Wednesday, February 4, 2009

Sejarahku sendiri

Pagi itu rupa-rupanya pagi terakhir buat ibu mertuaku Hajah Rahmah binti Mahmud. Jam 6 pagi aku menerima panggilan daripada abang Umaq yang dalam keadaan hiba memberitahu keadaan ibu yang sungguh tenat.
Kami sekeluarga segera menyiapkan diri untuk bergerak dari Kelang ke Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar. Jam 12.15 tgh kami tiba untuk melawat ibu yang terbaring di atas katil wad icu. Anak-anakku berlima menangis kerana tidak diberi izin untuk menjenguk wajah toknya yang tenat ketika itu.
Setelah selesai anak-anak membaca yasin, tepat jam 6.15 ptg, 28 Januari 2009 ibu kembali mengadap Tuhan Yang Maha Esa. Kami reda dengan linangan air mata kerana ibu cukup baik melayanku sebagai menantunya.
Ayah segera menghampiriku untuk berpesan agar aku mengimami solat jenazah ibu esok hari. Malam itu kami semua tidur menjaga jenazah ibu yang terbaring kaku dengan iringan bacaan Yasin dan doa.
Walaupun dihadiri oleh ratusan manusia dan para ustaz, ayah tegas agar aku sendiri yang mengimami solat jenazah ibu. Aku akur walaupun bimbang akan mengalirkan air mata di saat aku bersolat.
Kuminta agar isteriku turut menyertai memandikan jenazah ibunya sendiri sebagai penghormatan terakhir.
Akhirnya ibu disemadikan di tanah perkuburan Behor Chicak, Kangar.
Seorang wanita 70an menyapaku "Ustaz! seumur hidup makcik di Perlis, makcik tak pernah lihat seorang ibu diimamkan oleh anaknya sendiri" seolah akur dengan apa yang telah aku lakukan. "Ini sahaja yang dapat saya lakukan untuk arwah ibu makcik" aku menjawab.
Selama 3 hari aku terus menziarahi kubur ibu. Sayunya aku dihari terakhir sebelum aku pulang ke Kelang apabila aku sempat lagi singgah di perkuburan ibu. Walaupun saat itu jam 12 tgh dan cuaca amat terik, aku lihat basahan air yang semalam ku sirami atas tanah perkuburan ibu masih jelas basah dan terlihat kesan curahan airnya.
Amin, moga ibu dirahmati Allah dan aman di alam barzakh. Semoga kita dihimpun nanti di dalam syurga Allah.

No comments: