Saturday, March 7, 2009

Pembukaan Afrika...


Pembukaan Afrika telah bermula selepas cAmru b. al-cAs memimpin pembukaan Mesir pada zaman Khalifah cUmar b. Al-Khattab lagi tetapi kemudiannya gerakan pembukaan Islam terhenti kerana konflik dalaman pada zaman Khalifah cUthman b. cAffan. Pembukaan ini terhenti kira-kira 20 tahun dan Byzantine telah kembali menjajah negeri-negeri yang telah dibuka oleh umat Islam. Namun, selepas Mucawiyah diangkat menjadi khalifah, beliau telah mengirim pasukan tentera di bawah pimpinan Mucawiyah b. Khudayj ke Afrika pada tahun 45H/665M. cUqbah b. Nafic kemudiannya telah menyambung usaha pembukaan Islam dan telah menubuhkan bandar al-Qayrawan tahun 50H/670M sehingga peristiwa tentangan Barbar tahun 65H/685M yang membawa kepada pembunuhannya. Pembunuhan cUqbah oleh Barbar yang dipimpin oleh Kasilah, seakan-akan menghancurkan kedudukan kerajaan Islam di Afrika dan mereka terpaksa mengundurkan diri dari Afrika Utara dan al-Qayrawan. Pada zaman cAbd al-Malik b. Marwan beliau telah mengirim Zuhayr b. Qays al-Balwi ke Afrika dan berjaya mengalahkan Barbar dan membunuh Kasilah tetapi beliau juga akhirnya gugur syahid di tangan tentera Rom tahun 69H/689M di Barqah. Selepas itu, cAbd al-Malik b. Marwan sekali lagi mengirim bala tentera pimpinan Hassan b. al-Nucman tahun 74H/694M dan beliau berjaya menawan kembali Barqah sehingga ke persisiran Laut Atlantik dan berjaya mengusir sepenuhnya Rom dari Afrika Utara. Afrika Utara kemudiannya tidak lagi bergantung kepada Mesir dan menjadi wilayah khusus yang memiliki gabenornya sendiri. Musa b. Nusayr yang dilantik menggantikan Hassan b. al-Nucman sebagai gabenor Afrika akhirnya telah berjaya melengkapkan pembukaan seluruh Afrika Utara dan telah menamatkan penentangan serta berjaya mengislamkan kabilah Barbar yang sebelumnya menjadi penentang kuat tentera pembukaan Islam. Usaha pembukaan Afrika begitu mencabar dan memakan masa yang lama kira-kira 60 tahun antara tahun 23H/644M semenjak pembukaan Barqah sehinggalah kejayaan pengusiran penuh Rom tahun 83H/708M. Hassan b. al-Nucman dilantik sebagai gabenor Afrika Utara oleh Khalifah cAbd al-Malik b. Marwan pada tahun 73H/693M. Beliau berjaya mengalahkan Byzantine dan merobohkan ibu kota musuh di Afrika Utara iaitu Qartagena kerana kota tersebut dikatakan mampu menghalang pembukaan Islam di Arika Utara. Beliau juga terlibat dalam memerangi Barbar. Namun kemudian, beliau telah dipecat daripada jawatannya dan digantikan dengan Musa b. Nusayr.

No comments: