Saturday, November 28, 2009

Boleh tahan juga lembu ini...

Pada hari pertama Aidiladha, saya sempat juga menyembelih lembu di surau al-Jaafar di kampung saya. Namun, kerana ia lembu ternak maka agak mudahlah juga untuk menyembelihnya.

Semalam, pada hari raya kedua, saya turut menyembelih lembu korban di rumah saya sendiri. Kami adik beradik bersama emak dan abah berpakat untuk sembelih korban di rumah. Tetapi kali ini, jenis lembu yang saya sembelih adalah lembu yang dilepas (bukan ternak). Jadi, ia memang lebih mencabar ketika menyembelihnya.

Kawan-kawan tengoklah sendiri tanduk dan muka lembu ini. Raut wajahnya sahaja sudah mencerminkan kegarangan lembu tersebut.

Memang benarlah tok guru sembelihan saya pernah bagitau, lembu ni banyak jenisnya. Setiap jenis tersebut ada teknik-teknik menyembelihnya. Oleh itu bagi yang berminat untuk menjadi penyembelih, perlulah belajar ilmu menyembelih, berguru dengan yang pakar dan jangan malu serta malas bertanya.

Dari segi cara memegang pisau sembelihan, cara memulakan sembelihan sama ada menekan pisau dari atas ke bawah dahulu atau menarik pisau dari bawah ke atas dahulu, bagaimana memastikan darah binatang tidak terpancut ke baju penyembelih. Sebab itu kita lihat ramai yang menggunakan teknik 'daun pisang' bagi menghalang pancutan darah.

Di mana perlu menyembelih adakah di pangkal, di tengah atau di hujung leher, bagaimana ingin mengetahui tahap ketajaman pisau sembelihan dan teknik-teknik yang lain.

Pendek kata hendak menyembelih pun mesti berguru. Benarlah, ilmu ini terlalu luas dan beruntunglah bagi orang yang suka belajar.

Tapi dia selalu ingatkan... yang paling penting, pisau mesti tajam.

Korban Kami...





al-hamdulillah semalam, hari Sabtu 28 November bersamaan 12 Zulhijjah saya dan keluarga berkesempatan untuk melaksanakan korban di rumah kami.

Tentunya, ramai saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai yang turut sama menjayakan program korban ini. Semoga ia menjadi program keluarga kami setiap tahun.

Yang penting, saya perlu menjadi penggerak kepada program tersebut. al-Kisahnya sudah ada ahli kelurga yang hendak turut serta untuk program tahun depan.

Kami cadang, tahun depan kita targert akan ada 2 ekor pula.

Saya sendiri yang menyembelih binatang korban tersebut. Namun, kali ini lembu yang saya sembelih agak boleh tahan juga.

Maklumlah ia bukan lembu ternak. Tetapi lembu yang dilepas makan rumput secara bebas. Jadi, agak liar juga. Lembu yang saya beli sendiri, yang dipelihara oleh anak murid saya sendiri di Kampung Indah, Morib.

Walaupun pada mulanya nampak agak kecil tetapi kerana ia lembu yang dilepas maka dagingnya agak mantap. Akhirnya setelah ditimbang dapat juga kira 85 kg (daging sahaja) tidak termasuk tulang belulangnya.

Terima kasih pada yang sudi menghulur bantuan. Semoga ibadat korban kami diterima Allah.

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Korban


Kita kini berada di penghujung bulan Islam. Iaitu bulan yang ke-12. Ini bermakna kita telah meraih pelbagai nikmat anugerah Tuhan selama 11 bulan sepanjang tahun ini.

Tahniah buat semua saudara yang berkesempatan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Semoga beroleh haji yang mabrur.

Namun, bagi kita yang tiada kesempatan untuk menunaikan haji kita turut berusaha mencari redha Tuhan. Iaitu dengan kita menunaikan pusat sunat hari Arafah (9 Zulhijjah) dan dengan menyembelih korban. Mudah-mudahan kita juga beroleh redaNya.

Apakah alasan yang layak kita ajukan pada Tuhan jika kita tidak berkorban? Cuma sekadar 3 ratus ringgit sahaja dibanding pelbagai nikmat yang kita perolehi. Yang jika ingin kita hitung maka tidak mungkin tidak terhitung banyaknya.

Mudah-mudahan juga, kesanggupan kita melakukan korban kali ini mendorong kita untuk melakukan korban demi Allah, pada perkara yang lebih besar lagi.

Marilah juga kita menginsafi, korban yang kita lakukan ini hanyalah kecil jika kita bandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak kecilnya (Ismail) di tanah gersang Mekah yang tiada penghuni di kala itu.

Malah, sanggupnya Ibrahim untuk menyembelih puteranya itu, yang sekian lama ditinggalkannya demi patuh pada perintah Tuhan.

Allahu Akbar (9X)... wa Lillahilhamd.

Maka wajarlah kita mendoakan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam setiap solat kerana pengorbanan besar tersebut.

Marilah berdoa agar keluarga kita juga diberkati Allah seperti keluarga Nabi Ibrahim, atas sedikit korban yang kita kerjakan ini.

Amin...Allah Maha Besar

SELAMAT HARI RAYA KORBAN dari saya sekelurga.

Tuesday, November 24, 2009

I Love Ramadhan dan Perpustakaan Negara


al-Hamdulillah, bulan November ini membawa rezeki yang banyak kepada saya. Satu hari (lupa harinya) saya mendapat panggilan telefon dan PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) yang buku saya ILR berjaya mendapat Tawaran Pembekalan Buku Secara Pembelian Terus Daripada Penulis.

PNM mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi memperoleh buku secara terus daripada penulis. PNM telah bersetuju membeli 1089 naskhah secara terus kepada saya.

Atas dasar ini, saya telah 2 kali turun ke PNM di Bangunan TH SElborn Jalan Tun Razak untuk menguruskan perkara tersebut seperti menandatangani Borang Setuju Terima Tawaran Pembekalan Buku Secara Pembeliann Terus Daripada Penulis.

Kali kedua, saya ke sana untuk menyerahkan invois dan menandatangani LO.

Tahniah juga buat teman2 di Karnadya yang turut mendapat tawaran tersebut.

Sunday, November 22, 2009

Mengajar dan Mendorong

Berdentam dentum si guru itu menerangkan perihal korban. Dari bab hukum, dalil, hikmah, fadhilat semua dikupasnya. Tidak cukup dengan itu, pengagihan daging korban pun dihurainya.

Memang kita telah diajar akan banyak hukum Tuhan. Kewajipan solat, bayar zakat, tunai haji, tutup auarat dan yang akan tiba ini perihal tuntutan korban.

Dalam kuliah-kuliah yang saya cuba sampaikan, saya terasa ingin lakukan sedikit perubahan. Dalam hati kecil saya beritahu, mereka semua sudah tahu bahawa korban ini amat dituntut dan tersangat bagus. Saban tahun ada sahaja para ustaz yang huraikan. Namun, tidak ramai juga yang sanggup berkorban.

Oleh sebab itu, saya tidak mahu menekankan hukum hakam korban tetapi saya ingin terus mendorong dan memotovasikan orang Islam untuk berkorban.

Apa alasan-alasan yang menghalang kita daripada cuba berbuat korban? Hancurkan halangan tersebut. Halangan nafsu, halangan masa, duit dan apa lagi alasan yang lapuk, yang telah kita gunapakai setiap kali tiba hari raya korban. Nyahkan semuanya.

Ayuh kita dorong diri kita, ahli keluarga kita, rakan-rakan kita semua. Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh untuk kita tunaikan korban ini.

Para penceramah dan ustaz, doronglah mereka untuk berkorban bukan sekadar menyampaikan mesej sahaja.

Bimbang mereka tahu dan arif akan korban tetapi tidak terdorong untuk melaksanakannya.

Apalah indahnya jika kita tahu benda baik, tetapi kita tidak dapat melaksanakannnya.

Berkorban...

Hidup ini adalah pilihan kita, dengan izin Allah. Kita yang pilih beli kereta A, bukan kereta B. Kita yang pilih untuk membeli atau tidak. Jika kita hendak, tentu kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapatkannya tetapi jika kita memang tidak mahu maka kita akan mencari perbagai alasan.

Tentunya, kita yang pilih untuk menunaikan korban ataupun tidak. Yang berhajat, kita pun ada perkara yang mungkin ingin kita idamkan tetapi kerana kita sudah pasang niat hendak tunaikan korban maka kita pun 'korbankan' apa yang kita idamkam itu demi menyahut tawaran Tuhan untuk menyembelih korban.

Bagi yang belum mahu berkorban, ayuh yakinlah dengan janji Tuhan. Ini sedikit ujian. Kalau ujian korban yang sedikit (cuma kira-kira RM350) pun kita tidak sanggup, apalah ujian lain yang lebih besar kita sanggup laksanakan. Saidina Abu Bakar menyerahkan semua hartanya, Umar al-Khattab memberikan separuh hartanya untuk Allah. Kita cuma ingin serahkan sedikit sahaja.

Bayangkan kita telah menikmati pelbagai nikmat Allah selama 11 bulan untuk tahun ini sahaja. Belum dikira tahun-tahun yang lalu. Belum kita lihat nikmat yang Allah beri pada ahli keluarga kita yang lain. JIka kita fikirkan, tidak layak kita tidak berkorban tahun ini.

Yang lebih kita fikirkah, jika kita tidak tunai korban tahun ini adalah kita yakin ada kesempatan tahun hadapan. Maka janganlah kita berangan yang tahun depan, yang tidak pasti sedangkan kita ada peluang yang dekat ini.

Adapun kita yang telah menanam azam untuk berkorban sebahagian daging, ingatlah. Ini sekadar korban yang sangat kecil. Cuba kita bayangkan bagaimana korban Nabi Ibrahim.

Hendak dibakar dalam api yang marak, terpaksa meninggalkan tanah airnya di Babil, lebih 80 tahun tidak dikurniakan zuriat, terpaksa meninggalkan isteri dan anak kecilnya di tempat yang tiada manusia dan diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri.

Marilah kita jadikan peluang korban ini untuk lebih mendekatkan diri kita pada Allah, semoga korban kita nanti diterimaNya.

Wednesday, November 18, 2009

Menambah 'stress' orang lain?

Salam persaudaraan dari saya.

Bangsa kita sudah maju. Telah lama kita memeluk Islam. Rasanya terlalu nikmat kita dilahirkan dalam bangsa ini.

Namun kita jarang sekali bermuhasabah atas semua ini. Jika tajuk yang cuba dibahaskan ini ada kebenaran, ayuh kita bermuhasabah.

Namun saya lebih suka tidak mengaitkan fenomena ini pada bangsa kita semata-mata tapi pada semua orang secara umum.

Rasulullah s.a.w amat suka memudahkan orang lain, menyenangkan hati dan perasaan orang lain, suka membantu orang lain. Rekod hadis yang saya terbaca menyatakan pembantu-pembantu Rasulullah tidak pernah memendam rasa di atas perbuatan atau ucapan Rasulullah saw.

Sedangkan baginda berjawatan tinggi, orang nombor satu Madinah. Seorang nabi yang maksum bahkan penghulu sekalian rasul.

Adapun kita, hanyalah manusia biasa yang sekadar mungkin menjawat jawatan dari secebis jawatan dunia. Jawatan kita itu pula adalah jawatan yang ada tempoh, ada tempoh bersara. Ertinya selepas bersara, kita tiada lagi memegang jawatan itu.

Namun, di saat kita memegang jawatan itu, mengapa kita menjadikannya platform menambah stress orang lain khasnya orang-orang yang di bawah seliaan kita.

Marilah kita menjadi pembimbing, pendorong orang lain kerana inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah ketika baginda menjadi pemimpin. Membina hubungan yang baik dengan semua orang.

Fikirlah... Jawatan hanya pakaian sementara, yang akan ditanggalkan dari tubuh kita apabila tiba masanya.

Nenek Rasulullah saw

Assalamualaikum semua. Saya berdoa pada semua yang menziarahi blog saya dalam keadaan sihat selalu.

Ternyata topik ‘nenek’ Rasulullah s.a.w telah menarik minat ramai sahabat kita berkongsi maklumat tersebut.

Al-Hamdulillah ramai yang memiliki maklumat yang baik berkait dengan sejarah keluarga baginda s.a.w.

Tentunya Rasulullah memiliki dua nenek. Sebelah ayah dan ibu. Nenek sebelah ayah iaitu isteri kepada datuknya Abdul Mutallib ialah Fatimah bin Amru.

Manakala sebelah ibunya iaitu isteri datuknya Wahab bin Abdu Manaf ialah Barrah binti Abdul Uzza.

Baginda merupakan anak tunggal kepada ibu dan ayahnya dan tiada saudara kandung tetapi mempunyai 2 ibu susuan dan ramai saudara susuan.

Ibu susuannya adalah Halimah al-Sa’diyyah dan Thuwaybah al-Aslamiyyah.

Saudara susuannya bersama Thuwaybah ialah bapa saudaranya Hamzah bin Abdul Mutallib dan Abu Salamah.

Adapun bersama Halimah, saudara susuannya ialah sepupunya Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Mutallib serta 2 orang anak Halimah iaitu Anisah dan Huzafah.

Monday, November 9, 2009

Anda Tahu 'nenek' Rasulullah saw.

Tiba-tiba seorang sahabat lama memulakan bicara dengan malu-malu kucing "Assalamualaikum, ustaz sihat? Saya hendak bertanya ustazlah?"

Saya pun menjawab "al-Hamdulillah, tanyalah. Kalau saya boleh jawab, saya akan cuba jawab tetapi jika saya tidak tahu, saya mohon tangguh"

"Begini... anak saya berumur 5 tahun di tadika PASTI di.... Dia tanya pada saya, siapa nama nenek Rasulullah saw. Muallimah cuma bagitau nama datuk nabi, Abdul Mutallib"

Hari Sabtu lepas, 8 November saya pergi gotong royong rumah jiran yang mengadakan kenduri kahwin.

Sambil memproses ayam saya pun melontarkan soalan yang sama kepada beberapa teman yang berhampiran saya. Saya cuba memulakan bersembang topik 'ilmiah' daripada cerita-cerita yang tidak tentu hujung pangkal, kutuk orang sana sini.

"Saudara, kita tahu nama datuk nabi, Abdul Mutallib tetapi ada sesiapa yang tahu atau tidak nama nenek nabi?"

Masing-masing tercengang, seolah-olah dilempar soalan maut. Memang maut pun sebab tidak ada yang berjaya menjawab.

"A, saya bagi satu minggu... B, saya bagi 2 minggu, trylah cari jawapannya" Saya cuba meredakan gelodak jiwa saudara-saudara saya.

Tuan-tuan pula bagaimana?

Siapa nama nenek nabi saw?

Jangan ke mana-mana, saya akan kongsi jawapannya pada minggu hadapan di tempat yang sama (blog ini) yang mungkin diwaktu yang tidak sama.

Saya juga akan beri bonus lain, nama sepupu-sepupu Rasulullah dan makcik-makciknya.

Insya Allah... Kalau saya lupa, ingatkan saya.

Berguru sampai jadi...

al-Hamdulillah, saya berkesempatan berguru buat kali ke-4 dengan sifu Puan Ainon Mohd. Bermula pada 23 Ogos, 18 Oktober, 1 November dan yang terakhir adalah semalam 8 November bermakna saya telah 4 kali berulang alik ke Taman Permata untuk berguru dengan beliau.

Memang banyak sangat curahan ilmu yang saya dapat dari beliau. Tidak perlulah saya 'belajarlah sampai ke negeri China' tetapi saya perlu meredah lebih 40 kilometer sehala untuk duduk dalam kuliah beliau dari jam 9.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Yang lebih menarik, saya bukan belajar bait-bait ilmu dari mulut beliau bahkan sikap dan cara berfikir beliau. Memang berbaloi penat lelah selama 4 kali Ahad yang saya laburkan.

Antaranya yang saya ingat dan cuba saya amalkan ialah 'Jangan kita sika tambah stress orang lain'. Baik kita orang pandai, orang atasan, orang ada duit, orang ada pangkat dan apa sahajalah, maka permudahkan dan cubalah 'senang' kan orang lain.

Jangan suka mendera (bukan sekadar jasmani), menekan, mengungat dan menakut-nakutkan orang lain. Sebaliknya sama-sama kita cuba menyeronokkan orang lain, memudahkan orang lain.

Rasulullah saw sendiri memberi tahu pada kita, sesiapa yang menyenangkan saudaranya yang lain maka Allah akan menyenangkannya. Tentunya kita mahu memperoleh janji yang dilontarkan oleh baginda ini.

Banyak lagilah yang saya pelajari.

Oleh itu, marilah kita miliki sifat 'mahu belajar' kerana semakin kita belajar rupanya ada signal yang bagitau kita ini sebenarnya 'bodoh'. Tidak ada rugi langsung kita terus belajar waima apa yang kita rasa kita sudah tahu.

Sifu, doakan saya bukan sekadar belajar teori menulis tetapi benar-benar dapat hasilkan karya-karya agung... Amin.

Sunday, November 1, 2009

Aku Berguru Lagi Dengan Sifu Puan Ainon Mohd

Hari ini, Ahad 1 November. Pagi-pagi lagi aku dan anak sulungku Ahmad Iyyash pergi mencari nasi lemak dan surat khabar. Tentunya selepas solat subuh dan membaca al-Qur'an.

Anakku pun bertanya "Baba nak pergi mana hari ini?"

"Baba ada program jauh la, baba nak belajar..." Iyyash diam tanda faham. Dia tahu ayahnya memang selalu pergi 'belajar'.

Kali ini guruku ialah Puan Ainon Mohd. Setelah menjamah sebungkus nasi lemak, aku pun segera menuju ke Taman Permata bersama Ustaz Herman.

"Cepat sikit Man, nanti takut tidak dapat kerusi" aku bercakap penuh semangat.

Memang semua perkara yang kita hendak buat perlu berguru. Kata Puan Ainon, kerja guru ialah mengajar dan mendorong. Memang aku setuju sangat.

Banyak yang aku pelajari dari beliau. Maklumlah kelas dari jam 9.20 pagi sehingga 4.30 petang. Memang dapat segunung emas.

Aku belajar metode dalam menulis buku fiksyen, bagaimana hendak menokok tambah buku buku fiksyen dan bagaimana merancang karya dan banyak lagilah.

Aku sempat juga bertaaruf dengan ramai penulis PTS yang senior seperti Akhi Azrul Jaini, saudara Imran Yusuf, saudara Syarafudin dan saudara Haikal dan beberapa orang lain.

Benarlah perkataan yang pertama diturunkan adalah IQRA'. Bacalah, belajarlah.

Seorang guruku berpesan "Orang kalau tidak suka membaca, sukar diubah karektornya"

Syukran jazilan, mucho gracias Puan Ainon. Minggu depan InsyaAllah saya datang berguru lagi. Menulis Menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.