Sunday, November 22, 2009

Berkorban...

Hidup ini adalah pilihan kita, dengan izin Allah. Kita yang pilih beli kereta A, bukan kereta B. Kita yang pilih untuk membeli atau tidak. Jika kita hendak, tentu kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapatkannya tetapi jika kita memang tidak mahu maka kita akan mencari perbagai alasan.

Tentunya, kita yang pilih untuk menunaikan korban ataupun tidak. Yang berhajat, kita pun ada perkara yang mungkin ingin kita idamkan tetapi kerana kita sudah pasang niat hendak tunaikan korban maka kita pun 'korbankan' apa yang kita idamkam itu demi menyahut tawaran Tuhan untuk menyembelih korban.

Bagi yang belum mahu berkorban, ayuh yakinlah dengan janji Tuhan. Ini sedikit ujian. Kalau ujian korban yang sedikit (cuma kira-kira RM350) pun kita tidak sanggup, apalah ujian lain yang lebih besar kita sanggup laksanakan. Saidina Abu Bakar menyerahkan semua hartanya, Umar al-Khattab memberikan separuh hartanya untuk Allah. Kita cuma ingin serahkan sedikit sahaja.

Bayangkan kita telah menikmati pelbagai nikmat Allah selama 11 bulan untuk tahun ini sahaja. Belum dikira tahun-tahun yang lalu. Belum kita lihat nikmat yang Allah beri pada ahli keluarga kita yang lain. JIka kita fikirkan, tidak layak kita tidak berkorban tahun ini.

Yang lebih kita fikirkah, jika kita tidak tunai korban tahun ini adalah kita yakin ada kesempatan tahun hadapan. Maka janganlah kita berangan yang tahun depan, yang tidak pasti sedangkan kita ada peluang yang dekat ini.

Adapun kita yang telah menanam azam untuk berkorban sebahagian daging, ingatlah. Ini sekadar korban yang sangat kecil. Cuba kita bayangkan bagaimana korban Nabi Ibrahim.

Hendak dibakar dalam api yang marak, terpaksa meninggalkan tanah airnya di Babil, lebih 80 tahun tidak dikurniakan zuriat, terpaksa meninggalkan isteri dan anak kecilnya di tempat yang tiada manusia dan diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri.

Marilah kita jadikan peluang korban ini untuk lebih mendekatkan diri kita pada Allah, semoga korban kita nanti diterimaNya.

No comments: