Sunday, July 12, 2009

Sultan Muzaffar Quttuz...

Kalau kita ingin membaca sejarah Mongol maka mesti kita perlu membaca nama Genghis Khan dan Hulagu Khan.

Dan sejarah terbesar mereka tentulah apabila mereka berjaya menjatuhkan Baghdad yang ketika itu merupakan ibu kota Kerajaan Abbasiyyah tahun 656H.

Adapun dipihak Islam, apabila kita membaca serangan Mongol ini maka tokoh penting yang kita perlu kenal ialah Sultan Qutuz.

Kenapa?

Kerana beliaulah yang berjaya menyekat kemaraan Mongol ini apabila berjaya mengalahkan musuh dalam perang Ain Jalut.

Berapa ramai orang Islam hari ini yang membaca, mengenali tokoh agung ini? Ya, kita memang buta sejarah. Anak-anak kita, masyarakat kita amat jauh dengan sejarah Islam. Apatah mengenali tokoh-tokoh hebat yang pernah menjulang atas nama Islam.

Ayuh! Sebarkan, sampai-sampaikan cerita-cerita hebat ini buat saudara-saudara kita yang lain....

Biodata Sultan Qutuz (…-658H/1260m)

Nama beliau ialah Qutuz bin Abdullah al-Mu’izzi Saifuddin. Tidak diketahui tarikh kelahirannya adapun tarikh wafatnya pada tahun 658h bersamaan 1260m

Dikatakan namanya Mahmud bin Mamdud. Ibunya adalah saudara perempuan kepada Sultan Jalaluddin Khawarizmshah dan bapanya anak kepada bapa saudara sebelah bapa Sultan Jalaluddin. Beliau telah ditawan ketika serangan Mongol lalu dijual di Damsyiq dan kemudiannya berpindah ke Kaherah. Beliau merupakan hamba kepada seorang peniaga.

Qutuz merupakan seorang pemuda yang berambut perang, berjanggut panjang dan bertubuh tegap. Beliau merupakan seorang yang soleh, kuat mendirikan solat berjemaah dan tidak pernah mengambil arak.

Beliau merupakan salah seorang daripada Mamalik Bahriah. Merupakan tentera Mamalik yang paling berani. Beliau adalah terkenal sebagai seorang panglima, sangat berani, mahir dalam politik, kuat agama dan suka kepada rakyat.

Qutuz merupakan Sultan Mamalik selepas Aybak yang dikenali sebagai Sultan al-muiz Izzuddin Aybak al-Jasyinker at-Turkumani as-Salihi dan anaknya Ali yang digelar Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Aybak .

Selepas menjadi sultan, Qutuz digelar Sultan al-Muzaffar atau nama penuhnya Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz.

Sehingga zaman beliau, Mamalik dikuasai oleh Syaratuddur, Sultan Aybak, Sultan Ali dan Sultan Qutuz sendiri.

Kerajaan Mamalik bermula tahun 648H. Sultan al-Muiz Aybak menjawat jawatan Sultan Mamalik sehingga 655H. Kemudian Sultan Ali sehingga tahun 657H sehinggalah perlantikan Sultan Qutuz yang menjadi sultan hanya setahun antara 657-658H.

Bukan semua golongan Mamalik ini merujuk kepada hamba yang dijual kerana ada di kalangan mereka adalah kumpulan daripada bangsa Turki yang lari daripada serangan Mongol. Mereka melarikan diri dan berkhidmat di bawah sultan-sultan Mesir.

Dalam tempoh yang singkat muncul daripada kalangan mereka ini generasi baru yang yang mampu menjawat beberapa jawatan. Di antara mereka inilah Sultan Qutuz yang merupakan keturunan raja yang sampai kepada Raja Khawarizm Shah.

Beliau dibunuh oleh pembesarnya antara al-Ghurabi dan As-salihiah pada 16 Zulkaedah tahun 658 hijrah dan tidak sampai setahun menjadi sultan Mamalik ketika pulang ke Mesir sekembali daripada peperangan Ain Jalut setelah menewaskan Mongol.

Dikatakan ketika beliau ingin kembali ke Mesir telah dihadang oleh panglima tenteranya Bybaras dan sekumpulan besar pemimpin tenteranya lalu membunuhnya. Selepas iti beliau dikebumikan di al-Qasir dan kemudian dipindahkan ke Kaherah. Sultan Mamalik selepasnya ialah Sultan Ruknuddin az-Zahir Baybaras.

No comments: