Sunday, November 9, 2008

Barbar...reformasi

Kepada pembaca sejarah di Afrika utara, untuk kita memahami iklim tersebut kita mesti membaca sejarah berkaitan Barbar. Antara konflik besar yang berlaku zaman Kerajaan Umayyah selain pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', kemunculan Ibn Zubayr, isu Hajjaj di Iraq maka reformasi Barbar tahun 122H merupakan salah satu topik penting dan menarik.

REFORMASI BARBAR

Perluasan kuasa Islam memerlukan tempoh yang lebih panjang di Afrika Utara berbanding Iraq, Syam dan Mesir. Tentera Islam mengambil masa lebih 60 tahun untuk membuka kawasan Afrika Utara. Antara cabaran utama tentera Islam semasa dalam usaha perluasan kuasa Islam di sana atau selepas kejayaan membukanya ialah berhadapan dengan puak Barbar.Selepas tentera Islam berjaya membuka Afrika Utara, puak Barbar yang merupakan penduduk asal Afrika telah menghadapi polisi pemerintahan yang berbeza di kalanngan gabenor-gabenor Afrika sama ada menikmati keadilan atau sebaliknya kezaliman.

Sebagai contoh pada zaman Muhammad b. Yazid menjadi gabenor Afrika, keadaan di Afrika begitu aman dan sepanjang tempoh pentadbirannya Barbar menikmati pentadbiran yang adil serta saksama. Sehinggakan polisi pentadbiran Muhammad b. Yazid yang berhikmah berjaya membawa pengislaman puak Barbar. Begitu juga ketika zaman Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir yang dilantik menjadi gabenor Afrika oleh Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, ahli sejarah bersepakat mengatakan seluruh puak Barbar telah memeluk Islam ketika itu. Bahkan Khalifah cUmar b. cAbd al-cal-Aziz telah menghantar 10 Tabi’in untuk mengajar Islam kepada puak Barbar tersebut.

Namun, sebaik Yazid b. cAbd al-Malik dilantik menjawat jawatan khalifah menggantikan cUmar b. cAbd al-cal-Aziz, beliau telah melucutkan jawatan Ismacil b. cAbd Allah b. Abu al-Muhajir lalu melantik Yazid b. Abu Muslim yang merupakan pembantu Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi. Yazid b. Abu Muslim kemudian telah menggunakan polisi yang keras ke atas Barbar sebagaimana yang dilakukan oleh Hajjaj b. Yusuf di Iraq yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Selepas itu, Bishr b. Safwan al-Kalbi yang dilantik menjadi gabebor Afrika berjaya mengembalikan ketenteraman yang dicetuskan oleh Barbar.

Namun demikian, selepas itu puak Barbar kembali menerima polisi yang keras oleh pemerintah Islam di Afrika Utara dan pada waktu yang sama kumpulan Khawarij telah ramai yang memasuki Afrika Utara kerana jauhnya tempat tersebut dari pusat pemerintahan Islam. Mereka kemudian telah menyerap masuk ke dalam puak Barbar dan menyebarkan fahaman mereka seperti tuntutan hak sama rata antara mereka dan Arab serta reformasi menentang kezaliman. Akhirnya pada tahun 122H/739 Barbar telah bangkit menentang pemerintah Islam di Afrika Utara yang ketika itu di bawah pimpinan cUbayd Allah b. al-Habhab di saat ramai tentera Islam sedang keluar berjihad di Pulau Sicily. Reformasi yang dilancarkan oleh Barbar dan kejayaan mereka membunuh peminpin Islam di Tanjah (Tangier) telah menggugat keamanan Afrika sehingga gabenor terpaksa memanggil balik tentera Islam yang sedang berjihad di Pulau Sicily yang diketuai oleh Habib b. Abu cUbaydah b. cUqbah b. Naficuntuk bersatu menghadapi Barbar. Gabenor Afrika sendiri turut menyiapkan pasukan tentera dari al-Qayrawan tetapi malangnya kemenanagan berpihak kepada Barbar.

Khalifah Hisham b. cAbd al-Malik kemudian telah melantik Kalthum b. cIyad al-Qushayri[1] untuk menggantikan cUbayd Allah b. al-Habhab untuk menghadapi Barbar tetapi tentera Islam sekali gagal dalam pertempuran yang berlaku pada tahun 124H/741 yang membawa kepada syahidnya dua orang tokoh besar iaitu Kalthum b. cIyad al-Qushayri dan Habib b. Abu cUbaydah. Hanzalah b. Safwan yang kemudian dilantik menjadi gabenor Afrika telah berjaya mengalahkan puak Khawarij dan Barbar. Polisi Hanzalah b. Safwan yang adil mengakibatkan keadaan di Afrika Utara kembali aman dan stabil. Namun demikian, keadaan tersebut hanya buat seketika waktu kerana Barbar kembali melancarkan reformasi pada zaman cAbd al-Rahman b. Habib yang dilantik menjadi gabenor Afrika Utara tahun 127H/744 menggantikan Hanzalah b. Safwan.



No comments: