Sunday, June 26, 2011

Israk dan Mikraj: Hadiah usai 50 tahun hidup penuh ujian

Membaca kisah-kisah nabi, menyentuh hati kita semua. Sepanjang hidupnya melalui pelbagai liku-liku. Sedangkan baginda merupakan kekasih Allah. Tetapi Allah me’ngorban’kan baginda dengan pelbagai kesulitan sebagai teladan kepada umat. Apatah lagi dunia ini sememangnya pentas ujian dari Tuhan buat hamba-hambanya.

Tidak cukup satu kesulitan malah berbagai-bagai bentuk yang dialuinya. Bukan sekaligus malah kesulitan ini datang bertali arus. Lihat sahaja 50 tahun pertama hidup baginda sebelum dihadiahkan Israk dan Mikraj. Sekurang-kurangnya terdapat 13 kesulitan yang bukan calang-calang telah dilaluinya. Bahkah sebelum kelahiran pun telah ada ujian apabila ayahnya telah dijemput mengadap Ilahi.

Kisah nabi memberitahu kita cara seorang kekasih Allah melalui saat-saat yang bermacam ragam. Beliau melalui detik-detik hiba ditinggalkan orang-orang tersayang. Beliau lahir tanpa melihat muka ayah dan mendengar suaranya. Beliau lahir dalam keadaan yatim.

Beliau hanya sempat bersama-sama ibu tercinta bagi beberapa tahun sahaja. Bondanya menghembuskan nafas terakhir di kala beliau masih kecil. Di kala masih memerlukan belaian manja seorang ibu. Kemudia Nabi Muhammad menumpang kasih pada si datuk malangnya tiba-tiba datuk pula meninggalkannya buat selama-lamanya. Kepada siapa pula anak yatim kecil ini ingin menumpang kasih dan manja?

Dalam usia yang sangat kecil, beliau terpaksa bermanja dengan bapa saudara yang mempunyai anak dan tanggungan yang ramai. Setelah begitu lama dalam peliharaan bapa saudara, beliau sekali lagi melalui detik pilu apabila bapa saudaranya pula meninggal dunia. Bapa saudara tempat beliau menumpang kasih setelah ketiadaan si ibu dan datuk.

Dalam hidup berumah tangga pula, beliau pernah melalui detik menyayat hati kehilangan isteri apabila Khadijah kembali mengadap Ilahi. Apatah lagi diketika baginda memerlukan sokongan padu dari si Isteri. Beliau juga melalui saat sedih seorang ayah yang menghadapi saat kematian anak-anaknya. Anak-anak lelaki beliau kesemuanya meninggal dunia sewaktu masih kecil, sebelum si ayah sempat bergurau senda dan bermesra.

Bayangkanlah;
• Beliau adalah anak yang kematian ibu dan bapanya.
• Seorang cucu yang ditinggalkan pergi oleh datuknya.
• Seorang ayah yang dijemput pulang anak-anaknya oleh Tuhan.
• Seorang suami yang kehilangan isteri tercinta.
• Anak saudara yang kehilangan bapa saudara yang dianggap seperi ’ayah kandung’ kerana menjaganya sejak kecil.

Air mata beliau mengalir setiap kali melalui saat hiba kerana itu adalah sifat manusiawinya. Beliau mengalirkan air mata pada saat menziarahi kubur ibunya. Air matanya tertumpah saat anak kecilnya tidak lagi bernyawa.

Baginda bukanlah manusia yang suka berminta-minta. Malah semenjak kecil sedaya upaya mencari rezeki dengan usahanya tangan sendiri. Terpaksa mengambil upah mengembala kambing dan berniaga.

Dalam medan dakwah beliau bukan sahaja ditentang dengan kata-kata malahan perbuatan. Baginda dihina, diejek, dicemuh dan dimaki. Baginda turut pernah diludah, dijerut leher, disekat dari berhubung, dibaling najis dan dilontar bantu. Bahkan sahabat-sahabatnya turut menerima nasih yang sama. Mereka diseksa dengan zalim. Terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah. Hinggakan ada yang menjadi buta, berparut tubuh malah lebih daripada itu ada yang gugur syahid.

Begitulah 50 tahun pertama baginda melalui kehidupan ini. Namun, baginda melaluinya dengan penuh sabar, cekal dan tidak mengeluh. Maka selayaknya dengan kesabaran yang tinggi ini beliau dihadiahkan dengan satu perjalanan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana nabi sebelumnya atau akan dilalui mana-mana manusia sesudah baginda.

Perjalanan penuh mukjizat melangkaui perjalanan darat (Israk) dan perjalanan langit (Mikraj). Hadiah ini adalah hadiah Tuhan untuk menggembirakan hatinya dan memuliakan atas segala kesabaran yang ditanggungnya selama 50 tahun sebelum ini. Maha Suci Allah.

Wallahu A’lam Bissawab

(sila rujuk buku Sahrulazmi Sidek, Israk dan Mikraj terbitan al-Baasith Resources)

Friday, June 10, 2011

Sunday, March 27, 2011

Buku Armada Laut Umawiyyah


Buku wajib ada bg mereka yang meminati sejarah perluasan kuasa Islam yang bermula di Mekah sehinggalah ke kawasan2 lain di Syam, Iraq, Mesir, Afrika Utara, Armenia, Andalus dan lain2. Juga sangat berguna untuk guru2 pendidikan Islam dan calon SPM yg ingin menguasai topic dakwah Islam.

Sunday, March 20, 2011

Banyakkanlah menceritakan kebaikan bukan Yang mencacatkan orang lain

Kita wajar mengubah persepsi membaca kisah para sahabat atau apa sahaja yang berkaitan dengan mereka. Apabila kita membicarakan tentang mereka, yang utama adalah menyebut kemulian, jasa dan sumbangan mereka.

Mari kita menghindari satu virus bahaya dalam gaya pembacaan kita. Iaitu virus sikap cenderung membahas aspek negatif atau kekurangan seseorang. Apatah lagi, sasaran bacaan kita adalah para sahabat atau tokoh-tokoh besar. Siapalah kita yang layak menghebahkan lagi keaiban para sahabat khasnya yang sebenarnya mungkin sekelumit jika dibandingkan dengan jasa-jasa mereka yang besar.

Kita boleh bercerita tetatang kejahatan Abu Sufyan. Dia adalah antara tokoh Quraiys yang kuat menentang Rasulullah saw sebelum memeluk Islam. Beliau kemudian dilantik memimpin Kafir Quraiys Makkah selepas ramai ketua mereka terbunuh semasa Perang Badar. Abu Sufyan mengetuai Kafir Quraisy dalam perang Uhud dan Ahzab (Khandaq).

Namun, disebalaik itu beliau memeluk Islam semasa pembukaan Makkah tahun 8 hijrah. Beliau sempat menyertai 2 peperangan semasa hayat Rasul saw iaitu dalam perang Hunayn dan Taif. Semasa dalam perang Taif inilah, beliau telah kehilangan sebelah matanya. Adapun sebelah mata yang satu lagi hilang semasa beliau menyertai Perang Yarmuk. Selepas hilang kedua-dua belah matanya beliau telah mengasingkan diri untuk beribadat sehinggalah meninggal dunia tahun 31 hijrah.

Alangkah baiknya jika kita lebih menyebut pengorbanan Abu Sufyan yang telah turut serta berjuang bersama umat Islam sebaik sahaja beliau memeluk Islam. Beliau berjuang sungguh-sungguh sehingga hilang sebelah matanya semasa perang Taif dan kehilangan sebelah lagi matanya tatkala bersama tentera Islam memerangi Rom dalam perang Yarmuk.

Kita semua mempunyai pilihan untuk cenderung menyebut aspek kebaikan dan positif atau aspek kekurangan dan negatif.

Usaha terpedaya dengan cara musuh-musuh yang berhati kotor, yang cenderung melaung-laung sedidikit kecacatan atau kesilapan mereka. Andainya kesilapan yang cuba diselongkar, maka pasti ditemui. Carilah di atas dunia ini, manusia mana yang tiada kesilapan. Namun, kesilapan mereka adalah sikit, apatah lagi dibanding dengan pengorbanan dan sumbangan mereka yang banyak.

Letakkan sahabat di posisi mereka yang selayaknya. Mereka adalah insan-insan hebat dan luar biasa yang direzekikan untuk sezaman dengan Rasulullah saw dan mendapat tarbiyah secara langsung dari baginda saw.

Thursday, February 24, 2011

Selawat vs keluarga Muhammad saw


Kita dimestikan membaca bacaan tasyahhud akhir dalam solat. Dalam bacaan tersebut, kita diminta berselawat ke atas nabi dan keluarga baginda.

Bagaimana ingin berselawat ke atas keluarga baginda, andai kita sendiri pun tidak kenal pada kelurga nabi saw. Buku 'Mari Kenali Keluarga Muhammad saw' sebagai alternatif penyelesaian.

Bacaan Tahiyyat di dalam bahasa rumi:-
Attahiyatul mubarakatuhs-solawatut-taiyibatu lillah. Assalamu'alaika aiyuhan nabiyu warahmatullahi wabarakatuh. Assalamu'alaina wa'ala ibadillahis salihin. Asy-hadu alla ilaha illallah. Wa-asy-hadu anna Muhammadar rasulullah. Allahumma salli 'ala Muhammad. Wa'ala a-li Muhammad. Kama sollaita 'ala Ibrahim wa'ala a-li Ibrahim. Wabarik 'ala Muhammad wa'ala a-li Muhammad. Kama barakta a'la Ibrahim wa'ala a-li Ibrahim. Fil 'a-lamina innaka hamidummajid
Maksudnya:-
Segala ucapan selamat yang berkat - berkat (berganda - ganda) dan doa yang baik - baik semuanya untuk Allah. Selamat sejahtera atasmu wahai nabi dan Rahmat Allah dan keberkatanNya. Dan selamat sejahtera atas kita dan juga hamba - hamba Allah yang baik - baik. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Muhammad utusan Allah. Ya Allah anugerahkanlah kesejahteraan atas Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti yang Engkau telah anugerahkan kesejahteraan atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti yang Engkau telah berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi.

Thursday, January 27, 2011


Assalamualaikum. al-Hamdulillah buku kedua sejarah saya bakal muncul pada Februari. Semoga karya yang diangkat dari tesis master dan diolah gaya bahasanya ini agar sesuai dengan bacaan umum

Sunday, January 16, 2011

Bukan Sebab Ini Aku Ikut Kamu

Seorang lelaki Arab kampong telah datang kepada Rasulullah lalu beriman kepadanya.
Tentera Islam telah memperolehi harta rampasan perang yang banyak semasa perang Khaybar tahun ke 7 hijrah. Kemudian Rasulullah pun membahagi harta rampasan perang tersebut dan lelaki tersebut turut mendapat bahagiannya. Ketika itu dia sedang memelihara kambing. Tatkala dia datang, sahabat pun menyerahkan bahagiannya kepadanya.
Lalu dia bertanya;
“Apakah ini?”
Sahabat pun berkata itulah bahagian dia yang telah diberikan oleh Rasulullah saw. Dia pun mengambil bahagian tersebut lalu membawanya kepada nabi saw.
“Wahai Rasulullah! Apakah ini?” Rasulullah saw pun menjawab.
“Bahagian yang aku berikan untuk kamu” Lelaki itu kemudian berkata;
“Saya mengikut engkau bukan untuk semua ini tetapi untuk saya melontar panah supaya aku gugur dan kemudian dimasukkan Syurga”
Lalu Rasulullah berkata kepadanya;
“Jika kamu benar pada Allah maka Allah akan membenarkan kamu”
Kemudian para sahabat pun bangun untuk berperang menentang musuh. Selepas itu, lelaki ini dibawa kepada Rasulullah saw sedang telah terkorban. Baginda bertanya;
“Adakah dia ini si dia?”
Para sahabat menjawab;
“Benar”
Baginda lantas berkata;
“Dia telah benar kepada Allah maka Allah telah pun benar padanya”
Lalu baginda pun mengkapankannya dan menyembahyangkan jenazahnya. Antara doa yang dibacakan oleh baginda kepadanya;
“Wahai Allah! Ini adalah hambaMu yang telah keluar berjuang di atas jalanMu. Dia telah terkorban sebagai syahid dan aku bersaksi ke atasnya”