Friday, March 13, 2009

Pengorbanan Rasulullah saw dari Allah untuk Islam

Ayah Rasulullah saw meninggal dunia ketika baginda baru 2 bulan di dalam kandungan ibunya, Aminah binti Wahab. Tentunya Allah mampu untuk menjadikan kekasihnya ini hidup berbapa seperti manusia lain jika Dia berkehendak.
Hanya selepas beberapa tahun bersama ibunya dan dalam perjalanan pulang selepas menziarahi pusara ayahandanya, ibunya pula meninggal dunia di bumi Abwa'. Mengapa seorang kekasih Allah dilahirkan dalam keadaan yatim piatu sedangkan Dia amat berkuasa menjadikan rasulNya ini membesar dengan kasih sayang ibu dan bapa.
Seterusnya baginda diletak di bawah jagaan datuknya, Abdul Mutallib dan episod duka ini berterusan selepas 2 tahun apabila datuknya pula meninggal dunia.
Kini baginda berpindah di bawah jagaan bapa saudaranya yang bernama Abu Talib. Abu Talib melihat pembesaran Rasulullah di hadapan matanya. Saban hari ia melihat baginda membesar dan terus membesar, menjadi remaja, berkahwin, meningkat dewasa dan sehingga di saat baginda diangkat menjadi utusan terakhir.
Namun, mengapakah Abu Talib yang begitu kasih dan cita tetap masih tidak mahu menjadi pengikutnya yang muslim.
Rasulullah sejak kecilnya terus menerus hidup dalam kemiskinan. Baginda hanya ditinggalkan seorang hamba yang bernama Ummu Aiman oleh harta bapanya. Dan di saat kewafatannya, baginda tidak meninggalkan harta buat waris-warisnya sedangkan baginda pernah di tawarkan gunung emas...

Mari kita berselawat ke atas baginda dengan sepenuh hati kita...

Untuk agama, Allah telah korbankan kekasihnya dengan kematian ahli keluarganya. Agama ditegak dengan pengorbanan, kepayahan, tekad dan air mata. Bukan dengan senyuman, gelak ketawa, hiburan dan berpeluk tubuh.

Ayuh semua berfikir...Apakah yang kita telah korbankan untuk agama. Mengapakah kita tidak berjaya korbankan lena, nyenyak kita, tidur kita hanya untuk sebuah solat subuh berjemaah.

Apakah pengorbanan lain selepas itu yang kita mampu laksanakan...jawablah sebelum nanti kita ditanya oleh Yang Maha Berkuasa.

Selawat semuanya...

No comments: