Sunday, February 8, 2009

Konflik politik zaman Kerajaan Umayyyah

Sepanjang 91 tahun memerintah kerajaan yang luas dari tahun 40-132H dan menjadi penguasa tunggal memerintah Andalus, Afrika, Mesir, Semenanjung Arab, pulau-pulau Mediterranean, Armenia, Syam, Iraq, Iran, al-Sind, Ma Wara' al-Nahar tentulah menghadapi zaman turun naik.

Perlantikan Yazid b. Mucawiyah sebagai Wali al-cAhd (putera mahkota)

Pada zaman Mucawiyah b. Abu Sufyan, beliau sendiri menghadapi suasana yang tidak stabil apabila menghadapi dua kumpulan yang menentangnya iaitu Khawarij dan kumpulan al-cAliwiyyin. Kedua-dua kumpulan ini banyak bertebaran di Kufah dan Basra dan menjadikan Iraq sebagai medan perjuangan mereka. Sehingga dikatakan keadaan di Iraq sepanjang zaman pemerintahan Mucawiyah b. Abu Sufyan tidak dapat stabil sepenuhnya sekalipun dipimpin oleh gabenor yang hebat dan ia merupakan kawasan yang paling rumit.

Perlantikan Yazid b. Mucawiyah menjadi Wali al-cAhd yang akan menggantikan Mucawiyah b. Abu Sufyan sebagai khalifah merupakan isu paling besar yang menyebabkan ramai menolak Mucawiyah b. Abu Sufyan dan mengkritik beliau kerana telah melakukan cara perlantikan khalifah yang tidak pernah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin sebelumnya. Mucawiyah b. Abu Sufyan telah melantik Yazid b. Mucawiyah dan umat Islam telah bersetuju untuk membaiahnya kecuali beberapa orang tokoh seperti Husin b. cAli, cAbd Allah b. cUmar dan cAbd Allah b. al-Zubayr. Idea perlantikan Yazid dikemukakan oleh gabenor Mucawiyah b. Abu Sufyan di Kufah iaitu Al-Mughirah b. Syucbah. Cadangan Mucawiyah b. Abu Sufyan untuk memilih bakal penggantinya itu dengan tujuan mengelakkan perpecahan masyarakat Islam dan demi menjaga kesepaduan mereka.

No comments: