Tuesday, June 30, 2009

Hulagu Khan

Apabila kita membaca sejarah Monggol, yang biasa kita jumpa adalah nama Genghis Khan. Saya dah ceritakan serba sedikit pasal beliau.
Namun, ada satu lagi nama yang cukup penting iaitu Hulagu Khan. Beliaulah yang memimpin tentera Mongol untuk menyerang dan menjatuhkan Baghdad.

-Hulagu Khan(…-663h)

Beliau ialah Hulagu bin Toluy bin Genghis Khan. Hulagu adalah anak kepada Toluy dan adalah cucu Genghis Khan. Beliau adalah saudara kepada Kublai Khan dan Monke. Kedua-dua saudara lelakinya ini pernah menjadi Khan Agung selepas jawatan ini berpindah dari keluarga Ogaday kepada keluarga Toluy.
Selepas kematian Genghis Khan pada 624h, jawatan khan agung telah berpindah kepada anaknya Ogaday yang meninggal dunia pada tahun 644h. Selepas itu digantikan oleh anak Ogaday yang bernama Guyuk.
Selepas kematian Guyuk pada 647h jawatan khan agung telah berpindah daripada keluarga Ogaday kepada keluarga Toluy. Selepas Guyuk telah dilantik Monke sabagai Khan Agung (648h-655). Selepas itu saudaranya Kublai (655-693).
Jadi jarak masa antara kematian Genghis Khan dan kejatuhan Baghdad tahun 656H di tangan Hulagu adalah tempoh yang panjang iaitu 32 tahun.
Hulagu adalah pengasas kerajaan Ilkhaniah. Beliau juga adalah sezaman dengan dua khan agung yang merupakan saudara lelakinya iaitu Monke dan Kublai.
Jawatan khan agung telah berpindah ke tangan Ogaday selepas kematian Genghis Khan 624H. Kemudian selepas kematian Ogaday tahun 644H anaknya iaitu Guyuk telah menggantikan tempatnya. 2 tahun berikutnya iaitu pada tahun 646H Guyuk pula telah mati.
Selepas berlaku pertelingkahan tentang kuasa akhirnya Monke bin Toluy iaitu sepupu Guyuk telah dilantik menjadi khan agung. Ketika inilah Monke telah mengarahkan 2 saudaranya memperluaskan empayar mereka.
Maka Kublai Khan bergerak ke sebelah China dan Hulagu pula bergerak ke sebelah barat untuk memerangi Parsi, Iraq dan Syam. Hulagu mula bergerak ke Iraq pada tahun 652H.
Bukanlah semua bangsa Mongol yang ganas. Ada di antara mereka yang telah masuk Islam seperti sepupu Hulagu sendiri iaitu Barakat bin Gochi bin Genghis Khan.
Sebenarnya Batu bin Gochi yang merupakan saudara lelaki Barakat telah melarang Hulagu bergerak ke barat atas desakan Barakat kerana Barakat yang telah menganuti Islam ini merupakan sahabat kepada Khalifah Abbasiah iaitu Musta'sim.
Hulagu tidah dapat bergerak ke barat sehinggalah kematian Batu tahun 650H. Akhirnya Hulagu bergerak juga ke barat yang berjaya menjatuhkan Baghdad tahun 656H walaupun mendapat tentangan daripada Barakat menyebabkan kedua-dua bermusuhan.
Hulagu amat membenci Islam kesan daripada pengaruh Nasrani. Isterinya adalah wanita Nasrani yang memberi galakan kepadanya untuk memerangi Islam.
Tetapi dikatakan di akhir hayatnya permusuhannya kepada Islam telah berkurang bahkan beliau telah menyerahkan anak keduanya Takodar kepada salah seorang murabbi Islam yang akhirnya telah masuk Islam dan diberi nama Ahmad serta cuba berhubung dengan Sultan Mamalik al-Mansur Qalawun untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Mongol dan Mamalik.
Hulagu meninggal dunia pada tahun 663h selepas 8 tahun beliau menjatuhkan Baghdad dan digantikan anaknya Abaqa.

Sunday, June 21, 2009

Fitnah Zaman Sahabat...

Sepanjang minggu ini, saya khusyuk membaca buku2 yang berkaitan zaman fitnah yang berlaku pada zaman sahabat. Khasnya yang berlaku selepas 7 tahun pemerintahan Kahlifah Uthman bin Affan tahun 30 Hijrah.

Sehingga berlarutan kepada pembunuhan beliau di Madinah tahun 35 Hijrah, peristiwa Perang Jamal antara tentera Ali bin Abu Talib dengan tentera Zubair, Talhah serta Aisyah.

Begitu juga perang Siffin antara tentera Ali yang menguasai Iraq dan Muawiyah bin Abu Sufyan yang menjadi gabenor Syam. Sehingga kepada peristiwa pembunuhan Ali di Kufah.

Tidak dinafikan, kajian era tersebut bermula zaman fitnah tahun 30 Hijrah sehingga perletakan jawatan Hassan bin Ali dan perlantikan Muawiyah sebagai khalifah tahun 41 Hijrah memerlukan bacaan yang teliti, rumit dan sumber yang dipercayaai.

Dalam erti kata lain, berpeluh jugalah kalau nak membacanya.

Namun, ia memberi 1001 pengajaran, iktibar yang sangat penting kepada umat Islam...

Apapun... tunggu ulasan saya untuk topik tersebut dalam entri yang lain.

Teruskan bersama ibrahsejarah yang sentiasa cuba mencairkan maklumat dalam berkongsi rezeki ilmu yang ada.

Kehebatan Genghis Khan

Dari segi sejarah terdapat nama-nama yang memiliki kegilaan untuk keluar menguasai dunia dan telah berjaya memperoleh kejayaan yang memberangsangkan dengan menguasai wilayah seperti Alexander The Great, Genghis Khan, Napoleon Bonaparte dan Adof Hitler yang tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang.

Namun Genghis Khan lebih hebat daripada mereka bertiga kerana beliau mengusai wilayah yang lebih besar daripada mereka dan pengaruhnya bertahan lebih lama.

Napoleon dan Hitler dapat dikalahkan ketika masih hidup dan penaklukan mereka juga agak singkat.

Adapun Alexander tidak dapat dikalahkan tetapi beliau tidak menamakan penggantinya dan empayarnya runtuh selepas kematiannya.

Tetapi Genghis Khan berjaya menyusun penaklukannya dan anak cucunya mampu meneruskan penguasaan bahkan Mongol mampu mempertahan kuasanya beberapa abad selepas kematiannya.

Seperkara lagi, jika Christopher Columbus, Simon Boliver dan Thomas Edison tidak wujud mungkin ada orang lain yang akan menemui benua Amerika, membebaskan Amerika Selatan atau mencipta cahaya elektrik.

Namun tanpa Genghis Khan penaklukan Mongol abad ke 13 Masehi mungkin tidak berlaku dan suku kaum Mongol tidak pernah bersatu sebelum abad tersebut serta mereka tidak pernah bersatu semula.

Bahkan dapat juga dikatakan bahawa Genghis Khanlah sebagai tokoh utama dalam sejarah serangan Mongol. Beliau telah melaksanakan satu kombinasi taktik ketenteraan dan perang urat saraf untuk mencantas kemungkinan adanya saingan terhadap kekuasaan Mongol.

Saturday, June 6, 2009

Genghis Khan (1162m-1227m/...-624H)

Apabila kita mengkaji sejarah Mongol sudah pasti kita tidak dapat lari daripada nama Genghis Khan. Seolah-olah nama Mongol amat sinonim dengan Genghis Khan. Tidak dinafikan bahawa ada nama-nama besar lain yang banyak disebut dalam sejarah Mongol seperti Hulagu, Kublai Khan dan Tamerlane.

Kehebatan Genghis Khan amat terserlah sebagai tokoh bangsa dan sejarah Mongol sehingga Michael H. Hart dalam bukunya The Hundred meletakkan nama Genghis Khan dalam susunan ke-18 daripada 100 tokoh yang dipilihnya.

Nama asal Genghis Khan ialah Temujin. Bapanya dibunuh ketika beliau berumur 9 tahun. Sejak usia muda beliau telah ditawan dan kolar kayu dipasang dilehernya bagi mengelakkannya melarikan diri. Dari situasi inilah Temujin bangkit menjadi penguasa yang terbilang. Selepas berjaya melarikan diri beliau telah terlibat dengan siri peperangan antara suku kaum Mongolia. Sebelum Temujin suku-suku kaum ini saling berperang sesama sendiri.

Dengan usaha Temujin ini suku kaum Mongolia ini berjaya disatukan. Akhirnya pada tahun 1206m persidangan ketua-ketua suku kaum Mongol dan para khan (chiefs) telah melantiknya sebagai Khan Agung dan digelar Genghis Khan iaitu Emperor of All Men.

Selepas perlantikan ini Genghis Khan mula bergerak ke arah negara jiran dengan jentera ketenteraannya. Suku kaum Mongolia memang telah terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir dan tentera yang garang. Beliau telah berjaya memerangi negeri di barat laut China, empayar Chin di utara China dan empayar Khawarizm Shah.

Genghis Khan telah menyusun bala tenteranya dengan disiplin dan kepantasan. Dikatakan bala tenteranya mampu berjalan sejauh 440 km dalam masa 3 hari sahaja.

Setelah melakukan serangan ke atas Rusia, Afghanistan dan utara India beliau telah kembali ke Mongolia pada tahun 1225m dan meninggal dunia di sana pada tahun 1227m.

Selepas merasa letih dan merasai hampir saat kematiannya beliau telah membahagikan tanah jajahannya kepada empat orang anaknya daripada isteri pertama iaitu Gochi, Chagotay, Ogaday dan Toluy. Menjadi adat bangsa Mongol harta pesaka hanya terbatas kepada anak-anak isteri pertama sahaja.

Tuesday, June 2, 2009

Muawiyah...

"Salam Ustaz Sahrulazmi! Syeikh anta tulislah buku tentang Muawiyah. Kita orang kelirulah pasal sejarah dia"

Ini antara permintaan seorang sahabat X pada saya. Memang saya ada cita-cita nak tulis tajuk panas ini tetapi bimbang cuma dia seorang ini sahaja yang minat pasal tajuk ini.

Saya memang ada bahan dan point2 penting berhubung tokoh hebat ini, tetapi perlu tahu juga respon daripada kawan-kawan pembaca. Maklumlah buat buku mmg mencabar.

So, nanti penerbit akan tanya. "Siapa sasaran pembaca you?" "Boleh pergi ke tajuk ni?"

Iyalah kerja kita menulis tetapi kerja penerbit kena pastikan buku itu boleh laku di pasaran. Sebab itu periuk nasi diaorang.

Sejarah untuk teladan bukan sekadar untuk hiburan...

Apa Lagi Selepas Ini...

Kadang-kadang buntu juga nak tulis artikel apa dalam blog ni. Yalah, nak tulis sejarah apa. Banyak yang orang dah tau.

Nak cerita tokoh, perang2, kerajaan2 Islam, pembukaan Islam atau apa lagi...

Kalau saya tanya anda semua, apa yang anda nak tahu tentang sejarah Islam kita.

Kalau saya memang semua seronok, tetapi tentu ada yang paling seronok, kurang seronok, seronok sikit dan macam-macam lagi...

Kalau ada masa, berilah komen anda.

Hidup sejarah Islam....

Salam Viva

Hari ini 2hb Jun 2009, saya bangkit awal pagi. Selepas tunai solat subuh, menunaikan sedikit keperluan maka saya kemudian pergi ke kedai roti canai bersama 2 anak saya Ummu Unays dan Ahmad Iyyash. Beli 2 roti telor dan 5 roti kosong.

Selesai sarapan, saya bergegas ke UKM. Dua orang hero saya menjadi teman kembara saya hari ini iaitu Ahmad Iyyash dan si adik, Ahmad Aqqal.

Selepas 1 jam perjalanan, saya pun sampai di Kajang. Saya terus ke kedai Fotostat. Ya, hari ini saya ingin menghantar 4 salinan manuskrip disertasi sarjana saya di FPI, UKM.

Ketika hendak menunggu proses fotostat maka saya singgahlah barang sekejap ke pejabat Karnadya. Nak bincang-bincang kosong pasal projek buku yang seterusnya.

Selepas satu jam saya kembali ke kedai fotostat tadi. Setelah menyelesaikan apa yang patut, saya segera ke FPI, UKM.

Maka bermulalah urusan penyerahan disertasi saya. Terima kasih banyak pada penyelia saya, kaki tangan di Pejabat Am Pusat Pengajian Siswazah dan Pejabat Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam atas layanan baik mereka.

Lega yang teramat selepas saya menyerahkan disertasi tersebut. Selagi belum serah (baru serah untuk viva) terasa bagai ada batu besar atas kepala saya.

al-Hamdulillah Allah mengizinkan saya menyiapkan penulisan sarjana saya yang mencecah lebih 260 muka surat.

Saya juga rasa agak seronok menyiapkan tajuk tersebut "Sejarah Perluasan Kuasa Islam Zaman Kerajaan Umayyah..."

Walaupun tak tahu lagi bagaimana akan disoal jawab oleh para pemeriksa. Harap-harap taklah teruk kena ganyang nanti.

Walaupun sebelum ini, saya pernah diviva ketika peringkat sarjana di Universiti al-Albayt 10 tahun yang lalu.

Apa-apa pun hari ini memang saya lega sungguh...al-Hamdulillah.

Monday, June 1, 2009

Berhala dulu dan kini...

Kebanyakan kabilah Arab di Semenanjung tanah Arab sebelum kebangkitan Rasulullah saw beragama menyembah berhala. Mereka meletakkan pelbagai nama untuk berhala-berhala tersebut. Antaranya;

1. Manat : menjadi sembahan sebahagian besar Aus dan Khazraj serta penduduk Madinah. Berhala ini lenyap sebaik sahaja hijrah Rasulullah saw.
2. al-Lata: Berhala yang disembah oleh kabilah Thaqif di Taif.
3. Suwa’: patung yang disembah oleh Kinanah, Huzail dan Mazinah.
4. Hubal: Hubal dianggap tuhan yang paling besar kabilah Quraisy dan sebilangan bangsa Arab. Bangsa Arab mengangungkan berhala-berhala al-Lata, al-Uzza dan Hubal.
5. Yaghuth: Antara berhala penduduk utara Yaman

Banyak lagi nama berhala yang ada seperti al-Ya’bub, Rudha, Na’ilah, Ya’uq, Zirya’, Zu al-Liba, Nasr, ‘Ab’ab dan banyal lagi.

Ya…hari ini berhala-berhala tersebut sudah tiada. Apatah lagi untuk kita menyembah atau mengagungkannya.

Tetapi kini muncul sembahan-sembahan baru umat Islam. Ayuh! Sedarkan diri kita semua. Kita, anak-anak kita, remaja-remaja hari ini memuja TV, para artis, harta, pangkat, kemasyhuran, nama, nafsu hasad dengki dan macam-macam lagi sembahan yang mungkin kita tak sedari tetapi itulah yang kita sembah sebenarnya.

Mari kita semua memohon istihgfar pada Allah….