Wednesday, January 7, 2009

Pembunuhan Husin b. Ali cucu Rasulullah saw

Al-Kisahnya pada malah 10 Muharram yang lalu saya berceramah di satu masjid. Kebetulan sekarang ini berlaku isu di Palestine, maka saya pun menyampaikan topik yang berkaitan dengan itu.
Selepas ceramah adalah sedikit makan-makan yang telah disediakan oleh pihak masjid iaitu bubur asyura. Tiba-tiba datang seorang jemaah pada saya;
“....kenapa ustaz tak sebut langsung tadi tentang pembunuhan Husin b. cAli di bumi Karbala’. Kita patut bersedih kerana pada bulam Muharram ini, Husin b. cAli dibunuh dengan kejamnya oleh Yazid b. Mucawiyah yang fasik. Blah..blah..blah. (dialog yang panjang)
Maka dalam blog ini saya cuba menulis beberapa maklumat tentang isu tersebut.
Yazid b. Mucawiyah yang dilantik sebagai khalifah antara tahun 60-64H/680-684M telah menghadapi tiga konflik dalaman yang begitu besar iaitu keengganan al-Husin b. cAli untuk membaiahnya sebagai khalifah yang membawa kepada pembunuhan Husin di bumi Karbala’, penolakan penduduk Madinah untuk membaiahnya yang membawa kepada pembunuhan mereka dalam peristiwa Yawm al-Harrah (Konflik di Madinah) dan gerakan cAbd Allah b. al-Zubayr di Mekah.(1)
Al-Husin b. cAli yang enggan membaiah Yazid b. Mucawiyah telah melarikan diri dari Madinah ke Mekah. Ketika di Mekah inilah, berlaku surat-menyurat antara beliau dan penduduk Kufah yang dikatakan sanggup menyokongnya bagi menentang Yazid b. Mucawiyah. Beliau akhirnya bersetuju dengan tawaran penduduk Kufah dan telah keluar menuju ke Iraq walaupun mendapat nasihat daripada beberapa orang sahabat agar tidak menerima tawaran tersebut.
Antara para sahabat yang menasihati al-Husin b. cAli agar tidak keluar ke Iraq untuk menyahut tawaran penduduk Kufah ialah cAbd Allah b. cAbbas dan Abu Sacid al-Khudri.(2) Ketika dalam perjalanan ke Iraq iaitu di Karbala’ kira-kira 62 batu di barat daya Baghdad,(3) beliau telah dihalang oleh pasukan tentera Yazid b. Mucawiyah. Maka berlakulah bertempuran di antara tentera Umayyah dengan kumpulan al-Husin b. cAli yang berjumlah 200 orang sahaja,(4) di mana akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau dan 72 orang pengikutnya.(5)

Rujukan:

1. Taqush, Muhammad b. Suhayl, 1427H/2006, al-Tarikh al-Islami al-wajiz, Ed. ke. 3. Beirut: Dar al-Nafa’is. hlm. 117.
2. Ibn al-cArabiyy, 1414H/1994M, al-cAwasim min al-Qawasim, ed. ke-3, hlm. 238
3. Carl Brokerlman, 1968, Tarikh al-shucub al-Islamiyyah, Nabi Amin Faris & Munir al-Bacalbaki, terj., hlm. 128.
4. Philip K. Hitti, 2006, History Of The Arabs; From The Earliest To The Present, terj., ed. ke-2, hlm. 237.
5. Taqush, hlm. 117.

No comments: