Thursday, August 27, 2009

Bulan Ramadhan Bukan Hanya Ada Puasa Sahaja!!!!

Bulan Ramadhan seperti juga bulan-bulan lain. Ada 29 atau 30 hari sebulan. Ada siang dan ada malam. Ada hari panas dan ada hari hujan. Ada orang sihat yang mampu berpuasa dan ada orang sakit yang tidak berkuasa untuk berpuasa. Ada orang menetap dan ada orang yang bermusafir. Tidak hairanlah jika kita kata Perang Badar sendiri berlaku di bulan Ramadhan.

Sebenarnya di dalam bulan yang mulia ini bukan hanya terbatas suruhan ibadat puasa semata-mata. Ada juga ibadat-ibadat yang lain yang banyak. Oleh sebab itulah, janganlah kita Cuma setkan minda kita dengan puasa sahaja tetapi kita lupa untuk melakukan ibadat-ibadat lain yang juga dikali gandakan pahalanya sempena Ramadhan ini.

Puasa cuma 12 jam sahaja dan cuma dilakukan di siang hari semata-mata. Apa yang kita buat 12 jam yang baki, adakah untuk relaks-relaks atau buang masa sahaja. Adakah sepanjang 12 jam di waktu siang itu kita hanya menjaga untuk tidak makan dan tidak minum semata-mata. Tentulah ada jalan lain yang boleh kita lakukan untuk melakukan kerja-kerja yang banyak, ibadat-ibadat yang lain yang semunya digandakan pahalanya. Kita lupa ke?

Bagi para isteri tentulah jika hendak dibandingkan pahala dengan para suami mereka lebih banyak. Maklumlah dia terpaksa bangun di awal pagi untuk menyediakan makanan sahur untuk seisi rumahnya, terpaksa mengejut bangunkan para ahli puasa yang mungkin terpaksa dikejut beberapa kali. Bagi yang memiliki anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa memujuknya pula agar mereka kuat untuk turut berpuasa. Tidak cukup itu, selepasnya nanti dia terpaksa mengurus pinggan mangkuk pula untuk dicuci.

Apabila tiba waktu petang, di saat orang lelaki mungkin sudah boleh bersantai bermotosikal menghirup angin kampung untuk menunggu waktu berbuka, beliau seorang dia sibuk pula untuk menyiapkan hidangan berbuka. Begitulah juga, semasa para suami sudah bersiap sedia untuk bergerak ke masjid bagi mendirikan solat Sunat Terawih tetapi mungkin masih mengurus dapurnya.

Namun, wahai para lelaki, abang-abang! Sanggupkah anda menerima dan terus menerima hakikat ini. Anda tidak mahu ke berlumba-lumba mengumpul pahala puasa? Bukankah besar pahala bagi orang yang membantu orang lain untuk berbuka puasa. Isteri-isteri kita, ibu-ibu kita, anak-anak perempuan kita pun berpuasa macam kita. Mereka pun letih tetapi sanggup berkhidmat itu dan ini kerana yakin dengan ganjaran pahalanya.

Janganlahlah cuma tolong makan dan minum sahaja. Apa boleh saya buat, saya ni orang lelaki? La… banyaklah kerja yang kita boleh tolong, asalkan kita sudi untuk menghulur bantuan untuk meringankan kerja-kerja mereka. Mereka pun tentulah gembira jika kita boleh menolong. Tolong apa yang boleh saya buat?

1. Tolong siang ikan
2. Tolong bancuh air minum
3. Tolong membersih dan mengelap meja makan
4. Tolong menghidangkan juadah sahur atau berbuka puasa

Ini jika kita ingin mengumpul pahala dalam rumah. Maksudnya? Maksudnya kita boleh juga mengumpul pahala-pahala dengan melakukan kerja-kerja di luar rumah kita. Selain pahala yang memang kita semua telah sedia maklum.

1. Membersihkan tandas-tandas surau
2. Menyapu, mengemop, membersih dan mengvakum surau
3. Menyusun tikar-tikar dan sejadah-sejadah sehingga ke beranda surau
4. Memasang setiap lampu-lampu surau

Begitulah juga, selepas selesai jemaah surau mendirikan solat Terawih dan menjamu moreh:
1. Mengemas dan melipat kembali tikar-tikar dan sejadah-sejadah
2. Menyapu lantai surau dan mengemopnya (jika perlu)
3. Menutup semula suis-suis lampu dan kipas yang dibuka


Banyak lagi amalan-amalan yang mungkin juga boleh kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan;

1. Menghulur sedikit juadah berbuka kepada jiran-jiran
2. Memberi sedekah 3-4 biji buah tembikai kepada rumah anak yatim
3. Memberi sedekah air mineral dan buah tamar untuk surau dan masjid bagi juadah berbuka

Sebenarnya, bulan Ramadhan adalah medan yang membuka seluas-luasnya ruang untuk kita mengumpul sebanyak-banyakknya pahala. Apatah lagi pada bulan ini sahajalah, setiap amalan itu akan digandakan pahalanya.

Selamat berpuasa dan berkhidmat untuk semua…

Wednesday, August 26, 2009

Dari Web Karnadya Solution


Selamat membaca, mengamalkan dan menyebarkan ilmu dalam buku I Love Ramadhan

Monday, August 24, 2009

Waktu Masuk vs Waktu Keluar

Jom kita bermonolog dengan diri kita.

Cuba kita ingat-ingat... Ketika hari pertama kita bersekolah rendah atau mungkin ketika di tadika. Kita tak tahu apa-apa. Tak tahu membaca, mengira dan menulis. Namun selepas tamat sekolah rendah, kita berubah. Dah boleh membaca, menulis dan mengira. Ada Perubahan dan hasil baru.

Begitu juga ketika naik tingkatan. Mula-mula masuk mungkin kita tak kenal ada subjek perdagangan, prinsip akaun dan ERT. Bagi kelas sains pula tak kenal apa itu matapelajaran kimia, fizik dan Add mate. Bagi aliran agama pula tak kenal Tasawwur Islam, Bahasa Arab tinggi. Namun, selepas tamat tingkatan 5, kita tahu dah semua tu.

Sebelum tak tahu, kosong tetapi selepas melalui sekolah rendah kemudian sekolah menengah kita sudah tahu. Sebenarnya samalah juga sebelum masuk Universiti dan selepas graduasi. Mesti sebelum masuk lain dan selepas masuk lain.

Sebelum masuk sekolah, maahad tahfiz, politeknik, universiti atau maktab lain dan selepas masuk, selepas tamat jadi lain. Ada perubahan positif.

Begitulah yang sepatutnya bagi kita dalam madrasah atau universiti Ramadhan ini. Sebelum masuk iman lemah tetapi selepas masuk semakin kuat kerana telah melaui tarbiah Ramadhan.

Kalau sama sahaja? Alamakkk... sama sahajalah orang tak masuk sekolah. Dak sekolah pun tak boleh membaca, menulis. Rugilah, buang masa.

Ingat-ingatlah kita sama-sama... Cuma sebagai renungan minda kita.

Bulan Puasa Bulan Menuntut Ilmu (Bersama Pn. Ainon Mohd PTS)

Lama dah saya tunggu peluang ini. Akhirnya, tercapai jua. Ya… peluang berguru dengan Pn. Ainon Mohd. Dari PTS, dalam penulisan.

Al-Kisahnya saya pun menguatkan diri untuk menghadiri kelas beliau pada hari Ahad lepas, 23 Ogos 2009 bertempat di Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, Hulu Kelang.

Mungkin rezeki bulan Ramadhan al-Mubarak. Kebetulan program ini berlangsung pada hari ke-2 Ramadhan.

Perbincangan sekitar 3 jam itu berkait dengan ‘Unsur-unsur cerita yang disukai pembaca’ dan ‘Bagaimana menyusun cerita supaya sedap dibaca’

Di sampaing itu, saya sempatlah bertaaruf dengan penulis2 PTS seperti akhi Zamri Muhammad penulis buku ‘Rahsia Bisnes Mamak’, Tip Menjadi Penulis Bestseller’. Juga akhi Firdaus Ariff novelis ‘Sayap Adinila’ dan ‘Armada Azur’.

Semoga kursus kali akan memperkukuhkan lagi semangat saya untuk terus berkarya.

Ambil semangat Ramadhan yang barakah

Program Ihya' Ramadhan


Assalamualaikum semua...

Dah lama sebenarnya saya nak mengucapkan salam buat semua teman seIslam. al-Hamdulillah sepanjang Rejab dan Syaaban saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu.

Sepanjang Syaaban, ceramah-ceramah saya berkisar tajuk Ramadhan. al-Hamdulillah pada tahun ini saya berkesempatan pergi ke masjid atau surau yang buat kali pertama kaki saya ke sana.

Antaranya Surau al-Siddiqin, Rawang. Juga surau Nur al-Sham di Kuala Langat dan beberapa tempat lain di Masjid Kg. Sungai Udang Klang, Surau Taqwa (ada aircond) di Palm Grove Klang, SMK Jenjarum Kuala Langat, SMK PUlau Indah Klang, Surau Kuarters Guru USJ, Surau Yahya Perkampungan Darul Mujahidin, Surau al-Syakirin Pinggiran USJ dan banyak lagi.

Salam ukhuwwah, ucapan Ramadhan Karim dan syukran jazilan kepada yang mengundang saya. Semuga sedikit ilmu yang telah dikongsikan diberkati dan mendapat manfaat bersama.

Amin...

Sunday, August 16, 2009

Uar-uarkan Yang Hebat...

Temujin adalah tokoh besar. Beliau berjaya menyatukan bangsa tatar dan mongol menjadi satu bangsa yang kuat.Beliau kemudian dikenal dengan nama Genghis Khan dan dilantik sebagai Khan al-A'zam (maharaja agung).

Kerana ingin anaknya menjadi contoh kepada datuknya yang hebat, maka ibu Hulagu sering menyebut dan menguarkan kehebatan sang datuk kepada anaknya Hulagu, yang merupakan cucu Genghis Khan.

Sorhgagthani Beki, ibu kepada Hulagu yang merupakan cucu Genghis Khas sering berkata kepada Hulagu...

"Anakku, apabila besar kelak jadilah seperti datukmu. Suaranya kuat seperti halilintar, tangannya lebih perkasa dari beruang jantan. Beliau boleh mematahkan leher lawannya seperti dia mematahkan ranting kayu. Pada musim sejuk dia tidur tanpa berpakaian berhampiran dengan unggun api. Percikan bara api jatuh pada badannya dianggap seperti gigitan semut sahaja" (Hulagu Khan: Abdul Latip Talip, 2009, PTS)

Kata-kata hebat oleh ibu yang hebat berkaitan cerita yang hebat dapat mempengaruhi jiwa anak yang akhirnya menjadi tokoh yang hebat. Hulagu Khan akhirnya membesar dan di bawah pimpinan beliaulah akhirnya tentera Mongol telah menjatuhkan ibu kota empayar Islam pimpinan Kerajaan Abbasiyah, Baghdad pada tahun 656 Hijrah.

Besarkan pengaruh menceritakan yang hebat...

Apakah kita telah menceritakan pada anak-anak kita, keluarga kita, anak didik kita, orang-orang di bawah kuasa kita tentang 'kehebatan Ramadhan' agar ia dapat mempengaruhi mereka.

Uar-uarkanlah kehebatan Ramadhan buat semua agar sama-sama kita dapat menjiwai kehebatannya.

Namun, masih ada antara kita yang masih diam membisu. Tidak hairanlah sehingga saat ini kita masih belum melihat kehebatan Ramadhan ini meledak bagaikan lahar gunung berapi.

Ayuh! Kita semua bertanggungjawab menguar-uarkan kehebatan bulan agung lagi barakah ini...

Saturday, August 8, 2009

Panggilan iman untuk Ramadhan....


Tanggal 25 hb saban bulan merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan orang. Sebab mereka yakin pada tarikh tersebut ada habuan besar. Ya, kemasukan gaji bagi ramai pekerja.

Tarikh tersebut sering dinanti-nanti, dengan penuh kesungguhan.

Tentunya ramai antara kita memiliki tarikh-tarikh 'keramat' yang paling dinanti-nanti kedatangannya.

Itulah dalam kehidupan fizikal kita yang biasa, kehidupan duniawi kita.

Di samping banyak tarikh tertentu, bagi kita umat Islam memiliki tarikh bertuah yang pasti akan datang saban tahun menjenguh kita semua dengan membawa buah tangan yang banyak lagi barakah.

Namun, persoalannya sejauh manakah perasaan kita dalam menanti tarikh tersebut. Ya ketibaan tarikh 1 Ramadhan.

Mengapa sehingga kini belum diuar-uarkan ketibaan tarikh besar ini. Mengapa tiada 'countdown' Ramadhan sedangkan upacara-upacara besar yang lain biasanya ada.

Apakan ia bukan upacara besar bagi kita umat Islam!

Ayuh semua!

Jika ramai yang lupa, buat-buat lupa, saja-saja melupakan... biarlah mereka tetapi bukan KITA, bukan KELUARGA KITA.

Mari kita hebahkan kehangatan untuk menyambut ketibaannya. Kita ajak seluruh anak isteri kita bersama.

Benarlah, Ramadhan itu adalah panggilan iman dari Tuhan.

"Wahai orang-orang yang beriman!..." panggilan dariNya

"Ya,,,Allah" Orang yang beriman segera menyahut.

"Telah diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh takwa"

Tuesday, August 4, 2009

Ihya' Ramadhan di Rawang

al-kisahnya buat pertama kali saya mendapat ceramah di kawasan Rawang. Kali ini kembara ilmu saya ditemani oleh Ustaz Herman.
Mulai malam itu sehinggalah akhir Ramadhan saya akan menumpukan perbicaraab berkaitan dengan kehebatan bulan Ramadhan dan puasa Ramadhan itu sendiri. Beza tu...

Ramai orang yang menyangka bahawa bulan Ramadhan hanya ada puasa. Maka kita lupa di bulan ini juga ada tadarus, solat terawih, bersedekah, iktikaf dan bermacam-macam ibadat lain yang dikali gandakan pahala-pahalanya.

Sebab itu, Ramadhan bukan hanya bulan puasa kerana terdapat amalan-amalan lain yang banyak.

Ramadhan adalah pesta, pesta ibadat. Berpesta-pestaan adalah berseronok. Ramadhan adalah pesta iaitu berseronok-seronok dalam mengejar semua tawaran yang diberikan oleh Allah sepanjang Ramadhan.

Saturday, August 1, 2009

Bulan Baik…Ada Ke Bulan Jahat?



Setiap kali hendak tiba bulan Ramadhan, maka semua umat Islam seantero dunia akan menyiapkan diri menyambut ketibaanya dari segi mental dan fizikal. Yang biasa kita dengar ialah mereka menyebut hendak menyambut ‘bulan mulia’ atau ‘bulan baik’. Ketika saya belajar di Universiti al-alBayt, Jordan dahulu, orang Arab apabila menyambut ketibaan Ramadhan maka mereka akan menghulurkan ucapan ‘Ramadhan Karim’ yang bermaksud bulan yang mulia atau ‘Ramadhan Mubarak’ yang bermaksud bulan yang diberkati.

Saya yakin semua orang pasti bersetuju sangat jika kita katakan memang Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan baik. Memang Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati. Ya…bulan yang terletak dalam susunan yang kesembilan daripada 12 bulan-bulan Islam ini memang bulan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan.

Dalam setahun ada 365 hari, ada 12 bulan, ada 52 minggu serta ada beribu-ribu jam, minit dan saat. Namun, yang menjadi persoalannya adakah kemuliaan ini hanya terletak pada Ramadhan sahaja? Bagaimana bulan-bulan yang lain. Tidak mulia ke? Bukankah kita selalu juga begitu gembira apabila menyambut awal Muharram yang menandakan tahun baru Hijrah. Bukankah kita begitu berbangga apabila tiba bulan Zulhijjah di mana pada 10 haribulan, ribuan umat Islam seluruh dunia sedang berhimpun di tanah suci untuk mengerjakan ibadat Haji. Adapun yang berada di tanah air pula, ramai yang berlumba-lumba menunaikan ibadat korban.

Ini bermakna setiap bulan ada cerita dan kemuliaan masing-masing. Kita tidak menafikan memanglah bulan Ramadhan telah memberi peluang dan ruang kepada kita untuk memuliakan diri kita dengan amalan ibadat yang dijanjikan pahala berlipat-lipat kali ganda. Tetapi tidak bermakna pada bulan-bulan lain kita tidak memburu kemulian yang dihidangkan Tuhan untuk kita menambah pahala lagi dan lagi.

Perkara yang saya sering tertanya-tanya juga, jika ada bulan baik maknanya ada ke bulan jahat? Jika ada bulan mulia, maka ada ke bulan tidak mulia? Semua saat, minit, jam, minggu, bulan dan tahun adalah mulia jika kita melakukan kerja mulia dengan niat yang mulia untuk mencari redha daripada Yang Maha Mulia.

Kita memang amat yakin dengan kemuliaan Ramadhan tetapi janganlah lupa bahawa di bulan-bulan lain juga ada dosa pahala dan ada catatan amalan baik dan amalan buruk. Ayuh kita memperkasakan iman kita setiap waktu, apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia.

Sumber: Sahrulazmi Sidek, I Love Ramadhan, hlm. 18

Puasa @ puas-puas?

Puasa Atau Puas-puas?


Apa perbezaan antara puasa dan puas? Tentulah besar perbezaan antara puasa dan puas atau puas-puas? Berbeza dari segi ejaan, bunyi sebutan dan maknanya.

Puasa Ramadhan ini datang sekali-sekala. Sepanjang Ramadhan kita ingin merasa juadah berbuka yang terenak. Maklumlah sudah 12 jam kita berlapar dan berdahaga. Puas saya jika dapat makan seekor ayam golek, 2 ekor ikan keli bakar dan… Puas saya kalau dapat minum…

Hari Raya Aidilfitri pun begitu juga. Kita semua sudah arif dan maklum. Namun, kita amat risau jika kerana ia sekali-sekala maka kita pun tersasar dalam meraikannya. Kita terlupa, terleka dan terikut-ikut sama. Apabila sudah sekali-sekala maka kita pun beranggapan ia perlu disambut dengan semeriahnya. Kita selalu kata “Apalah salahnya…”, iakan setahun sekali. Apalah salahnya, itulah yang salah jika menyebabkab kita membazir, lupa daratan, ingin berlawan-lawan untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Sofa yang lama perlu diganti dengan yang baru. Langsir dan cadar katil pun turut sama perlu ditukar ganti dengan warna dan corak yang lebih sesuai dan terkini. Semua mestilah baru sebab hari raya nanti, rumah kita akan dikunjungi orang ramai dan saudara mara. Malulah kita jika masih menggunakan benda-benda yang lama.

Bukan sekadar perhiasan di dalam rumah yang perlukan perhatian tetapi yang di luar pun juga jangan terlepas pandang. Sudah 12 bulan cat rumah tidak bertukar ganti. Kalau dahulu sudah 12 bulan berwarnakan biru muda, maka tahun ini mata kita jatuh cinta pula pada warna hijau muda dan coklat pula. Tentulah nafsu kita berbisik-bisik di telinga “Takkanlah perabut di dalam rumah cantik berseri tetapi di luar rumah tidak berganti”

Baju raya perlu juga yang baru, daripada jenis kain terkini, ditempah mengikut fesyen terbaru. Mungkin tidak cukup sepasang tetapi perlu kepada berpasang-pasang kerana kita telah berpuasa sebulan lamanya. Puasa sebulan, maka hari rayanya juga perlulah diraikan sebulan lamanya. Kalau sudah menyambut hari raya 30 hari, mestilah perlu disediakan pakaian yang berpasang-pasang. Tidaklah canggung dibuatnya jika asyik memakai pakaian yang sama setiap hari.

Kuih-kuih muih beraneka jenis dan rasa juga perlu diambil kira kerana kita bakal meraikan tetamu yang akan datang mengunjung daripada saudara mara dan sahabat handai yang datang sekali sekala. Maka kita perlulah meraikan mereka dengan juadah yang paling enak, lazat dan sempurna. Supaya yang datang nanti akan puas apabila mengunjung ke rumah kita dan kita pun puas kerana melayan mereka dengan sebaik-baiknya.

Kita tentu seronok dan puas jika impian kita dapat kita tunaikan. “Emmmm, puas saya”. Apa yang puasnya bang, kakak, pakcik, makcik, adik? Pada 1 Syawal ini, rumah kita cukup berseri. Pakaian seluruh ahli keluarga kita telah kita sediakan. Puas dan puas. Puas kerana semuanya baru, mewah, berjenama, terkini, pelbagai dan terbaru.

Namun, inikah yang kita inginkan daripada Ramadhan yang kita lalui sepanjang 30 hari ini? Beginikah yang ingin dipersembahkan kepada Tuhan? Kita ingin berpuasa atau berpuas-puas pada yang sia-sia. Benarkah ini yang dituntut oleh agama? Adakah sepanjang bulan Ramadhan ini kita diminta berlumba-lumba untuk mengumpul pahala atau berlumba-lumba menjadi loba?

Perlu dan mestikah kita sambut hari raya dengan mewah, baru, berpasang-pasang, berjenama dan berpuas-puas. Apakah kita fikir anak jiran sebelah rumah kita akan dapat apa yang dia akan lihat pada kita. Alangkah sedihnya dia jika melihat kita berbaju baru sedangkan dia di pagi ini sedih dan pilu mengenangkan nasibnya yang yatim piatu, yang tiada ini dan itu

Fikir-fikirkan…

(Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2009, I Love Ramadhan, cetakan ke-2, hlm. 164)