Thursday, October 30, 2008

Banjir sebagai satu ujian

Bermula dari 22 Nov 2008 yang lalu, kampung saya telah ditimba banjir besar yang tidak pernah terjadi sejak 40 tahun yang lalu. Beratus sahabat, jiran tetangga saya terpaksa dipindahkan ke surau dan sekolah berhampiran. Dalam masa seminggu kami sekampung bagai sekeluarga besatu hati cuba menghadapi ujian ini dengan semangat ukhuwwah.
Selesai sahaja dengan kesibukan banjir ini, saya diberi peluang oleh Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Selangor untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu dalam menyampaikan tajuk "Menggarap Idea Penulisan" bersama 62 guru-guru agama di Selangor yang berkampung 3 hari 2 malam di Hotel Beach Resort, Pordicson dari 28hb hinggalah 30hb yang lalu. Kesannya, maka blog saya ini tersadai beberapa hari yang panjang tanpa perkongsian baru. Maaf ya...
Kali ini saya ingin paparkan kepada rakan2 yang menziarahi blog ini dengan sedikit tazkirah yang sempat saya sampaikan melalui platform masjid saya sepanjang ujian banjir besar yang berlaku...mudah-mudahan kita dapat berkongsi sesuatu,

Surah al-Baqarah: 155-156

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

Saudara-saudaraku sekalian,

Hidup di dunia adalah penuh dengan ujian. Kaya atau miskin, senang atau susah, kenyang atau lapar, sihat atau sakit, suka atau gembira adalah termasuk ujian-ujian Allah. Ujian-ujian ini, yang diberikan oleh Allah perlu kita hadapi dan terima sama ada dengan bersyukur (berterima kasih) atau dengan sabar. Kita bersyukur di saat diberi kaya, senang, sihat dan kegembiraan. Sebaliknya kita hendaklah bersabar jika diuji miskin, sakit, lapar dan kesusahan-kesusahan yang lain. Hidup ini adalah gabungan antara ada masa kita bergembira lalu bersyukur atau ada ketika kita bersedih lalu bersabar.

Bermula dengan sambutan Aidilfitri pada 1 Syawal yang lalu, kita semua dianugerahkan dan diuji dengan pelbagai nikmat kegembiraan dan keseronokan daripada Allah swt. Al-hamdulillah, dalam keghairahan suasana hari Raya, kunjung mengunjung, meraikan rumah terbuka untuk merapatkan silaturrahim dan sebagainya, ramai antara kita yang tidak lupa untuk mensyukuri nikmat Allah dengan melakukan ibadat sepeti puasa enam Syawal, bersedakah terus mengunjungi rumah-rumahNya untuk menunaikan solat-solat Fardu walaupun suasana datang beramai-ramai bersama anak isteri dengan berpimpin tangan, bersama ibu bapa di malam-malam Ramadhan untuk berterawih sudah tiada kelihatan.

Saudara-saudaraku sekalian,

Sedang kita masih lagi di dalam kegembiraan bulan Syawal, tiba-tiba Allah menguji qaryah kita dengan banjir mengejut yang kita tidak sangka-sangka. Ujian ini menyebabkan sebahagian besar daripada saudara-saudara kita terpaksa berpindah, meninggalkan rumah, kehilangan barang-barang berharga, kerugian banyak harta benda dan berdepan pelbagai kesukaran yang lain. Kita akui, semuanya ini menuntut selaut kesabaran, yang bukannya sedikit.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita melalui sesuatu ujian yang bertentangan dengan nafsu keinginan kita. Namun, bagi kita orang Islam perlu melihat setiap ketentuan Tuhan itu, bukan sahaja dari sudut luaran atau fizikal tetapi dalamannya juga.

Surah al-Baqarah:216

Ertinya:

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Malangnya ada sebahagian kita yang hanya melihat sesuatu musibah itu dengan yang tersurat semata-mata seperti parit tersumbat, longkang yang gagal diselenggara. Pertumbuhan kilang-kilang yang tidak terancang atau apa sebab luaran yang lain.

Ayuh! Kita sama-sama juga, tanpa menafikan sebab banjir daripada yang fizikal tadi, memikirkan kepada sebab-sebab dalaman atau yang tersirat. Kita perlu fikir, muhasabah diri, mengetuk hati dan iman kita akan punca musibah yang menimpa kita bersama ini. Adakah musibah ini sebagai hukuman dan seksaan dari Allah kerana kedegilan dan keingkaran kita semua sehingga mengundang bala’ yang cukup berat ini? Atau adakah musibah ini sebagai satu teguran, peringatan, sapaan daripada Allah kerana kita leka, lalai di atas tanggungjawab kita padaNya?

Kita mendakwa kita mempunyai kenderaan baru yang laju tetapi ia gagal membawa kita menuju masjid atau suraunya. Kita mendakwa kita memiliki wang yang cukup tetapi kita berlengah-lengah untuk melaksanakan perintahNya seperi menunaikan haji. Kita mendakwa kita sihat dan muda tetapi kita sentiasa memberi alasan agar kita tidak melakukan ibadat seperti berpuasa enam di bulan Syawal. Kita sering berkira-kira dengan Allah di atas segala nikmat-nikmat pinjamanNya baik wangringgt, kesihatan, kenderaan dan sebagainya.

Atau mungkinkah kita masih mentaati dan patuh padaNya tetapi musibah ini diturunkan semata-mata untuk menguji kita semua agar saling bersabar, bekerjasama, bantu membantu untuk memberi kita pahala yang berlipat ganda seterusnya meninggikan darjat kita di sisiNya. Sekiranya berlian tidak akan mungkin tercipta tanpa tekanan dan suhu yang tinggi, maka kampung kita tidak akan indah seperti perkampung berlian yang pekduduknya disuburi dengan sifat-sifat Islam yang mulia jika tidak melalui ujian dari Allah.

Saudara-saudaraku sekalian,

Musibah-musibah yang sukar ini mengingatkan kita kepada saudara mara kita seagama, di seluruh dunia yang turut menerima ujian yang pelbagai daripada Allah. Saudara-saudara kita di Palestine yang terpaksa diusir daripada kampung halaman mereka sendiri sehingga menjadi pelarian sejak 60 tahun yang lau dalam tragedi Palestine pertama 1948, tinggal di khemah-khemah pelarian dalam suasana musim panas dan salji. Saudara-saudara kita di Iraq yang kehilangan saudara mara tersayang, kehilangan rumah kediaman, harta benda dan anggota akibat bedilan peluru yang tidak diundang. Banjir yang menimpa kita ini mudah-mudahan dapat mendidik dan melembutkan hati kita agar merasa simpati di atas musibah yang menimpa saudara mara kita seakidah, sekiblat yang mungkin jauh di mata kita tetapi wajib dekat di lubuk hati kita. Jadilah kita orang yang mudah menghulur bantuan tanpa perlu memikir panjang, memikir siapa kerana barangkali orang yang ditimpa musibah itu amat-amat memerlukan bantuan segera.

Saudara-saudaraku sekalian,

Ayuh kita muhasabah diri, kita insafkan diri kita, kita perkukuhkan ikrar yang selalu kita ulang-ulang iaitu Allahukbar yang bermaksud Allah maha Besar. Hari ini Dia telah menunjukkan kepada kita satu kekuasaanNya sahaja iaitu banjir dan kita yang kerdil ini sama sekali tidak mampu menghalangNya. Bahkan sebenarnya perkara yang lebih kecil daripada itupun kita tidak mampu melawannya. Siapakah yang mampu menghalng uban daripada tumbuh di rambutnya, gigi daripada tanggalnya, sakit yang datang menimpanya atau kematian yang menjemputnya dan sebagainya?

Kita adalah sangat kerdil, lemah, hina di hadapan Allah. Marilah kita memohon agar lidah-lidah kita sentiasa basah menyebut namaNya, anggota kita lembut untuk melaksanakan suruhannya, tangan dan kaki kita mudah melakukan kebaikan dan hati kita cenderung dengan kemulian dan benci dengan kejahatan.

Surah Muhammad : 38.

(ingatlah), kamu ini adalah orang-orang Yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu Yang berlaku bakhil, padahal sesiapa Yang berlaku bakhil maka Sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadanya Dalam Segala hal). dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Saudara-saudaraku sekalian,

Marilah kita berusaha menjadikan musibah banjir yang melanda ini untuk kita memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah. Sekiranya kita jauh marilah kita berusaha mendekatkan diri kita kepadaNya dengan memperbanyakkan amal, kita bertaubat menebus dosa-dosa kita yang lalu. Janganlah musibah menambahkan lagi dosa-dosa kita dan murka Allah kerana kejahilan dan kelekaan kita. Dalam suasana musibah ini, kita masih perlu menjalankan tanggungjawab kita dengan memelihara aurat kita, batas-batas pergaulan, tutur kata dan solat-solat kita. Ingatlah pernah berbicara dalam firmanNya surah al-Baqarah:153:

Ertinya:

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.

Kita bukan sahaja dituntut memohon bantuan Allah dengan bersabar tetapi dengan solat.

Sekiranya Thunami yang berlaku di Acheh telah menjadi sebab penyatuan kepada permusuhan yang berlaku puluhan tahun, maka tanpa perlu menunggu lebih lama, jadikan juga, peristiwa banjir ini untuk kita memupuk kembali persaudaraan Islam di kalangan kita umat Islam, menyatukan hati-hati kita yang terhijab dengan sikap dendam, irihati, syak wasangka, suka mengandu domba, suka berpecah belah dan segala sifat mazmumah yang lainnya. Kita jangan lupa bahawa penyakit-penyakit kronik hati ini bukan sahaja membahayakan hidup kita di dunia bahkan ia menjadi punca kepada terjerumusnya seseorang itu ke dalam api neraka.

اللهم أجرني في مصيبتي هذه وآخلف لي خيرا منها

Ya Allah, berikanlah pahala di atas musibah yang menipa kami ini dan gantikanlah bagi sesuatu yang lebih baik daripadanya.

No comments: