Wednesday, February 4, 2009

Permulaan Kerajaan Umayyah

Selepas kematian cAli b. Abu Talib, umat Islam telah melantik puteranya iaitu al-Hasan b. cAli sebagai khalifah yang baru, tetapi kerana menjaga kesatuan umat Islam ketika itu, al-Hasan telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatan tersebut. Dengan perletakan jawatan tersebut oleh al-Hasan b. cAli dan dilantik Mucawiyah b. Abu Sufyan sebagai khalifah pada tahun 41H/656M yang disebut sebagai cAm al-Jamacah maka bermulalah zaman Kerajaan Umayyah yang kemudian telah memilih Damsyik, Syam sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. cAm al-Jamacah (Tahun Perdamaian) berlaku pada tahun 41H/656M apabila al-Hasan b. cAli dan Mucawiyah b. Abu Sufyan berkumpul lalu al-Hasan bersetuju untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Mucawiyah selepas beliau menjawat jawatan tersebut selama 7 bulan dan 7 hari. (Lihat Al-cAsfari, 1414H/1993M, Tarikh Khalifah b. Khayyat, hlm. 152; Ibn al-‘Athir, jil. 3, hlm. 271) Mucawiyah b. Abu Sufyan telah dibaiah oleh umat Islam di Kufah dan kemudian beliau telah kembali semula ke Syam. Beliau telah melantik Al-Mughirah b. Syucbah (w.50H/670M) sebagai gabenornya di Kufah. Mucawiyah b. Abu Sufyan sememangnya mendapat pengiktirafan apabila sahabat yang masih hidup dan sebahagian besar umat Islam telah membaiah beliau serta mengiktirafnya sebagai khalifah yang sah. Bahkan mereka merestui kepimpinannya sebagai orang yang paling layak memimpin umat Islam dan memikul tanggungjawab tersebut ketika itu. Mucawiyah b. Abu Sufyan telah menasabkan kerajaan yang diasaskannya ini kepada nama moyangnya iaitu Umayyah b. cAbd Shams sebagai strategi politik untuk menyatukan semua anak cucu Umayyah untuk menyokongnya.

No comments: