InsyaAllah kalau tiada aral, pada hari Khamis ini 28hb saya akan berdiskusi ILR dengan kawan2 di Johor Bahru.
Namun, masih ada yang bertanya "apa bestnya buku ini?". Saya tak dapat nak jawablah soalan ini sebab saya penulisnya. Cubalah bertanya orang yang sudah membacanya. Lagipun semua orang ada persepsi, kecenderungan dan bias masing2.
Apa2 pun, buku ini menceritakan 66 isu (bab) yang mengandungi elemen agama dan motivasi dengan gaya olahan kecindan.
Suka saya bawakan di sini satu bab daripada bab2 yang banyak itu. Selebihnya, dapatkanlah yang original.
Puasa Atau Puas-puas?
Apa perbezaan antara puasa dan puas? Tentulah besar perbezaan antara puasa dan puas atau puas-puas? Berbeza dari segi ejaan, bunyi sebutan dan maknanya.
Puasa Ramadhan ini datang sekali-sekala. Sepanjang Ramadhan kita ingin merasa juadah berbuka yang terenak. Maklumlah sudah 12 jam kita berlapar dan berdahaga. Puas saya jika dapat makan seekor ayam golek, 2 ekor ikan keli bakar dan… Puas saya kalau dapat minum…
Hari Raya Aidilfitri pun begitu juga. Kita semua sudah arif dan maklum. Namun, kita amat risau jika kerana ia sekali-sekala maka kita pun tersasar dalam meraikannya. Kita terlupa, terleka dan terikut-ikut sama. Apabila sudah sekali-sekala maka kita pun beranggapan ia perlu disambut dengan semeriahnya. Kita selalu kata “Apalah salahnya…”, iakan setahun sekali. Apalah salahnya, itulah yang salah jika menyebabkab kita membazir, lupa daratan, ingin berlawan-lawan untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
Sofa yang lama perlu diganti dengan yang baru. Langsir dan cadar katil pun turut sama perlu ditukar ganti dengan warna dan corak yang lebih sesuai dan terkini. Semua mestilah baru sebab hari raya nanti, rumah kita akan dikunjungi orang ramai dan saudara mara. Malulah kita jika masih menggunakan benda-benda yang lama.
Bukan sekadar perhiasan di dalam rumah yang perlukan perhatian tetapi yang di luar pun juga jangan terlepas pandang. Sudah 12 bulan cat rumah tidak bertukar ganti. Kalau dahulu sudah 12 bulan berwarnakan biru muda, maka tahun ini mata kita jatuh cinta pula pada warna hijau muda dan coklat pula. Tentulah nafsu kita berbisik-bisik di telinga “Takkanlah perabut di dalam rumah cantik berseri tetapi di luar rumah tidak berganti”
Baju raya perlu juga yang baru, daripada jenis kain terkini, ditempah mengikut fesyen terbaru. Mungkin tidak cukup sepasang tetapi perlu kepada berpasang-pasang kerana kita telah berpuasa sebulan lamanya. Puasa sebulan, maka hari rayanya juga perlulah diraikan sebulan lamanya. Kalau sudah menyambut hari raya 30 hari, mestilah perlu disediakan pakaian yang berpasang-pasang. Tidaklah canggung dibuatnya jika asyik memakai pakaian yang sama setiap hari.
Kuih-kuih muih beraneka jenis dan rasa juga perlu diambil kira kerana kita bakal meraikan tetamu yang akan datang mengunjung daripada saudara mara dan sahabat handai yang datang sekali sekala. Maka kita perlulah meraikan mereka dengan juadah yang paling enak, lazat dan sempurna. Supaya yang datang nanti akan puas apabila mengunjung ke rumah kita dan kita pun puas kerana melayan mereka dengan sebaik-baiknya.
Kita tentu seronok dan puas jika impian kita dapat kita tunaikan. “Emmmm, puas saya”. Apa yang puasnya bang, kakak, pakcik, makcik, adik? Pada 1 Syawal ini, rumah kita cukup berseri. Pakaian seluruh ahli keluarga kita telah kita sediakan. Puas dan puas. Puas kerana semuanya baru, mewah, berjenama, terkini, pelbagai dan terbaru.
Namun, inikah yang kita inginkan daripada Ramadhan yang kita lalui sepanjang 30 hari ini? Beginikah yang ingin dipersembahkan kepada Tuhan? Kita ingin berpuasa atau berpuas-puas pada yang sia-sia. Benarkah ini yang dituntut oleh agama? Adakah sepanjang bulan Ramadhan ini kita diminta berlumba-lumba untuk mengumpul pahala atau berlumba-lumba menjadi loba?
Perlu dan mestikah kita sambut hari raya dengan mewah, baru, berpasang-pasang, berjenama dan berpuas-puas. Apakah kita fikir anak jiran sebelah rumah kita akan dapat apa yang dia akan lihat pada kita. Alangkah sedihnya dia jika melihat kita berbaju baru sedangkan dia di pagi ini sedih dan pilu mengenangkan nasibnya yang yatim piatu, yang tiada ini dan itu
Fikir-fikirkan…
Kalau ada rasa buku ini okey, uar-uarkan pada yang lain tp kalau tidak, jangan lupa emelkan cadangan anda itu pada saya. Mudah-mudahan kita berusaha menjadi yang lebih baik daripada semalam...
No comments:
Post a Comment