Sunday, December 27, 2009

Aduhai Cendol Leman Dawi

Cuti hari Jumaat sehingga Ahad yang lalu saya dan keluarga bercuti di Rembau, rumah kakak. al-Kisahnya hendak bawa emak mandi air panas. Berturut2 tiap hari kami bermandi dalam kolam air panas.

al-kisahnya dalam perjalanan datang kami terlepas peluang makan di kedai cendol Leman Dawi. So, pada hari hendak pulang kami pun pasang niat nak makan cendol di situ. Sebab memang tidak pernah merasa.

Setelah menyusun plan perjalanan kami pun bergegaslah ke sana. Sempat menyinggah di gerai puyuh dan keli salai. Dapatlah ilmu membeza antara bakar, salai dan 'sangai'.

Al-hamdulillah, kedai Leman Dawi masih buka. Saya pun segera memparkir kereta dan cari meja untuk sekeluarga.

Aduhai kalau bukan rezeki. Kami cuma dapat semangkuk (yang last) cendol untuk makan. Berkongsi setiap orang sedikit.

akhirnya kami pun makan ikan keli dan puyuh salai di kedai cendol Leman Dawi. Nasib baik ada air barli percuma, kami pun pulun yang itulah.

Kalau dah bukan rezeki...

Apa2 pun terima kasih pada tuan kedai kerana izinkan kami tumpang makan ikan salai di gerai mereka.

Sunday, December 20, 2009

Bagaimana Teknik Dakwah Musab bin Umayr di bumi Yathrib

Walaupun telah cuba mencari jawapan namun masih belum bertemu. al-Kisahnya Musab merupakan duta pertama yang dihantar oleh Rasulullah saw untuk berdakwah ke Madinah sebaik berlaku perjanjian Aqabah pertama.

Mus'ab yang merupakan antara sahabat terawal memeluk Islam adalah tokoh yang gugur syahid dalam medan Uhud.

Setelah berada setahun di Madinah, beliau berjaya mengIslamkan orang-orang Ansar. Sehingga dikatakan semua rumah Ansar telah diseru kepada Islam dan Rasulullah saw.

Di tangan Mus'ab telah masuk Islam 2 pemimpin besar kabilah Aus dari Bani Abd al-Asyhal iaitu Usayd bin Hudayr dan Saad bin Muaz.

Beliau yang memeluk Islam ketika berumur 24 tahun merupakan antara tokoh sabat besar yang terkenal dalam berdakwah. Yang berjaya mengIslamkan penduduk Madinah.

Namun, apa tekniknya kerana dalam tempoh setahun sahaja beliau berjaya melaksanakan misi besar. Akhirnya semasa perjanjian Aqabah ke2, telah hadir berbaiah kepada Rasulullah ramai orang Ansar yang seterusnya menjadi pemangkin kepada hijrah para sahabat dan Rasulullah ke bumi Yathrib.

500 orang menanti ketibaan Rasulullah saw

Antara maklumat baru yang saya temui dalam pengembaraan ilmu kali ini ialah berhubung jumlah Ansar yang menyambut ketibaan baginda saw.

Sebaik mendapat berita Rasulullah telah berangkat keluar meninggalkan kota Mekah menuju ke Madinah maka setiap hari puak Ansar akan keluar rumah menanti-nanti ketibaan baginda.

Ketika itu adalah musim panas yang sangat luar biasa. Mereka keluar pada waktu pagi dan masuk ke dalam rumah waktu dinihari.

al-Kisahnya di saat Rasulullah tiba ketika itu puak Ansar berada dalam rumah masing-masing.

Orang pertama yang melihat ketibaan Rasulullah ialah seorang lelaki Yahudi lalu dia segera berteriak

"Wahai Banu Qaylah (Ansar) lihat itu pemimpin agung kalian telah tiba"

Maka segera keluar puak Ansar seramai 500 orang untuk menyambut kedatangan Rasulullah saw.

Masih Tentang Hijrah Rasul saw

Saya masih lagi berkesempatan mentelaah buku-buku sejarah. Topik pilihan saya masih lagi berpaksikan kisah Hijrah Rasulullah saw.

Tentunya saya ingin terus mencari maklumat-maklumat baru, yang saya belum tahu sebelum ini. Di atas meja saya, berderet buku buku sejarah Islam. Dengan sedikit pembacaan tersebut dan sedikit rezeki ilmu yang dikutip, saya nak kongsikan dengan rakan pembaca blog saya. Semoga ada manfaatnya bersama. Mungkin juga kalian sudah lebih tahu dahulu daripada saya. Kalau begitu, agggaplah sekadar ulangkaji sahaja.

1. Harta Abu Bakar

Semasa hijrah, Abu Bakar telah membawa bersamanya hartanya sebanyak 5,ooo atau 6,000 dirham.

2. Harga unta Rasulullah saw

Harga unta yang ditunggangi oleh Rasulullah bernilai 400 dirham.

3. Dua orang pakar menjejak kesan tapak kaki

Selepas mendapati Rasulullah saw berjaya keluar dari kepungan, Kafir Quraisy telah mengupah 2 orang pakar pengesan tapak kaki untuk memburu Rasulullah dan Abu ABakar.

Pakar yang dikatakan cukup mahir dan hebat ini mampu membezakan antara tapak kaki lelaki atau wanita melalui kesannya sahaja.

Bahkan walaupun Amir bin Fuhayrah telah menghilangkan kesan tapak kaki Rasulullah dan Abu Bakar dengan kambing-kambingnya namun mereka tetap berjaya menjejaki kaki baginda sehingga ke pintu Gua Thur.

Ketika itu hanya bantuan Allah sahaja yang mampu menghalang kepakaran musuh tersebut.

Setelah dibelek-belek buku yang banyak, akhirnya saya temui nama 2 orang pakar tersebut yang diupah oleh kafir Quraisy iaitu Karz bin Alqamah dan Suraqah bin Ju'tham.

Friday, December 11, 2009

Hijrah Rasul, membeli bukan meminta.

Kita akan menyambut 1 Muharram tidak lama lagi. Aku mengambil peluang membaca buku2 yang menceritakan kisah hijrah baginda saw. Sehingga hari ini, telah 2 buku hebat aku telaah. Iaitu buku Sirah ibn Hisyam dan al-sirah al-nabawiyyah oleh Muhammad Abu Syuhbah.

Ada dua bukti besar tentang kehebatan peribadi Rasulullah yang aku temui.

1. Baginda tetap ingin membayar harga unta yang ingin ditunggangnya walaupun Abu Bakar ingin memberikan padanya.

Unta yang diberi nama 'al-Qaswa' menurut al-Waqidi atau al-Jad'a' menurut Ibn Ishak dan Ibn Hibban bernilai 400 Dirham.

Unta daripada bani al-Hariys ini kemudian mati tidak lama selepas kewafatan Rasulullah saw iaitu pada zaman Khalifah Abu Bakar.

2. Membeli makanan bukan meminta pada Ummu Ma'bad.

Baginda singgah di khemah Ummu Ma'bad iaitu Atikah binti Khalid al-Al-Khuzaiah dan cuba membeli susu atau daging daripadanya. Malangnya mereka tiada apa yang hendak dijual. Ketika disinilah baginda telah memerah susu kambing Ummu Ma'bad sehingga mengeluarkan susu yang sangat banyak dengan barakah doa baginda saw.

Ujian cuti kami...

Saya hanya merancang. Saya dan keluarga sampai ke Kampung, Perlis pada hari Rabu. Setelah 4 hari di sana, pagi Ahadnya saya mendapat berita yang cukup menggemparkan saya sekeluarga.

6 Disember, saya mendapat panggilan yang menyatakan ibu saya diserang strok dan tidak dapat bangun. Saya dan isteri segera menyiapkan diri pulang ke Selangor. Akhirnya jam 11 malam saya terus memandu ke Hospital Banting. Turut bersama saya ayah mertua dan ibu tiri saya.

Ketika itu, ibu terbaring lemah tidak bermaya. Matanya pun sukar dibuka, bicaranya kurang jelas.

Saya dan ayah mertua mengambil air doa 'Harun Din' dan menyapu diseluruh tubuhnya yang didakwa sakit. Kemudian membaca doa syifa'

Bismillahirrahmanirrahim (3X)
A'uzu bi'izzatillah wa qudratihi min syarrima ajidu wa 'uhazir (7X)

Aku berdoa "Wahai Allah, andai aku pernah melakukan sekelumit kebaikan dan ia ada nilai disisiMU, aku mohon barakahnya, sembuhkanlah ibuku" doa yang pernah dibaca oleh 3 pemuda yang terkurung dalam gua. Ini sahaja sekadar ilmu yang aku tahu.

Esoknya, hari Isnin ibu sudah mula menandakan perubahan positif. Hari Rabu saya mengajarnya terapi dan syukur dia telah boleh berdiri, berjalan meniti dan menggunakan tongkat.

Saya sekeluarga betul-betul bersyukur kerana di sekeliling katil ibu, ada yang telah 2 bulan berbaring di atas katil.

Ya Allah sembuhkan ibu kami, seperti sedia kala dengan rahmat dan izinMU.

Amin

Tuesday, December 1, 2009

Balik Kampung Perlis Lagi...

al-Hamdulillah, semua kerja-kerja yang saya plan hendak buat telah saya tunaikan dengan izin Allah. Sembelih korban, siapkan manuskrip buku dan malam tadi saya sempat pergi ke Persidangan Inovasi Pendidikan Islam Perinhgkat Kebangsaan 2009 di Hotel Holiday Villa Subang, Subang Jaya.

Sempatlah saya berjumpa rakan-rakan guru yang lama juga saya tak temui seperti Ustaz Ngisa Shaien dan Ustaz Lokman dari JPN Johor, Ustaz Zulkifli Nawawi (SMKA Kota Kinabalu), Ustaz Zaimuddin Hassan (SMK Pengiran Omar, Sabah), Ustaz Aswandi (BPI) dan ramai lagi.

Selepas itu saya pergi makan bersama Ustaz Husnun al-Asyari (BPI), Ustaz Hasmadi Hamdan (sedang cuti belajarI dan Ustaz Ideris Abd Rahim (BPI).

Jam 1 pagi, saya pun sampai di rumah.

Pagi ini saya bersiap-siap untuk balik ke Kampung Perlis. Anak-anak pun sudah tidak sabar-sabar lagi.

InsyaAllah dari hari ini, 2 Disember sehingga 15 Disember. Sudah plan hendak jumpa kawan2 di Kedah dan Perlis. Bawa anak-anak mandi air terjun di Gua Kelam dan Bukit Jernih.

Doakan kami selamat di perjalanan, pergi dan balik.

Saturday, November 28, 2009

Boleh tahan juga lembu ini...

Pada hari pertama Aidiladha, saya sempat juga menyembelih lembu di surau al-Jaafar di kampung saya. Namun, kerana ia lembu ternak maka agak mudahlah juga untuk menyembelihnya.

Semalam, pada hari raya kedua, saya turut menyembelih lembu korban di rumah saya sendiri. Kami adik beradik bersama emak dan abah berpakat untuk sembelih korban di rumah. Tetapi kali ini, jenis lembu yang saya sembelih adalah lembu yang dilepas (bukan ternak). Jadi, ia memang lebih mencabar ketika menyembelihnya.

Kawan-kawan tengoklah sendiri tanduk dan muka lembu ini. Raut wajahnya sahaja sudah mencerminkan kegarangan lembu tersebut.

Memang benarlah tok guru sembelihan saya pernah bagitau, lembu ni banyak jenisnya. Setiap jenis tersebut ada teknik-teknik menyembelihnya. Oleh itu bagi yang berminat untuk menjadi penyembelih, perlulah belajar ilmu menyembelih, berguru dengan yang pakar dan jangan malu serta malas bertanya.

Dari segi cara memegang pisau sembelihan, cara memulakan sembelihan sama ada menekan pisau dari atas ke bawah dahulu atau menarik pisau dari bawah ke atas dahulu, bagaimana memastikan darah binatang tidak terpancut ke baju penyembelih. Sebab itu kita lihat ramai yang menggunakan teknik 'daun pisang' bagi menghalang pancutan darah.

Di mana perlu menyembelih adakah di pangkal, di tengah atau di hujung leher, bagaimana ingin mengetahui tahap ketajaman pisau sembelihan dan teknik-teknik yang lain.

Pendek kata hendak menyembelih pun mesti berguru. Benarlah, ilmu ini terlalu luas dan beruntunglah bagi orang yang suka belajar.

Tapi dia selalu ingatkan... yang paling penting, pisau mesti tajam.

Korban Kami...





al-hamdulillah semalam, hari Sabtu 28 November bersamaan 12 Zulhijjah saya dan keluarga berkesempatan untuk melaksanakan korban di rumah kami.

Tentunya, ramai saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai yang turut sama menjayakan program korban ini. Semoga ia menjadi program keluarga kami setiap tahun.

Yang penting, saya perlu menjadi penggerak kepada program tersebut. al-Kisahnya sudah ada ahli kelurga yang hendak turut serta untuk program tahun depan.

Kami cadang, tahun depan kita targert akan ada 2 ekor pula.

Saya sendiri yang menyembelih binatang korban tersebut. Namun, kali ini lembu yang saya sembelih agak boleh tahan juga.

Maklumlah ia bukan lembu ternak. Tetapi lembu yang dilepas makan rumput secara bebas. Jadi, agak liar juga. Lembu yang saya beli sendiri, yang dipelihara oleh anak murid saya sendiri di Kampung Indah, Morib.

Walaupun pada mulanya nampak agak kecil tetapi kerana ia lembu yang dilepas maka dagingnya agak mantap. Akhirnya setelah ditimbang dapat juga kira 85 kg (daging sahaja) tidak termasuk tulang belulangnya.

Terima kasih pada yang sudi menghulur bantuan. Semoga ibadat korban kami diterima Allah.

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Korban


Kita kini berada di penghujung bulan Islam. Iaitu bulan yang ke-12. Ini bermakna kita telah meraih pelbagai nikmat anugerah Tuhan selama 11 bulan sepanjang tahun ini.

Tahniah buat semua saudara yang berkesempatan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Semoga beroleh haji yang mabrur.

Namun, bagi kita yang tiada kesempatan untuk menunaikan haji kita turut berusaha mencari redha Tuhan. Iaitu dengan kita menunaikan pusat sunat hari Arafah (9 Zulhijjah) dan dengan menyembelih korban. Mudah-mudahan kita juga beroleh redaNya.

Apakah alasan yang layak kita ajukan pada Tuhan jika kita tidak berkorban? Cuma sekadar 3 ratus ringgit sahaja dibanding pelbagai nikmat yang kita perolehi. Yang jika ingin kita hitung maka tidak mungkin tidak terhitung banyaknya.

Mudah-mudahan juga, kesanggupan kita melakukan korban kali ini mendorong kita untuk melakukan korban demi Allah, pada perkara yang lebih besar lagi.

Marilah juga kita menginsafi, korban yang kita lakukan ini hanyalah kecil jika kita bandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak kecilnya (Ismail) di tanah gersang Mekah yang tiada penghuni di kala itu.

Malah, sanggupnya Ibrahim untuk menyembelih puteranya itu, yang sekian lama ditinggalkannya demi patuh pada perintah Tuhan.

Allahu Akbar (9X)... wa Lillahilhamd.

Maka wajarlah kita mendoakan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam setiap solat kerana pengorbanan besar tersebut.

Marilah berdoa agar keluarga kita juga diberkati Allah seperti keluarga Nabi Ibrahim, atas sedikit korban yang kita kerjakan ini.

Amin...Allah Maha Besar

SELAMAT HARI RAYA KORBAN dari saya sekelurga.

Tuesday, November 24, 2009

I Love Ramadhan dan Perpustakaan Negara


al-Hamdulillah, bulan November ini membawa rezeki yang banyak kepada saya. Satu hari (lupa harinya) saya mendapat panggilan telefon dan PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) yang buku saya ILR berjaya mendapat Tawaran Pembekalan Buku Secara Pembelian Terus Daripada Penulis.

PNM mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi memperoleh buku secara terus daripada penulis. PNM telah bersetuju membeli 1089 naskhah secara terus kepada saya.

Atas dasar ini, saya telah 2 kali turun ke PNM di Bangunan TH SElborn Jalan Tun Razak untuk menguruskan perkara tersebut seperti menandatangani Borang Setuju Terima Tawaran Pembekalan Buku Secara Pembeliann Terus Daripada Penulis.

Kali kedua, saya ke sana untuk menyerahkan invois dan menandatangani LO.

Tahniah juga buat teman2 di Karnadya yang turut mendapat tawaran tersebut.

Sunday, November 22, 2009

Mengajar dan Mendorong

Berdentam dentum si guru itu menerangkan perihal korban. Dari bab hukum, dalil, hikmah, fadhilat semua dikupasnya. Tidak cukup dengan itu, pengagihan daging korban pun dihurainya.

Memang kita telah diajar akan banyak hukum Tuhan. Kewajipan solat, bayar zakat, tunai haji, tutup auarat dan yang akan tiba ini perihal tuntutan korban.

Dalam kuliah-kuliah yang saya cuba sampaikan, saya terasa ingin lakukan sedikit perubahan. Dalam hati kecil saya beritahu, mereka semua sudah tahu bahawa korban ini amat dituntut dan tersangat bagus. Saban tahun ada sahaja para ustaz yang huraikan. Namun, tidak ramai juga yang sanggup berkorban.

Oleh sebab itu, saya tidak mahu menekankan hukum hakam korban tetapi saya ingin terus mendorong dan memotovasikan orang Islam untuk berkorban.

Apa alasan-alasan yang menghalang kita daripada cuba berbuat korban? Hancurkan halangan tersebut. Halangan nafsu, halangan masa, duit dan apa lagi alasan yang lapuk, yang telah kita gunapakai setiap kali tiba hari raya korban. Nyahkan semuanya.

Ayuh kita dorong diri kita, ahli keluarga kita, rakan-rakan kita semua. Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh untuk kita tunaikan korban ini.

Para penceramah dan ustaz, doronglah mereka untuk berkorban bukan sekadar menyampaikan mesej sahaja.

Bimbang mereka tahu dan arif akan korban tetapi tidak terdorong untuk melaksanakannya.

Apalah indahnya jika kita tahu benda baik, tetapi kita tidak dapat melaksanakannnya.

Berkorban...

Hidup ini adalah pilihan kita, dengan izin Allah. Kita yang pilih beli kereta A, bukan kereta B. Kita yang pilih untuk membeli atau tidak. Jika kita hendak, tentu kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapatkannya tetapi jika kita memang tidak mahu maka kita akan mencari perbagai alasan.

Tentunya, kita yang pilih untuk menunaikan korban ataupun tidak. Yang berhajat, kita pun ada perkara yang mungkin ingin kita idamkan tetapi kerana kita sudah pasang niat hendak tunaikan korban maka kita pun 'korbankan' apa yang kita idamkam itu demi menyahut tawaran Tuhan untuk menyembelih korban.

Bagi yang belum mahu berkorban, ayuh yakinlah dengan janji Tuhan. Ini sedikit ujian. Kalau ujian korban yang sedikit (cuma kira-kira RM350) pun kita tidak sanggup, apalah ujian lain yang lebih besar kita sanggup laksanakan. Saidina Abu Bakar menyerahkan semua hartanya, Umar al-Khattab memberikan separuh hartanya untuk Allah. Kita cuma ingin serahkan sedikit sahaja.

Bayangkan kita telah menikmati pelbagai nikmat Allah selama 11 bulan untuk tahun ini sahaja. Belum dikira tahun-tahun yang lalu. Belum kita lihat nikmat yang Allah beri pada ahli keluarga kita yang lain. JIka kita fikirkan, tidak layak kita tidak berkorban tahun ini.

Yang lebih kita fikirkah, jika kita tidak tunai korban tahun ini adalah kita yakin ada kesempatan tahun hadapan. Maka janganlah kita berangan yang tahun depan, yang tidak pasti sedangkan kita ada peluang yang dekat ini.

Adapun kita yang telah menanam azam untuk berkorban sebahagian daging, ingatlah. Ini sekadar korban yang sangat kecil. Cuba kita bayangkan bagaimana korban Nabi Ibrahim.

Hendak dibakar dalam api yang marak, terpaksa meninggalkan tanah airnya di Babil, lebih 80 tahun tidak dikurniakan zuriat, terpaksa meninggalkan isteri dan anak kecilnya di tempat yang tiada manusia dan diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri.

Marilah kita jadikan peluang korban ini untuk lebih mendekatkan diri kita pada Allah, semoga korban kita nanti diterimaNya.

Wednesday, November 18, 2009

Menambah 'stress' orang lain?

Salam persaudaraan dari saya.

Bangsa kita sudah maju. Telah lama kita memeluk Islam. Rasanya terlalu nikmat kita dilahirkan dalam bangsa ini.

Namun kita jarang sekali bermuhasabah atas semua ini. Jika tajuk yang cuba dibahaskan ini ada kebenaran, ayuh kita bermuhasabah.

Namun saya lebih suka tidak mengaitkan fenomena ini pada bangsa kita semata-mata tapi pada semua orang secara umum.

Rasulullah s.a.w amat suka memudahkan orang lain, menyenangkan hati dan perasaan orang lain, suka membantu orang lain. Rekod hadis yang saya terbaca menyatakan pembantu-pembantu Rasulullah tidak pernah memendam rasa di atas perbuatan atau ucapan Rasulullah saw.

Sedangkan baginda berjawatan tinggi, orang nombor satu Madinah. Seorang nabi yang maksum bahkan penghulu sekalian rasul.

Adapun kita, hanyalah manusia biasa yang sekadar mungkin menjawat jawatan dari secebis jawatan dunia. Jawatan kita itu pula adalah jawatan yang ada tempoh, ada tempoh bersara. Ertinya selepas bersara, kita tiada lagi memegang jawatan itu.

Namun, di saat kita memegang jawatan itu, mengapa kita menjadikannya platform menambah stress orang lain khasnya orang-orang yang di bawah seliaan kita.

Marilah kita menjadi pembimbing, pendorong orang lain kerana inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah ketika baginda menjadi pemimpin. Membina hubungan yang baik dengan semua orang.

Fikirlah... Jawatan hanya pakaian sementara, yang akan ditanggalkan dari tubuh kita apabila tiba masanya.

Nenek Rasulullah saw

Assalamualaikum semua. Saya berdoa pada semua yang menziarahi blog saya dalam keadaan sihat selalu.

Ternyata topik ‘nenek’ Rasulullah s.a.w telah menarik minat ramai sahabat kita berkongsi maklumat tersebut.

Al-Hamdulillah ramai yang memiliki maklumat yang baik berkait dengan sejarah keluarga baginda s.a.w.

Tentunya Rasulullah memiliki dua nenek. Sebelah ayah dan ibu. Nenek sebelah ayah iaitu isteri kepada datuknya Abdul Mutallib ialah Fatimah bin Amru.

Manakala sebelah ibunya iaitu isteri datuknya Wahab bin Abdu Manaf ialah Barrah binti Abdul Uzza.

Baginda merupakan anak tunggal kepada ibu dan ayahnya dan tiada saudara kandung tetapi mempunyai 2 ibu susuan dan ramai saudara susuan.

Ibu susuannya adalah Halimah al-Sa’diyyah dan Thuwaybah al-Aslamiyyah.

Saudara susuannya bersama Thuwaybah ialah bapa saudaranya Hamzah bin Abdul Mutallib dan Abu Salamah.

Adapun bersama Halimah, saudara susuannya ialah sepupunya Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Mutallib serta 2 orang anak Halimah iaitu Anisah dan Huzafah.

Monday, November 9, 2009

Anda Tahu 'nenek' Rasulullah saw.

Tiba-tiba seorang sahabat lama memulakan bicara dengan malu-malu kucing "Assalamualaikum, ustaz sihat? Saya hendak bertanya ustazlah?"

Saya pun menjawab "al-Hamdulillah, tanyalah. Kalau saya boleh jawab, saya akan cuba jawab tetapi jika saya tidak tahu, saya mohon tangguh"

"Begini... anak saya berumur 5 tahun di tadika PASTI di.... Dia tanya pada saya, siapa nama nenek Rasulullah saw. Muallimah cuma bagitau nama datuk nabi, Abdul Mutallib"

Hari Sabtu lepas, 8 November saya pergi gotong royong rumah jiran yang mengadakan kenduri kahwin.

Sambil memproses ayam saya pun melontarkan soalan yang sama kepada beberapa teman yang berhampiran saya. Saya cuba memulakan bersembang topik 'ilmiah' daripada cerita-cerita yang tidak tentu hujung pangkal, kutuk orang sana sini.

"Saudara, kita tahu nama datuk nabi, Abdul Mutallib tetapi ada sesiapa yang tahu atau tidak nama nenek nabi?"

Masing-masing tercengang, seolah-olah dilempar soalan maut. Memang maut pun sebab tidak ada yang berjaya menjawab.

"A, saya bagi satu minggu... B, saya bagi 2 minggu, trylah cari jawapannya" Saya cuba meredakan gelodak jiwa saudara-saudara saya.

Tuan-tuan pula bagaimana?

Siapa nama nenek nabi saw?

Jangan ke mana-mana, saya akan kongsi jawapannya pada minggu hadapan di tempat yang sama (blog ini) yang mungkin diwaktu yang tidak sama.

Saya juga akan beri bonus lain, nama sepupu-sepupu Rasulullah dan makcik-makciknya.

Insya Allah... Kalau saya lupa, ingatkan saya.

Berguru sampai jadi...

al-Hamdulillah, saya berkesempatan berguru buat kali ke-4 dengan sifu Puan Ainon Mohd. Bermula pada 23 Ogos, 18 Oktober, 1 November dan yang terakhir adalah semalam 8 November bermakna saya telah 4 kali berulang alik ke Taman Permata untuk berguru dengan beliau.

Memang banyak sangat curahan ilmu yang saya dapat dari beliau. Tidak perlulah saya 'belajarlah sampai ke negeri China' tetapi saya perlu meredah lebih 40 kilometer sehala untuk duduk dalam kuliah beliau dari jam 9.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Yang lebih menarik, saya bukan belajar bait-bait ilmu dari mulut beliau bahkan sikap dan cara berfikir beliau. Memang berbaloi penat lelah selama 4 kali Ahad yang saya laburkan.

Antaranya yang saya ingat dan cuba saya amalkan ialah 'Jangan kita sika tambah stress orang lain'. Baik kita orang pandai, orang atasan, orang ada duit, orang ada pangkat dan apa sahajalah, maka permudahkan dan cubalah 'senang' kan orang lain.

Jangan suka mendera (bukan sekadar jasmani), menekan, mengungat dan menakut-nakutkan orang lain. Sebaliknya sama-sama kita cuba menyeronokkan orang lain, memudahkan orang lain.

Rasulullah saw sendiri memberi tahu pada kita, sesiapa yang menyenangkan saudaranya yang lain maka Allah akan menyenangkannya. Tentunya kita mahu memperoleh janji yang dilontarkan oleh baginda ini.

Banyak lagilah yang saya pelajari.

Oleh itu, marilah kita miliki sifat 'mahu belajar' kerana semakin kita belajar rupanya ada signal yang bagitau kita ini sebenarnya 'bodoh'. Tidak ada rugi langsung kita terus belajar waima apa yang kita rasa kita sudah tahu.

Sifu, doakan saya bukan sekadar belajar teori menulis tetapi benar-benar dapat hasilkan karya-karya agung... Amin.

Sunday, November 1, 2009

Aku Berguru Lagi Dengan Sifu Puan Ainon Mohd

Hari ini, Ahad 1 November. Pagi-pagi lagi aku dan anak sulungku Ahmad Iyyash pergi mencari nasi lemak dan surat khabar. Tentunya selepas solat subuh dan membaca al-Qur'an.

Anakku pun bertanya "Baba nak pergi mana hari ini?"

"Baba ada program jauh la, baba nak belajar..." Iyyash diam tanda faham. Dia tahu ayahnya memang selalu pergi 'belajar'.

Kali ini guruku ialah Puan Ainon Mohd. Setelah menjamah sebungkus nasi lemak, aku pun segera menuju ke Taman Permata bersama Ustaz Herman.

"Cepat sikit Man, nanti takut tidak dapat kerusi" aku bercakap penuh semangat.

Memang semua perkara yang kita hendak buat perlu berguru. Kata Puan Ainon, kerja guru ialah mengajar dan mendorong. Memang aku setuju sangat.

Banyak yang aku pelajari dari beliau. Maklumlah kelas dari jam 9.20 pagi sehingga 4.30 petang. Memang dapat segunung emas.

Aku belajar metode dalam menulis buku fiksyen, bagaimana hendak menokok tambah buku buku fiksyen dan bagaimana merancang karya dan banyak lagilah.

Aku sempat juga bertaaruf dengan ramai penulis PTS yang senior seperti Akhi Azrul Jaini, saudara Imran Yusuf, saudara Syarafudin dan saudara Haikal dan beberapa orang lain.

Benarlah perkataan yang pertama diturunkan adalah IQRA'. Bacalah, belajarlah.

Seorang guruku berpesan "Orang kalau tidak suka membaca, sukar diubah karektornya"

Syukran jazilan, mucho gracias Puan Ainon. Minggu depan InsyaAllah saya datang berguru lagi. Menulis Menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Thursday, October 29, 2009

29 Oktober 2009 Dalam Sejarah

Lebih seminggu sebelum 29hb saya dimaklumkan oleh UKM untuk menghadiri Peperiksaaan Lisan Sarjana (Viva) saya.

Saya cuba buat tenang sahaja. Anggap ia sebagai sebahagian perkara yang akan saya lalui. Jangan terlalu ambil mudah dan tidak pula terlalu exited sangat. Akhirnya saya pun tenang mengulangkaji baris demi baris, halaman demi halaman disertasi saya setebal 253 halaman (tidak termasuk halaman-halaman awalan).

Petang hari Selasa, 28 hb sehari sebelum viva, saya sempat minum petang bersama Ustaz Herman dan Cikgu Azri Yusuf. Minum air kelapa matak, air tebu segar dan makan buah jambu serta 2 biji pisang emas.

Malamnya adalah seperti malam-malam biasa. Saya sememangnya membiasakan diri agar tidak menggelabah bila ada sesautu perkara.

Cuma sebelum solat Isyak berjemaah saya minta pada isteri dan 5 orang anak saya,

"Malam ini lps kita solat Isyak sama-sama, kemudian kita solat hajat ya... esok baba ada periksa kat UKM, semua doakan baba ya..." Kami bersolat sama-sama malam itu.

Esoknya jam 7.00 pagi saya bertolak ke UKM. Jam 8.00 pagi saya samapai di perkarangan masjid UKM dan terus memparkir toyota unser saya di depan masjid.

Saya segera tunaikan hajat, kemudian mengambil wuduk dan sempat menunaikan solat tahiyyatul masjid dan hajat dalam masjid. Untuk tambahkan tenang saya.

Saya segera ke bangunan FPI dan singgah ke kantin untuk beli sebotol air mineral. Di perjalanan saya sempat berjumpa kawan lama akhi Yusni Yusak. Dulu 3 tahun duduk sebilik di Jordan.

Sebelum ke bilik Viva, saya sempat bertemu penyelia saya, Yang saya hormati Prof. Madya Dr. Wan Kamal bin Mujani. Syukran Doktor atas bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar. Saya berdoa agar Allah membalas segala kebaikan doktor. Amin.

Akhirnya pada jam 9 lebih saya pun masuk ke bilik Viva 1, aras 2 bangunan FPI, UKM.

Antara yang hang hadir;

1. Prof. Madya Dr. Hajah Salmah Ahmad selaku pengerusi viva merangkap Penyelaras program pengajian Siswazah.

2. DR. Mahiran bt. Ahmad, pemangku ketua Jabtan Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

3. Prof. Madya Dr. Wan Kamal Mujani selaku penyelia

4. Ustaz Ezad AZrai b. Jamsari selaku pemeriksa dalaman

5. Puan Rohimah binti Borhan selaku urusetia PPS.

Setelah kira-kira satu jam berlangsung viva, maka akhirnya disertasi saya pun diisytiharkan LULUS.

al-Hamdulillah. Terima kasih buat semua yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Buat Allah, hambamu ini akan sujud syuklur padaMU.

Demikianlah antara perjalanan sarjana saya di UKM...

Sunday, October 25, 2009

1999...2009




Semuanya adalah dengan izin Allah. Setelah mengerah sedikit usaha, maka pada tahun 1994 Allah telah mengurniakan rezeki kepada saya untuk menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Akhirnya pada tanggal 31 Ogos tahun tersebut, berangkatlah saya ke bumi Jordan. Kami seramai 100 orang pelajar tajaan KPM dan 100 pelajar tajaan Yayasan Pahang serta beberapa orang pelajar tajaan JPA telah ditempatkan di University al-Albayt, Mafraq.

Kami teruja dengan universiti ini. Kami perlu menghabiskan 51 subjek sekira-kira 151 jam kredit dalam tempoh 4 tahun. Bahkan graduan universiti ini perlu menyiapkan satu tesis/kertas kerja dan perlu dibentang (Viva) di hadapan umum.

Bayangkan kami perlu berbahas dengan para doktor Arab di khalayak ramai. Pada peringkat ijazah sarjana muda. Jangan hairan jika ada universiti yang cuma mengadakan viva dalam bilik tertutup tetapi kami perlu berada dalam dewan terbuka. Bayangkanlah...

Setelah 4 tahun kami berhempas pulas akhirnya kami pun berada di penghujung jalan. Tentunya ramai di antara kami yang berjaya menyelesaikan 151 jam kredit, namun perbezaan kami adalah pada siapa yang paling cepat boleh menyiapkan tesis.

Maka pada pertandingan terbuka ini, al-Hamdulillah saya adalah orang ke-3 berjaya menyiapkannya dalam ratusan pelajar yang menghuni di al-Albayt Universiti dengan tajuk "Gambaran Masyarakat Arab; Kajian Buku Rihlat Ibn Jubayr". Ini adalah cerita tahun 1999 yang lalu.

Kini tahun 2009. Sudah genap 10 tahun kenangan ini berlalu. Begitu pantas. Kisah yang berlaku pada bulan haji tahun 1999 itu, kini berulang kembali.

Pada 28 Oktober 2009 (Rabu) ini sekali lagi saya akan masuk ke bilik Viva. Namun kali ini untuk menyiapkan sarjana saya. Tajuk saya pilih kali ini ialah "Sejarah Perluasan Kuasa Islam di Pulau-pulau Laut Mediterranean".

Tesis setebal 253 perlu saya pertahankan. Setelah perjalanan yang panjang ini, tentunya saya banyak mendapat manfaat tentang tajuk ini. Apatah lagi saya dibimbing oleh penyelia saya yang cukup saya segani iaitu Prof. Madya Dr. Wan Kamal bin Mujani. Beliau banyak memberi bimbingan, nasihat, teguran berguna dan seribu bentuk bantuan yang tidak dapat saya balas. Semoga Tuhan membalas segala jasa-jasanya.

Walaupun viva kali kedua ini berlaku pada tahun yang berbeza, selepas 10 tahun dari viva pertama saya dahulu namun ia berlaku juga pada bulan-bulan haji. Semoga ia memberi kemudahan dan barakahnya pada saya.

Buat teman-teman saya mengenali saya... saya minta doa kalian agar perjalanan viva saya kali ini dipermudahkan Tuhan. Amin.

Salam kejayaan buat kita semua di mana sahaja berada...

Wednesday, October 21, 2009

Peristiwa Bulan Zulkaedah...

Kita dah masuk bulan Zulkaedah. Bulan ke11 dalam susunan bulan-bulab Islam.

Banyak peristiwa hebat tercatat dalam bulam ini. Antaranya

1. Perang Banu Quraizah


2. Ghazwah Hudaybiah

Berguru kali ke2 dengan Puan Ainon Mohd

al-hamdulillah pada hari Ahad, 18hb yang lalu saya sekali lagi berpeluang berguru denagn Puan Ainon Mohd. Ini kali kedualah. Di tempat yang sama di Taman Permata.

Walaupun sepanjang minggu lalu memang sibuk...

Dua hari sebelumnya saya berkelana di Kg Ulu Kayan, Setiawan.

Hari Ahad di Taman Permata.

Tapi amat berbaloi cuti tersebut...

Saturday, October 10, 2009

Cuma RM 350... TAPI

Siapa ada niat hendak buat korban tahun ini?

Janganlah garu kepala, tengok orang lain, harap orang kiri atau kanan kita.

Kita ni? Sanggup tak korbankan RM 350 untuk mencari redha Tuhan, mendekatkan diri kepada Tuhan?

Hari itu kita diwajibkan cuma bayar RM7 sekepala (nilai zakat fitrah negeri Selangor).

Semua orang wajib bayar. Yang banyak duit, yang tidak berapa ada duit, yang manager, yang cuma kerja kerani, operator pengeluaran. Yang bergaji lebih RM10 000 atau yang cuma bergaji RM1000.

Semua wajib bayar zakat fitrah. Semua sama nilainya, RM7. Tak ada beza antara si A dan si B. Kita boleh kata, agak mudahlah ujian ini.

Namun, kali ini ujian agak lumayan. Bukan cuma RM7 sahaja. Berani atau tidak hendak tunaikan? Memang kali ini tidak wajib, jadi adakah perlu dijadikan alasan 'tak payah' atau 'tak bersedia'

Ya, berani tak anda keluarkan RM350 untuk kita tunaikan ibadat korban yang sunat setahun sekali ini? Untuk mencari pahala dan mendekatkan diri kita pada yang memberi kita rezeki selama setahun ini?

Sudah 11 tahun Tuhan beri rezeki, dari Muharram sehingga Zulkaedah dan 10 Zulhijjah. Banyak dah nikmat, Tuhan beri.

Sanggup tak kita keluarkan sedikit daripadanya. CUMA RM350.

Tanyalah iman kita...

Syawal Pun Bulan Hebat

Bulan Syawal pun bulan hebat. Ia dinamakan bulan haji. Bulan Haji ialah Syawal, Zulkaedah dan 10 pertama bulan Zulhijjah.

Maksud bulan haji ialah orang dah boleh niat buat haji. Sama ada Tamattu', Ifrad atau Qiran.

Dan jika kita membaca sejarah Islam, banyak peristiwa besar yang telah berlaku pada bulan SYAWAL ini.

1. Perang Banu Qainuqa'

2. Perang Uhud

3. Perang Khandaq (Parit)

4. Perang Hunain

5.Perang pengepungan Taif

Ini sekadar peristiwa yang berlaku pada bulan Syawal pada zaman Rasulullah saw. Belum cerita pada zaman-zaman yang lain.

Seperti biasa kita tanyalah diri kita...

Bulan Syawal memang hebat. Kita?

Ayuh keluarkan kehebatan diri kita...

1. Selesaikan puasa 6 hari di bulan Syawal

2. Pasang niat untuk laksanakan korban

Meneruskan Roh Ramadhan...

Pertamanya Ucapan Maaf Zahir dan Batin untuk semua...

Maaf kerana untuk tempoh yang lama, terbekunya blog ini.

InsyaAllah semoga akan diberi kesempatan berblog selepas ini...

Sudah lebih sebulan kita ditinggalkan Ramadhan. Kemudian Syawal pula datang dan hanya beberapa hari sahaja lagi ia pula akan berlalu.

Namun, kemeriahan Syawal masih terasa. Beraya, makan-makan, jalan-jalan memang selari dengan jiwa manusia.

Dengan kemeriahan dan keghairahan tersebut, ayuh kita beringat-ingatlah. Beringat akan susah payah kita selama 30 hari di bulan Ramadhan yang lalu kita kita 'repair' diri kita,

Jom kita teruskan projek-projek baik yang dulu kita dah buat.

1. Dulu kita puasa setiap hari di bulan Ramadhan
Tapi macam mana yang cuma 6 hari di bulan Syawal. Dah beres?

2. Dulu setiap malam solat sunat sekurang-kurang 8 rakaat
Tapi sekarang jaga tak solat malam walaupun dengn hanya 2 rakaat

3. Dulu berusaha sungguh menghabiskan 1 juzuk satu hari, agar sempat khatam al-Quran
Tapi sekarang ada tak baca sekurang-kurang satu lembar sehari

4. Dulu bayar RM7 untuk bayar zakat fitrah, sedekah untuk orang susah
Tapi sekarang ada plan tak untuk buat 'korban' yang satu bahagian perlu RM350

5. Dulu jaga mulut, mata, telinga
Tapi sekarang bagaimana. Dok makan sana-sini tak henti-henti bimbang jadi darah tinggi


Semuanya adalah pilihan kita, iman kita.

Tak perlu salahkan sesiapa...

Sunday, September 13, 2009

Ramadhan antara kuantiti vs kualiti

Sirah mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w hanya merasai 9 kali sahaja kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Jika mengikut kuantiti, barangkali ada di antara kita umat Islam yang sudah berkali ganda lebih banyak berpuasa jika dibandingkan dengan baginda s.a.w. Mungkin sudah sekali ganda kepada mereka yang sudah bertemu 18 kali puasa Ramadhan, atau telah 2 kali ganda jika sudah bertemu 27 kali puasa Ramadhan atau 3 kali ganda jika sudah bertemu 36 kali puasa Ramadhan.

Puasa Ramdhan diwajibkan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Adapun Rasulullah s.a.w. wafat pada tahun ke-11 Hijrah. Ini bermakna baginda s.a.w. hanya sempat bertemu 9 kali Ramadhan sahaja. Kewajipan puasa Ramadhan berlaku sebulan selepas peralihan arah kiblat dari menghadap ke Baitulmaqdis di Palestine ke Kaabah di Mekah. Iaitu selepas 18 bulan Rasulullah s.a.w berhijrah dari kampung kelahirannya di Mekah ke Madinah al-Munawwarah.

Andai hari ini seorang Islam telah berumur 40 tahun maka sebenarnya dia sudah berpuasa Ramadhan sebanyak 30 kali (tolak 10 tahun sebab belum baligh), membayar 40 kali zakat fitrah dan telah beribu kali kita menunaikan solat. Jika kita menghitung 5 kali solat sehari semalam dan didarabkan dengan 365 hari kali dalam setahun dan kemudian dikalikan dengan tempoh umurnya selama 30 tahun. Itu jika seseorang yang sudah berumur 40 tahun. Cuba bayangkan pula jika orang yang sudah sampai melewati umur 60 tahun. Maknanya dia sudah bertemu 50 kali bulan Ramadhan, sudah 60 kali membayar zakat fitrah dan entah berapa banyak kali dia sudah mengerjakan solat. Bahkan mungkin sudah dua tiga kali menunaikan ibadat haji.

Jika dicongak-congak nombor-nombor tersebut, sudah berapa banyak pahala yang kita sudah dapat jika dengan selama umur kita yang panjang ini kita lakukan setiap ibadat-ibadat ini dengan sebaik-baik mungkin. Sebagus-bagus yang boleh. Yang paling cemerlang dan yang terbaik. Tentulah cukup banyakkan?

Namun, kita semua perlu sedar bahawa kaedahnya bukan dikira siapa yang paling banyak tetapi siapa yang terbaik dan terbagus. Ya, siapa yang paling baik dan paling cemerlang. Firman Allah yang bermaksud Untuk menguji kamu siapa yang paling baik di antara kamu dari segi amalan. (Surah al-Mulk: ayat 2)

Apa ertinya kita banyak mendirikan solat banyak, banyak berpuasa, sering sedekah dan pergi berulang alik menunaikan ibadat haji, jika semua ibadat yang dikerjakan ini tiada berkualiti dan tidak bagus. Mendirikan solat lima waktu sehari semalam tanpa khusyuk, menunaikan haji tetapi tidak beroleh yang mabrur dan rajin berpuasa tetapi sekadar puasa dengan semata-mata tidak makan dan tidak minum.

Oleh sebab itulah kita ingin sama-sama bermuzakarah, bersoal-jawab, bertazkirah dan saling ingat mengingati saling saling berpesan-pesan. Berpesan-pesan perihal ibadat puasa Ramadhan yang kita lakukan hanya sebulan dalam setahun ini. Semuanya hanya semata-mata untuk kita menambah baguskan ibadat puasa Ramadhan kita ini.

Kita bukan mahu membicarakan berapa banyak kita sudah bertemu Ramadhan atau saling berbangga dengan banyak Ramadhan yang telah kita lalui, tetapi kita hendak muhasabah sejauh mana kualiti puasa Ramadhan yang telah kita lalui dan yang sedang kita lalui ini.

Semoga kita dapat melakukan yang terbagus dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah amat suka kepada para hambanya yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Seperti yang telah disebutkan bahawa Allah mewajibkan puasa Ramadhan pada tahun yang kedua hijrah. Setelah 15 tahun usaha dakwan baginda s.a.w. Puasa Ramadhan belum difardhukan semasa era dakwah di Mekah berbanding ibadat solat yang mula difardhukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj semasa baginda s.a.w di Mekah.

Mengapakah perintah puasa ini datang lewat? Datang selepas 15 tahun lamanya selepas Rasulullah s.a.w berdakwah mengajak orang Arab kepada Islam. Apakah sebab memerlukan masa yang begitu lama sebelum difardhukannya?

Ini kerana mendidik nafsu adalah antara sepayah-payah perkara, maka kewajipan berpuasa adalah lewat iaitu selepas peristiwa hijrah. Selepas jiwa umat Islam terdidik kukuh dalam perkara tauhid, solat dan perintah-perintah al-Qur’an.

Sehingga kini pun kita sering tertewas dengan nafsu. Nafsu yang mengajak kepada perbuatan yang tidak baik. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk berlawan dengan musuh kita iaitu nafsu kerana pada ketika ini syaitan sedang dibelenggu. Sepanjang Ramadhan kita diajak untuk menundukkan nafsu kita yang mendorong kepada keburukan.

Nafsu kita mendorong untuk kita berboros atau berbelanja berlebih-lebihan di bazaar Ramadhan, bermalas-malas dalam melakukan ibadat seperti membaca al-Qur’an, bersolat Terawih, bersedekah kepada orang kurang bernasib baik, bertahajjud di malam hari, menunjuk-nunjuk dengan pakaian baru kepada orang lain dan sebagainya.

Bukankah di penghujung ayat 183 dari surah al-Baqarah, Allah telah menyatakan yang bermaksud “supaya kamu bertaqwa”. Ya, dengan kamu berpuasa “supaya kamu bertaqwa”. Inilah misi mengapa kita diwajibkan berpuasa. Takwa ialah benteng. Benteng yang menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang boleh mengundang murka Allah dan azab siksaan-Nya, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Adapun semata-mata kita menahan diri daripada makan dan minum sahaja, maka puasa kita itu belum betul-betul sempurna dan layak mendapat pahala terbaik. Bukankah nabi s.a.w telah mengingatkan kita yang berpuasa tetapi tidak mampu meninggalkan kata-kata dusta, keji maka lebih baiklah tidak berpuasa.

Marilah kita menjadikan peluang puasa Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya. Dengan sebaik-baiknya untuk kita menundukkan nafsu agar kita dapat beroleh takwa. Kita berusaha melawan nafsu yang mengajak kepada keburukan, kita berusaha membangunkan takwa dalam diri semoga menjadikan puasa kita puasa yang terbaik dan benar-benar berkualiti menurut apa yang dituntit oleh Tuhan.

Saturday, September 5, 2009

Pandai Berpidato atau Pandai Beramal?

Bulan Ramadhan menjadi medan yang subur untuk saya membaca. Tentunya yang utama adalah membaca al-Qur'an, namun saya sempat juga menjamah beberapa buku lainnya.

Dalam rihlat bacaan saya kali ini, telah menyentap jantung saya apabila saya terbaca satu kata-kata daripada seorang pendakwah Ariffin Ilham yang berbunyi

"Bagaimana rakyat negara ini mahu maju sekiranya para tokoh dan alim ulamak hanya pandai berpdato tetapi tidak pandai beramal?"

Ya... satu teguran hebat untuk direnungi bersama.

Ramadhan adalah bulan yang bisa menjadi magnet untuk kita beramal. Mari kita terus beramal dan beramal. Kalaulah Ramadhan tidak mampu menarik kita beramal, bulan yang mana lagikah untuk kita harapkan...

Tahu hasil kemenangan atau bagaimana mereka menang?

Bulan Ramadhan telah menjadi saksi kepada beberapa kemenangan tentera Islam dalam sejarah.

Antara yang paling masyhur, tentulah Perang Badar selain Pembukaan Kota Mekah, Perang Ain Jalut dan Pembukaan Armenia.

al-Maklum pada tanggal 17 Ramadhan ialah tarikh berlakunya peristiwa Perang Badar walaupun di negara kita tarikh 17 Ramadhan ini lebih dikaitkan dengan peristiwa nuzul al-Qur'an.

Saya teringat ketika saya dan rakan-rakan di bumi Mafraq, Jordan kira-kira 10 tahun yang lalu. Kami menyusun program menyambut Nuzul al-Qur'an pada malam 17 Ramadhan tetapi penceramah yang dijemput iaitu syaikhuna Doktor al-Qadir bin Abdul Rahman al-Saadi mengubah kepada perbicaraan Perang Badar. Baginya 17 Ramadhan adalah tarikh memperingati Perang Badar.

Ramai penceramah apabila menceritakan sejarah Perang Badar ini hanya menceritakan perihal suasana perang, bilangan tentera Islam dan musuh, perlawanan satu lawan satu antara kedua belah pihak, bantuan Malaikat daripada Allah, Rasulullah mengambil pendapat dari Muhajirin dan Ansar untuk berperang, bilangan tentera Islam yang syahid dan jumlah kematian tentera kafir, peranan Abu Sufyan dan Abu Jahal, perihal tawanan musuh dan catatan hasil 'kemenangan' tentera Islam dalam perang tersebut.

Ya, memang semua ini penting bagi membangkitkan rasa bangga kita di atas kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah. Tentera yang hanya berjumlah 315 orang mampu mengalahkan tentera yang 3X ganda lebih ramai.

Tetapi yang perlu juga diuar-uarkan bukan semata-mata 'hasil kemenangan' yang dicapai kerana ramai antara kita yang telah tahu perkara tersebut sekian lama.

Yang perlu kita lebih tahu ialah bagaimana persedian Rasulullah saw dan para sahabat dalam menghadapi perang tersebut.

Sebagaimana diriwayatkan bagaimana Rasulullah bersolat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga waktu subuh. (Hayatus sahabat: al-Solat fi sabilillah)

Bagaimana Rasulullah berdoa mengadap kiblat lalu berkata " Wahai Tuhan! Tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan kumpulan ini (tentera Islam) maka Engkau tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini selama-lamanya"

Beginilah persediaan tentera Islam menghadapi perang. Mereka bangun malam, berdoa, mengalirkan air mata berdoa pada yang Maha Agung, membaca al-Qur'an.

Ketika semakin hampir antara tentera Islam dan tentera Rom dalam Perang Yarmuk, al-Qubuqlar yang menjadi ketua Rom telah mengutus seorang lelaki Arab. Kemudian beliau bertanya "Siapakah di belakangmu?"

Lelaki itu menjawab "Mereka adalah para rahib di waktu malam dan para pejuang di waktu siang"

Begitulah ketika bertanya Hercules "Bagimanakah kamu boleh tewas?" Menjawab salah seorang pembesar mereka "Kerana mereka mendirikan malam (qiamullail) dan berpuasa di siang hari"

Ayuh... peranan kita adalah bukan semata-mata menghebahkan kemenangan dan kehebatan umat Islam yang telah tercatat kukuh dalam lembaran sejarah tetapi perlu membongkar 'sebab-sebab' yang membawa kemenangan dan kehebatan tersebut.

Agar menjadi ikutan kita semua...

Kehebatan luaran adalah lahir dari kehebatan dalaman. Lavar gunung berapi hanya akan muntah lalu menyuburkan tanah-tanah di sekitarnya hasil menggelegaknya api yang berada di dalamnya.

Thursday, August 27, 2009

Bulan Ramadhan Bukan Hanya Ada Puasa Sahaja!!!!

Bulan Ramadhan seperti juga bulan-bulan lain. Ada 29 atau 30 hari sebulan. Ada siang dan ada malam. Ada hari panas dan ada hari hujan. Ada orang sihat yang mampu berpuasa dan ada orang sakit yang tidak berkuasa untuk berpuasa. Ada orang menetap dan ada orang yang bermusafir. Tidak hairanlah jika kita kata Perang Badar sendiri berlaku di bulan Ramadhan.

Sebenarnya di dalam bulan yang mulia ini bukan hanya terbatas suruhan ibadat puasa semata-mata. Ada juga ibadat-ibadat yang lain yang banyak. Oleh sebab itulah, janganlah kita Cuma setkan minda kita dengan puasa sahaja tetapi kita lupa untuk melakukan ibadat-ibadat lain yang juga dikali gandakan pahalanya sempena Ramadhan ini.

Puasa cuma 12 jam sahaja dan cuma dilakukan di siang hari semata-mata. Apa yang kita buat 12 jam yang baki, adakah untuk relaks-relaks atau buang masa sahaja. Adakah sepanjang 12 jam di waktu siang itu kita hanya menjaga untuk tidak makan dan tidak minum semata-mata. Tentulah ada jalan lain yang boleh kita lakukan untuk melakukan kerja-kerja yang banyak, ibadat-ibadat yang lain yang semunya digandakan pahalanya. Kita lupa ke?

Bagi para isteri tentulah jika hendak dibandingkan pahala dengan para suami mereka lebih banyak. Maklumlah dia terpaksa bangun di awal pagi untuk menyediakan makanan sahur untuk seisi rumahnya, terpaksa mengejut bangunkan para ahli puasa yang mungkin terpaksa dikejut beberapa kali. Bagi yang memiliki anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa memujuknya pula agar mereka kuat untuk turut berpuasa. Tidak cukup itu, selepasnya nanti dia terpaksa mengurus pinggan mangkuk pula untuk dicuci.

Apabila tiba waktu petang, di saat orang lelaki mungkin sudah boleh bersantai bermotosikal menghirup angin kampung untuk menunggu waktu berbuka, beliau seorang dia sibuk pula untuk menyiapkan hidangan berbuka. Begitulah juga, semasa para suami sudah bersiap sedia untuk bergerak ke masjid bagi mendirikan solat Sunat Terawih tetapi mungkin masih mengurus dapurnya.

Namun, wahai para lelaki, abang-abang! Sanggupkah anda menerima dan terus menerima hakikat ini. Anda tidak mahu ke berlumba-lumba mengumpul pahala puasa? Bukankah besar pahala bagi orang yang membantu orang lain untuk berbuka puasa. Isteri-isteri kita, ibu-ibu kita, anak-anak perempuan kita pun berpuasa macam kita. Mereka pun letih tetapi sanggup berkhidmat itu dan ini kerana yakin dengan ganjaran pahalanya.

Janganlahlah cuma tolong makan dan minum sahaja. Apa boleh saya buat, saya ni orang lelaki? La… banyaklah kerja yang kita boleh tolong, asalkan kita sudi untuk menghulur bantuan untuk meringankan kerja-kerja mereka. Mereka pun tentulah gembira jika kita boleh menolong. Tolong apa yang boleh saya buat?

1. Tolong siang ikan
2. Tolong bancuh air minum
3. Tolong membersih dan mengelap meja makan
4. Tolong menghidangkan juadah sahur atau berbuka puasa

Ini jika kita ingin mengumpul pahala dalam rumah. Maksudnya? Maksudnya kita boleh juga mengumpul pahala-pahala dengan melakukan kerja-kerja di luar rumah kita. Selain pahala yang memang kita semua telah sedia maklum.

1. Membersihkan tandas-tandas surau
2. Menyapu, mengemop, membersih dan mengvakum surau
3. Menyusun tikar-tikar dan sejadah-sejadah sehingga ke beranda surau
4. Memasang setiap lampu-lampu surau

Begitulah juga, selepas selesai jemaah surau mendirikan solat Terawih dan menjamu moreh:
1. Mengemas dan melipat kembali tikar-tikar dan sejadah-sejadah
2. Menyapu lantai surau dan mengemopnya (jika perlu)
3. Menutup semula suis-suis lampu dan kipas yang dibuka


Banyak lagi amalan-amalan yang mungkin juga boleh kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan;

1. Menghulur sedikit juadah berbuka kepada jiran-jiran
2. Memberi sedekah 3-4 biji buah tembikai kepada rumah anak yatim
3. Memberi sedekah air mineral dan buah tamar untuk surau dan masjid bagi juadah berbuka

Sebenarnya, bulan Ramadhan adalah medan yang membuka seluas-luasnya ruang untuk kita mengumpul sebanyak-banyakknya pahala. Apatah lagi pada bulan ini sahajalah, setiap amalan itu akan digandakan pahalanya.

Selamat berpuasa dan berkhidmat untuk semua…

Wednesday, August 26, 2009

Dari Web Karnadya Solution


Selamat membaca, mengamalkan dan menyebarkan ilmu dalam buku I Love Ramadhan

Monday, August 24, 2009

Waktu Masuk vs Waktu Keluar

Jom kita bermonolog dengan diri kita.

Cuba kita ingat-ingat... Ketika hari pertama kita bersekolah rendah atau mungkin ketika di tadika. Kita tak tahu apa-apa. Tak tahu membaca, mengira dan menulis. Namun selepas tamat sekolah rendah, kita berubah. Dah boleh membaca, menulis dan mengira. Ada Perubahan dan hasil baru.

Begitu juga ketika naik tingkatan. Mula-mula masuk mungkin kita tak kenal ada subjek perdagangan, prinsip akaun dan ERT. Bagi kelas sains pula tak kenal apa itu matapelajaran kimia, fizik dan Add mate. Bagi aliran agama pula tak kenal Tasawwur Islam, Bahasa Arab tinggi. Namun, selepas tamat tingkatan 5, kita tahu dah semua tu.

Sebelum tak tahu, kosong tetapi selepas melalui sekolah rendah kemudian sekolah menengah kita sudah tahu. Sebenarnya samalah juga sebelum masuk Universiti dan selepas graduasi. Mesti sebelum masuk lain dan selepas masuk lain.

Sebelum masuk sekolah, maahad tahfiz, politeknik, universiti atau maktab lain dan selepas masuk, selepas tamat jadi lain. Ada perubahan positif.

Begitulah yang sepatutnya bagi kita dalam madrasah atau universiti Ramadhan ini. Sebelum masuk iman lemah tetapi selepas masuk semakin kuat kerana telah melaui tarbiah Ramadhan.

Kalau sama sahaja? Alamakkk... sama sahajalah orang tak masuk sekolah. Dak sekolah pun tak boleh membaca, menulis. Rugilah, buang masa.

Ingat-ingatlah kita sama-sama... Cuma sebagai renungan minda kita.

Bulan Puasa Bulan Menuntut Ilmu (Bersama Pn. Ainon Mohd PTS)

Lama dah saya tunggu peluang ini. Akhirnya, tercapai jua. Ya… peluang berguru dengan Pn. Ainon Mohd. Dari PTS, dalam penulisan.

Al-Kisahnya saya pun menguatkan diri untuk menghadiri kelas beliau pada hari Ahad lepas, 23 Ogos 2009 bertempat di Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, Hulu Kelang.

Mungkin rezeki bulan Ramadhan al-Mubarak. Kebetulan program ini berlangsung pada hari ke-2 Ramadhan.

Perbincangan sekitar 3 jam itu berkait dengan ‘Unsur-unsur cerita yang disukai pembaca’ dan ‘Bagaimana menyusun cerita supaya sedap dibaca’

Di sampaing itu, saya sempatlah bertaaruf dengan penulis2 PTS seperti akhi Zamri Muhammad penulis buku ‘Rahsia Bisnes Mamak’, Tip Menjadi Penulis Bestseller’. Juga akhi Firdaus Ariff novelis ‘Sayap Adinila’ dan ‘Armada Azur’.

Semoga kursus kali akan memperkukuhkan lagi semangat saya untuk terus berkarya.

Ambil semangat Ramadhan yang barakah

Program Ihya' Ramadhan


Assalamualaikum semua...

Dah lama sebenarnya saya nak mengucapkan salam buat semua teman seIslam. al-Hamdulillah sepanjang Rejab dan Syaaban saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi sedikit rezeki ilmu.

Sepanjang Syaaban, ceramah-ceramah saya berkisar tajuk Ramadhan. al-Hamdulillah pada tahun ini saya berkesempatan pergi ke masjid atau surau yang buat kali pertama kaki saya ke sana.

Antaranya Surau al-Siddiqin, Rawang. Juga surau Nur al-Sham di Kuala Langat dan beberapa tempat lain di Masjid Kg. Sungai Udang Klang, Surau Taqwa (ada aircond) di Palm Grove Klang, SMK Jenjarum Kuala Langat, SMK PUlau Indah Klang, Surau Kuarters Guru USJ, Surau Yahya Perkampungan Darul Mujahidin, Surau al-Syakirin Pinggiran USJ dan banyak lagi.

Salam ukhuwwah, ucapan Ramadhan Karim dan syukran jazilan kepada yang mengundang saya. Semuga sedikit ilmu yang telah dikongsikan diberkati dan mendapat manfaat bersama.

Amin...

Sunday, August 16, 2009

Uar-uarkan Yang Hebat...

Temujin adalah tokoh besar. Beliau berjaya menyatukan bangsa tatar dan mongol menjadi satu bangsa yang kuat.Beliau kemudian dikenal dengan nama Genghis Khan dan dilantik sebagai Khan al-A'zam (maharaja agung).

Kerana ingin anaknya menjadi contoh kepada datuknya yang hebat, maka ibu Hulagu sering menyebut dan menguarkan kehebatan sang datuk kepada anaknya Hulagu, yang merupakan cucu Genghis Khan.

Sorhgagthani Beki, ibu kepada Hulagu yang merupakan cucu Genghis Khas sering berkata kepada Hulagu...

"Anakku, apabila besar kelak jadilah seperti datukmu. Suaranya kuat seperti halilintar, tangannya lebih perkasa dari beruang jantan. Beliau boleh mematahkan leher lawannya seperti dia mematahkan ranting kayu. Pada musim sejuk dia tidur tanpa berpakaian berhampiran dengan unggun api. Percikan bara api jatuh pada badannya dianggap seperti gigitan semut sahaja" (Hulagu Khan: Abdul Latip Talip, 2009, PTS)

Kata-kata hebat oleh ibu yang hebat berkaitan cerita yang hebat dapat mempengaruhi jiwa anak yang akhirnya menjadi tokoh yang hebat. Hulagu Khan akhirnya membesar dan di bawah pimpinan beliaulah akhirnya tentera Mongol telah menjatuhkan ibu kota empayar Islam pimpinan Kerajaan Abbasiyah, Baghdad pada tahun 656 Hijrah.

Besarkan pengaruh menceritakan yang hebat...

Apakah kita telah menceritakan pada anak-anak kita, keluarga kita, anak didik kita, orang-orang di bawah kuasa kita tentang 'kehebatan Ramadhan' agar ia dapat mempengaruhi mereka.

Uar-uarkanlah kehebatan Ramadhan buat semua agar sama-sama kita dapat menjiwai kehebatannya.

Namun, masih ada antara kita yang masih diam membisu. Tidak hairanlah sehingga saat ini kita masih belum melihat kehebatan Ramadhan ini meledak bagaikan lahar gunung berapi.

Ayuh! Kita semua bertanggungjawab menguar-uarkan kehebatan bulan agung lagi barakah ini...

Saturday, August 8, 2009

Panggilan iman untuk Ramadhan....


Tanggal 25 hb saban bulan merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan orang. Sebab mereka yakin pada tarikh tersebut ada habuan besar. Ya, kemasukan gaji bagi ramai pekerja.

Tarikh tersebut sering dinanti-nanti, dengan penuh kesungguhan.

Tentunya ramai antara kita memiliki tarikh-tarikh 'keramat' yang paling dinanti-nanti kedatangannya.

Itulah dalam kehidupan fizikal kita yang biasa, kehidupan duniawi kita.

Di samping banyak tarikh tertentu, bagi kita umat Islam memiliki tarikh bertuah yang pasti akan datang saban tahun menjenguh kita semua dengan membawa buah tangan yang banyak lagi barakah.

Namun, persoalannya sejauh manakah perasaan kita dalam menanti tarikh tersebut. Ya ketibaan tarikh 1 Ramadhan.

Mengapa sehingga kini belum diuar-uarkan ketibaan tarikh besar ini. Mengapa tiada 'countdown' Ramadhan sedangkan upacara-upacara besar yang lain biasanya ada.

Apakan ia bukan upacara besar bagi kita umat Islam!

Ayuh semua!

Jika ramai yang lupa, buat-buat lupa, saja-saja melupakan... biarlah mereka tetapi bukan KITA, bukan KELUARGA KITA.

Mari kita hebahkan kehangatan untuk menyambut ketibaannya. Kita ajak seluruh anak isteri kita bersama.

Benarlah, Ramadhan itu adalah panggilan iman dari Tuhan.

"Wahai orang-orang yang beriman!..." panggilan dariNya

"Ya,,,Allah" Orang yang beriman segera menyahut.

"Telah diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh takwa"

Tuesday, August 4, 2009

Ihya' Ramadhan di Rawang

al-kisahnya buat pertama kali saya mendapat ceramah di kawasan Rawang. Kali ini kembara ilmu saya ditemani oleh Ustaz Herman.
Mulai malam itu sehinggalah akhir Ramadhan saya akan menumpukan perbicaraab berkaitan dengan kehebatan bulan Ramadhan dan puasa Ramadhan itu sendiri. Beza tu...

Ramai orang yang menyangka bahawa bulan Ramadhan hanya ada puasa. Maka kita lupa di bulan ini juga ada tadarus, solat terawih, bersedekah, iktikaf dan bermacam-macam ibadat lain yang dikali gandakan pahala-pahalanya.

Sebab itu, Ramadhan bukan hanya bulan puasa kerana terdapat amalan-amalan lain yang banyak.

Ramadhan adalah pesta, pesta ibadat. Berpesta-pestaan adalah berseronok. Ramadhan adalah pesta iaitu berseronok-seronok dalam mengejar semua tawaran yang diberikan oleh Allah sepanjang Ramadhan.

Saturday, August 1, 2009

Bulan Baik…Ada Ke Bulan Jahat?



Setiap kali hendak tiba bulan Ramadhan, maka semua umat Islam seantero dunia akan menyiapkan diri menyambut ketibaanya dari segi mental dan fizikal. Yang biasa kita dengar ialah mereka menyebut hendak menyambut ‘bulan mulia’ atau ‘bulan baik’. Ketika saya belajar di Universiti al-alBayt, Jordan dahulu, orang Arab apabila menyambut ketibaan Ramadhan maka mereka akan menghulurkan ucapan ‘Ramadhan Karim’ yang bermaksud bulan yang mulia atau ‘Ramadhan Mubarak’ yang bermaksud bulan yang diberkati.

Saya yakin semua orang pasti bersetuju sangat jika kita katakan memang Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan baik. Memang Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati. Ya…bulan yang terletak dalam susunan yang kesembilan daripada 12 bulan-bulan Islam ini memang bulan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan.

Dalam setahun ada 365 hari, ada 12 bulan, ada 52 minggu serta ada beribu-ribu jam, minit dan saat. Namun, yang menjadi persoalannya adakah kemuliaan ini hanya terletak pada Ramadhan sahaja? Bagaimana bulan-bulan yang lain. Tidak mulia ke? Bukankah kita selalu juga begitu gembira apabila menyambut awal Muharram yang menandakan tahun baru Hijrah. Bukankah kita begitu berbangga apabila tiba bulan Zulhijjah di mana pada 10 haribulan, ribuan umat Islam seluruh dunia sedang berhimpun di tanah suci untuk mengerjakan ibadat Haji. Adapun yang berada di tanah air pula, ramai yang berlumba-lumba menunaikan ibadat korban.

Ini bermakna setiap bulan ada cerita dan kemuliaan masing-masing. Kita tidak menafikan memanglah bulan Ramadhan telah memberi peluang dan ruang kepada kita untuk memuliakan diri kita dengan amalan ibadat yang dijanjikan pahala berlipat-lipat kali ganda. Tetapi tidak bermakna pada bulan-bulan lain kita tidak memburu kemulian yang dihidangkan Tuhan untuk kita menambah pahala lagi dan lagi.

Perkara yang saya sering tertanya-tanya juga, jika ada bulan baik maknanya ada ke bulan jahat? Jika ada bulan mulia, maka ada ke bulan tidak mulia? Semua saat, minit, jam, minggu, bulan dan tahun adalah mulia jika kita melakukan kerja mulia dengan niat yang mulia untuk mencari redha daripada Yang Maha Mulia.

Kita memang amat yakin dengan kemuliaan Ramadhan tetapi janganlah lupa bahawa di bulan-bulan lain juga ada dosa pahala dan ada catatan amalan baik dan amalan buruk. Ayuh kita memperkasakan iman kita setiap waktu, apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia.

Sumber: Sahrulazmi Sidek, I Love Ramadhan, hlm. 18

Puasa @ puas-puas?

Puasa Atau Puas-puas?


Apa perbezaan antara puasa dan puas? Tentulah besar perbezaan antara puasa dan puas atau puas-puas? Berbeza dari segi ejaan, bunyi sebutan dan maknanya.

Puasa Ramadhan ini datang sekali-sekala. Sepanjang Ramadhan kita ingin merasa juadah berbuka yang terenak. Maklumlah sudah 12 jam kita berlapar dan berdahaga. Puas saya jika dapat makan seekor ayam golek, 2 ekor ikan keli bakar dan… Puas saya kalau dapat minum…

Hari Raya Aidilfitri pun begitu juga. Kita semua sudah arif dan maklum. Namun, kita amat risau jika kerana ia sekali-sekala maka kita pun tersasar dalam meraikannya. Kita terlupa, terleka dan terikut-ikut sama. Apabila sudah sekali-sekala maka kita pun beranggapan ia perlu disambut dengan semeriahnya. Kita selalu kata “Apalah salahnya…”, iakan setahun sekali. Apalah salahnya, itulah yang salah jika menyebabkab kita membazir, lupa daratan, ingin berlawan-lawan untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Sofa yang lama perlu diganti dengan yang baru. Langsir dan cadar katil pun turut sama perlu ditukar ganti dengan warna dan corak yang lebih sesuai dan terkini. Semua mestilah baru sebab hari raya nanti, rumah kita akan dikunjungi orang ramai dan saudara mara. Malulah kita jika masih menggunakan benda-benda yang lama.

Bukan sekadar perhiasan di dalam rumah yang perlukan perhatian tetapi yang di luar pun juga jangan terlepas pandang. Sudah 12 bulan cat rumah tidak bertukar ganti. Kalau dahulu sudah 12 bulan berwarnakan biru muda, maka tahun ini mata kita jatuh cinta pula pada warna hijau muda dan coklat pula. Tentulah nafsu kita berbisik-bisik di telinga “Takkanlah perabut di dalam rumah cantik berseri tetapi di luar rumah tidak berganti”

Baju raya perlu juga yang baru, daripada jenis kain terkini, ditempah mengikut fesyen terbaru. Mungkin tidak cukup sepasang tetapi perlu kepada berpasang-pasang kerana kita telah berpuasa sebulan lamanya. Puasa sebulan, maka hari rayanya juga perlulah diraikan sebulan lamanya. Kalau sudah menyambut hari raya 30 hari, mestilah perlu disediakan pakaian yang berpasang-pasang. Tidaklah canggung dibuatnya jika asyik memakai pakaian yang sama setiap hari.

Kuih-kuih muih beraneka jenis dan rasa juga perlu diambil kira kerana kita bakal meraikan tetamu yang akan datang mengunjung daripada saudara mara dan sahabat handai yang datang sekali sekala. Maka kita perlulah meraikan mereka dengan juadah yang paling enak, lazat dan sempurna. Supaya yang datang nanti akan puas apabila mengunjung ke rumah kita dan kita pun puas kerana melayan mereka dengan sebaik-baiknya.

Kita tentu seronok dan puas jika impian kita dapat kita tunaikan. “Emmmm, puas saya”. Apa yang puasnya bang, kakak, pakcik, makcik, adik? Pada 1 Syawal ini, rumah kita cukup berseri. Pakaian seluruh ahli keluarga kita telah kita sediakan. Puas dan puas. Puas kerana semuanya baru, mewah, berjenama, terkini, pelbagai dan terbaru.

Namun, inikah yang kita inginkan daripada Ramadhan yang kita lalui sepanjang 30 hari ini? Beginikah yang ingin dipersembahkan kepada Tuhan? Kita ingin berpuasa atau berpuas-puas pada yang sia-sia. Benarkah ini yang dituntut oleh agama? Adakah sepanjang bulan Ramadhan ini kita diminta berlumba-lumba untuk mengumpul pahala atau berlumba-lumba menjadi loba?

Perlu dan mestikah kita sambut hari raya dengan mewah, baru, berpasang-pasang, berjenama dan berpuas-puas. Apakah kita fikir anak jiran sebelah rumah kita akan dapat apa yang dia akan lihat pada kita. Alangkah sedihnya dia jika melihat kita berbaju baru sedangkan dia di pagi ini sedih dan pilu mengenangkan nasibnya yang yatim piatu, yang tiada ini dan itu

Fikir-fikirkan…

(Sumber: Sahrulazmi Sidek, 2009, I Love Ramadhan, cetakan ke-2, hlm. 164)

Sunday, July 26, 2009

I Love Ramadhan datang lagi


Kini kita semua dah berada di bulan Syaaban. Bermakna tak sampai sebulan lagi kita semua akan bertemu Ramadhan, InsyaAllah.

Ahli motivasi kata "kalau kita hendak menebang pokok 2 jam, maka kita mesti menajam kapaknya 4 jam".

Ya, persediaan perlu lebih masa. Nak main bola sepak cuma 90 minit tetapi cuba kita bayang berapa lama kita berlatih, bersedia untuk perlawanan yang 90 minit itu.

Begitulah juga Ramadhan. Memanglah Ramadhan cuma 29 @ 30 hari tetapi sekurang-kurang Tuhan beri kita 60 hari sebagai persedian iaitu Rejab dan Syaaban.

Selain persedian berlatih puasa dengan puasa sunat, bertadarus, bertaubat maka antara persediaan yang perlu kita lakukan juga ialah pemahaman kita untuk bulan mulia ini, Ramadhan.

Banyak perkara yang kita buat tetapi kita kurang faham sebab-sebabnya, hikmahnya, pelajaran di sebaliknya.

Kenapa kita disuruh melambatkan makan sahur?
Sebaliknya kenapa perlu mempercepatkan kita berbuka?
Berapa kali Rasulullah saw berpuasa sepanjang hayatnya?
Kenapa dilarang korek hidung bagi yang berpuasa?
Adakah bulan Ramadhan hanya dengan berpuasa sahaja?
Kenapa wajib niat di malam hari?
Kenapa Tuhan suruh kita berlapar 12 jam selama sebulan?

Di samping banyak lagi motivasi yang menarik.
Nak puasa atau nak puas-puas?
Gastrik atau just trick?

Semua ini saya muatkan dalam buku saya 'I Love Ramadhan' yang ditulis dengan gaya santai.

Cubalah baca, saya hanya mencairkan cara penulisannya tetapi isinya tetap utuh. Buku ini sebenarnya buku ke-5 saya, yang telah terbit pada Ramadhan yang lalu dan pada tahun ini ia dicetak semula oleh penerbit, Karnadya Solution.

Saya juga terlibat mengadakan diskusi buku ini di beberapa tempat. Nak 'share' sedikit rezeki ilmu yang ada.

Semoga ia memberi manfaat buat kita semua...

Saturday, July 18, 2009

REJAB

Rejab dieja dengan 3 huruf iaitu Ra', Jim dan Ba'.

Terdapat peristiwa yang banyak berlaku pada bulan Rejab ini tetapi yang paling ketara ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa yang melibatkan 3 watak utama iaitu Rasulullah saw, Jibril dan Buroq.

Adakah satu kebetulan yang ejaan bulan Rejab sendiri membuktikan hubungan tersebut?

Ra' sebagai huruf pertama Rasulullah...

Jim sebagai huruf pertama ejaan Jibril...

Ba' untuk Buroq

Sekadar makanan minda bagi yang belum tahu... yang dah tahu bagitau lah kawan2 yang belum tahu.

Benarkah Israk Mikraj pada 27 Rejab?

Saya bukanlah nak memperbesar-besarkan benda yang khilaf. Lebih baik kita bincang perkara-perkara yang lebih penting. Cuma kali ini saya terpanggil juga untuk tulis perkara ini.

al-Kisahnya saya terbaca dalam kita al-Rahiq al-Makhtum karanga Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri tentang tarikh berlaku Israk dan Mikraj.

Pengarang menyebut ada 6 pandangan tentang tarikh peristiwa agung ini.

1. Pada tahun yang sama Rasulullah saw dibangkitkan. (Pendapat al-Tabari)
2. Selepas 5 tahun kebangkitan Rasulullah saw. (ditarjih oleh al-Nawawi dan al-Qurtubi)
3. Malam 27 Rejab tahun yang ke-10 selepas kebangkitan saw. (pendapat al-Mansurfuri)

Ketiga-tiga pendapat ini ditolak kerana Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun ke-10 kebangkitan saw sedangkan beliau wafat sebelum difardukan solat. Tidak berlaku perselisihan pendapat yg mengatakan bahawa kefarduan solat adalah pada malam Israk dan Mikraj.

4. Pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kebangkitan (16 bulan sebelum hijrah)
5. Bulan Muharram tahun ke-13 kebangkitan saw (setahun 2 bulan sebelum hijrah)
6. Bulan Rabi'u al-Awwal tahun ke-13 kebangkitan (setahun sebelum hijrah).

Tidak dapat dipastikan manakah pendapat yang paling kuat di kalangan 3 pendapat terakhir ini.

Wednesday, July 15, 2009

Israk dan Mikraj Lagi...


Tentunya Israk dan Mikraj mengandungi seribu satu pengajaran buat kita semua. Walaupun saban tahun kita menyambutnya, kita masih dahaga untuk terus dan terus memperingatinya.

al-kisahnya Rasulullah saw melalui 2 kali proses pembedahan membersikan hati (shaqqu al-sadr). Pertama ketika baginda kecil semasa dalam penjagaan Halimah dari Banu Sa'd yang biasa dikenali dengan Halimah al-Saadiyyah. Kedua semasa peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Persoalannya kenapa baginda saw perlu dicuci jiwanya sebelum diangkat bertemu Allah dalam peristiwa agung ini?

Inilah pelajaran besar yang diajar oleh baginda saw kepada kita semua, umatnya.

KIta semua perlu mencuci jiwa kita sebelum kita ingin mengadap Allah.

Kita disuruh berwuduk dahulu sebelum solat...

Kita perlu bertaubat, membersih diri dari dosa dahulu sebelum kita menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan, menunaikan haji, bersedekah, mendirikan solat...

Dan yang paling penting sebelum kita dijemput Allah buat selama-lamanya.

Malangnya, ramai kita yang gagal memahami konsep tersebut. Kita menuju haji dalam keadaan kita belum bertaubat, kita belum menyucikan diri. Akhirnya kita mengadap Allah dalam keadaan kita bergelumang dosa. Maka tidak hairanlah haji kita tidak mendapat yang 'mabrur'.

Begitulah juga dalam bulan Ramadhan. KIta selalu beranggapan agar kita perlu bertaubat selepas Ramadhan. Kita bermaafan pada 1 Syawal. Tidak hairanlah juga kita sukar bertemu Lailatul Qadar, mengkhatam al-Quran kerana kita menjadi tetamu Allah dalam keadaan kita kotor dengan dosa2.

Sewajarnya kita bertaubat pada bulan Rejab dan Syaaban agar kita dapat meminimakan dosa2 kita agar kita menjadi tetamu yang bersih sepanjang Ramadhan.

Ayuh cubalah...

Sunday, July 12, 2009

Israk dan Mikraj....

Salam semua...

Bagimana anda semua, sudahkah kita menyusun program memperingati sejarah agung ini di dalam rumah kita, tempat kerja kita, ahli kariah kita? Atau kita hanya mengharap pada orang lain sahaja. Tentunya anda tidak begitu...

Israk dan Mikraj adalah saringan keimanan buat saf Islam yang pertama.

Setelah lebih 10 tahun Rasulallah saw berdakwah, maka ramailah yang berjaya memeluk Islam.

Mereka terus diuji dan diuji oleh kafir Quraisy Mekah. Mereka dibunuh, diseksa dan pelbagai ujian lagi. Inilah ujian yang dilemparkan dari musuh. Ujian untuk menguji ketahanan jasad mereka.

Nah Bilal! Berbaring engkau di atas pasir yang panas itu dan tahanlah batu yang berat ini...

Semua mereka begitu hebat sehingga mereka sanggup syahid untuk agama.

Apalah kita jika dibandingkan dengan mereka. Kerdil, kecil.

Namun kali ini, ujian bukan jasad mereka tetapi adalah iman di dalam dada. Kali ini ujian bukan datang dari Abu Jahal dan sekutunya tetapi dari Tuhan yang mencipta Abu Jahal dan seluruh alam ini.

Nah Israk Mikraj.

Satu peristiwa besar yang tidak terjangkau oleh Akal manusia. Perjalanan darat dan langit yang hanya memakan masa semalaman sahaja. Perjalan yang sepatutnya berbulan pun belum tentu berhasil. Perjalanan Rasulullah saw melihat isi syurga dan neraka dengan matanya sendiri. Perjalanan bertemu para nabi sebelum baginda saw bahkan mengimami mereka. Perjalanan bertemu Pencipta Yang Maha Besar.

Adakah engkau percaya semua ini? Adakah engkau menimbang dengan pandangan akal mu atau dengan Iman mu?

Inilah Israk dan Mikraj. Yang berjaya melahirkan graduan iman kelas pertama yang diketuai oleh Abu Bakar sehingga ditabalkan gelaran kebesaran 'al-Siddiq'.

Tidak ada ujian iman yang lebih besar selepas ini. Kejayaan melepasi ujian ini amat perlu untuk melalui langkah2 getir menyampaikan misi dakwah seterusnya.

Sultan Muzaffar Quttuz...

Kalau kita ingin membaca sejarah Mongol maka mesti kita perlu membaca nama Genghis Khan dan Hulagu Khan.

Dan sejarah terbesar mereka tentulah apabila mereka berjaya menjatuhkan Baghdad yang ketika itu merupakan ibu kota Kerajaan Abbasiyyah tahun 656H.

Adapun dipihak Islam, apabila kita membaca serangan Mongol ini maka tokoh penting yang kita perlu kenal ialah Sultan Qutuz.

Kenapa?

Kerana beliaulah yang berjaya menyekat kemaraan Mongol ini apabila berjaya mengalahkan musuh dalam perang Ain Jalut.

Berapa ramai orang Islam hari ini yang membaca, mengenali tokoh agung ini? Ya, kita memang buta sejarah. Anak-anak kita, masyarakat kita amat jauh dengan sejarah Islam. Apatah mengenali tokoh-tokoh hebat yang pernah menjulang atas nama Islam.

Ayuh! Sebarkan, sampai-sampaikan cerita-cerita hebat ini buat saudara-saudara kita yang lain....

Biodata Sultan Qutuz (…-658H/1260m)

Nama beliau ialah Qutuz bin Abdullah al-Mu’izzi Saifuddin. Tidak diketahui tarikh kelahirannya adapun tarikh wafatnya pada tahun 658h bersamaan 1260m

Dikatakan namanya Mahmud bin Mamdud. Ibunya adalah saudara perempuan kepada Sultan Jalaluddin Khawarizmshah dan bapanya anak kepada bapa saudara sebelah bapa Sultan Jalaluddin. Beliau telah ditawan ketika serangan Mongol lalu dijual di Damsyiq dan kemudiannya berpindah ke Kaherah. Beliau merupakan hamba kepada seorang peniaga.

Qutuz merupakan seorang pemuda yang berambut perang, berjanggut panjang dan bertubuh tegap. Beliau merupakan seorang yang soleh, kuat mendirikan solat berjemaah dan tidak pernah mengambil arak.

Beliau merupakan salah seorang daripada Mamalik Bahriah. Merupakan tentera Mamalik yang paling berani. Beliau adalah terkenal sebagai seorang panglima, sangat berani, mahir dalam politik, kuat agama dan suka kepada rakyat.

Qutuz merupakan Sultan Mamalik selepas Aybak yang dikenali sebagai Sultan al-muiz Izzuddin Aybak al-Jasyinker at-Turkumani as-Salihi dan anaknya Ali yang digelar Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Aybak .

Selepas menjadi sultan, Qutuz digelar Sultan al-Muzaffar atau nama penuhnya Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz.

Sehingga zaman beliau, Mamalik dikuasai oleh Syaratuddur, Sultan Aybak, Sultan Ali dan Sultan Qutuz sendiri.

Kerajaan Mamalik bermula tahun 648H. Sultan al-Muiz Aybak menjawat jawatan Sultan Mamalik sehingga 655H. Kemudian Sultan Ali sehingga tahun 657H sehinggalah perlantikan Sultan Qutuz yang menjadi sultan hanya setahun antara 657-658H.

Bukan semua golongan Mamalik ini merujuk kepada hamba yang dijual kerana ada di kalangan mereka adalah kumpulan daripada bangsa Turki yang lari daripada serangan Mongol. Mereka melarikan diri dan berkhidmat di bawah sultan-sultan Mesir.

Dalam tempoh yang singkat muncul daripada kalangan mereka ini generasi baru yang yang mampu menjawat beberapa jawatan. Di antara mereka inilah Sultan Qutuz yang merupakan keturunan raja yang sampai kepada Raja Khawarizm Shah.

Beliau dibunuh oleh pembesarnya antara al-Ghurabi dan As-salihiah pada 16 Zulkaedah tahun 658 hijrah dan tidak sampai setahun menjadi sultan Mamalik ketika pulang ke Mesir sekembali daripada peperangan Ain Jalut setelah menewaskan Mongol.

Dikatakan ketika beliau ingin kembali ke Mesir telah dihadang oleh panglima tenteranya Bybaras dan sekumpulan besar pemimpin tenteranya lalu membunuhnya. Selepas iti beliau dikebumikan di al-Qasir dan kemudian dipindahkan ke Kaherah. Sultan Mamalik selepasnya ialah Sultan Ruknuddin az-Zahir Baybaras.

Wednesday, July 8, 2009

BC dan AD?

Sahabat-sahabat yang pernah melalui penulisan tesis semasa menyambung pelajaran di peringkat sarjana atau doktor falsafah, pasti berjumpa seribu macam kesukaran dan cabaran.
Sama ada cabaran dalaman iaitu diri sendiri atau luaran. Sebab tak hairan jika kita jumpa kawan kita yang berjaya menghabiskan subjek dalam tempoh tertentu yang ditetapkan.
Tetapi bilang tang tesis, ramai yang sangkut. Ada sebab masalah motivasi diri, sibuk, tak pernah menulis, penyelia yang sukar ditemui dan macam-macam lagi.
Pokoknya, nasiblah. Kalau yang boleh selesaikan on time, memang baik punya rezekilah. Banyakkan sujud syukur kerana ramai juga yang kecundang, gagal mencapai hasrat memiliki MA atau PHD walaupun telah memulakan perjalanan bahkan ada yang mungkin nak sampai tetapi tetap gagal.

Antara perkara yang memeningkan saya semasa menulis tesis ialah apabila saya terpaksa menulis abstrak dalam bahasa Inggeris. Saya perlu menterjemah yang BM kepada BI.
Saya satu masalah yang timbul semasa nak terjemah tahun masehi. Apa simbol nak kata 'sebelum masehi' dan 'selepas masehi'. Merata jugalah saya nak cari jawapan.
Yang sebelum Masehi lebih mudah. Simbolnya ialah B.C. Ya, singkatan kepada 'Before Christ'. Maknanya sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.
Yang pening saya nak cari simbol 'selepas masehi'. Baca punya baca, akhirnya terjumpalah simbol A.D.
Datang pula bingung, apa makna A.D tu?
Sehinggalah baru-baru ni baru saya jumpa ketika saya berkursus dengan geng-geng sejarah. Walaupun sebelum tu dah banyak juga tanya geng sejarah pasal makna A.D tu. Ramai juga yang geleng kepala.
A.D ialah singkatan kepada 'After death of Christ' rupanya.
Ini cuma masalah saya.
Moral cerita ini... Kalaulah orang sejarah boleh baca buku2 tulisan Arab dan Inggeris pasti mantop.

Tuesday, June 30, 2009

Hulagu Khan

Apabila kita membaca sejarah Monggol, yang biasa kita jumpa adalah nama Genghis Khan. Saya dah ceritakan serba sedikit pasal beliau.
Namun, ada satu lagi nama yang cukup penting iaitu Hulagu Khan. Beliaulah yang memimpin tentera Mongol untuk menyerang dan menjatuhkan Baghdad.

-Hulagu Khan(…-663h)

Beliau ialah Hulagu bin Toluy bin Genghis Khan. Hulagu adalah anak kepada Toluy dan adalah cucu Genghis Khan. Beliau adalah saudara kepada Kublai Khan dan Monke. Kedua-dua saudara lelakinya ini pernah menjadi Khan Agung selepas jawatan ini berpindah dari keluarga Ogaday kepada keluarga Toluy.
Selepas kematian Genghis Khan pada 624h, jawatan khan agung telah berpindah kepada anaknya Ogaday yang meninggal dunia pada tahun 644h. Selepas itu digantikan oleh anak Ogaday yang bernama Guyuk.
Selepas kematian Guyuk pada 647h jawatan khan agung telah berpindah daripada keluarga Ogaday kepada keluarga Toluy. Selepas Guyuk telah dilantik Monke sabagai Khan Agung (648h-655). Selepas itu saudaranya Kublai (655-693).
Jadi jarak masa antara kematian Genghis Khan dan kejatuhan Baghdad tahun 656H di tangan Hulagu adalah tempoh yang panjang iaitu 32 tahun.
Hulagu adalah pengasas kerajaan Ilkhaniah. Beliau juga adalah sezaman dengan dua khan agung yang merupakan saudara lelakinya iaitu Monke dan Kublai.
Jawatan khan agung telah berpindah ke tangan Ogaday selepas kematian Genghis Khan 624H. Kemudian selepas kematian Ogaday tahun 644H anaknya iaitu Guyuk telah menggantikan tempatnya. 2 tahun berikutnya iaitu pada tahun 646H Guyuk pula telah mati.
Selepas berlaku pertelingkahan tentang kuasa akhirnya Monke bin Toluy iaitu sepupu Guyuk telah dilantik menjadi khan agung. Ketika inilah Monke telah mengarahkan 2 saudaranya memperluaskan empayar mereka.
Maka Kublai Khan bergerak ke sebelah China dan Hulagu pula bergerak ke sebelah barat untuk memerangi Parsi, Iraq dan Syam. Hulagu mula bergerak ke Iraq pada tahun 652H.
Bukanlah semua bangsa Mongol yang ganas. Ada di antara mereka yang telah masuk Islam seperti sepupu Hulagu sendiri iaitu Barakat bin Gochi bin Genghis Khan.
Sebenarnya Batu bin Gochi yang merupakan saudara lelaki Barakat telah melarang Hulagu bergerak ke barat atas desakan Barakat kerana Barakat yang telah menganuti Islam ini merupakan sahabat kepada Khalifah Abbasiah iaitu Musta'sim.
Hulagu tidah dapat bergerak ke barat sehinggalah kematian Batu tahun 650H. Akhirnya Hulagu bergerak juga ke barat yang berjaya menjatuhkan Baghdad tahun 656H walaupun mendapat tentangan daripada Barakat menyebabkan kedua-dua bermusuhan.
Hulagu amat membenci Islam kesan daripada pengaruh Nasrani. Isterinya adalah wanita Nasrani yang memberi galakan kepadanya untuk memerangi Islam.
Tetapi dikatakan di akhir hayatnya permusuhannya kepada Islam telah berkurang bahkan beliau telah menyerahkan anak keduanya Takodar kepada salah seorang murabbi Islam yang akhirnya telah masuk Islam dan diberi nama Ahmad serta cuba berhubung dengan Sultan Mamalik al-Mansur Qalawun untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Mongol dan Mamalik.
Hulagu meninggal dunia pada tahun 663h selepas 8 tahun beliau menjatuhkan Baghdad dan digantikan anaknya Abaqa.

Sunday, June 21, 2009

Fitnah Zaman Sahabat...

Sepanjang minggu ini, saya khusyuk membaca buku2 yang berkaitan zaman fitnah yang berlaku pada zaman sahabat. Khasnya yang berlaku selepas 7 tahun pemerintahan Kahlifah Uthman bin Affan tahun 30 Hijrah.

Sehingga berlarutan kepada pembunuhan beliau di Madinah tahun 35 Hijrah, peristiwa Perang Jamal antara tentera Ali bin Abu Talib dengan tentera Zubair, Talhah serta Aisyah.

Begitu juga perang Siffin antara tentera Ali yang menguasai Iraq dan Muawiyah bin Abu Sufyan yang menjadi gabenor Syam. Sehingga kepada peristiwa pembunuhan Ali di Kufah.

Tidak dinafikan, kajian era tersebut bermula zaman fitnah tahun 30 Hijrah sehingga perletakan jawatan Hassan bin Ali dan perlantikan Muawiyah sebagai khalifah tahun 41 Hijrah memerlukan bacaan yang teliti, rumit dan sumber yang dipercayaai.

Dalam erti kata lain, berpeluh jugalah kalau nak membacanya.

Namun, ia memberi 1001 pengajaran, iktibar yang sangat penting kepada umat Islam...

Apapun... tunggu ulasan saya untuk topik tersebut dalam entri yang lain.

Teruskan bersama ibrahsejarah yang sentiasa cuba mencairkan maklumat dalam berkongsi rezeki ilmu yang ada.

Kehebatan Genghis Khan

Dari segi sejarah terdapat nama-nama yang memiliki kegilaan untuk keluar menguasai dunia dan telah berjaya memperoleh kejayaan yang memberangsangkan dengan menguasai wilayah seperti Alexander The Great, Genghis Khan, Napoleon Bonaparte dan Adof Hitler yang tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang.

Namun Genghis Khan lebih hebat daripada mereka bertiga kerana beliau mengusai wilayah yang lebih besar daripada mereka dan pengaruhnya bertahan lebih lama.

Napoleon dan Hitler dapat dikalahkan ketika masih hidup dan penaklukan mereka juga agak singkat.

Adapun Alexander tidak dapat dikalahkan tetapi beliau tidak menamakan penggantinya dan empayarnya runtuh selepas kematiannya.

Tetapi Genghis Khan berjaya menyusun penaklukannya dan anak cucunya mampu meneruskan penguasaan bahkan Mongol mampu mempertahan kuasanya beberapa abad selepas kematiannya.

Seperkara lagi, jika Christopher Columbus, Simon Boliver dan Thomas Edison tidak wujud mungkin ada orang lain yang akan menemui benua Amerika, membebaskan Amerika Selatan atau mencipta cahaya elektrik.

Namun tanpa Genghis Khan penaklukan Mongol abad ke 13 Masehi mungkin tidak berlaku dan suku kaum Mongol tidak pernah bersatu sebelum abad tersebut serta mereka tidak pernah bersatu semula.

Bahkan dapat juga dikatakan bahawa Genghis Khanlah sebagai tokoh utama dalam sejarah serangan Mongol. Beliau telah melaksanakan satu kombinasi taktik ketenteraan dan perang urat saraf untuk mencantas kemungkinan adanya saingan terhadap kekuasaan Mongol.

Saturday, June 6, 2009

Genghis Khan (1162m-1227m/...-624H)

Apabila kita mengkaji sejarah Mongol sudah pasti kita tidak dapat lari daripada nama Genghis Khan. Seolah-olah nama Mongol amat sinonim dengan Genghis Khan. Tidak dinafikan bahawa ada nama-nama besar lain yang banyak disebut dalam sejarah Mongol seperti Hulagu, Kublai Khan dan Tamerlane.

Kehebatan Genghis Khan amat terserlah sebagai tokoh bangsa dan sejarah Mongol sehingga Michael H. Hart dalam bukunya The Hundred meletakkan nama Genghis Khan dalam susunan ke-18 daripada 100 tokoh yang dipilihnya.

Nama asal Genghis Khan ialah Temujin. Bapanya dibunuh ketika beliau berumur 9 tahun. Sejak usia muda beliau telah ditawan dan kolar kayu dipasang dilehernya bagi mengelakkannya melarikan diri. Dari situasi inilah Temujin bangkit menjadi penguasa yang terbilang. Selepas berjaya melarikan diri beliau telah terlibat dengan siri peperangan antara suku kaum Mongolia. Sebelum Temujin suku-suku kaum ini saling berperang sesama sendiri.

Dengan usaha Temujin ini suku kaum Mongolia ini berjaya disatukan. Akhirnya pada tahun 1206m persidangan ketua-ketua suku kaum Mongol dan para khan (chiefs) telah melantiknya sebagai Khan Agung dan digelar Genghis Khan iaitu Emperor of All Men.

Selepas perlantikan ini Genghis Khan mula bergerak ke arah negara jiran dengan jentera ketenteraannya. Suku kaum Mongolia memang telah terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir dan tentera yang garang. Beliau telah berjaya memerangi negeri di barat laut China, empayar Chin di utara China dan empayar Khawarizm Shah.

Genghis Khan telah menyusun bala tenteranya dengan disiplin dan kepantasan. Dikatakan bala tenteranya mampu berjalan sejauh 440 km dalam masa 3 hari sahaja.

Setelah melakukan serangan ke atas Rusia, Afghanistan dan utara India beliau telah kembali ke Mongolia pada tahun 1225m dan meninggal dunia di sana pada tahun 1227m.

Selepas merasa letih dan merasai hampir saat kematiannya beliau telah membahagikan tanah jajahannya kepada empat orang anaknya daripada isteri pertama iaitu Gochi, Chagotay, Ogaday dan Toluy. Menjadi adat bangsa Mongol harta pesaka hanya terbatas kepada anak-anak isteri pertama sahaja.

Tuesday, June 2, 2009

Muawiyah...

"Salam Ustaz Sahrulazmi! Syeikh anta tulislah buku tentang Muawiyah. Kita orang kelirulah pasal sejarah dia"

Ini antara permintaan seorang sahabat X pada saya. Memang saya ada cita-cita nak tulis tajuk panas ini tetapi bimbang cuma dia seorang ini sahaja yang minat pasal tajuk ini.

Saya memang ada bahan dan point2 penting berhubung tokoh hebat ini, tetapi perlu tahu juga respon daripada kawan-kawan pembaca. Maklumlah buat buku mmg mencabar.

So, nanti penerbit akan tanya. "Siapa sasaran pembaca you?" "Boleh pergi ke tajuk ni?"

Iyalah kerja kita menulis tetapi kerja penerbit kena pastikan buku itu boleh laku di pasaran. Sebab itu periuk nasi diaorang.

Sejarah untuk teladan bukan sekadar untuk hiburan...

Apa Lagi Selepas Ini...

Kadang-kadang buntu juga nak tulis artikel apa dalam blog ni. Yalah, nak tulis sejarah apa. Banyak yang orang dah tau.

Nak cerita tokoh, perang2, kerajaan2 Islam, pembukaan Islam atau apa lagi...

Kalau saya tanya anda semua, apa yang anda nak tahu tentang sejarah Islam kita.

Kalau saya memang semua seronok, tetapi tentu ada yang paling seronok, kurang seronok, seronok sikit dan macam-macam lagi...

Kalau ada masa, berilah komen anda.

Hidup sejarah Islam....

Salam Viva

Hari ini 2hb Jun 2009, saya bangkit awal pagi. Selepas tunai solat subuh, menunaikan sedikit keperluan maka saya kemudian pergi ke kedai roti canai bersama 2 anak saya Ummu Unays dan Ahmad Iyyash. Beli 2 roti telor dan 5 roti kosong.

Selesai sarapan, saya bergegas ke UKM. Dua orang hero saya menjadi teman kembara saya hari ini iaitu Ahmad Iyyash dan si adik, Ahmad Aqqal.

Selepas 1 jam perjalanan, saya pun sampai di Kajang. Saya terus ke kedai Fotostat. Ya, hari ini saya ingin menghantar 4 salinan manuskrip disertasi sarjana saya di FPI, UKM.

Ketika hendak menunggu proses fotostat maka saya singgahlah barang sekejap ke pejabat Karnadya. Nak bincang-bincang kosong pasal projek buku yang seterusnya.

Selepas satu jam saya kembali ke kedai fotostat tadi. Setelah menyelesaikan apa yang patut, saya segera ke FPI, UKM.

Maka bermulalah urusan penyerahan disertasi saya. Terima kasih banyak pada penyelia saya, kaki tangan di Pejabat Am Pusat Pengajian Siswazah dan Pejabat Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam atas layanan baik mereka.

Lega yang teramat selepas saya menyerahkan disertasi tersebut. Selagi belum serah (baru serah untuk viva) terasa bagai ada batu besar atas kepala saya.

al-Hamdulillah Allah mengizinkan saya menyiapkan penulisan sarjana saya yang mencecah lebih 260 muka surat.

Saya juga rasa agak seronok menyiapkan tajuk tersebut "Sejarah Perluasan Kuasa Islam Zaman Kerajaan Umayyah..."

Walaupun tak tahu lagi bagaimana akan disoal jawab oleh para pemeriksa. Harap-harap taklah teruk kena ganyang nanti.

Walaupun sebelum ini, saya pernah diviva ketika peringkat sarjana di Universiti al-Albayt 10 tahun yang lalu.

Apa-apa pun hari ini memang saya lega sungguh...al-Hamdulillah.

Monday, June 1, 2009

Berhala dulu dan kini...

Kebanyakan kabilah Arab di Semenanjung tanah Arab sebelum kebangkitan Rasulullah saw beragama menyembah berhala. Mereka meletakkan pelbagai nama untuk berhala-berhala tersebut. Antaranya;

1. Manat : menjadi sembahan sebahagian besar Aus dan Khazraj serta penduduk Madinah. Berhala ini lenyap sebaik sahaja hijrah Rasulullah saw.
2. al-Lata: Berhala yang disembah oleh kabilah Thaqif di Taif.
3. Suwa’: patung yang disembah oleh Kinanah, Huzail dan Mazinah.
4. Hubal: Hubal dianggap tuhan yang paling besar kabilah Quraisy dan sebilangan bangsa Arab. Bangsa Arab mengangungkan berhala-berhala al-Lata, al-Uzza dan Hubal.
5. Yaghuth: Antara berhala penduduk utara Yaman

Banyak lagi nama berhala yang ada seperti al-Ya’bub, Rudha, Na’ilah, Ya’uq, Zirya’, Zu al-Liba, Nasr, ‘Ab’ab dan banyal lagi.

Ya…hari ini berhala-berhala tersebut sudah tiada. Apatah lagi untuk kita menyembah atau mengagungkannya.

Tetapi kini muncul sembahan-sembahan baru umat Islam. Ayuh! Sedarkan diri kita semua. Kita, anak-anak kita, remaja-remaja hari ini memuja TV, para artis, harta, pangkat, kemasyhuran, nama, nafsu hasad dengki dan macam-macam lagi sembahan yang mungkin kita tak sedari tetapi itulah yang kita sembah sebenarnya.

Mari kita semua memohon istihgfar pada Allah….