Tuesday, April 29, 2008

Tamadun Insaniah dan Maddiah?

Tamadun datang silih-berganti. Sehingga hari ini telah bertukar ganti datang tamadun demi tamadun. Antara tamadun-tamadun yang awal ini adalah muncul di kawasan timur tengah seperti Mesir, Iraq dan Indus. Kebanyakan tamadun-tamadun yang muncul ini hanya menyumbangkan aspek material sahaja. Kajian-kajian sarjana mengenai tamadun-tamadun ini juga lebih menampakkan kesan peninggalan seperti monunem, mata wang dan penempatan berbanding aspek insaniahnya. Ini yang membezakan antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain yang telah menjadikan elemen agama dan insaniah sebagai asas kepada pembinaan tamadun mereka.

Terdapat beberapa ciri-ciri atau kritiria untuk menentukan sesuatu ketamadunan. Antaranya:

i. Petempatan kekal

ii. Kehidupan berorganisasi

iii. Sistem pemerintahan

iv. Pengkhususan pekerjaan

v. Bahasa dan sistem tulisan

vi. Agama dan kepercayaan.

Namun persoalannya adakah ciri-ciri ini disepakati untuk sebuah tamadun. Ciri-ciri yang manakah merupakan prioriti utama dan yang lebih dominant? Selain itu adakah dengan hanya memiliki kepercayaan dan agama dianggap bertamadun walaupun ia berunsul tahyul, khurafat dan falsafah yang membingungkan akal? Walauapa pun, Islam adalah satu-satunya tamadun yang amat menitikberatkan aspek agama dan insaniah dalam menilai dan membangunkan tamadunnya.
Maka dengan itu, pendapat yang menyebut bahawa kegemilangan Islam ialah pada kurun 4H iaitu pada zaman cAbbasih adalah pandangan barat dan golongan kebendaan yang melihat sudut material di mana wujudnya ketika itu nyanyian, muzik, syair-syair cinta di samping pembinaan bangunan-bangunan, istana-istana dan muncul pendidikan seperti ilmu hadis, fekah, geografi dan berlaku penterjemahan.
Jika dikira tamadun Islam ialah peningkatan dan kemajuan yang dicapai oleh umat Islam dalam semua aspek kerohanian dan kebendaan maka zaman Mekah, Rasul SAW telah membangunkan aspek kerohanian ini. Kegemilangan tamadun Islam bukan pada kebendaan tetapi kerohanian. Penekanan unsur kerohanian inilah yang membezakan dengan tamadun-tamadun lain. Bahkan ia menjadi paksi utama dan punca pasang surut atau turun naik sesuatu tamadun.
Barangkali jika kegemilangan kebendaan dan pembangunan material yang menjadi kayu ukur kegemilangan tamadun Islam maka zaman Rasulullah SAW khasnya zaman Mekah, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dan mungkin awal Banu Umayyah tidak dianggap zaman tamadun Islam kerana era ini belum memperlihatkan kecermerlangan kebendaan. Sebaliknya ia muncul pada era cAbbasiah khasnya pada zaman Harun al-Rasyid iaitu 170-193H iaitu lewat 150 tahun selepas kewafatan Nabi SAW sedangkan kurun pertama iaitu 100 tahun terawal diiktiraf sebagai sebaik-baik kurun.

Hebatnya Engkau Ya Rasulullah SAW

Rasulullah SAW adalah model yang paling ulung dan lengkap dalam sejarah peradaban manusia. Tidak mustahillah jika bukan umat Islam sahaja yang wajib mengiktiraf dan mengimani perkara ini tetapi ketokohannya juga telah mendapat pengiktirafan oleh musuh-musuhnya dan dari kalangan sarjana-sarjana barat.Sebagai buktinya ialah pengarang buku ‘The 100, A Ranking Of The Most Influential Persons In History’ telah memilih Rasulullah SAW untuk diletakkan di kedudukan teratas dalam senarai 100 tokoh yang dipilihnya.
Rasulullah SAW bukanlah terkenal kerana kesan teknologi yang ditinggalkannya seperti James Watt dengan enjin stimnya, Thomas Edison dengan mentol elektriknya, Alexander Grahem Bell dengan telefonnya, Galileo Galilei dengan teleskopnya, Guglielmo Marconi dengan alat komunikasi tanpa wayarnya tetapi kerana aspek insaniahnya yang ditinggalkan malalui kitab al-Quran dan hadis-hadisnya.
Tidak hairanlah apa yang dibawa oleh baginda dan telah diteruskan oleh khalifah-khalifah selepasnya lebih cepat tersebar daripada apa yang dibawa oleh Rom dan lebih bertahan lama daripada apa yang telah dilakukan oleh Mangolia.

Thursday, April 24, 2008

Genghiz Khan dan Mongol

-Genghis Khan (1162m-1227m/...-624H)

Apabila kita mengkaji sejarah Mongol sudah pasti kita tidak dapat lari daripada nama Genghis Khan. Seolah-olah nama Mongol amat sinonim dengan Genghis Khan. Tidak dinafikan bahawa ada nama-nama besar lain yang banyak disebut dalam sejarah Mongol seperti Hulagu, Kublai Khan dan Tamerlane. Kehebatan Genghis Khan amat terserlah sebagai tokoh bangsa dan sejarah Mongol sehingga Michael H. Hart dalam bukunya The Hundred meletakkan nama Genghis Khan dalam susunan ke-18 daripada 100 tokoh yang dipilihnya.
Nama asal Genghis Khan ialah Temujin. Bapanya dibunuh ketika beliau berumur 9 tahun. Sejak usia muda beliau telah ditawan dan kolar kayu dipasang dilehernya bagi mengelakkannya melarikan diri. Dari situasi inilah Temujin bangkit menjadi penguasa yang terbilang. Selepas berjaya melarikan diri beliau telah terlibat dengan siri peperangan antara suku kaum Mongolia. Sebelum Temujin suku-suku kaum ini saling berperang sesama sendiri.
Dengan usaha Temujin ini suku kaum Mongolia ini berjaya disatukan. Akhirnya pada tahun 1206m persidangan ketua-ketua suku kaum Mongol dan para khan (chiefs) telah melantiknya sebagai Khan Agung dan digelar Genghis Khan iaitu Emperor of All Men.
Selepas perlantikan ini Genghis Khan mula bergerak ke arah negara jiran dengan jentera ketenteraannya. Suku kaum Mongolia memang telah terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir dan tentera yang garang. Beliau telah berjaya memerangi negeri di barat laut China, empayar Chin di utara China dan empayar Khawarizm Shah. Genghis Khan telah menyusun bala tenteranya dengan disiplin dan kepantasan. Dikatakan bala tenteranya mampu berjalan sejauh 440 km dalam masa 3 hari sahaja. Setelah melakukan serangan ke atas Rusia, Afghanistan dan utara India beliau telah kembali ke Mongolia pada tahun 1225m dan meninggal dunia di sana pada tahun 1227m.
Selepas merasa letih dan merasai hampir saat kematiannya beliau telah membahagikan tanah jajahannya kepada empat orang anaknya daripada isteri pertama iaitu Gochi, Chagotay, Ogaday dan Toluy. Menjadi adat bangsa Mongol harta pesaka hanya terbatas kepada anak-anak isteri pertama sahaja

Genghis Khan telah membahagikan anak-anak lelakinya kawasan masing-masing
1: Gochi : Negara Chipcak, Khawarizm, Bulghar dan Rusia.
2: Chagotay :menguasai Turkistan dan negara Ma Wara' an-Nahar.
3: Toluy: memerintah Khurasan dan Parsi
4: Ogaday: memerintah Mongol dan China serta dilantik menjadi Khan Agung.
Dari segi sejarah terdapat nama-nama yang memiliki kegilaan untuk keluar menguasai dunia dan telah berjaya memperoleh kejayaan yang memberangsangkan dengan menguasai wilayah seperti Alexander The Great, Genghis Khan, Napoleon Bonaparte dan Adof Hitler yang tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang. Namun Genghis Khan lebih hebat daripada mereka bertiga kerana beliau mengusai wilayah yang lebih besar daripada mereka dan pengaruhnya bertahan lebih lama. Napoleon dan Hitler dapat dikalahkan ketika masih hidup dan penaklukan mereka juga agak singkat. Adapun Alexander tidak dapat dikalahkan tetapi beliau tidak menamakan penggantinya dan empayarnya runtuh selepas kematiannya. Tetapi Genghis Khan berjaya menyusun penaklukannya dan anak cucunya mampu meneruskan penguasaan bahkan Mongol mampu mempertahan kuasanya beberapa abad selepas kematiannya.
Seperkara lagi, jika Christopher Columbus, Simon Boliver dan Thomas Edison tidak wujud mungkin ada orang lain yang akan menemui benua Amerika, membebaskan Amerika Selatan atau mencipta cahaya elektrik. Namun tanpa Genghis Khan penaklukan Mongol abad ke 13m mungkin tidak berlaku dan suku kaum Mongol tidak pernah bersatu sebelum abad 13 m serta mereka tidak pernah bersatu semula.
Bahkan dapat juga dikatakan bahawa Genghis Khanlah sebagai tokoh utama dalam sejarah serangan Mongol. Beliau telah melaksanakan satu kombinasi taktik ketenteraan dan perang urat saraf untuk mencantas kemungkinan adanya saingan terhadap kekuasaan Mongol.

Musuh-musuh Islam?

Apabila kita membaca sejarah Islam kita akan menemui pelbagai musuh yang benci pada umat Islam. Apabila kita menjenguh jendela sirah, kita membaca bahawa musuh baginda ialah Musyrikin Mekah dan Yahudi sama ada Banu Quraizah, Banu Nadhir atau Banu Mustalaq. Kemudian apabila kita melihat zaman Khulafa' al-Rasyidin, mereka memerangi Rom Byzantin dan Parsi Banu Sasan. Parsi tumbang sama sekali pada zaman Khalifah Uthman b. Affan. Apabila tiba giliran Kerajaan Banu Umayyah mereka menghadapi Rom Bayzantine, Barbar di Afrika dan Visigoth (Goth Barat) di Andalus serta tentera Franc di selatan Perancis.
Pada zaman Kerajaan Abbasiyah pula timbul musuh-musuh seperti Crushades (tentera salib), Rom Byzantine dan Mongol yang akhirnya menumbangkan kerajaan Islam yang berpusat di Baghdad ini tahun 656H/1258M. Kerajaan Mamluk yang berpengkalan di Kaherah yang datang menggantikan Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad berjaya mengalahkan Mongol di medan perang Ain Jalut tahun 658H dan berjaya menyapu bersih bumi Islam dari tentera Salib yang sebelum ini pernah menawan 4 kota besar umat Islam iaitu Antakiah (Antioch), Akka (Acre), Toroblus dan Baitulmaqdis. Pada zaman Mamluk ini juga, Sultan Banu Uthman pimpinan Muhammad al-Fatih telah berjaya membuka kota Constantinople dan menjatuhkan kerajaan Rom Timur atau Byzantine yang bermazhab Ortodoks pada tahun 857H selepas lebih 800 tahun Rasulullah saw memberi khabar gembira tentang pembukaannya. Gereja mazhab ortodoks ini kemudian berpindah ke Rusia.
Kerajaan Uthmaniyyah yang memindahkan khilafah Islam dari Kaherah ke Istanbul pula menghadapi musuh-musuh seperti Eropah dan Yahudi al-Daunamah.
Anda yang ingin mentelaah sejarah, fokuskan musuh-musuh yang berbeza setiap zaman ini agar mudah untuk menghadam bacaan anda. Tak susah baca sejarah tetapi yang susahnya bila tak membacanya...

Namakan Anak Kita Muawiyah...

Anda memiliki kawan, saudara mara bernama Muawiyah? Pernah mendengar orang Melayu bernama Muawiyah? Saya belum pernah lagi. Mengapa ya orang Melayu tidak meletakkan nama Muawiyah sebagai nama anak-anak mereka?

Barangkali bukan kerana benci tetapi kerana tidak kenal kepada tokoh hebat ini.

Beliau adalah penulis wahyu Rasulullah saw dan mula menjadi gabenor Syam menggantikan saudara lelakinya Yazid b. Abu Sufyan yang merupakan gabenor pertama dilantik dalam Islam pada zaman Abu Bakr yang meninggal dunia pada tahun Taun cAmwas, 17H. Dalam riwayatkan lain menyebut, bahawa beliau dilantik pada tahun 19H. Pada mulanya, beliau adalah gabenor di Dimashq, Bacalbak dan Balqa’ sementara cAmru b. al-cAs di Palestin dan Jordan. Adapun Hims di bawah Sacd b. cAmir b. Juzaym. Namun selepas itu, Syam kesemuanya diletakkan di bawah wilayah Mucawiyyah. Pendapat yang kuat mengatakan bahawa Khalifah cUthman yang telah menyerahkan seluruh Syam kepada Mucawiyyah sebagai gabenornya.
Kenalilah tokoh-tokoh Islam agar kita tidak meraba-meraba mencari idola sebenar untuk diri dan anak-anak kita...

Friday, April 18, 2008

Ibrah tu apa?

Syukran jazilan kepada yang telah atau pernah mengunjungi serta memperkenalkan kepada kawan-kawan sahabat yang lain akan blog ibrahsejarah dan yang telah memberi pandangan-pandangan kepada saya.
Susah sangat nama blog anta? Ini antara berita yang sampai menerjah ke telinga saya. Begitu juga apa itu Ibrah? Maaflah...sepatutnya ana tulis kat anta semua definisi ini awal-awal lagi. Yang sudah tahu tak apalah tetapi yang akan tahu, Ibrah itu adalah bermaksud pengajaran. Blog ini cuba mengajak kita semua meneroka pengajaran daripada sejarah Islam yang panjang ini.
Memang kadang-kadang apabila kita hendak terjun ke dunia sejarah Islam akan menemui banyak istilah yang boleh bikin kita pening-pening lalat. Anda pernah mendengar tentang Baybars, Qutuz atau Janbalat? Ini contoh nama-nama Sultan kerajaan al-Mamalik. Pernah terdengar atau terbaca nama Guyuk atau Ogaday? Tak pernah. Ini adalah nama-nama Khan Agung Mongol selepas Genghiz Khan.
Moral of the story. Set kan dalam minda kita istilah atau nama yang susah itu boleh diingat. Bahkan sebenarnya semakin pelik, maka semakin perlu dan mudah diingat. Selamat mencuba.

6 Orang Arab Paling Cerdik?

Setakat pembacaan anta, siapakah tokoh Arab yang paling cerdik apabila kita membaca sejarah Islam. Ayuh tekalah?
Ada 6 orang Arab yang terkenal dengan cerdik dan pintarnya dalam sejarah Islam. Siapa dia?
1. Amru b. al-As
2. al-Mughirah b. Syu'bah al-Thaqafi
3. Ziyad b. Abih
4. Qays b. Sa'd b. Ubadah
5. Abdullah b. Budayl b. Warqa'
6. Muawiyah b. Abu Sufyan

4 Orang Anak Menjadi Khalifah!

Sebelum ini saya menyangka bahawa Khalifah Harun al-Rasyid dari kerajaan Abbasiyyah (132-656 Hijrah) yang mempunyai anak yang paling ramai menjadi khalifah selepasnya apabila 3 putera beliau iaitu Khalifah al-Amin, Khalifah al-Ma'mun dan Khalifah al-Mu'tasim (mengikut susunan) menjadi khalifah menggantikan sang ayah. Bahkan 4 beranak ini hidup pada zaman kegemilangan kerajaan Islam. Ini kerana 10 khalifah Abbasiyyah terawal bermula pada zaman al-Saffah sehinggalah al-Mutawakkil merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam. Harun al-Rasyid merupakan khalifah kelima kerajaan Abbasiyah.
Namun selepas mengkaji sejarah kerajaan Umayyah, saya mendapati terdapat seorang khalifah yang mempunyai 4 orang putera menjadi khalifah sesudahnya. Siapakah beliau?
Tentulah khalifah Abdul Malik b. Marwan yang berjaya menyusun semula kerajaan Umayyah selepas menghadapi konflik dalaman yang agak parah. 4 orang puteranya iaitu al-Walid, Sulaiman, Yazid dan Hisham merupakan 4 orang daripada 14 khalifah kerajaan Umayyah. Tidak hairanlah putera-putera ini dapat memberi sumbangan yang cukup bermakna lantaran hasil usaha sang ayah yang telah mengembalikan semula kewibaan Banu Umayyah apabila berjaya membenteras gerakan Mus'ab b. al-Zubair, Abdullah b. al-Zubayr dan Ibn al-As'asy serta mengeluarkan mata wang pertama Islam.
Ayuh! Semua para ayah, marilah kita berusaha mendidik anak-anak kita menjadi wira-wira yang dapat memberi sumbangan kepada agama suci ini. Amin.
Buat anak-anak ayah Ahmad Iyyash, Ahmad Aqqal, Ahmad Qassam, Ummu Hani dan Ummu Unays marilah kita memohon menjadi keluarga yang berbakti untuk agama.

Sunday, April 6, 2008

Meriahnya Pesta Buku PWTC 2008

al-Kisahnya, pada sebelah petang hari Jumaat 4 April, saya mendapat panggilan daripada bekas anak murid saya yang kini belajar di Darul Qur'an dan memang kaki buku. "Ustaz! buku ustaz dah adalah di book fair" Saya pun terkejut dan ralat juga sebab saya pun tak tengok buku itu lagi.
Besoknya, pada hari Sabtu maka saya bergegas ke PWTC. Apa lagi destinasi saya yang utama mestilah ke gerai KARNADYA Solutian yang menerbitkan buku saya.
Lebih kurang jam 3.30 petang saya pun sampai di tempat yang saya tuju. Di sana telah ada Aina Emir, novelis tersohor dan Mimi Afinie serta beberapa orang lagi penulis Karnadya ...staf-staf Karnadya yang memang cukup sibuk melayan para pengunjung setia gerai tersebut. Sempatlah saya membelek-belek buku yang saya tunggu-tunggu iaitu "Sakit Pun O.K" yang terletak di satu sudut.
Sedang membelek buku tersebut, tiba-tiba anda nama yang memanggil saya "SAHRULAZMI SIDEK"...Punyalah teruja apabila datang beberapa pembeli yang datang minta tanda tangan saya. Yang lagi lucu apabila ada yang bertanya " Macam mana nak ubat sakit itu dan sakit ini...." Akhirnya, saya pun menjawab "Sebenarnya, saya bukan doktor tetapi sekadar penulis motivasi untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada tentang orang yang ditimpa sakit.
Hari ini Ahad, 6hb saya membawa anak saya ke sebuah klinik untuk dikhitankan. Bayi berusia 48 hari. Sempatlah saya mempromosi buku tersebut kepada doktor yang merawat anak saya di Pusat Bersalin Barakah, Kelang. Seronoknya apabila dia membeli semua buku yang saya bawa. Tq kerana sokongan moral.
Apa-apa pun terima kasih kepada yang membeli karya kedua Sahrulazmi Sidek "Sakit Pun O'K"
Kalau best dan ada manfaat, sebar-sebarkanlah tetapi kalau ada kekurangan memang dari kelemahan saya dan tolonglah beritahu saya ya.
Semoga kita dapat menyumbang hasil yang bagus dan yang terbagus di masa akan datang.
Sekali lagi terima kasih buat semua...Jumpa sekali lagi di Gerai Karnadya jam 11-1 tgh 12 April bersamaan Hari Sabtu 5 Rabiul Akhir 1429H.
Ilal liqa'

Thursday, April 3, 2008

Duit Kecil Buku Banyak

Saya sokong jika anda memang minat dan suka mengumpul buku. Tetapi membeli buku juga kena ada seni dan strateginya. Mesti ada senarai buku yang ingin dibeli di samping sedikit bajet kot-kot terlihat buku yang memang menarik minat dan kita rasa memang cukup penting bahkan mungkin payah hendak dicari di tempat lain selepas ini.
Kenapa perlu plan nak membeli. Belek, minat dan bayar ajelah. Memanglah sepatutnya begitu tetapi ada juga yang tak jadi yang sepatutnya. Ialah kerana duit kita sikit tetapi buku yang kita geram hendak beli banyak. Saya cuma cerita pengalaman saya dan kawan-kawan di Dandis dan di pesta-pesta buku yang sempat kami kunjungi di Jordan dulu. Kalau memang dah ulat buku, memang dia akan cuba beli sungguh-sungguh tapi ongkosnya...
Jadi, dalam ruangan ini saya hendak berkongsi dengan para peminat sejarah Islam untuk mencari buku-buku yang saya rasa patut jadi koleksi buku sejarah kita.
1. Atlas Sejarah Islam
Saya tidak nafi bahawa buku berbentuk Atlas memang cukup mahal sebab biasanya ia berwarna-warni. Antara penulis atlas terkenal ialah Syauqi Abu Khalil dan Ahmad Adil Kamal. Kedua-duanya pakar Atlas sejarah Islam. Kenapa perlu Atlas? Kerana ia bukan sahaja menulis tentang sejarah tetapi berserta paparan petanya. Tanpa peta, manalah kita tahu di mana lokasi Taif, Mu'tah, Parsi, Khurasan, Pulau Cyprus, al-Qayrawan, Barqah, Tanjah, Acre, Armenia, al-Madaian etc. Sekurang-kurang carilah Atlas al-Tarikh al-Arabi al-Islami: Syauqi Abu Khalil
2. Buku Sejarah Islam
Kita sukar mencari sebuah buku tipis tetapi lengkap menceritakan sejarah Islam dari awal sehingga akhirnya. Anda kurang sanggup membaca Tarikh al-Tabari yang walaupun berjilid tetapi tidaklah membahaskan seluruh sejarah Islam. Namun anda carilah buku buku al-Tarikh al-Islami (al-Wajiz):Dr Muhammad Suhail Taqqus yang telah menulis sejah zaman Jahiliyyah sehingga zaman Kerajaan Uthmaniyyah setebal 428 muka surat sahaja.
3. Buku Kamus Geografi
Saya tidak menafikan, antara buku geografi terkenal tentulah Mu'jam al-Buldan nukilan Yaqut al-Hamawi. Namun berapa ramai antara kita yang mampu membeli buku setebal 6 jilid besar dengan harga Malaysia ini. Maka jalan penyelesaiannya, carilah buku Mu'jam Geografi yang bersaiz lebih kecil iaitu buku karangan al-Himyari berjudul al-Rawd al-Mi'tar Fi Khabar al-'Aqtar. Buku yang disusun mengikut abjad dan setebal sejilid ini mampu memenuhi keperluan kita apabila merujuk mana-mana tempat semasa kita membaca buku sejarah Islam.
Moral of the story "Duit Kita Sikit Tetapi Buku Yang Ada Cukup Banyak"

KLIBF Mengingatku Kepada Dandis

Bermula hari ini, Jumaat 4hb April maka bermulalah Pesta Buku (KLIBF) di PWTC yang akan berterusan sehingga hari Ahad 13hb. Tentu kita semua sudah ada perancangan untuk ke sana. Sama ada berjalan bersama-sama keluarga atau seorang diri untuk membelek buku-buku yang ada.
Bila bercadang hendak membeli buku ini, saya teringat ketika saya belajar di University al-AlBayt, Mafraq, Jordan dahulu. Setiap kali dapat duit biasiswa yang perlu diambil di Kota Amman, maka saya dan kawan-kawan mesti peruntukan sedikit wang tersebut untuk memborong buku sebagai koleksi. Al-kisahnya, memang saya dah didik diri saya untuk suka membeli buku (dan membacanya sekali). Maka antara kedai-kedai buku yang biasa menjadi sasaran duit kami ialah Pustaka Dandis di Amman. Geng-geng Jordan mesti ingat punyalah kedai buku tersohor di Jordan ini walaupun sebenarnya kedai buku ini agak tersorok juga dari segi lokasinya. Bila saya dan kawan-kawan siap memborong, maka datanglah pula masalah baru. Macam mana nak usung buku-buku yang biasa kami beli berkotak-kotak ini untuk bawa balik ke Mafraq. Amman-Mafraq memang cukup jauh. Jangan hairanlah kalau ada pelajar Malaysia yang belajar di University Urduniyyah, Amman tetapi tak pernah menjejak kaki ke Mafraq. Sebab memang jauh. Biasanya kami terpaksalah menyewa sejenis kenderaan yang dianggap paling murah sewanya iaitu pickup. Nak usung naik bas atau cooster, alamat patah pinggang lah jawabnya. Moral of the story "Tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat menuntut ilmu..."