Friday, April 18, 2008

4 Orang Anak Menjadi Khalifah!

Sebelum ini saya menyangka bahawa Khalifah Harun al-Rasyid dari kerajaan Abbasiyyah (132-656 Hijrah) yang mempunyai anak yang paling ramai menjadi khalifah selepasnya apabila 3 putera beliau iaitu Khalifah al-Amin, Khalifah al-Ma'mun dan Khalifah al-Mu'tasim (mengikut susunan) menjadi khalifah menggantikan sang ayah. Bahkan 4 beranak ini hidup pada zaman kegemilangan kerajaan Islam. Ini kerana 10 khalifah Abbasiyyah terawal bermula pada zaman al-Saffah sehinggalah al-Mutawakkil merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam. Harun al-Rasyid merupakan khalifah kelima kerajaan Abbasiyah.
Namun selepas mengkaji sejarah kerajaan Umayyah, saya mendapati terdapat seorang khalifah yang mempunyai 4 orang putera menjadi khalifah sesudahnya. Siapakah beliau?
Tentulah khalifah Abdul Malik b. Marwan yang berjaya menyusun semula kerajaan Umayyah selepas menghadapi konflik dalaman yang agak parah. 4 orang puteranya iaitu al-Walid, Sulaiman, Yazid dan Hisham merupakan 4 orang daripada 14 khalifah kerajaan Umayyah. Tidak hairanlah putera-putera ini dapat memberi sumbangan yang cukup bermakna lantaran hasil usaha sang ayah yang telah mengembalikan semula kewibaan Banu Umayyah apabila berjaya membenteras gerakan Mus'ab b. al-Zubair, Abdullah b. al-Zubayr dan Ibn al-As'asy serta mengeluarkan mata wang pertama Islam.
Ayuh! Semua para ayah, marilah kita berusaha mendidik anak-anak kita menjadi wira-wira yang dapat memberi sumbangan kepada agama suci ini. Amin.
Buat anak-anak ayah Ahmad Iyyash, Ahmad Aqqal, Ahmad Qassam, Ummu Hani dan Ummu Unays marilah kita memohon menjadi keluarga yang berbakti untuk agama.

No comments: