Sudah lebih 2 minggu saya menghabiskan masa membelek buku-buku turath untuk membaca sejarah pembukaan Islam di Afrika. Bagi saya, ia tidak semudah membaca sejarah pembukaan Islam di Syam, Iraq mahupun Mesir. Jika saya yang membacanya pun terasa kepayahannya, bagaimana agak-agaknya sahabat-sahabat dan pejuang Islam yang membukanya.
Sebaik sahaja Amru b. Al-As membuka Mesir tahun 20H, beliau terus membuka bahagian barat Mesir iaitu Barqah dan Toroblus. Kemudian usaha beliau disambung oleh penggantinya seperti Abdullah b. Sa'd, Muawiyah b. Hudayj, Uqbah b. Nafi', Abu al-Muhajir b. Dinar, Zuhayr b. Qays, Hassan b. al-Nu'man sehinggalah pembukaan Afrika disempurnakan oleh Musa b. Nusayr yang menjadi gabenornya pada tahun 85-97H.
Tentera Islam bukan sahaja menerima tentangan daripada Rom Byzantine bahkan bangsa Barbar Afrika yang begitu sukar. Tidak hairanlah ramai pejuang Islam yang terkorban semasa usaha pembukaan Afrika seperti Abu al-Muhajir b. Dinar dan Uqbah b. Nafi' yang dibunuh oleh Barbar pimpinan Kasilah. Uqbah adalah gabenor Afrika yang telah mendirikan bandar al-Qayrawan sebagai bandar pertama Islam di bumi Afrika pada tahun 50H. Adapun Zuhayr b. Qays yang menuju Afrika tahun 69H selepas pembunuhan Uqbah, yang telah berjaya mengalahkan Kasilah kemudian telah dibunuh atas perancangan Rom.
Namun kini seluruh Afrika Utara termasuk Libya, Tunis, Maghribi dan al-Jazair merupakan negara-negara Islam tetapi pernahkah kita terfikir susah payahnya umat dahulu menyebarkan Islam. Apakah pula sumbangan kita untuk agama yang suci ini? Mudah-mudahan kita telah menyediakan jawapannya di dunia untuk kita bentangkannya di mahlamah Allah di hari akhirat. Kenalkah kita akan Uqbah b. Nafi' atau Musa b.Nusayr. Sudahkah kita mempromosikan nama-nama agung ini ke telinga anak-anak kita atau sahabat-sahabat kita. Kalau kita pun tidak mengenali mereka maka janganlah mengharap orang lain mengenali diri mereka. Mulakanlah dengan diri kita...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment