Sunday, September 13, 2009

Ramadhan antara kuantiti vs kualiti

Sirah mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w hanya merasai 9 kali sahaja kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Jika mengikut kuantiti, barangkali ada di antara kita umat Islam yang sudah berkali ganda lebih banyak berpuasa jika dibandingkan dengan baginda s.a.w. Mungkin sudah sekali ganda kepada mereka yang sudah bertemu 18 kali puasa Ramadhan, atau telah 2 kali ganda jika sudah bertemu 27 kali puasa Ramadhan atau 3 kali ganda jika sudah bertemu 36 kali puasa Ramadhan.

Puasa Ramdhan diwajibkan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Adapun Rasulullah s.a.w. wafat pada tahun ke-11 Hijrah. Ini bermakna baginda s.a.w. hanya sempat bertemu 9 kali Ramadhan sahaja. Kewajipan puasa Ramadhan berlaku sebulan selepas peralihan arah kiblat dari menghadap ke Baitulmaqdis di Palestine ke Kaabah di Mekah. Iaitu selepas 18 bulan Rasulullah s.a.w berhijrah dari kampung kelahirannya di Mekah ke Madinah al-Munawwarah.

Andai hari ini seorang Islam telah berumur 40 tahun maka sebenarnya dia sudah berpuasa Ramadhan sebanyak 30 kali (tolak 10 tahun sebab belum baligh), membayar 40 kali zakat fitrah dan telah beribu kali kita menunaikan solat. Jika kita menghitung 5 kali solat sehari semalam dan didarabkan dengan 365 hari kali dalam setahun dan kemudian dikalikan dengan tempoh umurnya selama 30 tahun. Itu jika seseorang yang sudah berumur 40 tahun. Cuba bayangkan pula jika orang yang sudah sampai melewati umur 60 tahun. Maknanya dia sudah bertemu 50 kali bulan Ramadhan, sudah 60 kali membayar zakat fitrah dan entah berapa banyak kali dia sudah mengerjakan solat. Bahkan mungkin sudah dua tiga kali menunaikan ibadat haji.

Jika dicongak-congak nombor-nombor tersebut, sudah berapa banyak pahala yang kita sudah dapat jika dengan selama umur kita yang panjang ini kita lakukan setiap ibadat-ibadat ini dengan sebaik-baik mungkin. Sebagus-bagus yang boleh. Yang paling cemerlang dan yang terbaik. Tentulah cukup banyakkan?

Namun, kita semua perlu sedar bahawa kaedahnya bukan dikira siapa yang paling banyak tetapi siapa yang terbaik dan terbagus. Ya, siapa yang paling baik dan paling cemerlang. Firman Allah yang bermaksud Untuk menguji kamu siapa yang paling baik di antara kamu dari segi amalan. (Surah al-Mulk: ayat 2)

Apa ertinya kita banyak mendirikan solat banyak, banyak berpuasa, sering sedekah dan pergi berulang alik menunaikan ibadat haji, jika semua ibadat yang dikerjakan ini tiada berkualiti dan tidak bagus. Mendirikan solat lima waktu sehari semalam tanpa khusyuk, menunaikan haji tetapi tidak beroleh yang mabrur dan rajin berpuasa tetapi sekadar puasa dengan semata-mata tidak makan dan tidak minum.

Oleh sebab itulah kita ingin sama-sama bermuzakarah, bersoal-jawab, bertazkirah dan saling ingat mengingati saling saling berpesan-pesan. Berpesan-pesan perihal ibadat puasa Ramadhan yang kita lakukan hanya sebulan dalam setahun ini. Semuanya hanya semata-mata untuk kita menambah baguskan ibadat puasa Ramadhan kita ini.

Kita bukan mahu membicarakan berapa banyak kita sudah bertemu Ramadhan atau saling berbangga dengan banyak Ramadhan yang telah kita lalui, tetapi kita hendak muhasabah sejauh mana kualiti puasa Ramadhan yang telah kita lalui dan yang sedang kita lalui ini.

Semoga kita dapat melakukan yang terbagus dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah amat suka kepada para hambanya yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Seperti yang telah disebutkan bahawa Allah mewajibkan puasa Ramadhan pada tahun yang kedua hijrah. Setelah 15 tahun usaha dakwan baginda s.a.w. Puasa Ramadhan belum difardhukan semasa era dakwah di Mekah berbanding ibadat solat yang mula difardhukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj semasa baginda s.a.w di Mekah.

Mengapakah perintah puasa ini datang lewat? Datang selepas 15 tahun lamanya selepas Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak orang Arab kepada Islam. Apakah sebab memerlukan masa yang begitu lama sebelum difardhukannya?

Ini kerana mendidik nafsu adalah antara sepayah-payah perkara, maka kewajipan berpuasa adalah lewat iaitu selepas peristiwa hijrah. Selepas jiwa umat Islam terdidik kukuh dalam perkara tauhid, solat dan perintah-perintah al-Qur’an.

Sehingga kini pun kita sering tertewas dengan nafsu. Nafsu yang mengajak kepada perbuatan yang tidak baik. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk berlawan dengan musuh kita iaitu nafsu kerana pada ketika ini syaitan sedang dibelenggu. Sepanjang Ramadhan kita diajak untuk menundukkan nafsu kita yang mendorong kepada keburukan.

Nafsu kita mendorong untuk kita berboros atau berbelanja berlebih-lebihan di bazaar Ramadhan, bermalas-malas dalam melakukan ibadat seperti membaca al-Qur’an, bersolat Terawih, bersedekah kepada orang kurang bernasib baik, bertahajjud di malam hari, menunjuk-nunjuk dengan pakaian baru kepada orang lain dan sebagainya.

Bukankah di penghujung ayat 183 dari surah al-Baqarah, Allah telah menyatakan yang bermaksud “supaya kamu bertaqwa”. Ya, dengan kamu berpuasa “supaya kamu bertaqwa”. Inilah misi mengapa kita diwajibkan berpuasa. Takwa ialah benteng. Benteng yang menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang boleh mengundang murka Allah dan azab siksaan-Nya, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Adapun semata-mata kita menahan diri daripada makan dan minum sahaja, maka puasa kita itu belum betul-betul sempurna dan layak mendapat pahala terbaik. Bukankah nabi s.a.w telah mengingatkan kita yang berpuasa tetapi tidak mampu meninggalkan kata-kata dusta, keji maka lebih baiklah tidak berpuasa.

Marilah kita menjadikan peluang puasa Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya. Dengan sebaik-baiknya untuk kita menundukkan nafsu agar kita dapat beroleh takwa. Kita berusaha melawan nafsu yang mengajak kepada keburukan, kita berusaha membangunkan takwa dalam diri semoga menjadikan puasa kita puasa yang terbaik dan benar-benar berkualiti menurut apa yang dituntit oleh Tuhan.

Saturday, September 5, 2009

Pandai Berpidato atau Pandai Beramal?

Bulan Ramadhan menjadi medan yang subur untuk saya membaca. Tentunya yang utama adalah membaca al-Qur'an, namun saya sempat juga menjamah beberapa buku lainnya.

Dalam rihlat bacaan saya kali ini, telah menyentap jantung saya apabila saya terbaca satu kata-kata daripada seorang pendakwah Ariffin Ilham yang berbunyi

"Bagaimana rakyat negara ini mahu maju sekiranya para tokoh dan alim ulamak hanya pandai berpdato tetapi tidak pandai beramal?"

Ya... satu teguran hebat untuk direnungi bersama.

Ramadhan adalah bulan yang bisa menjadi magnet untuk kita beramal. Mari kita terus beramal dan beramal. Kalaulah Ramadhan tidak mampu menarik kita beramal, bulan yang mana lagikah untuk kita harapkan...

Tahu hasil kemenangan atau bagaimana mereka menang?

Bulan Ramadhan telah menjadi saksi kepada beberapa kemenangan tentera Islam dalam sejarah.

Antara yang paling masyhur, tentulah Perang Badar selain Pembukaan Kota Mekah, Perang Ain Jalut dan Pembukaan Armenia.

al-Maklum pada tanggal 17 Ramadhan ialah tarikh berlakunya peristiwa Perang Badar walaupun di negara kita tarikh 17 Ramadhan ini lebih dikaitkan dengan peristiwa nuzul al-Qur'an.

Saya teringat ketika saya dan rakan-rakan di bumi Mafraq, Jordan kira-kira 10 tahun yang lalu. Kami menyusun program menyambut Nuzul al-Qur'an pada malam 17 Ramadhan tetapi penceramah yang dijemput iaitu syaikhuna Doktor al-Qadir bin Abdul Rahman al-Saadi mengubah kepada perbicaraan Perang Badar. Baginya 17 Ramadhan adalah tarikh memperingati Perang Badar.

Ramai penceramah apabila menceritakan sejarah Perang Badar ini hanya menceritakan perihal suasana perang, bilangan tentera Islam dan musuh, perlawanan satu lawan satu antara kedua belah pihak, bantuan Malaikat daripada Allah, Rasulullah mengambil pendapat dari Muhajirin dan Ansar untuk berperang, bilangan tentera Islam yang syahid dan jumlah kematian tentera kafir, peranan Abu Sufyan dan Abu Jahal, perihal tawanan musuh dan catatan hasil 'kemenangan' tentera Islam dalam perang tersebut.

Ya, memang semua ini penting bagi membangkitkan rasa bangga kita di atas kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah. Tentera yang hanya berjumlah 315 orang mampu mengalahkan tentera yang 3X ganda lebih ramai.

Tetapi yang perlu juga diuar-uarkan bukan semata-mata 'hasil kemenangan' yang dicapai kerana ramai antara kita yang telah tahu perkara tersebut sekian lama.

Yang perlu kita lebih tahu ialah bagaimana persedian Rasulullah saw dan para sahabat dalam menghadapi perang tersebut.

Sebagaimana diriwayatkan bagaimana Rasulullah bersolat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga waktu subuh. (Hayatus sahabat: al-Solat fi sabilillah)

Bagaimana Rasulullah berdoa mengadap kiblat lalu berkata " Wahai Tuhan! Tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan kumpulan ini (tentera Islam) maka Engkau tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini selama-lamanya"

Beginilah persediaan tentera Islam menghadapi perang. Mereka bangun malam, berdoa, mengalirkan air mata berdoa pada yang Maha Agung, membaca al-Qur'an.

Ketika semakin hampir antara tentera Islam dan tentera Rom dalam Perang Yarmuk, al-Qubuqlar yang menjadi ketua Rom telah mengutus seorang lelaki Arab. Kemudian beliau bertanya "Siapakah di belakangmu?"

Lelaki itu menjawab "Mereka adalah para rahib di waktu malam dan para pejuang di waktu siang"

Begitulah ketika bertanya Hercules "Bagimanakah kamu boleh tewas?" Menjawab salah seorang pembesar mereka "Kerana mereka mendirikan malam (qiamullail) dan berpuasa di siang hari"

Ayuh... peranan kita adalah bukan semata-mata menghebahkan kemenangan dan kehebatan umat Islam yang telah tercatat kukuh dalam lembaran sejarah tetapi perlu membongkar 'sebab-sebab' yang membawa kemenangan dan kehebatan tersebut.

Agar menjadi ikutan kita semua...

Kehebatan luaran adalah lahir dari kehebatan dalaman. Lavar gunung berapi hanya akan muntah lalu menyuburkan tanah-tanah di sekitarnya hasil menggelegaknya api yang berada di dalamnya.