Sunday, June 26, 2011

Israk dan Mikraj: Hadiah usai 50 tahun hidup penuh ujian

Membaca kisah-kisah nabi, menyentuh hati kita semua. Sepanjang hidupnya melalui pelbagai liku-liku. Sedangkan baginda merupakan kekasih Allah. Tetapi Allah me’ngorban’kan baginda dengan pelbagai kesulitan sebagai teladan kepada umat. Apatah lagi dunia ini sememangnya pentas ujian dari Tuhan buat hamba-hambanya.

Tidak cukup satu kesulitan malah berbagai-bagai bentuk yang dialuinya. Bukan sekaligus malah kesulitan ini datang bertali arus. Lihat sahaja 50 tahun pertama hidup baginda sebelum dihadiahkan Israk dan Mikraj. Sekurang-kurangnya terdapat 13 kesulitan yang bukan calang-calang telah dilaluinya. Bahkah sebelum kelahiran pun telah ada ujian apabila ayahnya telah dijemput mengadap Ilahi.

Kisah nabi memberitahu kita cara seorang kekasih Allah melalui saat-saat yang bermacam ragam. Beliau melalui detik-detik hiba ditinggalkan orang-orang tersayang. Beliau lahir tanpa melihat muka ayah dan mendengar suaranya. Beliau lahir dalam keadaan yatim.

Beliau hanya sempat bersama-sama ibu tercinta bagi beberapa tahun sahaja. Bondanya menghembuskan nafas terakhir di kala beliau masih kecil. Di kala masih memerlukan belaian manja seorang ibu. Kemudia Nabi Muhammad menumpang kasih pada si datuk malangnya tiba-tiba datuk pula meninggalkannya buat selama-lamanya. Kepada siapa pula anak yatim kecil ini ingin menumpang kasih dan manja?

Dalam usia yang sangat kecil, beliau terpaksa bermanja dengan bapa saudara yang mempunyai anak dan tanggungan yang ramai. Setelah begitu lama dalam peliharaan bapa saudara, beliau sekali lagi melalui detik pilu apabila bapa saudaranya pula meninggal dunia. Bapa saudara tempat beliau menumpang kasih setelah ketiadaan si ibu dan datuk.

Dalam hidup berumah tangga pula, beliau pernah melalui detik menyayat hati kehilangan isteri apabila Khadijah kembali mengadap Ilahi. Apatah lagi diketika baginda memerlukan sokongan padu dari si Isteri. Beliau juga melalui saat sedih seorang ayah yang menghadapi saat kematian anak-anaknya. Anak-anak lelaki beliau kesemuanya meninggal dunia sewaktu masih kecil, sebelum si ayah sempat bergurau senda dan bermesra.

Bayangkanlah;
• Beliau adalah anak yang kematian ibu dan bapanya.
• Seorang cucu yang ditinggalkan pergi oleh datuknya.
• Seorang ayah yang dijemput pulang anak-anaknya oleh Tuhan.
• Seorang suami yang kehilangan isteri tercinta.
• Anak saudara yang kehilangan bapa saudara yang dianggap seperi ’ayah kandung’ kerana menjaganya sejak kecil.

Air mata beliau mengalir setiap kali melalui saat hiba kerana itu adalah sifat manusiawinya. Beliau mengalirkan air mata pada saat menziarahi kubur ibunya. Air matanya tertumpah saat anak kecilnya tidak lagi bernyawa.

Baginda bukanlah manusia yang suka berminta-minta. Malah semenjak kecil sedaya upaya mencari rezeki dengan usahanya tangan sendiri. Terpaksa mengambil upah mengembala kambing dan berniaga.

Dalam medan dakwah beliau bukan sahaja ditentang dengan kata-kata malahan perbuatan. Baginda dihina, diejek, dicemuh dan dimaki. Baginda turut pernah diludah, dijerut leher, disekat dari berhubung, dibaling najis dan dilontar bantu. Bahkan sahabat-sahabatnya turut menerima nasih yang sama. Mereka diseksa dengan zalim. Terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah. Hinggakan ada yang menjadi buta, berparut tubuh malah lebih daripada itu ada yang gugur syahid.

Begitulah 50 tahun pertama baginda melalui kehidupan ini. Namun, baginda melaluinya dengan penuh sabar, cekal dan tidak mengeluh. Maka selayaknya dengan kesabaran yang tinggi ini beliau dihadiahkan dengan satu perjalanan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana nabi sebelumnya atau akan dilalui mana-mana manusia sesudah baginda.

Perjalanan penuh mukjizat melangkaui perjalanan darat (Israk) dan perjalanan langit (Mikraj). Hadiah ini adalah hadiah Tuhan untuk menggembirakan hatinya dan memuliakan atas segala kesabaran yang ditanggungnya selama 50 tahun sebelum ini. Maha Suci Allah.

Wallahu A’lam Bissawab

(sila rujuk buku Sahrulazmi Sidek, Israk dan Mikraj terbitan al-Baasith Resources)

Friday, June 10, 2011