Saturday, November 29, 2008

Antara Aidil Fitri dan Aidil Adha

Kedua-duanya adalah hari kebesaran umat Islam. Sehinggakan Allah sendiri mengharamkan kepada kita berpuasa pada 2 hari tersebut.
Malangnya, kita dapati keghairahan menyambut hari raya Aidil adha agak sepi jika dibandingkan dengan sambutan hari raya AidilFitri. Tiada lagu raya, tiada iklan di kaca TV atau radio.

Antara keduanya yang manakah lebih besar?
Ketauilah semua bahawa Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban adalah cukup besar. Bayangkanlah;

1. Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangakan tempoh tekbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

2. Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (I Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah)pada hari raya Korban.

Ayuh! Sama-sama kita membesarkan Hari Raya Aidiladha ini dengan kita mengeluarkan wang kita untuk kita sama-sama menyembelih binatang korban. Pada waktu yang sama juga kita berazam untuk menyembelih sifat kebinatanagn yang ada dalam jiwa kita.

Takbir!!!

Friday, November 28, 2008

Sejarah Yang Telah Berubah

Sudah hampir 2 minggu saya balik kampung di rumah mertua saya di Kampung Behor Inai, Pauh Perlis.
al-Kisahnya setiap petang saya akan membawa anak2 saya bermotosikal mengelilingi kampung di celah-celah batas2 sawah yang semakin menguning.
Dengan konsep dakwah 3S, yang sememangnya telah lama saya praktikkan, maka saya tidak berasa sukar untuk bertaaruf dengan sesiapa sahaja yang saya temui. Senyum, salam dan sahabat. Kita lemparkan senyuman , kemudian menghulur salam seterusnya ingin menjalinkan persahabatan.
al-Kisahnya dalam tempoh yang singkat ini saya menemui pelbagai pelajaran buat saya. Semoga kita selalu berjiwa besar kerana orang yang berjiwa besar akan melihat sesuatu yang biasa itu sebagai luar biasa. Adapun orang yang memiliki jiwa biasa akan melihat sesuatu yang luar biasa itu biasa sahaja.
Pak Cik Talib (bukan nama sebenar) menangis di hadapan saya apabila menyebut dia tersentuh dengan gaya hidup anak menantunya. "Ustaz! Kita boleh tegur anak kita sendiri tetapi kita payah untuk memberi terguran pada anak menantu kita." Sebab mereka dididik oleh suasana yang berbeza dengan kita mendidik anak kita.
Alangkah hibanya Pak Talib apabila sepasang baju yang diberikan kepada cucunya tidak sanggup dipakaikan kepada mereka oleh ibu bapanya (anak + menantu Pak Talib) kerana ia dibeli di Nat (pasar pagi). Mereka telah biasa disarungkan dengan baju2 berjenama termahal.
Alangkah terkejutnya Pak talib bila cucu-cucunya enggan menjamah makanan pagi yang disediakannya tetapi membalas dengan "Tok! nugget tak ada ke? coco krunch tak ade ke?"
Dengan hibanya si atuk yang telah tua itu terpinga dengan jenama makanan yang dimintanya sedang dia sendiri pun tidak pernah menjamah makanan2 tersebut.

Tok Mah dan Wan Mat adalah dua orang tua melebihi umur 75 tahun, yang mempunyai anak-anak yang berjaya. Saya sempat menziarahi beliau suatu pagi. "Tok! Mak Cik Kiah (anak Tok Mah dan Wan Mat yang berkelulusan luar negara dan bekerja di satu bandar besar) tak balik kampung ke?"
"Tak taulah, depa kat nak balik tp tak jadi sebab depa sibuk" Jawab Tok Mah sayu walaupun cuba menunjuk reaksi biasanya. Bayangkan sepasang suami isteri orang tua ini yang duduk di sebuah rumah kayu lama, saban hari menggu kepulangan anak-anaknya yang mereka sendiri tidak tahu bila.
Sedangkan seminggu lagi adalah hari Raya Aidiladha...

Wednesday, November 19, 2008

Mencari Kebenaran

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari
Demi bualan apabila ia mengiringi (matahari)
Demi siang apabila ia menampakkan
Demi malam apabila ia menutupinya
Demi langit dan yang membinanya
Demi bumi dan segala hamparannya
Demi jiwa dan penyempurnaannya

Allah mengilhamkan sukma kebaikan dan kejahatan
Beruntunglah sesiapa yang menyucikannya
Dan rugilah sesiapa yang mengotorinya

Matahari, bulan, siang, malam adalah makhluk besar yang sentiasa untuk dan patuh menurut arahan yang telah ditetapkan Tuhan. Mereka beredar pada paksinya dan sama sekali tidak terkeluar dari orbitnya. Jika matahari terkeluar dari garis orbitnya maka binasalah alam.

Begitulah juga jiwa manusia, jika ia keluar dari garis orbitnya iaitu garisan kejujuran, keadilan, prihatian, tanggungjawab, kerjasama maka akan binasalah hidup manusia.

Tidak hairanlah Rasulullah menuju ke Gua Hira' untuk mengasingkan diri daripada masyarakat jahiliyyah ketika itu. Berkhalwat untuk menyucikan jiwa. Untuk mengenal Sang Pencipta yang menjadikan seluruh alam semesta ini.

Tuesday, November 18, 2008

Beruntunglah orang yang menyucikan jiwa...

Hidup ini adalah sebuah pencarian. Kita perlu bergerak untuk mendapat sesuatu kerana semuanya bergerak. Bumi bergerak, awan bergerak, matahari bergerak, malang siang bergerak untuk saling silih berganti dan semuanya harus bergerak....
Saya baru kembali mengikuti program ESQ Training selama 3 hari pada 14,15 dan 16 hb yang lalu. Saya bergerak untuk mencari sesuatu yang boleh membantu saya mencari sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa saya. Hidup perlu bergerak dan terus mencari. Pecahkan segala belenggu yang cuba menghalang kita untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Akhirnya saya ditakdirkan untuk mengikuti progran 3 hari ESQ ini. Hasilnya sungguh luar biasa...
Mengapa kita bersolat dengan membaca al-Hamdulillah hi Rabbil Alamin. Kita membaca amin bersama serentak dengan makmum2 yang lain. Kita menghulur salam ke kanan dan ke kiri di hujung solat kita. Dengan 17x rakaat yang kita kerjakan namun kita masih lesu. Masih ada prasangka buruk pada orang lain, masih saling bermusuhan sesama manusia, masih tidak mahu jujur dalam gerak geri.
Apakah solat yang kita kerjakan tidak memberi kesan pada diri kita, pada umat Islam. Kita solat tetapi pada yang sama kita tidak jujur, kita sering berprasangkat jahat pada saudara kita. Di mana kita dan solat kita sebenarnya. Mengapa solat kita kosong. Bahkan jangan hairan jika ada orang yang menipu untuk solat. Tidak solat tetapi mengaku sudah solat.
Adakah kerana kita jahil dengan rahsia solat itu. Solat yang satu-satu kefarduan yang difardukan di atas langit semasa peristiwa Istrak dan Mikraj.
Bukan bilangan solat yang kita kerjakan itu melatih untuk kita jujur. Kita tidak menipu dalam bilangan rakaat kita. Jemaah itu sendiri mengAjar kita bekerjasama. Saf itu mendidik kita kepada keadilan. Mengapa perlu sombong dengan pangkat, jawatan, kerdudukan, kekayaan yang merupakan pinjaman Allah.
Solat tidak boleh diwakilkan pada orang lain, mengajar kita nilai tanggungjawab. Menoleh dengan memberi salam ke kiri dan kanan mendidik kita sikap prihatian. Prihatian pada jiran tetangga kita, adik beradik kita, ibu bapa kita dan seluruh saudara mara kita yang lain.
Bukan untuk kita sendiri-sendiri. Ayuhlah keluarkan diri kita dari belenggu yang sempit.
Salam ukhuwwah buat Pak Aminul, Pak Saiful, Firdaus dan Faizi yang merupakan Trainer ESQ. Juga rakan rakan Saudara Safuan, Mahathir dari UTEM, Sahrul, Raja Azmi, Aznur, Dato' Samsuddin, Aizad pengerusi Kalam, Saudara Badiuz ATS ESQ dan ramai lagi.

Tuesday, November 11, 2008

Kuching ooo Kuching

Al-hamdulillah saya selamat sampai di Kuching dan menyampaikan hajat kawan di sana. Perjalanan saya ke Kuching Sarawak bermula apabila Us Zaini Hasbollah menjemput saya menyampaikan ceramah Kursus Penulisan Dakwah Peringkat Negeri Sarawak 2008 di Hotel Penview, Kuching bertarikh 10 dan 11 November.
Maka petang Isnin 10 hb saya pun bertolak dari KLIA ke Kuching menaiki pesawat 737 MAS bernombor MH 2718. Selepas 1 jam 3/4 perjalanan saya pun tiba di AirportKuching buat pertama kali dalam hidup saya. Ustaz Suyuti telah bersedia menunggu saya di sana dan terus membawa saya ke hotel tersebut. Selepas menjamu sedikit makanan saya terus menyampaikan slot pertama saya di hadapan kawan2 yang telah bersedia menunggu ketibaan saya. Saat itu rasa letih saya hilang sama sekali kerana mereka kelihatan begitu semangat. Muka-muka mereka umpama saya doakan akan menjadi penulis2 terkenal seperti A Samad Said, Shahnon, Ariwati dll. Mereka adalah bakal2 penulis yang akan dilahirkan dari Sarawak.
Esoknya saya menyambung slot kedua saya selama lebih 2 jam, namun saya melihat mereka terus bersemangat dengan cabaran baru yang bakal mereka lalui nanti. Selesai berceramah saya bersedia untuk kembali ke Semenanjung pada jam 2.25 ptg 11 hb.
Saya sempat dibawa bersiar-siar oleh kawan2 yang sudah berbelas tahun menghuni bumi Boeneo ini. Ust Zakaria (Pak Ya) guru SK Gersik, Kuching dan Norhanizam guru Sk Pulo, Kuching menjadi teman rihlat 2 jam saya di sekitar Kuching.
Saya dibawa ke Pasar Satok untuk memborong ikan TERUBOK dan BELACAN BINTULU. Inilah antara buat tangan special dari Kuching yang saya bawa balik. Saya juga sempat memborong KEK LAPIS di kedai Dayang Salhah. Pening saya melihat bermacam-macam kek lapis yang ada, kek lapis Coklat cheese, lapis kopi, lapis sutera Dubai, lapis alunan ombak. lapis batik kenyalang, lapis batik jasmine, lapis hati pari, lapis mami jarum, lapis swiss roll, lapis sisik ikan dll. Pening...pening.
Pak Ya sempat menjamu saya makan tengahari TOMYAM di sebuah kedai melayu di Kuching.
Jam 1.55, saya sampai ke Air port Kuching untuk menaiki pesawat MH 2515 menuju ke KLIA.
Syukran jazilan atas layanan sahabat2 di Kuching khas buat Us. Zaini Hasbollah, Pak Ya (Us. Zakaria), Us. Norhanizam, Us. Suyuti, Us. Rosli Sulaiman (SMK Simanggang, Sri Aman), Us. Awang Arifin Awang Kamarudin (Penyelia Pendidikan Islam PPG Kuching) dan semua peserta kursus.
Semoga kita bertemu lagi, Syukran jazilan buat semua...

Sunday, November 9, 2008

Sejarah ke Kuching...

Semuanya adalah Al-hamdulillah. Sebaik sahaja saya dijemput berkongsi idea penulisan di Beach Resort Pord Dickson pada 28-29 Oktober 2008, saya sekali lagi dijemput untuk 'sharing' topik yang sama dan kali ini destinasi saya agak jauh iaitu di Kuching Sarawak.

Maka jam 6.30 ptg hari ini 10 November 2008 Insyallah buat pertama kali dengan izin Allah saya akan sampai ke bumi Kepulauan Borneo yang akan memakan masa 1 jam 3/4 minit perjalanan menaiki kapal MAS MH 2718. Mudah-mudahan semuanya selamat.

Buat teman-teman di Sarawak semoga malam kita dapat bertemu dan sama-sama berkongsi idea dalam diskusi kita "Menggarap Idea Penulisan".

Barbar...reformasi

Kepada pembaca sejarah di Afrika utara, untuk kita memahami iklim tersebut kita mesti membaca sejarah berkaitan Barbar. Antara konflik besar yang berlaku zaman Kerajaan Umayyah selain pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', kemunculan Ibn Zubayr, isu Hajjaj di Iraq maka reformasi Barbar tahun 122H merupakan salah satu topik penting dan menarik.

REFORMASI BARBAR

Perluasan kuasa Islam memerlukan tempoh yang lebih panjang di Afrika Utara berbanding Iraq, Syam dan Mesir. Tentera Islam mengambil masa lebih 60 tahun untuk membuka kawasan Afrika Utara. Antara cabaran utama tentera Islam semasa dalam usaha perluasan kuasa Islam di sana atau selepas kejayaan membukanya ialah berhadapan dengan puak Barbar.Selepas tentera Islam berjaya membuka Afrika Utara, puak Barbar yang merupakan penduduk asal Afrika telah menghadapi polisi pemerintahan yang berbeza di kalanngan gabenor-gabenor Afrika sama ada menikmati keadilan atau sebaliknya kezaliman.

Sebagai contoh pada zaman Muhammad b. Yazid menjadi gabenor Afrika, keadaan di Afrika begitu aman dan sepanjang tempoh pentadbirannya Barbar menikmati pentadbiran yang adil serta saksama. Sehinggakan polisi pentadbiran Muhammad b. Yazid yang berhikmah berjaya membawa pengislaman puak Barbar. Begitu juga ketika zaman Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir yang dilantik menjadi gabenor Afrika oleh Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, ahli sejarah bersepakat mengatakan seluruh puak Barbar telah memeluk Islam ketika itu. Bahkan Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz telah menghantar 10 Tabi’in untuk mengajar Islam kepada puak Barbar tersebut.

Namun, sebaik Yazid b. cAbd al-Malik dilantik menjawat jawatan khalifah menggantikan cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, beliau telah melucutkan jawatan Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir lalu melantik Yazid b. Abu Muslim yang merupakan pembantu Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi. Yazid b. Abu Muslim kemudian telah menggunakan polisi yang keras ke atas Barbar sebagaimana yang dilakukan oleh Hajjaj b. Yusuf di Iraq yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Selepas itu, Bishr b. Safwan al-Kalbi yang dilantik menjadi gabebor Afrika berjaya mengembalikan ketenteraman yang dicetuskan oleh Barbar.

Namun demikian, selepas itu puak Barbar kembali menerima polisi yang keras oleh pemerintah Islam di Afrika Utara dan pada waktu yang sama kumpulan Khawarij telah ramai yang memasuki Afrika Utara kerana jauhnya tempat tersebut dari pusat pemerintahan Islam. Mereka kemudian telah menyerap masuk ke dalam puak Barbar dan menyebarkan fahaman mereka seperti tuntutan hak sama rata antara mereka dan Arab serta reformasi menentang kezaliman. Akhirnya pada tahun 122H/739 Barbar telah bangkit menentang pemerintah Islam di Afrika Utara yang ketika itu di bawah pimpinan cUbayd Allah b. al-Habhab di saat ramai tentera Islam sedang keluar berjihad di Pulau Sicily. Reformasi yang dilancarkan oleh Barbar dan kejayaan mereka membunuh peminpin Islam di Tanjah (Tangier) telah menggugat keamanan Afrika sehingga gabenor terpaksa memanggil balik tentera Islam yang sedang berjihad di Pulau Sicily yang diketuai oleh Habib b. Abu cUbaydah b. cUqbah b. Naficuntuk bersatu menghadapi Barbar. Gabenor Afrika sendiri turut menyiapkan pasukan tentera dari al-Qayrawan tetapi malangnya kemenanagan berpihak kepada Barbar.

Khalifah Hisham b. cAbd al-Malik kemudian telah melantik Kalthum b. cIyad al-Qushayri[1] untuk menggantikan cUbayd Allah b. al-Habhab untuk menghadapi Barbar tetapi tentera Islam sekali gagal dalam pertempuran yang berlaku pada tahun 124H/741 yang membawa kepada syahidnya dua orang tokoh besar iaitu Kalthum b. cIyad al-Qushayri dan Habib b. Abu cUbaydah. Hanzalah b. Safwan yang kemudian dilantik menjadi gabenor Afrika telah berjaya mengalahkan puak Khawarij dan Barbar. Polisi Hanzalah b. Safwan yang adil mengakibatkan keadaan di Afrika Utara kembali aman dan stabil. Namun demikian, keadaan tersebut hanya buat seketika waktu kerana Barbar kembali melancarkan reformasi pada zaman cAbd al-Rahman b. Habib yang dilantik menjadi gabenor Afrika Utara tahun 127H/744 menggantikan Hanzalah b. Safwan.



Sunday, November 2, 2008

Nabi Musa pun pergi ke Bukit Tursina untuk mencari....

Kenapa ramai orang Islam yang mendedah aurat? Belum datang seru lagi. Mengapa tak pergi haji lagi? Belu datang seru. Kenapa tak mahu pergi solat berjemaah di masjid bang? Saya belum dapat seru lagi.
Banyak contoh yang kita biasa dengar dengan jawapan ini. Baru-baru ini saya pun bertemu lagi insiden seperti ini. Kerana rasa nak betulkan keadaan dan kebetulan mad'u saya kali ini jenis yang sedia pasang telinga maka saya pun berdakwahlah padanya.
Bang! kita mengaku jadi rakyat Malaysia tanpa dipaksa orang, mestikah kita ikut peraturan negara kita? Ehhh...mestilah ustaz. Kalau tak mahu ikut undang2 negara kita, jangan jadi rakyat Malaysia. Bukan ada orang paksa2 kita nak berwarganegarakan Malaysia.

Begitulah juga Islam bang. Tak ada orang paksa kita masuk Islam kan! Tetapi jika kita dah masuk dengan sukarela maka kita kenalah ikut segala peraturannya. Tak perlulah beralasan 'tak ada seru lagi' lah. Kita tidak dipaksa masuk Islam tetapi kalau kita dah rela masuk Islam kita mesti paksa diri kita ikut Islam. Kena tutup aurat, kena tunai haji, kena tunai solat.
Kitalah pergi cari, bukan tunggu seru.
Nabi Musa pergi mencari...naik bukit Tursina selama 40 hari. Rasulullah pergi mencari...3 tahun berkhalwat di gua hira'. Kita kenalah cari...Tak perlulah panjat Bukit Tursina lagi atau Gua Hira' tetapi khalwat itu dengan cara iktikaf di masjid, 40 hari pergi tunaikan haji.
Hidup ini adalah satu pencarian mencari redha Tuhan, bukan hanya menunggu2 bila tibanya seru.