Assalamualikum saudara dan saudari seislamku semua. Semua kita terus ceria dan gembira di bulan Rahmat ini, Bulan Ramadhan al-Mubarak. Ayuh kita terus muhasabah diri kita supaya kita dapat sentiasa memperbaiki kekurangan2 kita. Topik muhasabah kita kali ini ialah;
Syok Jadi Penonton Atau Peserta?
Apa perbezaan antara menjadi penonton dan peserta? Mestilah berbeza. Penonton tidak terlibat secara langsung dengan sesuatu perkara. Dia hanya melihat daripada luar. Penonton duduk jauh-jauh tetapi peserta memang terlibat secara langsung dengan perkara tersebut. Sebagai contoh dalam perlawanan tarik tali. Peserta tarik tali memang terlibat dalam menarik tali, melawan, duduk dalam suasana pertandingan.
Mungkin pasukan yang kita tonton dan sokong itu memenangi perlawanan tersebut. Sudah nama kita pun hanya penonton, bukan sahaja kita tidak terlibat dalam permainan bahkan kalau mereka terima hadiah, kita juga hanya boleh tonton sahaja. Daripada mereka mula sepak sampai mereka julang piala kita hanya sekadar tengok. Kita pula yang habis ribuan ringgit. Itulah nilai seorang penonton. Penonton hanya boleh menang sorak dan teriak. Sebab itu peserta kenalah selalu hargai jasa–jasa penonton. Sudahlah mereka bergolok–gadai ratusan ringgit, kita pulak yang menjadi pemain bermain tidak segah mana tentulah marah mereka. Kami penonton tidak mengharap untuk disanjung sebagai penonton tetapi macam mana kita orang hendak sanjung pemain kalau mereka pun tidak sebagus mana.
Tentulah kalau kita hendak membezakan antara penonton dan peserta, pesertalah jauh lebih beruntung. Dia yang main, dia yang disanjung, dia yang dapat sorakan ramai, dia yang menjadi seluruh perhatian mata, seluruh mata tertumpu ke arahnya dan dialah yang akan menjulang piala dan habuan. Seluruh rezeki tertumpu kepadanya. Begitulah kita dalam hidup, sekiranya kita hanya menjadi tukang tonton kita tidak akan meraih apa–apa. Memanglah penonton itu penting tetapi dia tidak akan ke mana-mana. Mereka hanya dapat memberi sorak dan teriak. Habis permainan, habislah peranannya sedangkan peserta dapat membawa pulang habuannya.
Bila kita selalu menjadi penonton? Mana saya suka hendak menjadi penonton? Selalu juga kita menjadi tukang tengok dan tukang tonton sahaja, cuma kita tidak menyedarinya sahaja. Kalau kita sudah sedar baguslah. Setiap hari kita melihat ramai sahabat–sahabat kita, saudara–mara kita, jiran tetangga kita terpilih untuk menghadiri solat–solat jemaah di surau dan masjid kariah kita tetapi kita dok asyik jadi tukang tonton. Tidak hendak turut serta ke? Kita pun kata, kita sibuk, ada urusan lain, belum sampai seru dan macam–macam. Ingat! kita sudah setujukan tadi yang penonton tidak dapat apa–apa.
Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka selalu kita memilih untuk menjadi penonton berbanding hendak menjadi peserta. Apabila di masjid atau di surau kita ada mengadakan tadarus Al–Qur’an maka masing–masing dengan pelbagai alasan menarik diri daripada menjadi peserta. Akhirnya apabila sampai ke acara final, malam khatam Al–Qur’an mahu atau pun tidak, kita pun hanya sekadar menjadi penonton.
Apabila bab sembahyang terawih pula, ramai juga yang memilih jalan hanya hendak menjadi penonton sedangkan mereka tahu sangat yang penonton tidak dapat untung apa–apa. Tidak dapat menjulang piala kemenangan dan mendapat apa-apa habuan. Mereka hanya suka melihat orang turun–naik rukuk dan sujud sehingga 20 rakaat solat terawih tetapi dia hanya menonton sahaja dari belakang masjid. Akhirnya apabila Ramadhan mencecah angka ke-30 nya dia hanya berpuas hati dengan statusnya sebagai penonton walaupun dia tahu bahawa dia tidak meraih sebarang habuan. Sedangkan para peserta dapat merangkul piala keampunan dan mendapat gelaran ‘al-a’idin wa al-faizin’ (yang kembali bersih dan yang juara).
Begitulah juga dalam ibadat–ibadat kita yang lain. Orang lain sudah 2-3 kali sampai ke tanah suci dia hanya sibuk menjadi tukang iring dan tukang tonton sahaja. Awak tu bila pula hendak menjadi pesertanya? Kalau umur sudah 40 tahun dan 50 tahun tetapi masih hanya jadi penonton, ini apa ceritanya. Baru-baru ini saya menyusun program 5 siri di masjid kampung saya belajar 55 kesalahan-kesalahan pembaca surah al-fatihah dalam solat dan pembetulannya. Dalam ramai-ramai peserta yang hadir itu, ada yang bertanya “kenapa ada 55 ustaz?” Lalu ustaz yang mengajar itu pun menjawab dengan seloroh “itu nombor simbolik umur orang pencen, ertinya kalau sampai umur pencen 55 tahun tetapi masih belum betul kita membaca al-fatihah, masalah lah kita”. Jadi pastikan kita selalu menjadi peserta bukan hanya penomton sahaja.
Tabung masjid sudah bergerak ke arah kita. Kita melihat semua orang kiri dan kanan kita sudah menyumbangkan sedikit hartanya tetapi apabila tabung itu sampai ke hadapan kita, kita hanya melihat sahaja. Jadi penonton. Tidak mahu hendak menjadi peserta. Peserta yang meraih kemenangan lantaran memberi sumbangan daripada sebahagian kecil rezekinya.
Orang lain pun ada kerja, penat bertemu kesesakan jalan lewat petang setiap hari tetapi sempat juga mengunjungi rumah Allah dan duduk sekejap menghadiri majlis ilmu dan makanan minda. Menjadi peserta di kuliah-kuliah agama di masjid. Bukankah kita selalu mendengar ulama berkata yang ilmu lebih bernilai daripada harta. Kata Saidina Ali bin Abu Talib karramallahu wajhah;
1. Ilmu pengetahuan dapat memelihara kita tetapi harta kita yang terpaksa memeliharanya.
2. Semakin bertambah ilmu semakin bertamban teman tetapi semakin bertambah harta semakin bertambah musuh.
3. Ilmu semakin dikeluarkan semakin bertambah tetapi harta semakin dikeluarkan semakin berkurang.
Mmm… amacam? Masih syok hendak jadi penonton atau peserta? Peserta. Tahu pun. Jom kita meraih kemenangan selepas kita menjadi peserta yang hebat. Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi pemenang mesti menjadi peserta dahulu. Kalaulah menjadi peserta pun belum tentu hendak menjadi pemenang, jangan haraplah penonton akan menjulang kemenangan kerana kita bukan peserta!
Bukan semua peserta akan menjadi pemenang dan
menjulang kemenangan tetapi syarat untuk menjadi
pemenang mesti menjadi peserta dahulu
Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2008, Yang Pelik Lagi Hairan, Karnadya Solution
No comments:
Post a Comment