Monday, March 24, 2008

91 Tahun Kerajaan Umayyah

Saya masih lagi dalam proses mentelaah maklumat-maklumat tentang Kerajaan Banu Umayyah yang merupakan tajuk tesis sarjana saya. Banyak sebenarnya maklumat menarik yang ingin sama-sama saya bongkarkan bersama rakan pembaca sekalian agar kita lebih kenal tentang sejarah umat Islam ini.
Kerajaan Umayyah ialah kerajaan Islam yang ketiga selepas era Zaman Rasulullah SAW dan zaman Kerajaan Khulafa' al-Rasyidun. Kerajaan ini bermula apabila cucu Rasul SAW iaitu Hasan b. Ali melepaskan jawatannya sebagai khalifah lalu umat Islam bersepakat untuk melantik Muawiyah b. Abu Sufiyan pada tahun 41H. Lalu tahun ini disebut sebagai Am al-Jama'ah. Muawiyah telah dibaiah di Kufah dan kemudiannya beliau telah kembali ke Syam dan menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan Islam yang baru. Menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan Islam bermakna puasat pemerintahan Islam kini semakin hampir dengan kawasan musuh iaitu Rom Byzantine yang berpusat di Contantinople.
Kerajaan ini bertahan selama 91 tahun sehinggalah kejatuhannya pada tahun 132H/750M dan bermulalah Kerajaan Abbasiyah. Sepanjang pemerintahan mereka ini telah berlaku beberapa konflik dalaman yang besar seperti pembunuhan Husin b. Ali di Karbala', pembunuhan penduduk Madinah dalam peristiwa Waq'ah al-Hurrah, Pengepungan dan pembakaran Kaabah, Pembunuhan dua beradik iaitu Mus'ab dan Abdullah b. Zubair, pemberontakan Ibn al-Asy'as terhadap Hajjaj b. Yusuf al-Thaqafi dan pembunuhan Said b. Jubair.
Walaupun menghadapi krisis dalaman yang banyak, namun khalifah-khalifah Kerajaan Umayyah telah memberi sumbangan yang cukup besar antaranya usaha menyebarkan Islam sehingga melewati Andalus (Sepanyol) dan Perancis di barat dan sampai ke Daybul (Karatchi), India dan menghampiri tembok besar Cina di bahagian timur. Bahkan sepanjang zaman mereka, umat Islam telah 3 kali cuba menawan Contantinople iaitu dua kali percubaan pada zaman Muawiyah dan percubaan kali ketiga pada zaman Khalifah Sulayman.
Pada zaman mereka ini juga telah muncul nama-nama pejuang Islam yang cukup terkenal malangnya ramai kita yang kurang mengenalinya. Kenalkah anda pada Maslamah b. Abdul Malik, Uqbah b. Nafi', Abu al-Muhajir b. Dinar, Hassan b. al-Nu'man, Qutaybah b. Muslim al-Bahili, Muhammad b. al-Qasim al-Thaqafi dan ramai lagi...?
Tahukah anda jika Khalifah Harun al-Rasyid daripada Kerajaan Abbasiyah telah melahirkan 3 putera yang menjadi khalifah selepasnya, sebenarnya Khalifah Abdul Malik b. Marwan daripada Kerajaan Umayyah telah berjaya melahirkan 4 puteranya sebagai khalifah daripada 14 khalifah Banu Umayyah. Sekadar Renungan.

No comments: