Thursday, February 21, 2008

Mempromosi Nama Sahabat dan Sahabiyat

MEMPROMOSIKAN NAMA-NAMA SAHABIYAT: KALAU BUKAN ORANG ISLAM, MAKA SIAPA LAGI?

Pada hari Ahad 17 Februari 2008, saya telah dikurniakan anak yang kelima selepas Ahmad Iyyash, Ummu Hani’, Ahmad Aqqal dan Ahmad Qassam. Dengan lahirnya anak kelima ini maka saya telah dikurniakan oleh Allah 3 orang putera dan 2 orang puteri yang kesemuanya saya namakan dengan nama tokoh-tokoh Islam. Mencari nama untuk anak lelaki adalah lebih mudah daripada mencari nama anak perempuan yang berkaitan dengan tokoh Islam dan sedap didengar oleh telinga.

Namu demikian, semua itu ada penyelesaiannya. Ramai sarjana Islam sejak awal lagi telah menulis nama-nama tokoh wanita Islam. Dalam Tabaqat Ibn Saad ada 629 orang tokoh wanita, al-‘Istiab Ibn Abd al-Barr 399 orang, Tarikh Baghdad oleh Khatib al-Baghdadi ada 31 orang , Tarikh Dimashq Ibn Asakir 200 orang, Siyar al-Zahabi 93 orang, al-Isabah Ibn Hajar al-Asqalani 1551 orang dan ramai lagi. (Rujuk Wan Kamal Mujani; Ketokohan dan Keintelektualan Wanita: Satu Analisis Sejarah Berdasarkan Sumber-sumber Biografi Islam)

Wahai teman-temanku sekalian!

Marilah kita sama-sama menaikkan nama-nama tokoh-tokoh agung Islam ini dengan sekurang-kurangnya menamakan anak-anak kita atau apabila kita dirujuk oleh mana-mana pihak yang inginkan pandangan kita. Jika bukan kita orang Islam yang mempromosikan nama-nama pejuang Islam dan sahabiyat, maka sipa lagi?

TERDAPAT PERBEZAAN ANTARA NAMA TOKOH ISLAM DAN NAMA KEARABAN.

Ramai sahabat-sahabat kita pada hari yang kita lihat cenderung menggunakan nama-nama yang ada bunyi ‘kearaban’ untuk cahaya mata mereka. Namun anda jangan terpedaya dengan bunyi arab sahaja. Kebanyakan nama sahabiyat adalah nama Arab (Ada juga sahabiyat yang berbangsa Rom atau Qibti…etc) tetapi kebanyakan nama Arab itu bukan dari nama sahabiyat. Jangan terkeliru. Apabila anda ingin memilih satu nama dari kalangan tokoh atau sahabiyat maka semaklah dahulu dalam buku tarajum atau tabaqat.

SIAPAKAH UMMU UNAYS?

Al-kisahnya, selepas merujuk pelbagai nama, saya dan isteri cenderung menamakan puteri baru kami dengan Ummu Unays. Tanggal Khamis, 21 Februari 2008 maka dengan rasminya anak kelima kami ini bergelar Ummu Unays. Maka ramailah saudara mara dan sahabat handai bertanya. Siapakan itu Ummu Unays?

Ramai sahabat awal yang telah mendapat penyeksaan di era Mekah zaman Rasulullah saw. Yang biasa kita dengar tentulah Bilal b. Rabah, Keluarga Yasir dan Sumayyah. Namun demikian adakah mereka ini sahaja? Ada yang lain? Ya. Ada. Antara sahabat lain yang pernah diseksa ialah Amir b. Fuhayrah dan Abu Fukayhah. Adapun dari kalangan wanita selain Sumayyah ialah Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ummu Unays adalah hamba kepada Bani Zuhrah. Al-Aswad b. Abd Yaghuth telah menyiksa beliau tetapi tidak mampu menggugat imannya. Beliau telah menunjukkan kesabaran dan kecekalannya dalam sejarah keimanan, kepahlawanan dan pengorbanan semata-mata untuk Allah. (Rujuk Muhammad b. Muhammad Abu Shuhbah, al-Sirah al-nabawiyyah fi dhaw’ al-Qur’an wa al-Sunnah)

PEMBELA SAHABAT-SAHABAT YANG DISEKSA.

Allah telah melahirkan seorang lelaki yang hatinya begitu lembut kepada insan-insan yang lemah dan para hamba. Beliau telah membelanjakan harta yang banyak untuk membeli dan membebaskan hamba-hamba yang diseksa oleh tuan-tuan mereka. Tokoh agung ini tentulah tidak lain dan tidak bukan Abu Bakar b. Abu Quhafah al-Siddiq.

Antara hamba-hamba yang berjaya dibebaskan oleh beliau ialah Bilal b. Rabah, Abu Fukayhah, Amir b. Fuhayrah, Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ya Abu Bakr! Engkau telah membebaskan para hamba sebelun turunnya syariat menggalakkan pembebasan hamba-hamba.

1 comment:

abdullah said...

Assalamua'laikum ustadz

Izinkan saya berkongsi artikel ustaz ini dengan teman2 dari Jepun ye. Sumber asalnya (iaitu blog ini) juga saya sertakan bersama, insya-Allah.