Thursday, June 26, 2008

Buku Terbaru (ke-4) Abuiyyash

Alhamdulillah,
Hari ini, saya mendapat info buku saya yang terbaru telah siap layout dan kulit luarannya daripada Karnadya Solution (Lihat Lamab web Karnadya.com). Bagi setiap diri seorang penulis, melihat buku yang digarapnya saban bulan akhirnya berada di pasaran merupakan detik-detik indah.

Bahkan ia boleh menjadi pemangkin untuk terus berkarya lagi. Buku kelima saya pun telah berada di tangan editor dan harap-harap ia akan terbit mengikut perancangannya. Al-hamdulillah kepada Tuhan yang telah memberi pinjam ilmu-Nya untuk saya terus berkarya.

Buat sidang pembaca, berilah sokongan dengan memperkasakan budaya IQRA' (Bacalah) yang telah dilancarkan oleh Rasulullah saw 1400 tahun yang lalu.

Tuesday, June 24, 2008

Yang Mula-mula

Orang yang mula-mula digelar Khalifah ialah Abu Bakar

Orang yang mula-mula digelar Amirul Mukminin ialah Umar al-Khattab

Orang yang mula-mula diberi salam Assalamualikum Ya Amirul Mukminin ialah Muawiyah

Orang yang mula-mula menambah nama dengan nama Allah ialah al-Mu'tasim apabila dipanggil al-Mu'tasim Billah

Orang yang mula-mula memakai mahkota ialah al-Dahhak salah seorang raja Parsi

Orang yang mula-mula diberi salam dengan jawatan gabenor Assalamualaikum Wahai al-Amir (gabenor) ialah al-Mughirah b. Syu'bah

Orang yang mula-mula dipanggil wazir (menteri) ialah Ahmad bin Sulaiman al-Khallal iaitu menteri Khalifah pertama Khulafa' Abbasiyyah, Abu Abbas al-Saffah

Sunday, June 22, 2008

Nama Dulu, Nama Sekarang

"Apa nama sebenar Parsi sekarang ustazah?" "Entahlah." Anda pernah tak bertemu situasi seperti ini semasa belajar sejarah? Sebenarnya antara kesulitan belajar sejarah ialah perubahan nama dahulu dan nama yang sedia ada sekarang. Maklumlah kita pun membaca buku yang ditulis ratusan atau ribuan tahun yang lalu seperti Imam al-Tabari, Ibn Hisyam, Ibn al-Athir dan lain-lain. Saya kata sulit, bukan bermakna tiada jawapan atau jalan keluarnya. Kita perlulah buat kerja lebih, buat sedikit rujukan.
Saya akan bawakan beberapa contoh nama-nama yang mengalami perbezaan. Atau kadang-kadang mempunyai pelbagai nama. Kadang-kadang berbeza dalam buku bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Contohnya.

Parsi :Iran
Anatolia: Asia Kecil atau Turki
Andalus :Sepanyol
Afranj :Eropah
Yunan :Greek (Tamadun Yunan=Tamadun Greek)
Syam :Palestine, Lubnan, Jordan dan Syria
Gaul :Perancis
Tanjah : Tangier
al-Daybul :Karatchi

Kadang-kadang ada perbezaan antara catatan Arab dan Inggeris
Ibn Sina :Avicena
Ibn Rusyd :Averoz

Sebenarnya banyak lagi, cuma ini adalah sebagai contoh sahaja. Pastikan jika kita sedang membaca buku sejarah, bersama kita juga perlu ada Atlas. Jika tidak, maka kita akan hanya menjadi pembaca semata-mata tetapi bukan pengkaji sejarah.

Syukran pada Qidza atas komentar.

Thursday, June 19, 2008

Nama Yang Pelbagai...jangan pening

Terdapat beberapa laut yang penting apabila mengkaji sejarah Islam iaitu Laut Rom/Syam (Laut Mediterranean), Laut Merah (Laut Firaun dan Laut Qulzum, Laut Kaspian (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr al-Khazar dan al-bahr Qazwin), Laut Hitam (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr al-Aswad dan al-bahr Nabtash) dan Laut Aral (Dalam karya bahasa Arab biasa disebut dengan al-bahr Khawarizm).

Selain laut, terdapat juga sungai-sungai yang terkenal. Sungai Nil di Mesir, Sungai Furat (Euphrates) dan Sungai Dajlah (Tigris) di Iraq dan Sungai Jihun (Amodaria) dan Sihun (Sardaria) di sebelah Khurasan merupakan sungai-sungai yang cukup terkenal dalam sejarah Islam.

Begitu juga apabila menyebut tentang selat terdapat beberapa selat yang cukup terkenal dalan sejarah Islam iaitu Selat Giblartar yang memisahkan antara daratan Afrika dan Andalus dan Selat Boshporus yang memisahkan antara Anatolia (Asia Kecil) dengan Kostantinople. Apabila menyebut tentang teluk maka antara yang terkenal dalam kajian sejarah ialah Teluk Arab, Teluk Parsi dan Teluk Biskay di utara Andalus. Begitulah juga apabila menyebut terusan maka Terusan Suezlah yang paling terkenal.

Sunday, June 8, 2008

Dua Minggu Cuti Sekolah

Assalamulaikum!
1. Pertamanya maaf diminta kepada yang sudi melawat blog ini kerana hampir 2 minggu, blog ini tidak dikemaskini. Maklumlah abuiyyash dan keluarga balik kampung sepanjang cuti sekolah. Cuti yang ada ini, dimanfaatkan sepenuhnya dengan benar-benar bercuti. Kami sempat menziarahi beberapa rakan lama di al-Bayt Universiti dahulu ketika singgah di Pulau Pinang. Kami menziarahi keluarga Mat Le dan Min serta keluarga Pak Syeikh dan Aciah. Jangan lupa lepas ni hangpa pula turunlah ke Klang. Sempat juga berkelah bersama anak-anak di Gua Kelam, Perlis.
Yang paling menyeronokkan juga, abuiyyash sempat membelanja makan Syeik Yarub Qahtan, anak syeik Qahtan al-Duri di Kangar. Beliau kini bertugas di UNIMAP. Abuiyyash masih ingat lagi, subjeks pertama yang dipelajari ketika di Al-alBayt Jordan dahulu ialah Usuluddin. Bapa beliaulah yang mengajar abuiyyash ketika itu. Dan dalam perjalanan balik, kami sempat juga menjamah sate rusa di Restoran Samuri di R&R Jejantas, Sungai Buluh.

2. Abuiyyash mendapat berita baik yang buku ke-4 abuiyyash berjudul "Yang Pelik Lagi Hairan" akan diterbitkan pada bulan Jun ini. Excited juga nak menunggunya. Bagi seorang penulis, pasti tertunggu-tunggu bilakah karya terbaru mereka akan berada di pasaran. Terima sekali lagi kepada KarnaDya Solution yang terus sudi menjadi penerbit karya-karya Abuiyyash. Insya Allah karya ke-5 juga akan menyusul pada bulan Ogos nanti. Tolonglah doakan.

Nur Islam di Bumi Andaluz (Sepanyol)

Hari ini kita sering mendengar nama-nama seperti Andaluz (Sepanyol), Perancis, Itali, Pulau Sardinia, Pulau Sicili, Malta, Pulau Mallorca, Pulau Ibiza, Pulau Cyprus dan beberapa nama lain yang sekarang bernaung di bawah Negara Sepanyol, Perancis atau Itali. Nama-nama tempat ini sebenarnya pernah mendapat cahaya Islam beberapa kurun dan yang paling lama sudah tentulah Andalus.

Islam telah membawa sinarnya di Andaluz selama 531 tahun. Daripada kedatangan umat Islam pada tahun 92 Hijrah/711 masehi sehinggalah kejatuhan Granada pada tahun 897H/1492m Islam telah membangunkan bumi Andaluz sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan kemanusiaannya.

Andaluz sebelum kedatangan Islam.

Sebelum kedatangan Islam bumi Andaluz berada dalam zaman kegelapan. Antara kurun ke-2 hingga kurun ke-5 masehi Semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal hari ini) dikuasai oleh kaum Vandals. Kemudian telah datang pula Visigoths pada awal kurun ke-5 masehi yang telah menjadikan Toledo sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. Andaluz dikuasai oleh kaum ini sehinggalah kedatangan Islam.

Andaluz atau semenanjung Iberia ini terletak di barat daya benua Eropah. Ia dipisahkan daripada tanah besar Eropah di sebelah utara dengan Negara Perancis yang dipisahkan oleh pergunungan Pyrenees. Di sebelah selatan pula ialah Afrika yang dipisahkan dengan selat Giblartar (JabalTariq) yang lebarnya antara 13 hingga 37 km. Di sebelah utaranya ialah Teluk Biscay dan sebelah baratnya ialah Lautan Anlantik serta di sebelah timurnya Laut Mediterranean.

Pembukaan Islam di Andaluz

Nur Islam yang bermula di Mekah dan Madinah mula menyebarkan dakwahnya ke timur yang ketika itu di bawah kuasa Parsi dan ke barat yang di bawah kuasa Rom Byzintin. Di sebelah barat telah Islam melewati bumi Mesir dan memasuki ke Afrika pada zaman pemerintahan Khulafa' Al-Rasyidun dan Bani Umayyah. Mesir berjaya dibebaskan daripada cengkaman Rom pada tahun 20H lagi di bawah pimpinan Amru bin al-As. Umat Islam terus melebarkan nur Islam ke Afrika (Libya hari ini) pada tahun 27H. Pada zaman Muawiyyah usaha dakwah di Utara Afrika diteruskan sehingga akhirnya Uqbah bin Nafiq dilantik menjadi gabenor pertamanya tahun 50H. Maka di bumi Afrika ini telah muncul nama-nama agung yang telah menjalankan misi dakwah antaranya Hassan bin Nu’man dan Musa bin Nasir.

Musa bin Nasir (19H-97H) yang menjadi gabenor Utara Afrika dari tahun 89H telah bercita-cita meneruskan nur dakwah Islam ke Andalus yang ketika itu beliau berusia 80 tahun dengan izin Khalifah al-Umawi al-Walid bin Abdul Malik di Damsyiq.

Pada tahun 91H Musa telah mengutus tentera pengintip diketuai oleh Tarif bin Malik ke Andalus sebagai strategi awal. Kemudian selepas setahun beliau telah mula menghantar tenteranya yang dipimpin wakilnya iaitu penguasa Tanjah (Tanger) iaitu Tariq bin Ziyad pada bulan Rejab tahun 92H. Dalam masa kurang setahun beliau telah berjaya membuka kota-kota seperti Qurtubah (Cordova) dan Malaga. Tentera Tariq ini bukan sahaja dibantu oleh bangsa Barbar dan sebahagian kecil bangsa Arab tetapi oleh penduduk asal Andalus sendiri tatkala mereka mengetahui keadilan Islam dan sikap toleransi umatnya. Raja terakhir Visigoth di Andalus ialah Rodrigue.

Selepas setahun iaitu pada bulan Rejab tahun 93HMusa sendiri telah memasuki Andaluz dan berjaya membuka Merida dan Zaragozza. Dalam tempoh 3 tahun 1/2 sahaja antara tahun 92-95H umat Islam berjaya menyebarkan nur Islam ini di Andaluz. Pada tahun 94H Musa dan Tariq telah berjaya membuka Bandar Toledo dan sampai ke utara Andaluz seperti Galicia, Asturias, Wasyqah (Huesca), Lerida, Tarragona dan Barcelona. Cuma sebahagian kawasan bukit bukau di bahagia barat laut Andalus yang tidak dapat dibuka yang selepas itu menjadi pusat kekuatan tentera Nasrani yang akhirnya berjaya mengusir umat Islam daripada Andalus ini.

Bahkan tentera Musa telah sampai ke selatan Perancis melewati pergunungan Pyereenes dan berjaya membuka Carcasona, Narbona, Avinon dan Lyon. Antara raja-raja Perancis yang terkenal ialah Charles Martel, Pepin dan Charlemagne. Sarjana-sarjana arab telah sepakat mengatakan bahawa Musa bin Nasir telah sampai ke Perancis dalam usaha dakwahnya ini. Kemudian kedua-dua panglima agung Islam iaitu Musa dan Tariq ini telah dijemput bertemu khalifah al-Walid di Damsyiq yang jarak perjalanan antara Andaluz dan Damsyiq ketika itu 2 bulan lebih. Musa dikatakan bercita-cita untuk membuka seluruh Perancis, Jerman, Itali, Konstantinopal (Istanbul), Asia Kecil (Turki) ke Syam dan kawasan Laut mediteranneaan di bawah cahaya Islam.

Sepeninggalan Musa dan Tariq usaha-usaha penyebaran Islam diteruskan oleh gabenor-gabenornya. Sehingga disebut antara tahun 95-138H ialah era Gabenor di mana seramai 20 orang gabenor telah dilantik sepanjang tempoh 42 tahun itu. Pada era ini Sevilla telah dijadikan pusat pentadbiran sebelum dipindahkan ke Cordova tahun 97H. Bahkan antara bukti keunggulan mereka apabila sejarah mencatatkan 4 orang gabenor ini iaitu al-Samhu bin Malik al-Haulani 107H, Anbasah bin Suhaim al-Kalbi 107H, Al-Ghafiqi 114H dan Uqbah bin al-Hajjaj al-Saluli 121H telah mati syahid ketika berdakwah di balik pergunungan Pyerenees iaitu di Perancis. Kekalahan tentera Islam di bawah pimpinan al-Ghafiqi tahun 114H di tangan tentera Perancis pimpinan Charles Martel dikatakan telah menyekat kemaraan dakwah Islam di bahagian eropah barat.

Bermula kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil yang digelar Helang Quraisy telah bermula era zaman imarat sehinggalah tahun 316H. Pada era ini telah bermula serangan-seranga daripada musuh Islam dari pelbagai pihak. Antaranya daripada kerajaan al-franjah (Perancis), tentera Normand (Vikings) daripada Scandinavia dan Negara-negara Nasrani yang berada di utara Andaluz. Sekitar kurun ke-4H telah muncul 3 kerajaan Nasrani di utara Andalus iaitu di Leon, Qasytalah (Castella) dan Nabbarah (Navvara).

Selepas itu nur Islam di Andaluz di sambung oleh era al-khilafah yang bermula daripada tahun 316H hingga tahun 400H yang dipimpin oleh 3 khalifah. Yang paling terkenal ialah Abdul Rahman III yang digelar al-Nasir Li al-Dinillah yang telah berkuasa selama 50 tahun. Pada zaman ini puak Vikings telah datang melakukan beberapa serangan menyerang Andalus lagi.

Bermula tahun 400H telah mula berlaku perpecahan di kalangan umat Islam. Antara tahun 400H sehingga tahun 484H telah muncul kerajaan-kerajaan kecil seperti kerajaan Bani Hud di Sarqustah (Zaragoza), Balansiah (Valencia), Bani Abbad di Isybilliah (Sevilla), Bani Zi an-Nun di Toledo, Bani Jahwar di Qurtubah (Qordova) dan Bani Zairi di Granada. Zaman ini disebut oleh sejarawan sebagai zaman Tawaif (kumpulan-kumpulan).

Namun pada tahun 479H selepas kemenangan tentera Islam di medan al-Zallaqah, umat Islam di Andalus kembali bersatu di bawah kuasa kerajaan al-Murabitin yang berpengkalan di Afrika. Selain itu medan perang Ucles tahun 501H menjadi bukti kemenangan umat Islam. Antara penguasa al-Murabitin yang terkenal ialah Yusuf bin Tasyifin dan anaknya yang bernama Ali. Di penghujung era ini telah jatuh satu persatu Bandar Islam Andaluz seperti Zaragoza tahun 512H, al-Maria 542H, Tortosa 543H dan Lerida 567H.

Sekali lagi umat Islam Di Andalus telah mendapat bantuan daripada kerajaan Islam di Afrika iaitu al-Muwahhidun. Selepas era al-Murabitun telah muncul kerajaan al-Muwahhidun ini yang telah banyak membantu perjuangan Islam di bumi Andalus. Antara tahun 540H sehingga tahun 620H merupakan era penguasaan al-Muwahhidun di Andaluz. Antara keunggulan mereka ialah kemenangan besar Islam di medan al-Arak tahun 591H yang mengingatkan mereka kepada medan al-Zallaqah dan medan Ucles. Pada kurun ke 6H ini telah muncul 2 lagi kerajaan baru Nasrani iaitu Arghun (Aragon) dan Portugal.

Namun di penghujung era al-Muwahhidun ini telah berlaku beberapa peristiwa besar. Antara telah jatuh ke tangan musuh pulau-pulau Balearic di timur Andalus iaitu Pulau Mallorca pada 627H, Pulau Ibiza dan Menorca pada 686H. Selain itu berlaku kejatuhan Qordova 633H, Valencia 636H, Jaen 641H, Sevilla 646H dan Murcia 664H. Bahkan Afrika yang menjadi tulang belakang membantu saudara mereka di Andalus juga mengalami perpecahan dengan kewujudan Bani Marin di Maghrib al-Aqsa, Banu Zayyan di Maghrib al-Ausat (Jazair) dan Bani Hafs di Maghrib al-Adna (Tunis).

Kejatuhan Andalus

Di kurun ke 7H ini telah jatuh sebahagian besar bumi Andalus kecuali kerajaan kecil Granada yang mampu bertahan lebih 2 kurun antara tahun 635H-897H bersamaan 1238m-1492m. Kerajaan Granada merupakan kerajaan terakhir di Andalus yang telah dipimpin oleh 20 orang sultan daripada Bani Ahmar. Kerajaan Granada ini hanya diwakili 3 wilayah kecil di selatan Andaluz iaitu Malaga, Granada yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan dan Almeria.

Di sebelah timur Andalus, Sultan Muhammad Al-Fatih daripada Bani Othman telah berjaya membuka kota konstantinopal (Istanbul) daripada tangan Rom Ortodoks pada tahun 857H menyebabkah seluruh eropah mula mengalihkan pandangan mereka ke Andalus. Andalus yang sebelum ini sering memdapat bantuan daripada Afrika bermula zaman al-Murabitin, dan al-Muwahhidin dan kemudian daripada Bani Marin telah hilang bantuan ini selepas kejatuhan Bani Marin tahun 869H. Bani Wattas yang menggantikan Bani Marin tidak lagi menghulurkan bantuan ke Andalus.

Selain itu penggabungan antara 2 kuasa besar Nasrani Katholik iaitu Qisytalah dan Arghun hasil perkahwinan ratu Qisytalah Isabella dan raja Arghun iaitu Fernando (v) untuk sama-sama memerangi kerajaan Islam Granada menyumbang kepada berakhirnya nur Islam di bumi Andalus pada tahun 857H. Sultan terkhir Kerajaan Islam Granada iaitu Abu Abdullah Muhammad telah menyerahkan bumi Granada kepada 2 raja katholik ini untuk meninggalkan Andalus pergi ke Fas (Fez).

Eropah bukan sahaja menjadi saksi kepada kejatuhan nur Islam di Andalus pada tahun 1492m bahkan mereka mula mendapat jalan mengembara ke negeri Timur, Columbus menemui benua baru Amerika dan Portugal di bawah pimpinan Alfonso d’Albuquerque telah berjaya menakluk Melaka tahun 1511m iaitu selepas 22 tahun kejatuhan Andalus.

Sepanjang tempoh 8 kurun Islam telah membawa nurnya yang gilang gemilang ke bumi Andalus baik dalam bidang kemanusiaan, keilmuan, tamadun, budaya, seni bina, perbandaran dan pembangunan. Mereka meninggalkan Masjid Cordova dan Istana al-Hambra. Bumi Toledo telah menjadi saksi penterjemahan ribuan khazanah agung Islam. Di andalus telah lahir tokoh-tokoh terbilang pelbagai bidang. Nama-nama seperti Ibn Jubair, Ibn Battuta, Ibn Rusy, Ibn Hazm al-Andalusi dan ramai lagi. Ribuan orang eropah telah datang ke Andalus sebagai pusat ilmu terkenal.