Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Saturday, March 7, 2009

Pembukaan Afrika...


Pembukaan Afrika telah bermula selepas cAmru b. al-cAs memimpin pembukaan Mesir pada zaman Khalifah cUmar b. Al-Khattab lagi tetapi kemudiannya gerakan pembukaan Islam terhenti kerana konflik dalaman pada zaman Khalifah cUthman b. cAffan. Pembukaan ini terhenti kira-kira 20 tahun dan Byzantine telah kembali menjajah negeri-negeri yang telah dibuka oleh umat Islam. Namun, selepas Mucawiyah diangkat menjadi khalifah, beliau telah mengirim pasukan tentera di bawah pimpinan Mucawiyah b. Khudayj ke Afrika pada tahun 45H/665M. cUqbah b. Nafic kemudiannya telah menyambung usaha pembukaan Islam dan telah menubuhkan bandar al-Qayrawan tahun 50H/670M sehingga peristiwa tentangan Barbar tahun 65H/685M yang membawa kepada pembunuhannya. Pembunuhan cUqbah oleh Barbar yang dipimpin oleh Kasilah, seakan-akan menghancurkan kedudukan kerajaan Islam di Afrika dan mereka terpaksa mengundurkan diri dari Afrika Utara dan al-Qayrawan. Pada zaman cAbd al-Malik b. Marwan beliau telah mengirim Zuhayr b. Qays al-Balwi ke Afrika dan berjaya mengalahkan Barbar dan membunuh Kasilah tetapi beliau juga akhirnya gugur syahid di tangan tentera Rom tahun 69H/689M di Barqah. Selepas itu, cAbd al-Malik b. Marwan sekali lagi mengirim bala tentera pimpinan Hassan b. al-Nucman tahun 74H/694M dan beliau berjaya menawan kembali Barqah sehingga ke persisiran Laut Atlantik dan berjaya mengusir sepenuhnya Rom dari Afrika Utara. Afrika Utara kemudiannya tidak lagi bergantung kepada Mesir dan menjadi wilayah khusus yang memiliki gabenornya sendiri. Musa b. Nusayr yang dilantik menggantikan Hassan b. al-Nucman sebagai gabenor Afrika akhirnya telah berjaya melengkapkan pembukaan seluruh Afrika Utara dan telah menamatkan penentangan serta berjaya mengislamkan kabilah Barbar yang sebelumnya menjadi penentang kuat tentera pembukaan Islam. Usaha pembukaan Afrika begitu mencabar dan memakan masa yang lama kira-kira 60 tahun antara tahun 23H/644M semenjak pembukaan Barqah sehinggalah kejayaan pengusiran penuh Rom tahun 83H/708M. Hassan b. al-Nucman dilantik sebagai gabenor Afrika Utara oleh Khalifah cAbd al-Malik b. Marwan pada tahun 73H/693M. Beliau berjaya mengalahkan Byzantine dan merobohkan ibu kota musuh di Afrika Utara iaitu Qartagena kerana kota tersebut dikatakan mampu menghalang pembukaan Islam di Arika Utara. Beliau juga terlibat dalam memerangi Barbar. Namun kemudian, beliau telah dipecat daripada jawatannya dan digantikan dengan Musa b. Nusayr.

Saturday, February 14, 2009

Perlunya Mengetahui Kronologi Sejarah Sejal Awal...


Assalamualaikum semua. Saya hanya ingin menyebut bahawa ramai antara kita yang tidak mengetahui kronologi sejarah Islam. Mereka tahu sejarah secara terpisah-pisah. Oleh sebab itulah sebaik sahaja saya diberi jadual mengajar kelas tingkatan 4, saya mulakan mengajar sejarah Islam dengan memaparkan kronologi sejarah dahului daripada A-Z.
Sebagai contoh, selepas umat Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membuka Constantinople (pusat Kristian Ortodoks) tahun 857H, pihak-pihak Kristian mula menumpukan kepada agenda mereka di bahagian barat.
Akhirnya tahun 897H, musuh Islam berjaya menjatuhkan Andalus (Sepanyol). Setelah menyedari umat Islam begitu kuat di timur di bawah pimpinan Kerajaan Uthmaniyyah, maka musuh menumpukan bahagian barat Eropah.
Setelah itu mereka mula mengembara ke kawasan yang jauh (selain di Turki) dengan menjajah kawasan2 tersebut termasuklah negeri Melaka.
Tidak hairanlah Sepanyol, Portugis yang menjadi kuasa penjajah lebih mendukung mazhab Kristian Katolik kerana Kristian Ortodoks (Istambul) telah tumbang di tangan umat Islam. Pusat Ortodoks telah berpindah ke Moscow.
Ilustrasi gambar Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menjatuhkan Byzantine dan pusat Kristian Ortodoks di Istanbul (Constantinople).

Tuesday, October 14, 2008

Hebatnya Mekah!

Seringkali disimpulkan bahawa sesuatu yang memiliki banyak nama menandakan sangat tinggi dan pentingnya perkara tersebut. Sebagai perumpamaan tanah suci Mekah juga mempunyai beberapa nama. Seorang ahli pelayaran Turki dalam karyanya al-Rihlat al-hijaziah telah mencatatkan nama-nama yang diberikan kepada Mekah seperti Baitullah, Makkah al-Mukarramah, al-Bayt al-Sharif, al-Kacbah al-Sharifah, Bakkah, al-Bayt al-Haram, Makkah al-Sharifah, al-Balad, al-Qura, Auruz, Mucattashah, Faran, Muqaddasah, Qawus, Qaryah al-Naml, Jababizah, al-Khatim wa al-Wadi, al-Haram, al-cArash, Bararah, Salah, Fitam, Zabhah, Tayyibah, Nasah, Bayt Micad dan Umm al-Qura. (Lihat Auliya’ Chalabi, 1999M, al-Rihlat al-hijaziyyah, hlm. 233).
Begitu juga Madinah, dikatakan mempunyai 29 nama. Antaranya Tabah, Tibah, al-Mahabbah, al-Mahbub, Yathrib, al-Najiah, al-Mubarakah, al-Majinnah, al-Marzuqah, al-Shafiah, al-Khayyirah, al-Marhumah, al-Mahfufah, al-Qudsiyyah, Dar al-Hijrah dan al-Jabirah. (Lihat Syawqi Abu Khalil, 1426H/2005M. Atlas al-hadis al-nabawi min al-kutub al-sihhah al-sittah amakin aqwam, hlm. 336).
Orang Arab apabila membesarkan sesuatu perkara dalam kehidupan, mereka akan merperbanyakkan nama-nama perkara tersebut. Sebagai contoh yang lain ialah nama kuda. Ia juga disebut al-Faras, al-Mu
tahham, al-Tamuh, al-Shayzam, al-Salhab dan al-Timir. Adapun unta juga disebut al-Ibil, al-Fahl, al-Muscab, al-Zacun, al-Rahul, al-Nadih dan al-Daris. Anak panah yang merupakan senjata penting bangsa Arab juga mempunyai pelbagai nama seperti al-Sahm, al-Sadir, al-Zalij, al-Taish, al-Saib, al-Shazif dan al-Mariq. Begitu juga awan yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti al-Sahab, al-Ghamam, al-cArid, al-cAnan, al-Haydab, al-Makfahir dan al-Sayyib. ( Lihat Syawqi Abu Khalil, 1427H/2006M. Atlas al-sirah al-nabawiyyah, hlm. 6).

Monday, October 6, 2008

Asal-usul bangsa Arab (siri 2)

Keturunan Qahtan tinggal di selatan iaitu di Yaman dan sekitarnya. Daripada mereka ini lahirnya raja-raja Yaman, Kerajaan Ma’in, Kerajaan Saba’ dan Kerajaan Himyar. Kemudian sebahagian mereka telah keluar berhijrah ke kawasan lain di sekitar semanjung Arab dengan sebab-sebab tertentu antaranya selepas pecah empangan Ma’rib. Sebagai contoh, kabilah al-Lakhm yang telah berhijrah ke al-Hirah, Kerajaan Kindah ke Hadramaut, al-Jarahimah yang singgah di Wadi Mekah dan telah bertemu dengan Nabi Ismail dan kabilah al-Azdi yang muncul daripada mereka Aus dan Khazraj.

Manakala keturunan Adnan merupakan bangsa Arab yang telah bercampur dengan darah selain Arab. Mereka yang dikenal dengan Arab Utara, pada asalnya adalah tinggal di Mekah. Keturunan Adnan adalah berhubung dengan Nabi Ismail a.s. Daripada Adnan yang merupakan datuk Rasulullah saw telah lahir kabilah2 Arab iaitu Mudhar dan Rabi’ah.

Daripada Mudhar lahir keturunan Hawazun, Tamim, Adiyy dan Quraisy. Manakala daripada Rabi’ah muncul kabilah Bakr, Hanifah dan Abdul Qays.

Kemudian Mekah dan kawasan sekitarnya tidak dapat menampung bilangan bangsa Arab Utara, lalu mereka mula berhijrah untuk mencari sumber air dan padang rumput. Sebagai contoh kabilah Abdul Qays berhijrah ke Bahrain, kabilah Hanifah ke Yamamah dan sebagainya.

Asal-usul bangsa Arab

Asal Usul Bangsa Arab…

Asal-usul Arab sebagaimana yang disebut oleh ulama’ al-Ansab (asal-usul keturunan) terbahagi kepada 5 cabang yang disebut syu’ub (bangsa) yang semuanya bertemu pada Sam b. Noh. Lima bangsa tersebut ialah Banu (keturunan) Ad, Banu Thamud, Banu Madyan, Banu Qahtan dan Banu Adnan.

Kaum Ad tinggal di al-Ahqaf iaitu di satu kawasan antara Yaman dan Oman. Nabi yang diutuskan kepada mereka ialah Nabi Hud a.s.

Manakala Thamud pula tinggal di al-Hijr dan Wadi al-Qura iaitu kawasan antara Hijaz dan Syam. Nabi Saleh a.s merupakan utusan Allah yang diutuskan kepada mereka.

Adapun yang ketiga ialah kaum Madyan. Mereka tinggal berdekatan dengan Ma’an di Jordan di kawasan pinggir Syam menuju ke Hijaz. Nabi yang diutuskan untuk berdakwah kepada mereka ialah Nabi Syuaib a.s.

Ketiga-tiga bangsa ini telah lenyap dan langsung tidak meninggalkan keturunan mereka. Mereka ini disebut juga denganh nama al-Arab al-Aribah atau al-Arab al-Baidah (Bangsa Arab yang pupus).

Adapun dua bangsa Arab yang masih kekal dan digelar dengan nama al-Arab al-Baqiah (Bangsa Arab yang kekal) ialah semuanya daripada Qahtan dan Adnan.

Adapun Adnan merupakan daripada anak Nabi Ismail a.s dan secara umumnya mereka ini mendiami kawasan tengah semenanjung Arab dan bahagia utaranya.

Manakala Qahtan secara umumnya mendiami kawasan selatan semenanjung Arab.

Monday, July 28, 2008

Hebatnya Israk dan Mikraj...

Malam ini adalah malam 27 Rejab. Kita semua akan memperingati peristiwa yang berlaku ke atas junjungan kita Rasulullah SAW. Namun, yang paling penting apakah pengajaran yang kita ingin ambil daripada sejarah agung ini.
1. Sebelum dihadiahkan dengan Israk dan Mikraj, Rasulullah saw telah menerima pelbagai ujian
* Ubat untuk hilangkan kesedihan keluarga, isteri, anak2 ialah bawa berjalan-jalan.mangin angin

2. Sebelum dibawa berjalan untuk bertemu Allah, Rasulullah saw telah dibedah dadanya dahulu
* Untuk bertemu Allah dalam solat, haji, puasa Ramadhan, mati...hati mesti dibersihkan dahulu hati kita

3. Rasullah saw mengikat Buroq semasa singgah di Masjid al-Aqsa (walaupun Buroq tidak akan lari)
* Manusia mesti ambil asbab/berusaha, jangan hanya bertawakkal semata-mata

4. Rasulullah saw diberi pilihan antara susu dan arak, lalu baginda memilih susu
* Dalam hidup ini sentiasa ada dua pilihan antara yang baik dan yang jahat. Kitalah yang akan memilihnya.

5. Setiap kali memasuki langit, Jibril akan memberi salam dan memperkenalkan diri
* Ayuh marilah kita selalu mengamalkan salam, bukan hanya hello, hello, hello sahaja

6. Setelah diberi 50 waktu solat, Rasulullah saw meminta dikurangkan setelah mendengar nasihat Nabi Musa
* Dengarlahlah nasihat walaupun orang tersebut lebih rendah darjatnya daripada kita

7. Rasulullah saw tetap ingin menceritakan Israk dan Mikraj walaupun cuba dibantah oleh Ummu Hani' kerana bimbang baginda akan mendapat cemuhan
* Sampaikan apa yang benar walaupun mungkin akan ada risiko dan cemuhan

dan banyak lagi pengajaran yang lain. Fikir-fikirlah...

Thursday, July 24, 2008

I Love Ramadhan

I Love Ramadhan bakal menemui kita semua tidak lama lagi. Gaya penyampaian yang selamba dan rangup, sesuai untuk kita baca sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia. Buku ini cuba memberi sedikit makanan untuk minda anda dengan fakta2 yang penting, mengetuk emosi dan spiritual kita. Ramadhan adalah hadiah yang begitu istimewa untuk kita semua...Jangan lepaskan peluang.

Wednesday, July 23, 2008

Yang Pelik Lagi Hairan

Assalamulaikum semua! Esok akan bermulalah Pesta Buku Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Tentunya salah satu buku terbaru yang akan ada ialah buku YPLH (ganbar di sebelah) yang merupakan buku ke-4 saya dan karya saya yang ke-2 bersama Karnadya Solution. Syukran jazilan lakum.
Apa sebenarnya buku YPLH?
Saya tidak nafikan bahawa YPLH, adalah antara karya yang paling sukar saya hasilkan setakat ini. Ia adalah hasil pengamatan saya melihat karenah manusia yang berbagai-bagai di dasawarsa mutakhir ini. Yang pelik-pelik belaka. Untuk kita jadikan sempadan jika yang tidak bagus dan sebagai ikutan jika yang bagus.
Saya ingin mengajak diri saya dan semua pembaca untuk kita melakukan muhasabah diri kita. Jom! Muhasabah (hitung) diri kita sebelum kita dihisab Tuhan. Saya lihat banyak buku berkaitan mengajak manusia untuk cemerlang itu dan ini, merancang kerja A dan merancang kerja B, tetapi saya tidak menemui buku yang mengajak kita bermuhasabah. Apabila kita dah dapat apa yang kita rancangkan, kita muhasabah tak selepas itu? Ada @ tiada? Hasilnya, inilah bukunya.
Antara yang saya tuliskan ialah benda2 yang mati spt kerusi, meja (juga hati) apabila diketuk maka tiada tindak balas. Sesutu yang mati, maka tiada tindakbalas. Begitu juga hati? Yang mampu kita beli (makanan, bilik hotel, banglo) dan yang tak mampu (selera, nyenyak, bahagia). Ular hanya ada sifat ular shj, buaya hanya ada sifat buaya sahaja, tetapi manusia ada sifat manusia, ular (lidah bercabang, membunuh, kaki belit), buaya (ganas membaham mangsanya) dan sifat kebinatangan yg lain.
Bagi sesiapa yang ingin muhasabah, cubalah baca buku ini. Semoga kita sesekali dapat mengetuk hati kita ini...Terima kasih semua.

Sodomi @ sodomy

Hari ini jika kita membaca surat khabar kita akan terbaca perkataan Sodomi @ sodomy. Saya pun segera melihat dalam kamus BI-BM. Sodomy bermaksud liwat. Dalam kamus dewan pula, sodomi ialah hubungan jenis melalui dubur, terutamanya antara lelaki dengan lelaki.
Namun, saya ingin melihat dari sudut sejarah bukan bahasa atau politik. Sadum sebenarnya adalah satu bandar daripada bandar2 kaum Lut.
Penduduk Sadum telah diutuskan kepada mereka Nabi Lut as. Mereka telah melakukan satu amalan yang sangat keji iaitu liwat (homoseksual). Lalu Allah menurunkan azab ke atas mereka dengan menterbalikkan bumi mereka.
Kekejaman dan kekejian yang dilakukan oleh penduduk Sadum ini sehingga dijadikan perumpamaan "Lebih kejam daripada Sadum". Lihat al-Himyari: al-Raudh al-Mi'tar, halaman: 308.
Sehingga nama sadum ini kini dijadikan istilah untuk liwat.

Friday, July 18, 2008

Juadah Israk Mikraj

Lebih kurang seminggu lagi, kita semua akan menyambut peringatan peristiwa Israk dan Mikraj. Ceramah di sana, sini sudah terasa bahangnya bagi penceramah dan sesiapa yang minat menghadiri kuliah-kuliah agama.
Ada yang menyambut secara besar-besaran, siap memasang khemah, masak memasak, menggantung banner dan ada juga yang secara ala kadar. Harap-harap tidak ada yang tidak sambut langsung.
Sama ada, ada makan atau tidak, itu tidak menjadi pokok tetapi yang penting ilmu yang kita hendak perolehi.
Tuan-tuan penceramah yang saya hormati!
Israk dan mikraj ada satu juadah yang sangat hebat untuk umat Islam di seluruh dunia, sejak zaman berzaman.
Oleh itu janganlah tersalah bancuh, terlebih yang itu tetapi kurang yang ini. Jadikan ia secukup rasa, baik olahan agar pendengar ceramah anda nanti bukan sekadar seronok mendengar semasa dalam majlis tetapi keenakannya dapat terus dinikmati sampai mereka pulang ke rumah, sampai bila-bila.
Lalu bagaimana caranya, adunannnya?
Pastikan anda bukan sekadar memberi mereka makanan minda dengan hanya ilmu, fakta sahaja. Tatapi runtunlah emosi mereka dengan cerita2 Israk dan mikraj dengan kejiwaan seolah2 mereka berada di situasi sebenar.
Akhirnya, sentuhlah rohani/spiritual mereka dengan gaya anda.
Pastikan anda memiliki ramuan untuk menjamu minda, emosi dan rohani mereka itu.
Ohhh...selepas kesusahan2 yang begitu banyak dan panjang, layaklah Rasulullah saw dihadiahkan sebuah perjalanan yang tidak mungkin akan didapati oleh insan lain untuk menerima sebuah hadiah yang sungguh berniat di atas jauh sana iaitu 'solat'.
Kita pula siapa? apa yang kita perlu lakukan? .....
Renung-renungkan.

Siapa Hamzah?

Ukhh...ukhhh...Tersedak saya apabila seorang penceramah dengan begitu yakinnya menyebut "....Hamzah, yang merupakan sepupu Rasulullah saw..." Tak bolehlah saya nak berhentikan kuliah yang sedang beliau sampaikan itu. Takut nanti dia akan terkedu dan hilang idea tetapi kalau saya tidak perbetulkan, nanti orang yang mendengar akan mengambil maklumat yang salah. Kalau anda di tempat saya, bagaimana? Apa yang anda lakukan.

Saya selalu ingatkan diri saya, kita perlu study apa yang kita hendak sampaikan sebab orang awam biasanya akan menerima apa yang ustaz2 sampaikan. Jangan langsung tidak buat homework. Kita dah hampir dengan sambutan Israk Mikraj, buat homeworklah dari sekarang, jika kita telah mendapat jemputan berceramah atau menyampaikan kuliah.

Nama penuh Hamzah ialah Abu cAmarah Hamzah b. cAbd al-Mutallib b. Hashim b. cAbd Manaf al-Hashimiyy dan dilahirkan 2 tahun sebelum kelahiran Ralulullah s.a.w. Beliau adalah bapa saudara baginda dan merupakan saudara susuan kerana kedua-keduanya menyusu dengan Thuwaybah iaitu hamba kepada Abu Lahab. Beliau mati syahid pada tahun 3H/624M selepas dibunuh oleh Wahshiyy semasa perang Uhud. Hamzah telah digelar dengan Asad Allah (singa Allah) dan Sayyid al-Shuhada’ (penghulu orang-orang yang mati syahid). Lihat Ibn Hajar al-cAsqlani, jil. 2, hlm. 121.

Thursday, July 10, 2008

Abu Sufyan, bukan Abu Sufian

Kita selalu salah menyebut nama-nama Arab. Yang sebetulnya ialah Abu Sufyan, bukan Abu Sufian. Sufian tu nama Melayu agaknya. Yang betul Sa'd, bukan Sa'ad.

Nama sebenar Abu Sufyan ialah Sakhr b. Harb b. Umayyah b. cAbd Shams b. cAbd Manaf b. Qusay b. Kilab al-Qurashiyy al-Umawiyy. Beliau merupakan antara cerdik pandai Arab dan merupakan ketua Quraiys dalam perang Uhud dan Khandak (al-Ahzab). Beliau dikatakan 10 tahun lebih tua daripada Rasulullah s.a.w dan hidup 20 tahun selepas kewafatan baginda apabila meninggal dunia di Madinah pada tahun 31H/651M ketika berumur kira-kira 90 tahun. Beliau yang telah memeluk Islam semasa pembukaan Mekah, sempat melihat dua puteranya iaitu Yazid dan Mucawiyah menjadi gabenor Syam.

Kabilah itu dan kabilah ini?

Apabila kita membaca sebab-sebab kejatuahan kerajaan Islam seperti Kerajaan Umayyah, maka kita akan baca antara puncanya ialah pergeseran kesukuan. Kabilah A lawan kabilah B. Khalifah Y cenderung kepada kabilah C dan khalifah X akan cenderung kepada kabilah D. Akhirnya kita pun naik pening... Jadi, anda yang ingin mempelajari sejarah perlulah buat sedikit rujukan untuk membaca sejarah kabilah-kabilah Arab.

Perbalahan semangat perkauman atau kesukuan di kalangan anggota-anggota suku Arab khususnya di antara suku Yaman yang datang dari selatan dan suku Qays (Mudar) yang datang dari utara semenanjung Arab sudah berakar umbi sejak zaman Jahiliyah lagi. Bahkan situasi pergeseran ini bukan sahaja berlaku di Syria yang menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Umayyah tetapi di kawasan lain termasuk Andalus.

Bangsa Arab terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu al-cArab al-Ba’idah, al-cArab al-Qahtaniyyah dan al-cArab al-cAdnaniyyah. al-cArab al-Ba’idah adalah seperti kaum Ad, Thamud dan mereka telah lenyap. al-cArab al-Qahtaniyyah pula ialah kabilah-kabilah Arab yang tinggal di Selatan iaitu Yaman dan kawasan sekitarnya seperti kabilah al-Lakhm, Kindah dan al-Azd. Selepas peristiwa pecah empangan Ma’rib, mereka telah keluar dari Yaman dan bertebaran ke kawasan lain di Semenanjung Arab. Adapun al-cArab al-cAdnaniyyah ialah Arab Utara dan antara kabilah mereka yang terkenal ialah Mudar dan Rabicah.

Kabilah Quraisy?

Kabilah Quraisy adalah kabilah yang paling mulia di Hijaz dan di kalangan Quraisy, Banu (keturunan atau keluarga) cAbd Manaf merupakan yang paling kaya dan paling ramai keturunan. Banu cAbd Manaf terbahagi kepada dua keluarga terkenal iaitu Banu Hashim dan Banu Umayyah. Sebelum kedatangan Islam, kemuliaan kabilah ini dipegang oleh Harb b. Umayyah iaitu bapa Abu Sufyan dan datuk Mucawiyah. Selepas peristiwa hijrah, ramai Banu Hashim yang turut berhijrah ke Madinah mengikut Rasulullah s.a.w. dan yang tinggal di Mekah ialah Banu Umayyah. Banu Umayyah kuat menentang Rasulullah berbeza Banu Hasyim yang banyak menyokong baginda. Namun selepas perang Badr telah mati ramai pemimpin Quraisy dan yang tinggal hanyalah Abu Sufyan yang kemudian memimpin Quraisy menentang Rasulullah s.a.w. sehinggalah akhirnya beliau masuk Islam ketika pembukaan Mekah.

Friday, July 4, 2008

Antara Israk Mikraj dan Lailatulqadar

Antara Israk dan Mikraj atau Lailatulqadar?

Apa antara kelebihan bulan Rejab? Ramai juga para sahabat bertanya kepada saya. Bahkan mereka minta ceramah saya untuk bulan ini, berkitar dengan tajuk Rejab atau Syaaban.

Bulan Julai ini, ustaz ini full ceramah, ustaz itu pun full ceramah. Puas saya menghubungi ustaz alif, ba’, ta’ dan...namun semuanya sudah dibook orang lain. Pasal apa ni? Rupa-rupanya ada ceramah Israk Mikraj yang jatuh pada hari Rabu, 30 Julai. Bukan pada malam itu sahaja mereka sibuk, tetapi untuk beberapa hari selepas itu pun jadual masing-masing dah penuh.

Al-kisahnya, sepanjang bulan Julan ini masjid saya menjemput 8 orang pengkuliah jemputan. Memang selama inipun, kami mengadakan dua malam seminggu kuliah Maghrib. Kami minta semua pengkuliah menyampaikan tajuk berkaitan dengan Rejab dan Syaaban. Masing-masing akan beri ilmu mereka. Jadi, kita yang mendengar, yang harap-harap tak miss satu slot pun kuliah bulan ini, pasti akan mendapat info daripada 8 orang tok guru. Tak hebat ke kita nanti. So, marilah datang ke masjid...

Apa hebatnya Israk sehingga ada yang nak membandingkan dengan malam Lailatuiqadar? Antara kedua malam ini, manakah yang lebih hebat. Susah juga nak menjawab soalan inikan? Berkat bantuan Tuhan, saya terjumpa jawapannya dalam kitab Zad al-Ma’ad nukilan Imam Ibn Qayyiam al-Jauzi.

Ringkasnya, setengah ulama’ berkata dari segi hak Nabi saw, maka Malam Israk adalah lebih afdhal kepadanya tetapi bagi umat, maka malam Lailatulqadar adalah lebih afdhal bagi mereka.

Walau apapun, kedua-duanya adalah malam yang cukup hebat untuk dihayati dan difahami. Selamat menyambut malam Israk dan Mikraj. Kepada mana-mana masjid yang belum ada plan nak menyambutnya, cepat-cepatlah rancang. Mudah-mudahan usaha kita mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya.

Mandolin?

Anda pernah bermain simbal atau Mandolin?
Antara strategi pertempuran di laut yang dipraktikkan oleh tentera Islam ialah ketika menaiki kapal, mereka akan mengangkat suara dengan bertahlil dan bertakbir. (Ibn A’tham, Kitab al-Futuh). Semasa dalam peperangan, mereka akan membaca al-Quran, bersembahyang, berdoa sementara tentera Rom akan memukul al-Naqus (loceng). (Dahlan, Ahmad b. Zayni, al-Futuhat al-Islamiah bacda mudiyy al-futuhat al-nabawiyyah). Terdapat catatan bahawa tentera Islam semasa perang Dhat As-Sawari, mereka memperbanyakkan membaca al-Quran, solat dan berdoa. Sedangkan di pihak tentera Rom, mereka memukul al-Sunuj (simbal dan kastanet) dan al-Tanabir (alat muzik seperti dram dan mandolin) serta meniup al-Safarat (wisel) sambil meminum arak (Ibn A’tham). Simbal ialah alat muzik yang terbentuk daripada sepasang piring loyang yang dihantuk bersama atau dipalu dengan kayu untuk menghasilkan bunyi. (Lihat Kamus Dewan) Mandolin adalah sejenis alat muzik yang berupa gitar kecil dan mempunyai empat pasang tali. (Lihat Kamus Dewan)

Tuesday, June 24, 2008

Yang Mula-mula

Orang yang mula-mula digelar Khalifah ialah Abu Bakar

Orang yang mula-mula digelar Amirul Mukminin ialah Umar al-Khattab

Orang yang mula-mula diberi salam Assalamualikum Ya Amirul Mukminin ialah Muawiyah

Orang yang mula-mula menambah nama dengan nama Allah ialah al-Mu'tasim apabila dipanggil al-Mu'tasim Billah

Orang yang mula-mula memakai mahkota ialah al-Dahhak salah seorang raja Parsi

Orang yang mula-mula diberi salam dengan jawatan gabenor Assalamualaikum Wahai al-Amir (gabenor) ialah al-Mughirah b. Syu'bah

Orang yang mula-mula dipanggil wazir (menteri) ialah Ahmad bin Sulaiman al-Khallal iaitu menteri Khalifah pertama Khulafa' Abbasiyyah, Abu Abbas al-Saffah

Sunday, June 22, 2008

Nama Dulu, Nama Sekarang

"Apa nama sebenar Parsi sekarang ustazah?" "Entahlah." Anda pernah tak bertemu situasi seperti ini semasa belajar sejarah? Sebenarnya antara kesulitan belajar sejarah ialah perubahan nama dahulu dan nama yang sedia ada sekarang. Maklumlah kita pun membaca buku yang ditulis ratusan atau ribuan tahun yang lalu seperti Imam al-Tabari, Ibn Hisyam, Ibn al-Athir dan lain-lain. Saya kata sulit, bukan bermakna tiada jawapan atau jalan keluarnya. Kita perlulah buat kerja lebih, buat sedikit rujukan.
Saya akan bawakan beberapa contoh nama-nama yang mengalami perbezaan. Atau kadang-kadang mempunyai pelbagai nama. Kadang-kadang berbeza dalam buku bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Contohnya.

Parsi :Iran
Anatolia: Asia Kecil atau Turki
Andalus :Sepanyol
Afranj :Eropah
Yunan :Greek (Tamadun Yunan=Tamadun Greek)
Syam :Palestine, Lubnan, Jordan dan Syria
Gaul :Perancis
Tanjah : Tangier
al-Daybul :Karatchi

Kadang-kadang ada perbezaan antara catatan Arab dan Inggeris
Ibn Sina :Avicena
Ibn Rusyd :Averoz

Sebenarnya banyak lagi, cuma ini adalah sebagai contoh sahaja. Pastikan jika kita sedang membaca buku sejarah, bersama kita juga perlu ada Atlas. Jika tidak, maka kita akan hanya menjadi pembaca semata-mata tetapi bukan pengkaji sejarah.

Syukran pada Qidza atas komentar.

Thursday, June 19, 2008

Nama Yang Pelbagai...jangan pening

Terdapat beberapa laut yang penting apabila mengkaji sejarah Islam iaitu Laut Rom/Syam (Laut Mediterranean), Laut Merah (Laut Firaun dan Laut Qulzum, Laut Kaspian (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr al-Khazar dan al-bahr Qazwin), Laut Hitam (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr al-Aswad dan al-bahr Nabtash) dan Laut Aral (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr Khawarizm).

Selain laut, terdapat juga sungai-sungai yang terkenal. Sungai Nil di Mesir, Sungai Furat (Euphrates) dan Sungai Dajlah (Tigris) di Iraq dan Sungai Jihun (Amodaria) dan Sihun (Sardaria) di sebelah Khurasan merupakan sungai-sungai yang cukup terkenal dalam sejarah Islam.

Begitu juga apabila menyebut tentang selat terdapat beberapa selat yang cukup terkenal dalan sejarah Islam iaitu Selat Giblartar yang memisahkan antara daratan Afrika dan Andalus dan Selat Boshporus yang memisahkan antara Anatolia (Asia Kecil) dengan Kostantinople. Apabila menyebut tentang teluk maka antara yang terkenal dalam kajian sejarah ialah Teluk Arab, Teluk Parsi dan Teluk Biskay di utara Andalus. Begitulah juga apabila menyebut terusan maka Terusan Suezlah yang paling terkenal.

Sunday, June 8, 2008

Nur Islam di Bumi Andaluz (Sepanyol)

Hari ini kita sering mendengar nama-nama seperti Andaluz (Sepanyol), Perancis, Itali, Pulau Sardinia, Pulau Sicili, Malta, Pulau Mallorca, Pulau Ibiza, Pulau Cyprus dan beberapa nama lain yang sekarang bernaung di bawah Negara Sepanyol, Perancis atau Itali. Nama-nama tempat ini sebenarnya pernah mendapat cahaya Islam beberapa kurun dan yang paling lama sudah tentulah Andalus.

Islam telah membawa sinarnya di Andaluz selama 531 tahun. Daripada kedatangan umat Islam pada tahun 92 Hijrah/711 masehi sehinggalah kejatuhan Granada pada tahun 897H/1492m Islam telah membangunkan bumi Andaluz sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan kemanusiaannya.

Andaluz sebelum kedatangan Islam.

Sebelum kedatangan Islam bumi Andaluz berada dalam zaman kegelapan. Antara kurun ke-2 hingga kurun ke-5 masehi Semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal hari ini) dikuasai oleh kaum Vandals. Kemudian telah datang pula Visigoths pada awal kurun ke-5 masehi yang telah menjadikan Toledo sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. Andaluz dikuasai oleh kaum ini sehinggalah kedatangan Islam.

Andaluz atau semenanjung Iberia ini terletak di barat daya benua Eropah. Ia dipisahkan daripada tanah besar Eropah di sebelah utara dengan Negara Perancis yang dipisahkan oleh pergunungan Pyrenees. Di sebelah selatan pula ialah Afrika yang dipisahkan dengan selat Giblartar (JabalTariq) yang lebarnya antara 13 hingga 37 km. Di sebelah utaranya ialah Teluk Biscay dan sebelah baratnya ialah Lautan Anlantik serta di sebelah timurnya Laut Mediterranean.

Pembukaan Islam di Andaluz

Nur Islam yang bermula di Mekah dan Madinah mula menyebarkan dakwahnya ke timur yang ketika itu di bawah kuasa Parsi dan ke barat yang di bawah kuasa Rom Byzintin. Di sebelah barat telah Islam melewati bumi Mesir dan memasuki ke Afrika pada zaman pemerintahan Khulafa' Al-Rasyidun dan Bani Umayyah. Mesir berjaya dibebaskan daripada cengkaman Rom pada tahun 20H lagi di bawah pimpinan Amru bin al-As. Umat Islam terus melebarkan nur Islam ke Afrika (Libya hari ini) pada tahun 27H. Pada zaman Muawiyyah usaha dakwah di Utara Afrika diteruskan sehingga akhirnya Uqbah bin Nafiq dilantik menjadi gabenor pertamanya tahun 50H. Maka di bumi Afrika ini telah muncul nama-nama agung yang telah menjalankan misi dakwah antaranya Hassan bin Nu’man dan Musa bin Nasir.

Musa bin Nasir (19H-97H) yang menjadi gabenor Utara Afrika dari tahun 89H telah bercita-cita meneruskan nur dakwah Islam ke Andalus yang ketika itu beliau berusia 80 tahun dengan izin Khalifah al-Umawi al-Walid bin Abdul Malik di Damsyiq.

Pada tahun 91H Musa telah mengutus tentera pengintip diketuai oleh Tarif bin Malik ke Andalus sebagai strategi awal. Kemudian selepas setahun beliau telah mula menghantar tenteranya yang dipimpin wakilnya iaitu penguasa Tanjah (Tanger) iaitu Tariq bin Ziyad pada bulan Rejab tahun 92H. Dalam masa kurang setahun beliau telah berjaya membuka kota-kota seperti Qurtubah (Cordova) dan Malaga. Tentera Tariq ini bukan sahaja dibantu oleh bangsa Barbar dan sebahagian kecil bangsa Arab tetapi oleh penduduk asal Andalus sendiri tatkala mereka mengetahui keadilan Islam dan sikap toleransi umatnya. Raja terakhir Visigoth di Andalus ialah Rodrigue.

Selepas setahun iaitu pada bulan Rejab tahun 93HMusa sendiri telah memasuki Andaluz dan berjaya membuka Merida dan Zaragozza. Dalam tempoh 3 tahun 1/2 sahaja antara tahun 92-95H umat Islam berjaya menyebarkan nur Islam ini di Andaluz. Pada tahun 94H Musa dan Tariq telah berjaya membuka Bandar Toledo dan sampai ke utara Andaluz seperti Galicia, Asturias, Wasyqah (Huesca), Lerida, Tarragona dan Barcelona. Cuma sebahagian kawasan bukit bukau di bahagia barat laut Andalus yang tidak dapat dibuka yang selepas itu menjadi pusat kekuatan tentera Nasrani yang akhirnya berjaya mengusir umat Islam daripada Andalus ini.

Bahkan tentera Musa telah sampai ke selatan Perancis melewati pergunungan Pyereenes dan berjaya membuka Carcasona, Narbona, Avinon dan Lyon. Antara raja-raja Perancis yang terkenal ialah Charles Martel, Pepin dan Charlemagne. Sarjana-sarjana arab telah sepakat mengatakan bahawa Musa bin Nasir telah sampai ke Perancis dalam usaha dakwahnya ini. Kemudian kedua-dua panglima agung Islam iaitu Musa dan Tariq ini telah dijemput bertemu khalifah al-Walid di Damsyiq yang jarak perjalanan antara Andaluz dan Damsyiq ketika itu 2 bulan lebih. Musa dikatakan bercita-cita untuk membuka seluruh Perancis, Jerman, Itali, Konstantinopal (Istanbul), Asia Kecil (Turki) ke Syam dan kawasan Laut mediteranneaan di bawah cahaya Islam.

Sepeninggalan Musa dan Tariq usaha-usaha penyebaran Islam diteruskan oleh gabenor-gabenornya. Sehingga disebut antara tahun 95-138H ialah era Gabenor di mana seramai 20 orang gabenor telah dilantik sepanjang tempoh 42 tahun itu. Pada era ini Sevilla telah dijadikan pusat pentadbiran sebelum dipindahkan ke Cordova tahun 97H. Bahkan antara bukti keunggulan mereka apabila sejarah mencatatkan 4 orang gabenor ini iaitu al-Samhu bin Malik al-Haulani 107H, Anbasah bin Suhaim al-Kalbi 107H, Al-Ghafiqi 114H dan Uqbah bin al-Hajjaj al-Saluli 121H telah mati syahid ketika berdakwah di balik pergunungan Pyerenees iaitu di Perancis. Kekalahan tentera Islam di bawah pimpinan al-Ghafiqi tahun 114H di tangan tentera Perancis pimpinan Charles Martel dikatakan telah menyekat kemaraan dakwah Islam di bahagian eropah barat.

Bermula kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil yang digelar Helang Quraisy telah bermula era zaman imarat sehinggalah tahun 316H. Pada era ini telah bermula serangan-seranga daripada musuh Islam dari pelbagai pihak. Antaranya daripada kerajaan al-franjah (Perancis), tentera Normand (Vikings) daripada Scandinavia dan Negara-negara Nasrani yang berada di utara Andaluz. Sekitar kurun ke-4H telah muncul 3 kerajaan Nasrani di utara Andalus iaitu di Leon, Qasytalah (Castella) dan Nabbarah (Navvara).

Selepas itu nur Islam di Andaluz di sambung oleh era al-khilafah yang bermula daripada tahun 316H hingga tahun 400H yang dipimpin oleh 3 khalifah. Yang paling terkenal ialah Abdul Rahman III yang digelar al-Nasir Li al-Dinillah yang telah berkuasa selama 50 tahun. Pada zaman ini puak Vikings telah datang melakukan beberapa serangan menyerang Andalus lagi.

Bermula tahun 400H telah mula berlaku perpecahan di kalangan umat Islam. Antara tahun 400H sehingga tahun 484H telah muncul kerajaan-kerajaan kecil seperti kerajaan Bani Hud di Sarqustah (Zaragoza), Balansiah (Valencia), Bani Abbad di Isybilliah (Sevilla), Bani Zi an-Nun di Toledo, Bani Jahwar di Qurtubah (Qordova) dan Bani Zairi di Granada. Zaman ini disebut oleh sejarawan sebagai zaman Tawaif (kumpulan-kumpulan).

Namun pada tahun 479H selepas kemenangan tentera Islam di medan al-Zallaqah, umat Islam di Andalus kembali bersatu di bawah kuasa kerajaan al-Murabitin yang berpengkalan di Afrika. Selain itu medan perang Ucles tahun 501H menjadi bukti kemenangan umat Islam. Antara penguasa al-Murabitin yang terkenal ialah Yusuf bin Tasyifin dan anaknya yang bernama Ali. Di penghujung era ini telah jatuh satu persatu Bandar Islam Andaluz seperti Zaragoza tahun 512H, al-Maria 542H, Tortosa 543H dan Lerida 567H.

Sekali lagi umat Islam Di Andalus telah mendapat bantuan daripada kerajaan Islam di Afrika iaitu al-Muwahhidun. Selepas era al-Murabitun telah muncul kerajaan al-Muwahhidun ini yang telah banyak membantu perjuangan Islam di bumi Andalus. Antara tahun 540H sehingga tahun 620H merupakan era penguasaan al-Muwahhidun di Andaluz. Antara keunggulan mereka ialah kemenangan besar Islam di medan al-Arak tahun 591H yang mengingatkan mereka kepada medan al-Zallaqah dan medan Ucles. Pada kurun ke 6H ini telah muncul 2 lagi kerajaan baru Nasrani iaitu Arghun (Aragon) dan Portugal.

Namun di penghujung era al-Muwahhidun ini telah berlaku beberapa peristiwa besar. Antara telah jatuh ke tangan musuh pulau-pulau Balearic di timur Andalus iaitu Pulau Mallorca pada 627H, Pulau Ibiza dan Menorca pada 686H. Selain itu berlaku kejatuhan Qordova 633H, Valencia 636H, Jaen 641H, Sevilla 646H dan Murcia 664H. Bahkan Afrika yang menjadi tulang belakang membantu saudara mereka di Andalus juga mengalami perpecahan dengan kewujudan Bani Marin di Maghrib al-Aqsa, Banu Zayyan di Maghrib al-Ausat (Jazair) dan Bani Hafs di Maghrib al-Adna (Tunis).

Kejatuhan Andalus

Di kurun ke 7H ini telah jatuh sebahagian besar bumi Andalus kecuali kerajaan kecil Granada yang mampu bertahan lebih 2 kurun antara tahun 635H-897H bersamaan 1238m-1492m. Kerajaan Granada merupakan kerajaan terakhir di Andalus yang telah dipimpin oleh 20 orang sultan daripada Bani Ahmar. Kerajaan Granada ini hanya diwakili 3 wilayah kecil di selatan Andaluz iaitu Malaga, Granada yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan dan Almeria.

Di sebelah timur Andalus, Sultan Muhammad Al-Fatih daripada Bani Othman telah berjaya membuka kota konstantinopal (Istanbul) daripada tangan Rom Ortodoks pada tahun 857H menyebabkah seluruh eropah mula mengalihkan pandangan mereka ke Andalus. Andalus yang sebelum ini sering memdapat bantuan daripada Afrika bermula zaman al-Murabitin, dan al-Muwahhidin dan kemudian daripada Bani Marin telah hilang bantuan ini selepas kejatuhan Bani Marin tahun 869H. Bani Wattas yang menggantikan Bani Marin tidak lagi menghulurkan bantuan ke Andalus.

Selain itu penggabungan antara 2 kuasa besar Nasrani Katholik iaitu Qisytalah dan Arghun hasil perkahwinan ratu Qisytalah Isabella dan raja Arghun iaitu Fernando (v) untuk sama-sama memerangi kerajaan Islam Granada menyumbang kepada berakhirnya nur Islam di bumi Andalus pada tahun 857H. Sultan terkhir Kerajaan Islam Granada iaitu Abu Abdullah Muhammad telah menyerahkan bumi Granada kepada 2 raja katholik ini untuk meninggalkan Andalus pergi ke Fas (Fez).

Eropah bukan sahaja menjadi saksi kepada kejatuhan nur Islam di Andalus pada tahun 1492m bahkan mereka mula mendapat jalan mengembara ke negeri Timur, Columbus menemui benua baru Amerika dan Portugal di bawah pimpinan Alfonso d’Albuquerque telah berjaya menakluk Melaka tahun 1511m iaitu selepas 22 tahun kejatuhan Andalus.

Sepanjang tempoh 8 kurun Islam telah membawa nurnya yang gilang gemilang ke bumi Andalus baik dalam bidang kemanusiaan, keilmuan, tamadun, budaya, seni bina, perbandaran dan pembangunan. Mereka meninggalkan Masjid Cordova dan Istana al-Hambra. Bumi Toledo telah menjadi saksi penterjemahan ribuan khazanah agung Islam. Di andalus telah lahir tokoh-tokoh terbilang pelbagai bidang. Nama-nama seperti Ibn Jubair, Ibn Battuta, Ibn Rusy, Ibn Hazm al-Andalusi dan ramai lagi. Ribuan orang eropah telah datang ke Andalus sebagai pusat ilmu terkenal.