat 2 jam saya di sekitar Kuching.
Saya dibawa ke Pasar Satok untuk memborong ikan TERUBOK dan BELACAN BINTULU. Inilah antara buat tangan special dari Kuching yang saya bawa balik. Saya juga sempat memborong KEK LAPIS di kedai Dayang Salhah. Pening saya melihat bermacam-macam kek lapis yang ada, kek lapis Coklat cheese, lapis kopi, lapis sutera Dubai, lapis alunan ombak. lapis batik kenyalang, lapis batik jasmine, lapis hati pari, lapis mami jarum, lapis swiss roll, lapis sisik ikan dll. Pening...pening.
Pak Ya sempat menjamu saya makan tengahari TOMYAM di sebuah kedai melayu di Kuching.
Jam 1.55, saya sampai ke Air port Kuching untuk menaiki pesawat MH 2515 menuju ke KLIA.
Syukran jazilan atas layanan sahabat2 di Kuching khas buat Us. Zaini Hasbollah, Pak Ya (Us. Zakaria), Us. Norhanizam, Us. Suyuti, Us. Rosli Sulaiman (SMK Simanggang, Sri Aman), Us. Awang Arifin Awang Kamarudin (Penyelia Pendidikan Islam PPG Kuching) dan semua peserta kursus.
Semoga kita bertemu lagi, Syukran jazilan buat semua...

Sunday, November 9, 2008

Sejarah ke Kuching...

Semuanya adalah Al-hamdulillah. Sebaik sahaja saya dijemput berkongsi idea penulisan di Beach Resort Pord Dickson pada 28-29 Oktober 2008, saya sekali lagi dijemput untuk 'sharing' topik yang sama dan kali ini destinasi saya agak jauh iaitu di Kuching Sarawak.

Maka jam 6.30 ptg hari ini 10 November 2008 Insyallah buat pertama kali dengan izin Allah saya akan sampai ke bumi Kepulauan Borneo yang akan memakan masa 1 jam 3/4 minit perjalanan menaiki kapal MAS MH 2718. Mudah-mudahan semuanya selamat.

Buat teman-teman di Sarawak semoga malam kita dapat bertemu dan sama-sama berkongsi idea dalam diskusi kita "Menggarap Idea Penulisan".

Barbar...reformasi

Kepada pembaca sejarah di Afrika utara, untuk kita memahami iklim tersebut kita mesti membaca sejarah berkaitan Barbar. Antara konflik besar yang berlaku zaman Kerajaan Umayyah selain pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', kemunculan Ibn Zubayr, isu Hajjaj di Iraq maka reformasi Barbar tahun 122H merupakan salah satu topik penting dan menarik.

REFORMASI BARBAR

Perluasan kuasa Islam memerlukan tempoh yang lebih panjang di Afrika Utara berbanding Iraq, Syam dan Mesir. Tentera Islam mengambil masa lebih 60 tahun untuk membuka kawasan Afrika Utara. Antara cabaran utama tentera Islam semasa dalam usaha perluasan kuasa Islam di sana atau selepas kejayaan membukanya ialah berhadapan dengan puak Barbar.Selepas tentera Islam berjaya membuka Afrika Utara, puak Barbar yang merupakan penduduk asal Afrika telah menghadapi polisi pemerintahan yang berbeza di kalanngan gabenor-gabenor Afrika sama ada menikmati keadilan atau sebaliknya kezaliman.

Sebagai contoh pada zaman Muhammad b. Yazid menjadi gabenor Afrika, keadaan di Afrika begitu aman dan sepanjang tempoh pentadbirannya Barbar menikmati pentadbiran yang adil serta saksama. Sehinggakan polisi pentadbiran Muhammad b. Yazid yang berhikmah berjaya membawa pengislaman puak Barbar. Begitu juga ketika zaman Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir yang dilantik menjadi gabenor Afrika oleh Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, ahli sejarah bersepakat mengatakan seluruh puak Barbar telah memeluk Islam ketika itu. Bahkan Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz telah menghantar 10 Tabi’in untuk mengajar Islam kepada puak Barbar tersebut.

Namun, sebaik Yazid b. cAbd al-Malik dilantik menjawat jawatan khalifah menggantikan cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, beliau telah melucutkan jawatan Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir lalu melantik Yazid b. Abu Muslim yang merupakan pembantu Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi. Yazid b. Abu Muslim kemudian telah menggunakan polisi yang keras ke atas Barbar sebagaimana yang dilakukan oleh Hajjaj b. Yusuf di Iraq yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Selepas itu, Bishr b. Safwan al-Kalbi yang dilantik menjadi gabebor Afrika berjaya mengembalikan ketenteraman yang dicetuskan oleh Barbar.

Namun demikian, selepas itu puak Barbar kembali menerima polisi yang keras oleh pemerintah Islam di Afrika Utara dan pada waktu yang sama kumpulan Khawarij telah ramai yang memasuki Afrika Utara kerana jauhnya tempat tersebut dari pusat pemerintahan Islam. Mereka kemudian telah menyerap masuk ke dalam puak Barbar dan menyebarkan fahaman mereka seperti tuntutan hak sama rata antara mereka dan Arab serta reformasi menentang kezaliman. Akhirnya pada tahun 122H/739 Barbar telah bangkit menentang pemerintah Islam di Afrika Utara yang ketika itu di bawah pimpinan cUbayd Allah b. al-Habhab di saat ramai tentera Islam sedang keluar berjihad di Pulau Sicily. Reformasi yang dilancarkan oleh Barbar dan kejayaan mereka membunuh peminpin Islam di Tanjah (Tangier) telah menggugat keamanan Afrika sehingga gabenor terpaksa memanggil balik tentera Islam yang sedang berjihad di Pulau Sicily yang diketuai oleh Habib b. Abu cUbaydah b. cUqbah b. Naficuntuk bersatu menghadapi Barbar. Gabenor Afrika sendiri turut menyiapkan pasukan tentera dari al-Qayrawan tetapi malangnya kemenanagan berpihak kepada Barbar.

Khalifah Hisham b. cAbd al-Malik kemudian telah melantik Kalthum b. cIyad al-Qushayri[1] untuk menggantikan cUbayd Allah b. al-Habhab untuk menghadapi Barbar tetapi tentera Islam sekali gagal dalam pertempuran yang berlaku pada tahun 124H/741 yang membawa kepada syahidnya dua orang tokoh besar iaitu Kalthum b. cIyad al-Qushayri dan Habib b. Abu cUbaydah. Hanzalah b. Safwan yang kemudian dilantik menjadi gabenor Afrika telah berjaya mengalahkan puak Khawarij dan Barbar. Polisi Hanzalah b. Safwan yang adil mengakibatkan keadaan di Afrika Utara kembali aman dan stabil. Namun demikian, keadaan tersebut hanya buat seketika waktu kerana Barbar kembali melancarkan reformasi pada zaman cAbd al-Rahman b. Habib yang dilantik menjadi gabenor Afrika Utara tahun 127H/744 menggantikan Hanzalah b. Safwan.



Sunday, November 2, 2008

Nabi Musa pun pergi ke Bukit Tursina untuk mencari....

Kenapa ramai orang Islam yang mendedah aurat? Belum datang seru lagi. Mengapa tak pergi haji lagi? Belu datang seru. Kenapa tak mahu pergi solat berjemaah di masjid bang? Saya belum dapat seru lagi.
Banyak contoh yang kita biasa dengar dengan jawapan ini. Baru-baru ini saya pun bertemu lagi insiden seperti ini. Kerana rasa nak betulkan keadaan dan kebetulan mad'u saya kali ini jenis yang sedia pasang telinga maka saya pun berdakwahlah padanya.
Bang! kita mengaku jadi rakyat Malaysia tanpa dipaksa orang, mestikah kita ikut peraturan negara kita? Ehhh...mestilah ustaz. Kalau tak mahu ikut undang2 negara kita, jangan jadi rakyat Malaysia. Bukan ada orang paksa2 kita nak berwarganegarakan Malaysia.

Begitulah juga Islam bang. Tak ada orang paksa kita masuk Islam kan! Tetapi jika kita dah masuk dengan sukarela maka kita kenalah ikut segala peraturannya. Tak perlulah beralasan 'tak ada seru lagi' lah. Kita tidak dipaksa masuk Islam tetapi kalau kita dah rela masuk Islam kita mesti paksa diri kita ikut Islam. Kena tutup aurat, kena tunai haji, kena tunai solat.
Kitalah pergi cari, bukan tunggu seru.
Nabi Musa pergi mencari...naik bukit Tursina selama 40 hari. Rasulullah pergi mencari...3 tahun berkhalwat di gua hira'. Kita kenalah cari...Tak perlulah panjat Bukit Tursina lagi atau Gua Hira' tetapi khalwat itu dengan cara iktikaf di masjid, 40 hari pergi tunaikan haji.
Hidup ini adalah satu pencarian mencari redha Tuhan, bukan hanya menunggu2 bila tibanya seru.

Thursday, October 30, 2008

Banjir sebagai satu ujian

Bermula dari 22 Nov 2008 yang lalu, kampung saya telah ditimba banjir besar yang tidak pernah terjadi sejak 40 tahun yang lalu. Beratus sahabat, jiran tetangga saya terpaksa dipindahkan ke surau dan sekolah berhampiran. Dalam masa seminggu kami sekampung bagai sekeluarga besatu hati cuba menghadapi ujian ini dengan semangat ukhuwwah.
Selesai sahaja dengan kesibukan banjir ini, saya diberi peluang oleh Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Selangor untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu dalam menyampaikan tajuk "Menggarap Idea Penulisan" bersama 62 guru-guru agama di Selangor yang berkampung 3 hari 2 malam di Hotel Beach Resort, Pordicson dari 28hb hinggalah 30hb yang lalu. Kesannya, maka blog saya ini tersadai beberapa hari yang panjang tanpa perkongsian baru. Maaf ya...
Kali ini saya ingin paparkan kepada rakan2 yang menziarahi blog ini dengan sedikit tazkirah yang sempat saya sampaikan melalui platform masjid saya sepanjang ujian banjir besar yang berlaku...mudah-mudahan kita dapat berkongsi sesuatu,

Surah al-Baqarah: 155-156

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Saudara-saudaraku sekalian,

Hidup di dunia adalah penuh dengan ujian. Kaya atau miskin, senang atau susah, kenyang atau lapar, sihat atau sakit, suka atau gembira adalah termasuk ujian-ujian Allah. Ujian-ujian ini, yang diberikan oleh Allah perlu kita hadapi dan terima sama ada dengan bersyukur (berterima kasih) atau dengan sabar. Kita bersyukur di saat diberi kaya, senang, sihat dan kegembiraan. Sebaliknya kita hendaklah bersabar jika diuji miskin, sakit, lapar dan kesusahan-kesusahan yang lain. Hidup ini adalah gabungan antara ada masa kita bergembira lalu bersyukur atau ada ketika kita bersedih lalu bersabar.

Bermula dengan sambutan Aidilfitri pada 1 Syawal yang lalu, kita semua dianugerahkan dan diuji dengan pelbagai nikmat kegembiraan dan keseronokan daripada Allah swt. Al-hamdulillah, dalam keghairahan suasana hari Raya, kunjung mengunjung, meraikan rumah terbuka untuk merapatkan silaturrahim dan sebagainya, ramai antara kita yang tidak lupa untuk mensyukuri nikmat Allah dengan melakukan ibadat sepeti puasa enam Syawal, bersedakah terus mengunjungi rumah-rumahNya untuk menunaikan solat-solat Fardu walaupun suasana datang beramai-ramai bersama anak isteri dengan berpimpin tangan, bersama ibu bapa di malam-malam Ramadhan untuk berterawih sudah tiada kelihatan.

Saudara-saudaraku sekalian,

Sedang kita masih lagi di dalam kegembiraan bulan Syawal, tiba-tiba Allah menguji qaryah kita dengan banjir mengejut yang kita tidak sangka-sangka. Ujian ini menyebabkan sebahagian besar daripada saudara-saudara kita terpaksa berpindah, meninggalkan rumah, kehilangan barang-barang berharga, kerugian banyak harta benda dan berdepan pelbagai kesukaran yang lain. Kita akui, semuanya ini menuntut selaut kesabaran, yang bukannya sedikit.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita melalui sesuatu ujian yang bertentangan dengan nafsu keinginan kita. Namun, bagi kita orang Islam perlu melihat setiap ketentuan Tuhan itu, bukan sahaja dari sudut luaran atau fizikal tetapi dalamannya juga.

Surah al-Baqarah:216

Ertinya:

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Malangnya ada sebahagian kita yang hanya melihat sesuatu musibah itu dengan yang tersurat semata-mata seperti parit tersumbat, longkang yang gagal diselenggara. Pertumbuhan kilang-kilang yang tidak terancang atau apa sebab luaran yang lain.

Ayuh! Kita sama-sama juga, tanpa menafikan sebab banjir daripada yang fizikal tadi, memikirkan kepada sebab-sebab dalaman atau yang tersirat. Kita perlu fikir, muhasabah diri, mengetuk hati dan iman kita akan punca musibah yang menimpa kita bersama ini. Adakah musibah ini sebagai hukuman dan seksaan dari Allah kerana kedegilan dan keingkaran kita semua sehingga mengundang bala’ yang cukup berat ini? Atau adakah musibah ini sebagai satu teguran, peringatan, sapaan daripada Allah kerana kita leka, lalai di atas tanggungjawab kita padaNya?

Kita mendakwa kita mempunyai kenderaan baru yang laju tetapi ia gagal membawa kita menuju masjid atau suraunya. Kita mendakwa kita memiliki wang yang cukup tetapi kita berlengah-lengah untuk melaksanakan perintahNya seperi menunaikan haji. Kita mendakwa kita sihat dan muda tetapi kita sentiasa memberi alasan agar kita tidak melakukan ibadat seperti berpuasa enam di bulan Syawal. Kita sering berkira-kira dengan Allah di atas segala nikmat-nikmat pinjamanNya baik wangringgt, kesihatan, kenderaan dan sebagainya.

Atau mungkinkah kita masih mentaati dan patuh padaNya tetapi musibah ini diturunkan semata-mata untuk menguji kita semua agar saling bersabar, bekerjasama, bantu membantu untuk memberi kita pahala yang berlipat ganda seterusnya meninggikan darjat kita di sisiNya. Sekiranya berlian tidak akan mungkin tercipta tanpa tekanan dan suhu yang tinggi, maka kampung kita tidak akan indah seperti perkampung berlian yang pekduduknya disuburi dengan sifat-sifat Islam yang mulia jika tidak melalui ujian dari Allah.

Saudara-saudaraku sekalian,

Musibah-musibah yang sukar ini mengingatkan kita kepada saudara mara kita seagama, di seluruh dunia yang turut menerima ujian yang pelbagai daripada Allah. Saudara-saudara kita di Palestine yang terpaksa diusir daripada kampung halaman mereka sendiri sehingga menjadi pelarian sejak 60 tahun yang lau dalam tragedi Palestine pertama 1948, tinggal di khemah-khemah pelarian dalam suasana musim panas dan salji. Saudara-saudara kita di Iraq yang kehilangan saudara mara tersayang, kehilangan rumah kediaman, harta benda dan anggota akibat bedilan peluru yang tidak diundang. Banjir yang menimpa kita ini mudah-mudahan dapat mendidik dan melembutkan hati kita agar merasa simpati di atas musibah yang menimpa saudara mara kita seakidah, sekiblat yang mungkin jauh di mata kita tetapi wajib dekat di lubuk hati kita. Jadilah kita orang yang mudah menghulur bantuan tanpa perlu memikir panjang, memikir siapa kerana barangkali orang yang ditimpa musibah itu amat-amat memerlukan bantuan segera.

Saudara-saudaraku sekalian,

Ayuh kita muhasabah diri, kita insafkan diri kita, kita perkukuhkan ikrar yang selalu kita ulang-ulang iaitu Allahukbar yang bermaksud Allah maha Besar. Hari ini Dia telah menunjukkan kepada kita satu kekuasaanNya sahaja iaitu banjir dan kita yang kerdil ini sama sekali tidak mampu menghalangNya. Bahkan sebenarnya perkara yang lebih kecil daripada itupun kita tidak mampu melawannya. Siapakah yang mampu menghalng uban daripada tumbuh di rambutnya, gigi daripada tanggalnya, sakit yang datang menimpanya atau kematian yang menjemputnya dan sebagainya?

Kita adalah sangat kerdil, lemah, hina di hadapan Allah. Marilah kita memohon agar lidah-lidah kita sentiasa basah menyebut namaNya, anggota kita lembut untuk melaksanakan suruhannya, tangan dan kaki kita mudah melakukan kebaikan dan hati kita cenderung dengan kemulian dan benci dengan kejahatan.

Surah Muhammad : 38.

(ingatlah), kamu ini adalah orang-orang Yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu Yang berlaku bakhil, padahal sesiapa Yang berlaku bakhil maka Sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadanya Dalam Segala hal). dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Saudara-saudaraku sekalian,

Marilah kita berusaha menjadikan musibah banjir yang melanda ini untuk kita memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah. Sekiranya kita jauh marilah kita berusaha mendekatkan diri kita kepadaNya dengan memperbanyakkan amal, kita bertaubat menebus dosa-dosa kita yang lalu. Janganlah musibah menambahkan lagi dosa-dosa kita dan murka Allah kerana kejahilan dan kelekaan kita. Dalam suasana musibah ini, kita masih perlu menjalankan tanggungjawab kita dengan memelihara aurat kita, batas-batas pergaulan, tutur kata dan solat-solat kita. Ingatlah pernah berbicara dalam firmanNya surah al-Baqarah:153:

Ertinya:

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.

Kita bukan sahaja dituntut memohon bantuan Allah dengan bersabar tetapi dengan solat.

Sekiranya Thunami yang berlaku di Acheh telah menjadi sebab penyatuan kepada permusuhan yang berlaku puluhan tahun, maka tanpa perlu menunggu lebih lama, jadikan juga, peristiwa banjir ini untuk kita memupuk kembali persaudaraan Islam di kalangan kita umat Islam, menyatukan hati-hati kita yang terhijab dengan sikap dendam, irihati, syak wasangka, suka mengandu domba, suka berpecah belah dan segala sifat mazmumah yang lainnya. Kita jangan lupa bahawa penyakit-penyakit kronik hati ini bukan sahaja membahayakan hidup kita di dunia bahkan ia menjadi punca kepada terjerumusnya seseorang itu ke dalam api neraka.

Ų§Ł„Ł„Ł‡Ł… Ų£Ų¬Ų±Ł†ŁŠ ŁŁŠ Ł…ŲµŁŠŲØŲŖŁŠ Ł‡Ų°Ł‡ ŁˆŲ¢Ų®Ł„Ł Ł„ŁŠ Ų®ŁŠŲ±Ų§ Ł…Ł†Ł‡Ų§

Ya Allah, berikanlah pahala di atas musibah yang menipa kami ini dan gantikanlah bagi sesuatu yang lebih baik daripadanya.

Tuesday, October 14, 2008

Selamat Datang Tetamu Mekah...

Mulai 30 hb Oktober ini bersamaan 1 Zulkaedah 1429H, jemaah haji Malaysia akan mula terbang ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Saya mula terkenang sejarah tahun 1997 di mana saya dan rakan2 berkesempatan menunaikan ibadat haji dengan menaiki coaster menempuh lebih 1,000 KM dari bumi Jordan untuk sampai ke Mekah.
Alangkah bahagianya mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah di Mekah (buminya yang paling mulia) selepas menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan (masa yang paling mulia) yang lalu.
Kepada yang diberi kesempatan ini, maka banyakkanlah bersyukur padaNya dan yang belum terlintas untuk ke sana maka berdoalah agar dapat berpeluang ke sana kerana Mekah cukup istimewa;
1. Kiblat umat Islam
2. Tempat lahir Rasulullah saw
3. Bumi Israk Nabi saw
4. Masjid pertama di bina di atas muka bumi adalah di sana
5. Orang yang tidak pernah pergi, ingin rasa pergi ke sana
6. Orang yang telah pergi, rasa untuk pergi lagi ke sana
7. Buminya tidak pernah dijajah oleh mana2 kuasa sama ada Parsi, Byzantine, Yahudi, Tentera Salib atau mana2 kuasa musuh.

Kita dan sesiapa yang tidak berkesempatan ke sana, ayuh;
1. Tanamkan azam untuk melakukan korban pada hari raya aidiladha atau hari2 Taysriq
2. Berpuasa sunat hari Arafah (9 Zulhijjah)

Selamat beribadat untuk diriku dan semua...

Hebatnya Mekah!

Seringkali disimpulkan bahawa sesuatu yang memiliki banyak nama menandakan sangat tinggi dan pentingnya perkara tersebut. Sebagai perumpamaan tanah suci Mekah juga mempunyai beberapa nama. Seorang ahli pelayaran Turki dalam karyanya al-Rihlat al-hijaziah telah mencatatkan nama-nama yang diberikan kepada Mekah seperti Baitullah, Makkah al-Mukarramah, al-Bayt al-Sharif, al-Kacbah al-Sharifah, Bakkah, al-Bayt al-Haram, Makkah al-Sharifah, al-Balad, al-Qura, Auruz, Mucattashah, Faran, Muqaddasah, Qawus, Qaryah al-Naml, Jababizah, al-Khatim wa al-Wadi, al-Haram, al-cArash, Bararah, Salah, Fitam, Zabhah, Tayyibah, Nasah, Bayt Micad dan Umm al-Qura. (Lihat Auliya’ Chalabi, 1999M, al-Rihlat al-hijaziyyah, hlm. 233).
Begitu juga Madinah, dikatakan mempunyai 29 nama. Antaranya Tabah, Tibah, al-Mahabbah, al-Mahbub, Yathrib, al-Najiah, al-Mubarakah, al-Majinnah, al-Marzuqah, al-Shafiah, al-Khayyirah, al-Marhumah, al-Mahfufah, al-Qudsiyyah, Dar al-Hijrah dan al-Jabirah. (Lihat Syawqi Abu Khalil, 1426H/2005M. Atlas al-hadis al-nabawi min al-kutub al-sihhah al-sittah amakin aqwam, hlm. 336).
Orang Arab apabila membesarkan sesuatu perkara dalam kehidupan, mereka akan merperbanyakkan nama-nama perkara tersebut. Sebagai contoh yang lain ialah nama kuda. Ia juga disebut al-Faras, al-Mu
tahham, al-Tamuh, al-Shayzam, al-Salhab dan al-Timir. Adapun unta juga disebut al-Ibil, al-Fahl, al-Muscab, al-Zacun, al-Rahul, al-Nadih dan al-Daris. Anak panah yang merupakan senjata penting bangsa Arab juga mempunyai pelbagai nama seperti al-Sahm, al-Sadir, al-Zalij, al-Taish, al-Saib, al-Shazif dan al-Mariq. Begitu juga awan yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti al-Sahab, al-Ghamam, al-cArid, al-cAnan, al-Haydab, al-Makfahir dan al-Sayyib. ( Lihat Syawqi Abu Khalil, 1427H/2006M. Atlas al-sirah al-nabawiyyah, hlm. 6).

Monday, October 6, 2008

Asal-usul bangsa Arab (siri 2)

Keturunan Qahtan tinggal di selatan iaitu di Yaman dan sekitarnya. Daripada mereka ini lahirnya raja-raja Yaman, Kerajaan Ma’in, Kerajaan Saba’ dan Kerajaan Himyar. Kemudian sebahagian mereka telah keluar berhijrah ke kawasan lain di sekitar semanjung Arab dengan sebab-sebab tertentu antaranya selepas pecah empangan Ma’rib. Sebagai contoh, kabilah al-Lakhm yang telah berhijrah ke al-Hirah, Kerajaan Kindah ke Hadramaut, al-Jarahimah yang singgah di Wadi Mekah dan telah bertemu dengan Nabi Ismail dan kabilah al-Azdi yang muncul daripada mereka Aus dan Khazraj.

Manakala keturunan Adnan merupakan bangsa Arab yang telah bercampur dengan darah selain Arab. Mereka yang dikenal dengan Arab Utara, pada asalnya adalah tinggal di Mekah. Keturunan Adnan adalah berhubung dengan Nabi Ismail a.s. Daripada Adnan yang merupakan datuk Rasulullah saw telah lahir kabilah2 Arab iaitu Mudhar dan Rabi’ah.

Daripada Mudhar lahir keturunan Hawazun, Tamim, Adiyy dan Quraisy. Manakala daripada Rabi’ah muncul kabilah Bakr, Hanifah dan Abdul Qays.

Kemudian Mekah dan kawasan sekitarnya tidak dapat menampung bilangan bangsa Arab Utara, lalu mereka mula berhijrah untuk mencari sumber air dan padang rumput. Sebagai contoh kabilah Abdul Qays berhijrah ke Bahrain, kabilah Hanifah ke Yamamah dan sebagainya.

Asal-usul bangsa Arab

Asal Usul Bangsa Arab…

Asal-usul Arab sebagaimana yang disebut oleh ulama’ al-Ansab (asal-usul keturunan) terbahagi kepada 5 cabang yang disebut syu’ub (bangsa) yang semuanya bertemu pada Sam b. Noh. Lima bangsa tersebut ialah Banu (keturunan) Ad, Banu Thamud, Banu Madyan, Banu Qahtan dan Banu Adnan.

Kaum Ad tinggal di al-Ahqaf iaitu di satu kawasan antara Yaman dan Oman. Nabi yang diutuskan kepada mereka ialah Nabi Hud a.s.

Manakala Thamud pula tinggal di al-Hijr dan Wadi al-Qura iaitu kawasan antara Hijaz dan Syam. Nabi Saleh a.s merupakan utusan Allah yang diutuskan kepada mereka.

Adapun yang ketiga ialah kaum Madyan. Mereka tinggal berdekatan dengan Ma’an di Jordan di kawasan pinggir Syam menuju ke Hijaz. Nabi yang diutuskan untuk berdakwah kepada mereka ialah Nabi Syuaib a.s.

Ketiga-tiga bangsa ini telah lenyap dan langsung tidak meninggalkan keturunan mereka. Mereka ini disebut juga denganh nama al-Arab al-Aribah atau al-Arab al-Baidah (Bangsa Arab yang pupus).

Adapun dua bangsa Arab yang masih kekal dan digelar dengan nama al-Arab al-Baqiah (Bangsa Arab yang kekal) ialah semuanya daripada Qahtan dan Adnan.

Adapun Adnan merupakan daripada anak Nabi Ismail a.s dan secara umumnya mereka ini mendiami kawasan tengah semenanjung Arab dan bahagia utaranya.

Manakala Qahtan secara umumnya mendiami kawasan selatan semenanjung Arab.

Monday, September 29, 2008

Anak2 saya suka Upin dan Ipin

Assalamualikum semua. Anak2 saya Iyyash, hani' Aqqal dan Qassam memang suka sangan tengok Upin dan Ipin. Termasuklah anak perempuan mertua saya. Dialah yang tukang beli VCD. "Betul, betul, betul..." Siapa anak perempuan mertua saya? La...isteri sayalah.

SELAMAT HARI RAYA SEMUA

TAKBIR RAYA DI NENING PAGI
MEMOHON KEAMPUNAN KEHADRAT ILAHI
KINI SUGAWAL MENJELANG LAGI
KUHULURKAN UCAPAN SALAM AIDILFITRI

SYAWAL ADALAH ANUGERAH BUAT DEDAUN KESILAPAN
YANG BERGUGURAN DI PERDU KEMAAFAN
PADA KETERLANJURAN YANG MENGHIRIS RASA
SALAM UKHUWWAH DI SYAWAL YANG BERKAT


DARI saya Sekeluarga
Sahrulazmi
Suhaila
Ahmad Iyyash
Ummu Hani'
Ahmad Aqqal
Ahmad Qassam
Ummu Unays

Hari Raya di Jordan...


Assalamualikum semua. Selamat hari raya Aidilfitri. Apabila tiba sahaja hari raya, saya terkenang ketika berhari raya di perantauan. Antara tahun 1994-1995, saya bersama 100 pelajar tajaan KPM telah ditempatkan di al-Albyt University, Jordan. Kami adalah generasi pertama pelajar Malaysia di Universiti tersebut. Bayangkanlah...kali pertama berjauhan dengan keluarga, tanpa abang2 senior.
al-Kisahnya nak telefon emak dan abah pun terpaksa beratur panjang. Maklumlah ketika itu belum lagi ada handphone.
Kami masaklah apa yang patut kemudian pergi jalan2 rumah kawan2. Yang paling meriah setiap kali raya, kita buat program hari raya bersama seluruh pelajar Malaysia. Adalah program pentomen dan nasyid. Penasyid yang popular zaman saya di Jordan tentulah Hazrizal Jamil dan Bambang Irwan.
Yang tak tahan bila hari raya itu jatuh pada musim sejuk. Amboi...sejuk sungguh nak berjalan raya.
Kini sudah 8 tahun situasi ini berlalu, namun ia tetap dalam kenangan dan lipatan sejarah hidup.

Thursday, September 25, 2008

Cara kita sayang anak?

Baru-baru ni saya dan isteri telah pergi ke kedai di mana kami menempah baju raya sekeluarga. Nak jadi cerita mula-mula dulu saya hantar (jubah dan baju Melayu) ke seorang tukang jahit Melayu tetapi bila dia jahit (jubah saya), sekali basuh aje dah mula carik. Sebelum dia jahit baju Melayu dan kurung kami, saya pun bertanya tentang jenis kain baju kami tu. Dia kata "ini pun jenis mudah koyak juga" Saya melihat sebenarnya bukan pada kain tetapi cara jahitan dia. Itu belum cerita janjinya, yang tup2 baju jubah saya siap 2 minggu lewat. Kalau kena baju raya, tentulah kita orang pakai baju raya juga tetapi mungkin pada pagi Hari raya Korban. Hee...hee.
Akhirnya kami pun ambil kain2 baju Melayu dan kurung kami, dan berilah pada Si Mary, tukang jahit Cina. Bukan kata kemas buatan tetapi buat lebih awal daripada yang dijanjikan. Kenapa orang Melayu Islam tak boleh buat begini? Upahnya sama sahaja.
Maka setelah siap, kami pun segera ambil baju2 tu awal minggu ni. Sempatlah sembang2 dengan Si Mary Tukang Jahit tu...Terkejut saya bila dia kata "You orang Melayu ni sayang sungguh ya pada anak, buat baju mahal2" Mana tak mahalnya. Ada kawan kita yang saya lihat baju anak kecilnya di jahit manik2 atau labuci (saya pun kurang reti) sehingga upahnya sahaja buat baju kurungnya sampai RM70. Keliling baju penuh labuci. "Saya kalau beli baju raya anak kat pasar malam je" sambung Mary lagi.
Jangan sensitif dengan teguran ini tetapi muhasabahlah. Kalau kita beli untuk anak, seluar, baju, samping, songkok, kasut dan stokinnya, berapa kosnya? Kalau ada 2-4 orang anak. Takkanlah sepasang aje, mesti nak berpasang2 kan. Kita kata "kesianlah, tak sampai hatilah pada budak nak raya".
Beringatlah, memang kita hendak beraya tetapi raya adalah untuk bertakbir membesarkan TUHAN. Bukan membesarkan nafsu dan kemahuan kita yang tidak terbatas. Kita sayang anak tetapi jangan sampai mengajar mereka membazir dan menunjuk2. Bila kita nak ajar mereka kepada mereka2 yang kurang bernasib baik jika kita didik mereka bermewah2. Mungkin kita dakwa kita mampu, tetapi keserhanaan perlu jadi keutamaan. Ingat... kezaliman, kesombongan dah kemewahan boleh mengundang bala Allah seperti yang disebut oleh seorang ulama' Mesir Muhammad al-Ghazali dalam bukunya al-Zulam Min al-Gharb.
Minta maaf zahir batin dan Selamat Hari Raya

Kita Peserta Tarbiyah Ramadhan @ Penonton sahaja?

Assalamualikum saudara dan saudari seislamku semua. Semua kita terus ceria dan gembira di bulan Rahmat ini, Bulan Ramadhan al-Mubarak. Ayuh kita terus muhasabah diri kita supaya kita dapat sentiasa memperbaiki kekurangan2 kita. Topik muhasabah kita kali ini ialah;

Syok Jadi Penonton Atau Peserta?

Apa perbezaan antara menjadi penonton dan peserta? Mestilah berbeza. Penonton tidak terlibat secara langsung dengan sesuatu perkara. Dia hanya melihat daripada luar. Penonton duduk jauh-jauh tetapi peserta memang terlibat secara langsung dengan perkara tersebut. Sebagai contoh dalam perlawanan tarik tali. Peserta tarik tali memang terlibat dalam menarik tali, melawan, duduk dalam suasana pertandingan. Ada pun penonton sekadar tengok. Hanya boleh bersorak dan memberi sokongan daripada jauh. Hendak memegang tali pun tidak boleh. Pegang tali pun tidak boleh? Tidak boleh. Kenapa? La… awak hanya tukang tonton.

Ada lagi ke perbezaan penonton dan peserta? Mestilah ada. Memanglah kadang–kadang kita melihat ada penonton yang memakai jersi seperti peserta atau pemain. Sama warna. Sama bernombor. Ada nama lagi. David Beckam, Roberto Carlos, Drogba, Kaka, Nistelroy dan macam-macam lagi.

Cuba kita melihat pertandingan bola sepak di Malaysia. Kalau ada pasukan Selangor yang digelar Red Giants bertanding tentulah stadium itu penuh dengan jersi merah kuning sama seperti baju pemain di tengah padang. Kalau kumpulan sang Kenari tentulah di stadium itu penuh dengan warna hijau kuning. Kalau yang bermain itu pasukan peteh Terengganu peteh maka satu stadium akan kelihatan penyokong yang berbaju hitam putih.

Mungkin pasukan yang kita tonton dan sokong itu memenangi perlawanan tersebut. Sudah nama kita pun hanya penonton, bukan sahaja kita tidak terlibat dalam permainan bahkan kalau mereka terima hadiah, kita juga hanya boleh tonton sahaja. Daripada mereka mula sepak sampai mereka julang piala kita hanya sekadar tengok. Kita pula yang habis ribuan ringgit. Itulah nilai seorang penonton. Penonton hanya boleh menang sorak dan teriak. Sebab itu peserta kenalah selalu hargai jasa–jasa penonton. Sudahlah mereka bergolok–gadai ratusan ringgit, kita pulak yang menjadi pemain bermain tidak segah mana tentulah marah mereka. Kami penonton tidak mengharap untuk disanjung sebagai penonton tetapi macam mana kita orang hendak sanjung pemain kalau mereka pun tidak sebagus mana.

Tentulah kalau kita hendak membezakan antara penonton dan peserta, pesertalah jauh lebih beruntung. Dia yang main, dia yang disanjung, dia yang dapat sorakan ramai, dia yang menjadi seluruh perhatian mata, seluruh mata tertumpu ke arahnya dan dialah yang akan menjulang piala dan habuan. Seluruh rezeki tertumpu kepadanya. Begitulah kita dalam hidup, sekiranya kita hanya menjadi tukang tonton kita tidak akan meraih apa–apa. Memanglah penonton itu penting tetapi dia tidak akan ke mana-mana. Mereka hanya dapat memberi sorak dan teriak. Habis permainan, habislah peranannya sedangkan peserta dapat membawa pulang habuannya.

Bila kita selalu menjadi penonton? Mana saya suka hendak menjadi penonton? Selalu juga kita menjadi tukang tengok dan tukang tonton sahaja, cuma kita tidak menyedarinya sahaja. Kalau kita sudah sedar baguslah. Setiap hari kita melihat ramai sahabat–sahabat kita, saudara–mara kita, jiran tetangga kita terpilih untuk menghadiri solat–solat jemaah di surau dan masjid kariah kita tetapi kita dok asyik jadi tukang tonton. Tidak hendak turut serta ke? Kita pun kata, kita sibuk, ada urusan lain, belum sampai seru dan macam–macam. Ingat! kita sudah setujukan tadi yang penonton tidak dapat apa–apa.

Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka selalu kita memilih untuk menjadi penonton berbanding hendak menjadi peserta. Apabila di masjid atau di surau kita ada mengadakan tadarus Al–Qur’an maka masing–masing dengan pelbagai alasan menarik diri daripada menjadi peserta. Akhirnya apabila sampai ke acara final, malam khatam Al–Qur’an mahu atau pun tidak, kita pun hanya sekadar menjadi penonton.

Apabila bab sembahyang terawih pula, ramai juga yang memilih jalan hanya hendak menjadi penonton sedangkan mereka tahu sangat yang penonton tidak dapat untung apa–apa. Tidak dapat menjulang piala kemenangan dan mendapat apa-apa habuan. Mereka hanya suka melihat orang turun–naik rukuk dan sujud sehingga 20 rakaat solat terawih tetapi dia hanya menonton sahaja dari belakang masjid. Akhirnya apabila Ramadhan mencecah angka ke-30 nya dia hanya berpuas hati dengan statusnya sebagai penonton walaupun dia tahu bahawa dia tidak meraih sebarang habuan. Sedangkan para peserta dapat merangkul piala keampunan dan mendapat gelaran ‘al-a’idin wa al-faizin’ (yang kembali bersih dan yang juara).

Begitulah juga dalam ibadat–ibadat kita yang lain. Orang lain sudah 2-3 kali sampai ke tanah suci dia hanya sibuk menjadi tukang iring dan tukang tonton sahaja. Awak tu bila pula hendak menjadi pesertanya? Kalau umur sudah 40 tahun dan 50 tahun tetapi masih hanya jadi penonton, ini apa ceritanya. Baru-baru ini saya menyusun program 5 siri di masjid kampung saya belajar 55 kesalahan-kesalahan pembaca surah al-fatihah dalam solat dan pembetulannya. Dalam ramai-ramai peserta yang hadir itu, ada yang bertanya “kenapa ada 55 ustaz?” Lalu ustaz yang mengajar itu pun menjawab dengan seloroh “itu nombor simbolik umur orang pencen, ertinya kalau sampai umur pencen 55 tahun tetapi masih belum betul kita membaca al-fatihah, masalah lah kita”. Jadi pastikan kita selalu menjadi peserta bukan hanya penomton sahaja.

Tabung masjid sudah bergerak ke arah kita. Kita melihat semua orang kiri dan kanan kita sudah menyumbangkan sedikit hartanya tetapi apabila tabung itu sampai ke hadapan kita, kita hanya melihat sahaja. Jadi penonton. Tidak mahu hendak menjadi peserta. Peserta yang meraih kemenangan lantaran memberi sumbangan daripada sebahagian kecil rezekinya.

Orang lain pun ada kerja, penat bertemu kesesakan jalan lewat petang setiap hari tetapi sempat juga mengunjungi rumah Allah dan duduk sekejap menghadiri majlis ilmu dan makanan minda. Menjadi peserta di kuliah-kuliah agama di masjid. Bukankah kita selalu mendengar ulama berkata yang ilmu lebih bernilai daripada harta. Kata Saidina Ali bin Abu Talib karramallahu wajhah;

1. Ilmu pengetahuan dapat memelihara kita tetapi harta kita yang terpaksa memeliharanya.

2. Semakin bertambah ilmu semakin bertamban teman tetapi semakin bertambah harta semakin bertambah musuh.

3. Ilmu semakin dikeluarkan semakin bertambah tetapi harta semakin dikeluarkan semakin berkurang.

Mmm… amacam? Masih syok hendak jadi penonton atau peserta? Peserta. Tahu pun. Jom kita meraih kemenangan selepas kita menjadi peserta yang hebat. Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi pemenang mesti menjadi peserta dahulu. Kalaulah menjadi peserta pun belum tentu hendak menjadi pemenang, jangan haraplah penonton akan menjulang kemenangan kerana kita bukan peserta!

Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan

menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi

pemenang mesti menjadi peserta dahulu

Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2008, Yang Pelik Lagi Hairan, Karnadya Solution

Friday, September 19, 2008

Dunia mencari manusia takwa...

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua!
Kita masih berada di bulan yang mulia dan kemuncak final Ramadhan. Namun, kita lihat abid-abid Tuhan semakin sibuk dengan persiapan hari raya daripadan mengejar tawaran2 Ramadhan. Sedangkan hari raya hanya layak untuk mereka yang menang dalam ujian 30 hari Akademik Ramadhan.
Kita mencari takwa sepanjang akademik 30 hari Ramadhan. Ramadhan adalah akademik selama 30 hari untuk melahirkan insan graduan bertakwa.
Hari ini ramai kita jumpa orang pandai. Di kampung kita sahaja sudah berpuluh, beratus orang yang memiliki ijazah lulusan universiti baik dari dalam atau luar negara. Tetapi surau dan masjid kita masih begitu juga, lengang, kurang dimakmurkan. Saya, kita dan anda serta mereka memang dah pandai2 belaka tetapi di mana takwa kita.
Hanya takwa yang mampu mendekatkan kita dengan Tuhan. Yang mampu menarik pandangan Tuhan pada kita. Menarik kasih sayang Dia pada kita yang kerdil dan lemah ini.
Ayuh...teruskan usaha kita di baki2 terakhir Ramadhan ini untuk kita terus berusaha merebut takwa agar kita mendapat tempat di mata Tuhan. Amin...

Tuesday, September 16, 2008

Kita dan sejarah kita

Saban hari saya membaca surat khabar dan melihat gambar2 pelajar2 malaysia yang kini sedang belajar di luar negara. Tiba2 ia mengingatkan saya akan kenangan tersebut. Kenangan di perantauan...
Kepada adik2 yg kini mungkin kali pertama atau masih di perantauan, janganlah bersedih kerana resam orang menuntut ilmu mestilah bermusafir jauh. Dan yang paling penting, sedikit kesedihan hari ini khasnya di ambang hari raya akan menjadi kemanisan pengalaman yang cukup bernilai.
Buat teman2 yang sama-sama kita membina Ukhuwwah selama 4 tahun lebih dari 1994 sehingga tahun 1999, bumi Mafraq adalah saksi sejarah tersebut. Sejarah adalah fakta yang tidak akan berubah...

Kita punyai sejarah sendiri dalam hidup...

Assalamualaikum Apit, Deris, Kasy, Bakri, Pendi, Yoman, Pak Syeikh, Mamud, Yusni, Mazlee, Man Pin, Helmi dan ramai lagi ketika kita sama2 melakar sejarah bersama...


MASIHKAH KAU INGAT ?
Tanggal 31 Ogos setiap tahun biasanya disambut meriah dengan nostalgia laungan kemerdekaan bergema disetiap penjuru stadium bersejarah penuh keramat iaitu stadium merdeka saban tahun kita ingati. Saat itulah meresap satu keazaman dikalbu dengan penuh rasa kasih dan perasaan patriotisme cintakan Negara membalut hati ini saban tahun.Dan tersemat azam kita … sanggup berkorban apa saja untuk menjadi anak bangsa yang berjasa dan berbudi pada agama dan bangsanya satu hari nanti.
Ya, pasti itulah azam yang tersemat di dada kita anak-anak hingusan versi merdeka ditahun 1994 dulu merangkak keluar mencari identiti dan cabaran buat diri dan keintelektualan.
Namun , masihkah kita ingat …. tarikh keramat inilah kita pernah bersama berangkat meninggalkan Negara , menuju mercu ilmu menggapai harapan menjadi anak merdeka yang bebas dan merdeka dari konkongan kejahilan.. kitalah yang menaiki kapal terbang Royal Jordanian buat kali pertama dalam hidup ini dengan penerbangan sepanjang 9 jam perjalanan. Terasa gayat, takut, sedih, gembira, bersemangat dan bimbang bercampur baur dalam hati nurani. Bagaimanakah kunjungan ilmu kita dibumi syam nanti akan diberkati dan dibuahi ranumnya ilmu dan kesarjanaan. Ya.. perjalanan yang amat memenatkan ,namun dengan ditemani rakan seperjuangan bersama 200 pelajar tajaan KPM dan Yayasan pahang menghilangkan bosan permusafiran.
Masihkah kau ingat ……. Dalam panjang khayalan mengiringi perjalanan ini, terimbas seketika pengalaman manis di IKIP yang tidak terlupakan. Disinilah kita dikumpulkan dari pelbagai jalur pengajian,sempadan geografi dan budaya disatukan dibawah bumbung KIBA kursus intensif bahasa arab untuk persediaan ke timur tengah sana.Dengan konsep dan budaya baru , pembelajaran disini amat meninggalkan kesan, …… masihkah kita ingat pada ust razak yang amat steady dengan songkok tingginya mendendangkan huraian bait syair dan puisi arab dengan cukup puitis dan indah, sampai kini ana masih terbayangkan suaranya yang lunak merdu dengan kefasihan kalam arabnya yang tidak terkalahkan. Tidakkah begitu ??
Masihkah kau ingat ? … Tibanya saat kaki kita menginjak bumi bertuah itu..kita disambut mesra rentak paluan kompang dan harmonisnya melodi “tetamu dataran syam”dari usrah al firdaus dan akhi hasrizal yang kini sudah popular dengan Blog Saifulislamnya. Lirik dan tempo yang tenang dan menusuk hati kita seolah ucapan salam pertama dari para senior yang sudah berkelana lebih awal semoga kita tabah dan sedar misi ilmu yang dicari dan tidakkan hanyut dengan ulitan wang biaiswa dan kebebasan dari konkongan keluarga.
Masihkah kau ingat …. Saat awal termamai-mamai mencari arah kita disapa untuk menumpang dipermukiman ilmu di Suwaileh, dengan mercu tanda masjid abd rahman bin auf sebagai pusat penjanaan minda dan juga tarbiah khususnya dari antara ulamak tersohor Jordan Dr.. Solah abdel Fattah (antara bukunya ialah maĆ” qisasis sabiqin dan diterjemahkan kedalam versi melayunya oleh zayuki mohammed – Zayuki alil bayt ke tu, entah dimana sudah dia berkelana sekarang ? ) dan Dr. Hammam Said dan sebagainya. .. Saat inilah hati sudah seakan jatuh cinta untuk bertamu di perbukitan gabungan ilmu dan tarbiah ini, apatah lagi mesej awal dengan barisan dan gunungan kitab marajik dan masadir para senior menggamit idea kemanakah wang biasiswa nanti patut kita laburkan?? Bukankah begitu…,___
Masihkah kau ingat ?? Sarapan pertama…kita disuakan dengan kehangatan falafel goreng dan hummus panas untuk dicicah dengan khubuz kering yang akan menjadi antara menu utama diet pemakanan kita disini.Bayangkan juga .. dari situlah kita dipaksa menelan dan menghabiskan buah zaitun jeruk yang kelat dan laban masam yang cukup meloyakan dan memeritkan tekak kita buat kali pertama… terasa ianya tersekat di kerongkong dan tersesat tak terjumpa jalan ke usus kita tempohari….terbayang juga, bagaimanalah hari-hari yang mendatang nanti dengan hanya mengadap khubuz kering tanpa nasi beraneka rasa nanti, akan kurus dan terbantutlah kita nanti..tak kurang juga yang seperti ana mungkin terfikir, takkan ku jamah lagi menatang laban dan biji zaitun ni.. tapi percayalah sekarang , itulah rupanya juadah yang amat kita rindui sekarang. Begitu juga …sanniora, syawarma, maqlubah, samak bila ra’s dan ayam mashwi……..
Masihkah kau ingat…. Tatkala hati sudah tercinta pada bumi suwaileh nan tenang dan dibimbingi oleh abang senior penuh dedikasi tanpa mujamalah, tiba2 kita akhirnya akur menerima berita bahawa ini bukanlah tapak rumah permukiman kita.. kita rupanya anak dagang ke bumi bertuah yang entah dimana letaknya… Mafraq dikatakan hampir 90km jaraknya dari bumi amman ini. Dengan desas-desus benci dan tidak mau akhirnya takdir tuhan menyatakan kita harus bersama berkampung disana, hari bertuah itu tiba juga dengan beberapa buah bas mengangkut anak dagang ini bertamu dibumi gersang lagi badwi ini, kita sampai ketika usia hari sudah menginjak ke senja, sempat juga pandangan sekitar kita lontarkan dengan bayangan tersergamnya universiti elit dan eksklusif yang kita pernah bayangkan namun ianya tidak kelihatan, yang ada hanyalah bayangan berbalam-balam bangunan berkotak-kotak diselang seli dengan anak-anak kecil pohon zaitun yang baru belajar merangkak pucuknya ditanam seolah menggamit kedatangan kita dengan salam senyumnya… alahai, terseksanya batin dengan tandatanya.. mampukah kita gadaikan masa 5 tahun dibumi kontang ini ? Mungkinkah kita akan terbazir masa disini ya…?

Apit...izinkan ana kongsikan artikel indah anta untuk kita mengenang sejarah kita...Salam kenangan buat teman2 seperjuangan...