Sunday, April 5, 2009

Ayuh kita teruskan semangat membaca...Sejarah Bani Israel

Sejarah Bani Israel adalah sejarah yang panjang dan perlu penelitian dalam pengkajiannya. Perkataan Israel adalah gelaran kepada Nabi Yaakob yang berasal daripada perkataan bahasa Ibri yang bermaksud hamba Allah. Adapun perkataan bani bermaksud anak-anak. Maka Bani Israel bermakna anak-anak dan keturunan nabi Yaakob A.S.

Nabi Yaakob adalah anak kepada nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim Khalilullah. Dr. Solah Al-Khalidi berpendapat ada perbezaan antara penggunaan perkataan Bani Israel dan Yahudi. Allah menggunakan perkataan Yahudi sebanyak 8 kali kesemuanya pada ayat-ayat madani iaitu pada surah al-baqarah, al-maidah dan at-taubah dalam nada kejian dan hinaan. Ketika mereka beriman, Allah menamakan mereka Bani Israel tetapi tatkala mereka kufur kepada Nabi Muhammad mereka dipanggil dengan nama Yahudi

Bani Israel telah melalui zaman jatuh bangun yang panjang. Pernah melalui zaman emas sehingga digelar bangsa pilihan Allah dan pernah melalui melalui zaman pahit sehingga dibunuh dan terpaksa hidup dalam buangan. Mereka mula tinggal di bumi Palestin sejak zaman Nabi Yaakob.

Sebelum itu Palestin telah didiami oleh golongan Yabusiyin daripada Bani Kan’an. Mereka inilah bangsa pertama yang mendiami Quds atau Palestin dan telah mengimarahkannya. Kemudian Bani Israel telah berpindah ke Mesir pada zaman Nabi Yusuf apabila Nabi Yusuf menjawat jawatan menteri kewangan Mesir ketika itu. Mereka tinggal beberapa ketika di sana sehinggalah pada zaman Firaun.

Firaun sebagai penguasa kerajaan Mesir dan berbangsa Qibti telah menindas dan membunuh Bani Israel. Akhirnya Allah telah memerintahkan Bani Israel keluar daripada kekejaman Firaun di bawah pimpinan Nabi Musa AS. Mereka telah diberi layanan istimewa sehingga Allah telah menaungi mereka dengan awan dan telah dihidang dengan makanan dari syurga iaitu manna dan salwa.


Ertinya:

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa". Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya kami akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri; (Al-baqarah: 2:57)

Salah satu nikmat Tuhan kepada mereka ialah mereka selalu dinaungi awan di waktu mereka berjalan di panas terik padang pasir. Mereka juga dihidang manna ialah makanan manis sebagai madu dan Salwa ialah burung sebangsa puyuh.

Tetapi disebabkan kekufuran mereka, Allah telah mengharamkan mereka memasuki Palestin dan mereka tinggal dalam zaman tih di Padang Pasir Sinai sehinggalah kewafatan Nabi Musa dan Nabi Harun AS. Ini semua kerana mereka telah menyembah lembu buatan, menolak beriman kepada Allah sehingga dapat melihatNya secara terang, menolak makanan manna dan salwa serta enggan memasuki Palestin.

Setelah melalui tempoh hukuman, mereka kemudiannya telah berjaya memasuki Palestin di bawah pimpinan Yusya’ bin Nun. Mereka membawa bersama mayat nabi Musa AS dan telah dikebumikan di antara Areha dan Quds yang terkenal dengan nama Khan al-Ahmar. Selepas tempoh inilah bangsa Bani Israel ini melalui zaman emas mereka iaitu pada Nabi Daud dan zaman puteranya Nabi Sulaiman.

Nabi Daud telah menjadi raja selepas kematian Talut. Sebelum itu Nabi Daud merupakan antara tentera Talut yang telah berjaya membunuh raja Jalut. Selepas kewafatan Nabi Daud, Nabi Sulaiman telah dilantik menjadi raja. Keluasan kerajaan dibawah pemerintahannya telah keluar daripada sempadan bumi Palestin sehingga sampai ke negara Yaman yang ketika itu diperintah oleh kerajaan Saba’ yang diketuai oleh Raja Balqis. Keluasan kerajaannya sampai ke Syam sehingga dikatakan Nabi Sulaiman mengenakan jizyah ke atas semua raja-raja Syam.

Sekalipun bangsa Bani Israel melalui zaman keagungan pada zaman keluarga Daud AS ini tetapi kekuasaan mereka tidak mampu bertahan lama kerana tabiat mereka yang suka melakukan kefasikan, kerosakan, menyelewengi agama Allah dan mengubahsuai syariat Allah. Silih berganti nabi diutuskan kepada mereka tetapi mereka dilawan dan sebahagiannya dibunuh. Sehinggakan kepimpinan agama dikuasai oleh golongan berhawa nafsu dan berkepentingan kebendaaan. Apabila muncul sahaja golongan yang ingin membuat islah akan ditipu daya oleh mereka.

Selepas dua zaman ini Bani Israel telah mengalami berbagai-bagai situasi. Kerajaan mereka selepas kewafatan Nabi Sulaiman terpecah kepada Kerajaan Utara dan Kerajaan Selatan. Mereka melalui zaman kejatuhan kerajaan ditangan Asyuriyyin, Roman, zaman Diaspora, revolusi Barkuba dan zaman Konstantin serta pembukaan Islam zaman Umar Al-Khatab.

Dalam sejarah Bani Israel yang panjang ini kisah-kisah yang menceritakan Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman merupakan antara plot-plot terpenting dalam perjalanan sejarah mereka.

No comments: