Tuesday, March 2, 2010

Engkau Amanah Maka Rakyatmu Pun Begitu

Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab telah berlaku perluasaan kuasa Islam ke wilayah Byzantine atau Rom timur dan Parsi. Bahkan setelah melalui peperangan yang rumit dan banyak akhirnya Kerajaan Parsi berjaya ditumbangkan.

Maka tatkala tentera-tentera Islam membawa segala harta kisra Kerajaan Parsi daripada perhiasan ke Madinah untuk di sembahkan kepada Khalifah Umar, Umar pun berkata;

“Sesungguhnya kaum yang membawa semua ini adalah orang yang sangat amanah”

Saidina Ali bin Abu Talib yang mendengar kata-kata Umar lantas berkata;

“Sesungguhnya engkau (wahai Umar) telah berlaku jujur maka rakyatmu pun berlaku demikian (kerana mencontohimu)”

Sunday, February 21, 2010

Kenali Rasul kita....

IBU SUSUAN...

Ramai orang-orang penting dalam hidup Rasulullah saw. Antaranya ialah ibu susuan baginda saw.

Sirah menyebut 2 nama besar wanita yang pernah menjadi ibu susuan baginda saw.

1. Thuwaibah
Beliau ialah hamba kepada Abu Lahab yang kemudian telah dibebaskan. Turut berkongsi bersama Rasulullah saw menjadi anak susuan Thuwaibah ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abu Salamah.

Thuwaibah pernah menemui Rasulullah selepas baginda berkahwin dengan Khadijah dan Khadijah amat menghormatinya.

Baginda pernah pakaian dari Madinah kepada Thuwaibah sehingga Thuwaibah meninggal dunia selepas pembukaan Khaibar.

2. Halimah binti Zu’aib.
Turut menyusu bersama Rasulullah dengan Halimah ialah Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Mutalib dan 2 anak Halimah sendiri iaitu Unaisah dan Huzafah.

Adapun Ummu Aiman atau nama sebenarnya Barakah binti Tha’labah adalah pengasuh baginda dan bukan ibu susuan.
Beliau lebih terkenal dengan nama Ummu Aiman iaitu ibu kepada Aiman bin Ubayd al-Habsyi.
Selepas itu, Ummu Aiman berkahwin dengan Zaid bin Haritah dan dikurniakan anak bernama Usamah bin Zaid.
Asalnya Ummu Aiman adalah di bawah ayah baginda tetapi kemudia diwarisi oleh baginda saw. Rasulullah saw pernah menziarai beliau dan begitu juga Abu Bakar dan kemudian Umar al-Khattab.
Rasulullah pernah berkata “Ummu Aiman adalah ibuku selepas ibuku”

Monday, February 1, 2010

Hari-hari terakhir kewafatan Manusian Agung…

Rasulullah saw telah ditimpa sakit selama 2 minggu lamanya. Bermula dari 29 Safar sehingga 12 Rabiul Awwal.

Banyak perkara besar yang berlaku sepanjang 13 atau 14 hari tersebut.

Sehari terakhir sebelum wafat iaitu pada hari Ahad, 11 Rabilul Awwal, baginda melakukan 3 perkara besar pengajaran buat kita semua…

1. Mensedekahkan semua duitnya sebanyak 7 dinar.
Seorang pemimpin yang mentadbir sebuah kerajaan hanya mempunyai 7 dinar! Lalu disedekahkan keseluruhannya pula!

2. Menghadiahkan senjata miliknya kepada umat Islam

3. Malam terakhir hidup di dunia ini sebelum saat kewafatannya esok harinya, isteri Baginda iaitu A’isyah terpaksa meminjam minyak untuk menyalakan pelita di rumah baginda.

Kalaulah baginda ingin harta kekayaan sudah pasti terhidang di hadapannya. Tetapi baginda meninggalkan kita umat Islam dengan tidak meninggalkan harta dinar atau dirham tetapi hidayah, iman, syariat yang agung dan sebaik-baik umat.

Ucaplah selawat dan salam buat Rasulullah saw….

Thursday, January 21, 2010

Rabiul Awwal antara kelahiran dan kewafatan Rasulullah saw

Rasululllah saw mula mengadu sakit pada penghujung bulan Safar tahun ke-11 Hijrah. Pada mulanya baginda keluar ke Baqi' al-Gharqad di tengah malam lalu memohon keampunan kepada mereka.
Kemudian baginda pulang dan pada waktu paginya bermula saat baginda sakit.

Ketika itu baginda di rumah Maimunah. Kemudian baginda memanggil para isterinya lalu meminta izin agar baginda dirawat di rumah Aisyah.

Baginda kemudian keluar dengan dibantu oleh 2 orang lelaki daripada ahli keluarganya iaitu al-Fadhal bin Abbas dan Ali bin Abi Talib dengan berbalut di kepalanya sehinggalah sampai ke rumah Aisyah.

Akhirnya baginda meninggal dunia pada hari Isnin 12 Rabiul Awaal tahun 11 Hijrah. Ada penda[at yang mengatakan pada waktu dhuha dan ada juga riwayat yang menyebut selepas zawal.

Dengan dimandikan oleh Ali bin Abi Talib, Qutham dan al-Fadhal bin Abbas serta Usamah bin Zaid. Proses memandikan dan menguruskan jenazah Rasulullah sempurna pada malam Selasa.

Pada siang Selasa para sahabat menyembahyangkan jenazah Rasulullah dan baginda selesai di kebumikan pada petang Selasa di bilik Aisyah.

Baginda wafat sebagai pemimpin Semenanjung Arab dan digeruni oleh para musuhnya.

Namun wafatnya tanpa meninggalkan satu dinar atau satu dirham. Tanpa meninggalkan seorang hamba atau sesuatu kecuali baghal baginda yang berwarna putih.

Baginda wafat sedang baju besinya dicagar kepada seorang Yahudi dengan harga 30 gantang gandum.

Pada saat sakitnya, baginda telah memerdekakan 40 orang hamba dan baginda memiliki 7 atau 6 dinar namun memerintahkan Aisyah untuk memberikannya sebagai sedekah.

Wednesday, January 13, 2010

Masalah Dalaman Yang Merugikan...

Bayangkan.... Kerajaan Umawiyyah atau kita kata umat Islam ketika zaman pemerintahan kerajaan ini telah kerugian masa kira-kira 30 tahun. Rugi kerana tidak dapat menumpu agenda besar khasnya menyebarkan Islam ke kawasan Byzantine dan menawan Constantinople.
Punca kerana sibuk dengan masalah dalaman yang berlaku.
Sepanjang tempoh pemerintahan Kerajaan Umawiyyah, telah berlaku beberapa konflik dalaman yang cukup besar sehingga mengganggu kestabilan politik negara dan kadangkala merencatkan usaha perluasan kuasa Islam kerana kesibukan khalifah-khalifah mereka untuk menangani isu-isu tersebut.
Sebaliknya pula, kestabilan politik dalam kerajaan memberi impak yang besar kepada kerajaan kerana fokus dapat diajukan dan digemblengkan kepada agenda-agenda yang lebih besar seperti perluasan kuasa dan penentangan musuh-musuh luar yang lebih merbahaya.
Antara konflik dalaman besar dan isu kontroversi yang berlaku sepanjang tempoh pemerintahan Kerajaan Umawiyyah ialah;

i. Perlantikan Yazid b. Mucawiyah sebagai Wali al-cAhd (putera mahkota)
ii. Pembunuhan al-Husin b. cAli b. Abi Talib pada tahun 61H/681M di Karbala’
iii. Yawm al-Harrah pada tahun 63H/683M
iv. Pembunuhan Muscab b. al-Zubayr di Iraq tahun 72H/692M
v. Gerakan cAbd Allah b. al-Zubayr tahun 64-73H/684-693M
vi. Pemberontakan Ibn al-Ascash tahun 81-83H/699-701M
vii. Revolusi Barbar di Afrika pada tahun 122H/740M

Konflik-konflik dalaman yang berlaku telah menggugat kestabilan pemerintahan Kerajaan Umawiyyah dan merencatkan usaha-usaha mereka untuk membangunkan agenda-agenda besar kerajaan.
Beberapa kali mereka terpaksa mengadakan gencatan senjata dan menjalinkan perjanjian damai dengan Byzantine serta yang lebih merugikan lagi, mereka terpaksa membayar ufti yang cukup banyak kepada pihak musuh.
Ini kerana, Kerajaan Umawiyyah tidak dapat menumpukan usaha-usaha melawan musuh luar jika berlaku konflik-konflik dalaman yang hebat.
Mucawiyah b. Abi Sufyan sendiri di awal pemerintahannya pada tahun 42H/662M terpaksa mengadakan perjanjian dengan pihak Byzantine dengan membayar 100 000 dinar.

Tuesday, January 5, 2010

Buku 'Guru Jutawan Akhirat'

Al-hamdulillah selepas tempoh akhirnya buku ini terbit juga. Buku yang dikarang oleh team guru-guru agama di bawah seliaan Ustaz Shopuan Anuar dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah berada di tangan saya.

Dan telah diedar ke sekolah-sekolah. Sungguh teruja sunggah. Menambah lagi sebuah legasi kekal saya dalam persada penulisan kepada 7 buah buku setakat ini.

Ulamak dulu memang meninggalkan banyak buku, jadi saya cuma hendak meniru jalan mereka. Meniru yang tidak salah.

Kalau tiada Ihya' Ulumuddin mungkin tidak terkenal Imam al-Ghazali, kalau tiada kerana Tarikh Umam wa al-Muluk atau Tafsir Tabari mungkin kita kurang tahu tentang Imam Ibn Jarir al-Tabari.

Begitu juga Imam Ibn Kathir, Ibn Athir, Ibn Tighri Birdi, Ibn Jubayr, Ibn Battutah dan ramai lagi menjadi terkenal kerana mereka meninggalkan karya-karya mereka dalam bentuk buku.

Ia kekal sampai bila-bila.

Saya cuma tiru-tiru mereka. Tentunya buku saya tidak sehebat mereka.

Cuma tiru mereka dengan meninggalkan buku sebelum mengadap Ilahi.

Sunday, January 3, 2010

Kita sama-sama betulkan...

Kita tidak menafikan banyak istilah atau perkataan dalam Bahasa Melayu kita yang kita ambil daripada Bahasa Arab.Terlalu banyak perkataan tersebut.

Namun, mungkin kerana kita ambil perkataan tanpa menekankan 'baris' yang menjadi sebutan yang betulnya kita abaikan menyebabkan kadang-kadang ia kurang bertepatan dengan sebutan sebenar orang Arab.

Entri kali ini, saya hendak promosi kawan-kawan semua untuk kita sama-sama perbaiki sedikit kesilapan tersebut.

Sebagai contoh yang berkaitan tempat;

Mekah - Makkah
Damsyik - Dimasyq

Adapun yang berkaitan dengan nama tokoh;

Abu Bakar - Abu Bakr
Abu Sufian - Abu Sufyan
Sa'ad - Sa'd (Sa'dun)

Sekadar renungan bersama... mudah-mudahan ada kebaikan