Friday, February 22, 2008

Siapa Raja Terakhir Parsi?

Yadzdajird b. Shahriyar adalah raja Parsi Banu Sasan yang terakhir yang telah memerintah selama 20 tahun. Beliau dibunuh di Marv di Khurasan pada tahun 31H. Dengan kematiannya maka berakhirlah kerajaan Parsi Banu Sasan yang telah memerintah Parsi antara tahun 226-651M. Lihat al-Mascudi (w.346H

Perlukah Eropah berterima kasih dengan Charles Martel?

Perang Balat al-Shuhada’ berlaku pada tahun 114H. Perang yang berlaku antara tentera Islam di bawah pimpinan gabenor Andalus, cAbd al-Rahman al-Ghafiqi melawan tentera Franc pimpinan Charles Martel. Tentera Islam telah bergerak menyeberangi Pergunungan Pyrennes untuk sampai ke selatan Perancis bagi meneruskan pembukaan Andalus. Di dalam perang ini telah terkorban ramai tentera Islam termasuk gabenor mereka cAbd al-Rahman al-Ghafiqi kerana tentera musuh yang lebih ramai, lebih memahami kawasan tersebut dan lebih bersedia menghadapi cuaca yang sangat sejuk. Kemenangan tentera musuh ke atas tentera Islam dalam perang ini telah menyekat usaha pembukaan Islam di Eropah Barat. Lihat al-cUmri, cAbd al-cAziz b. Ibrahim, 1418H/1997M, Al-futuh al-Islamiyyah cabra al-cusur, hlm. 185.

Thursday, February 21, 2008

Mempromosi Nama Sahabat dan Sahabiyat

MEMPROMOSIKAN NAMA-NAMA SAHABIYAT: KALAU BUKAN ORANG ISLAM, MAKA SIAPA LAGI?

Pada hari Ahad 17 Februari 2008, saya telah dikurniakan anak yang kelima selepas Ahmad Iyyash, Ummu Hani’, Ahmad Aqqal dan Ahmad Qassam. Dengan lahirnya anak kelima ini maka saya telah dikurniakan oleh Allah 3 orang putera dan 2 orang puteri yang kesemuanya saya namakan dengan nama tokoh-tokoh Islam. Mencari nama untuk anak lelaki adalah lebih mudah daripada mencari nama anak perempuan yang berkaitan dengan tokoh Islam dan sedap didengar oleh telinga.

Namu demikian, semua itu ada penyelesaiannya. Ramai sarjana Islam sejak awal lagi telah menulis nama-nama tokoh wanita Islam. Dalam Tabaqat Ibn Saad ada 629 orang tokoh wanita, al-‘Istiab Ibn Abd al-Barr 399 orang, Tarikh Baghdad oleh Khatib al-Baghdadi ada 31 orang , Tarikh Dimashq Ibn Asakir 200 orang, Siyar al-Zahabi 93 orang, al-Isabah Ibn Hajar al-Asqalani 1551 orang dan ramai lagi. (Rujuk Wan Kamal Mujani; Ketokohan dan Keintelektualan Wanita: Satu Analisis Sejarah Berdasarkan Sumber-sumber Biografi Islam)

Wahai teman-temanku sekalian!

Marilah kita sama-sama menaikkan nama-nama tokoh-tokoh agung Islam ini dengan sekurang-kurangnya menamakan anak-anak kita atau apabila kita dirujuk oleh mana-mana pihak yang inginkan pandangan kita. Jika bukan kita orang Islam yang mempromosikan nama-nama pejuang Islam dan sahabiyat, maka sipa lagi?

TERDAPAT PERBEZAAN ANTARA NAMA TOKOH ISLAM DAN NAMA KEARABAN.

Ramai sahabat-sahabat kita pada hari yang kita lihat cenderung menggunakan nama-nama yang ada bunyi ‘kearaban’ untuk cahaya mata mereka. Namun anda jangan terpedaya dengan bunyi arab sahaja. Kebanyakan nama sahabiyat adalah nama Arab (Ada juga sahabiyat yang berbangsa Rom atau Qibti…etc) tetapi kebanyakan nama Arab itu bukan dari nama sahabiyat. Jangan terkeliru. Apabila anda ingin memilih satu nama dari kalangan tokoh atau sahabiyat maka semaklah dahulu dalam buku tarajum atau tabaqat.

SIAPAKAH UMMU UNAYS?

Al-kisahnya, selepas merujuk pelbagai nama, saya dan isteri cenderung menamakan puteri baru kami dengan Ummu Unays. Tanggal Khamis, 21 Februari 2008 maka dengan rasminya anak kelima kami ini bergelar Ummu Unays. Maka ramailah saudara mara dan sahabat handai bertanya. Siapakan itu Ummu Unays?

Ramai sahabat awal yang telah mendapat penyeksaan di era Mekah zaman Rasulullah saw. Yang biasa kita dengar tentulah Bilal b. Rabah, Keluarga Yasir dan Sumayyah. Namun demikian adakah mereka ini sahaja? Ada yang lain? Ya. Ada. Antara sahabat lain yang pernah diseksa ialah Amir b. Fuhayrah dan Abu Fukayhah. Adapun dari kalangan wanita selain Sumayyah ialah Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ummu Unays adalah hamba kepada Bani Zuhrah. Al-Aswad b. Abd Yaghuth telah menyiksa beliau tetapi tidak mampu menggugat imannya. Beliau telah menunjukkan kesabaran dan kecekalannya dalam sejarah keimanan, kepahlawanan dan pengorbanan semata-mata untuk Allah. (Rujuk Muhammad b. Muhammad Abu Shuhbah, al-Sirah al-nabawiyyah fi dhaw’ al-Qur’an wa al-Sunnah)

PEMBELA SAHABAT-SAHABAT YANG DISEKSA.

Allah telah melahirkan seorang lelaki yang hatinya begitu lembut kepada insan-insan yang lemah dan para hamba. Beliau telah membelanjakan harta yang banyak untuk membeli dan membebaskan hamba-hamba yang diseksa oleh tuan-tuan mereka. Tokoh agung ini tentulah tidak lain dan tidak bukan Abu Bakar b. Abu Quhafah al-Siddiq.

Antara hamba-hamba yang berjaya dibebaskan oleh beliau ialah Bilal b. Rabah, Abu Fukayhah, Amir b. Fuhayrah, Zinnirah al-Rumiyah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah ibu kepada Bilal b. Rabah serta Ummu Unays.

Ya Abu Bakr! Engkau telah membebaskan para hamba sebelun turunnya syariat menggalakkan pembebasan hamba-hamba.

Monday, February 18, 2008

Siapa pakar peta Islam?


Contoh peta empayar Islam. Sila rujuk Syauqi Abu Khalil untuk mendapat peta-peta Islam. Di samping pakar peta Islam, Ahmad Adil Kamal dan Husin Mu'nis.

Saturday, February 16, 2008

Siapa Parsi Banu Sasan?

Banu Sasan pemerintah bangsa Parsi yang berkuasa antara kurun ketiga hingga ketujuh masehi. Ibu negara mereka di al-Mada’in (Ctesiphon) di Iraq. Agama rasmi mereka ialah zoroastrianism ortodox. Dinasti mereka dinisbahkan kepada Sasan yang kemungkinan adalah datuk kepada Ardashir I. Mereka mencapai zaman gemilang semasa pemerintahan Khosrau I yang memerintah tahun (531-579M). Yadzdajird b. Shahriyar adalah raja Parsi Banu Sasan yang terakhir yang telah memerintah selama 20 tahun. Beliau dibunuh di Marv di Khurasan pada tahun 31H. Dengan kematiannya maka berakhirlah kerajaan Parsi Banu Sasan yang telah memerintah Parsi antara tahun 226-651M

Mencari syahid di dunia yang paling jauh?

Alangkah terkejutnya saya apabila dikatakan bahawa tentera Islam berjaya membuka Syam dengan mudah dari Rom Byzantin dan Iraq daripada Parsi kerana bangsa-bangsa ini disaat pembukaan Islam Islam adalah lemah. Bukankah semasa tentera Islam membuka kota Parsi, mereka berjaya mendapat ghanimah yang cukup banyak menandakan kekuatan ekonomi mereka. Bukankah semasa perang Yarmuk 13H bilangan tentera Islam amat jauh sedikit daripada bilangan tentera Rom.
Ya...Umat Islam hanya memerlukan 7 tahun untuk membuka Sham, 10 tahun sahaja untuk mengalah tentera Parsi Banu Sasan di al-Madain (Ctesiphon), 2 tahun untuk membuka Mesir dan 3 tahun setengah sahaja untuk membuka Semenanjung Iberia (Andalus dan Portugal). Masa yang begitu pantas dan mengkagumkan. Bahkan kerajaan Parsi tumbang sama sekali khasnya selepas terbunuhnya Kisra terakhir mereka iaitu Yadzdajir pada tahun 31H.
Sedarkah kita? Kehebatan tentera Islam ini kerana dipimpin oleh para sahabat Rasul saw yang keluar dari Madrasah Rasul saw. Saad b. Abi Waqqas yang memimpin bala tentera Islam membuka Iraq adalah sahabat terawal memeluk Islam. Mereka telah melepasi ujian kesabaran di era Mekah, ujian iman melalui peristiwa Israk dan Mikraj, ujian Hijrah, ujian menghadapi peperangan yang panjang melawan musuh-musuh dari kalangan Kafir Quraysh dan Yahudi. Tidak hairanlah sebaik sahaja kewafatan baginda saw, tentera Islam tidak menunggu masa yang lama untuk terus melancarkan pembukaan Islam. Apatah lagi, di era Umar dan Uthman, negara Islam begitu tenang selepas Abu Bakar berjaya menundukkan golongan Nabi Palsu dll yang memungkinkan mereka untuk melebarkan risalah Islam sehingga ke Sham, Iran, Mesir, Afrika Utara, Armenia dan Kepulauan Laut Mediterranean di Pulau Cyprus, Rhodes dan Pulau Arwad. Bahkan mereka lebih bangga jika mampu mati syahid di tempat yang sejauh mungkin. Tidak hairanlah Abu Ayyub al-Ansari terkorban syahid di Konstantinople dan Ummu Haram bt. Milhan di Pulau Cyprus.

Kehebatan Muawiyah?

Pernahkah anda membaca tokoh besar ini. Yang biasa kita dengan adalah tentang kontroversi yang berkaitan dengan beliau khasnya kerana melantik anaknya Yazid sebagai penggantinya menjadi khalifah. Beliau adalah penulis wahyu Rasulullah s.a.w.

Mucawiyyah b. Abu Sufyan Sakhr b. Harb b. Umayyah b. cAbd Shams b. cAbd Manaf b. Qusay b. Kilab al-Qurashiyy al-Umawiyy. Pendapat yang paling kuat menyatakan beliau lahir 5 tahun selepas kebangkitan Rasul s.a.w. Menjadi gabenor Sham selepas kematian saudara lelakinya Yazid b. Abu Sufyan pada zaman Khalifah cUmar dan cUthman. Kemudian beliau telah dilantik sebagai khalifah setelah penarikan diri Hasan b. cAli. Beliau menjadi gabenor selama 20 tahun dan menjadi khalifah selama 20 tahun. Beliau orang pertama menjadi gabenor seluruh Sham antara tahun 19H-40H. Menjawat jawatan khalifah antara tahun 41-60H/661-680M dan meninggal dunia pada tahun 60H. Lihat Ibn Hajar al-cAsqlani, al-Isabah fi tamyiz al-sahabah, jil. 6, hlm. 151.

Saturday, February 9, 2008

SJ: Istilah "Geografi"

Orang arab pada mulanya tidak menggunakan langsung istilah "geografi". Orang Mesir Kuno sejak 3500 sblm.masehi telah melakukan rihlat untuk tujuan menyelidik. Begitu juga Phoenic yang telah mendiami persisiran pantai timut Laut Mediterranean. Apabila tiba zaman Greek/Yunan mereka amat munat untuk melakukan pelayaran laut kerana munat mendalam mereka kepada penyelidikan dan perniagaan. Berbeza faktor penggerak antara Roman dan Greek serta Phoenic di mana tujuan tujuan utama Roman ialah ketenteraan. Pada zaman Greek telah muncul ahli geografi terkenal iaitu Herodutus. Namun pada zaman Roman ilmu mengkaji alam semesta dan bumi menjadi lesu kerana dianggap sejenis sihir dan didakwa tidak memberi manfaat kepada kemanusiaan.
Apabila tiba zaman Arab, mereka kembali menghidupkan ilmu alam semesta dan bumi ini. Sejak sebelum Islam lagi banyak terdapat bayt-bayt syair Arab yang menceritakan tentang alam. Hingga dikatakan Umru al-Qays telah sampai ke Konstantinople (Istanbul) dan menyusun syair tentang Ankara.
Terdapat 4 istilah yang digunakan oleh orang Arab dalam tajuk alam ini.
1: Ilmu al-Atwal dan al-Arud (panjang dan lebar)
2: Ilmu Taqwim al-Buldan
3: Ilmu Ajaib al-Buldan
4: Ilmu al-masalik wa al-mamalik
Adapun istilah geografi muncul pada kurun ke-12 apabila mula digunakan oleh Muhammad al-Zuhri al-Andalusi.

Air Teh.

Alangkah terkejutnya saya apabila terbaca fakta yang mengatakan bahawa al-Sirafi merupakan ahli pelayaran muslim pertama yang mengisyaratkan tentang air teh yang banyak diminum oleh orang-orang China dan mereka menyebutnya dengan nama 'saaj'. (Abd, al-Rahman Hamidah, a'lam al-geografiyyin al-arab, hlm. 51)

Nama Laut Mediterranean

Menjawab pertanyaan Blog Hadiyyah:

Kitab-kitab awal ahli geografi dan sejarawan awal sama sekali tidak menggunakan istilah nama Laut Mediterranean. Ia adalah nama moden yang digunakan oleh Itali dan Eropah pada zaman moden ini.
Adapun jika kita merujuk kepada kitab-kitab awal seperti al-Ustukhri, Ibn Khardazbah, Ibn Hawqal, Yaqut al-Hamawi, al-Nuwayri dan al-Qasqshandi serta Ibn Khaldun mereka akan menggunakan sama ada Laut Rom atau Laut Sham serta beberapa nama lain seperti Laut Maghrib, Laut Iskandariah dsb.

Saturday, February 2, 2008

al-awasim oleh Ibn al-Arabi

Ramai orang yang membaca isu kontroversi sejarah umat Islam namun tersalah memilih sumbernya. Apabila melihat sumber tersebut mencemuh beberapa tokoh Islam, akhirnya dia pun melatah untuk mencemuh juga. Alangkah terkejut saya apabila membaca fakta satu riwayat al-Baladhuri dalam futuh al-buldan yang menyebut bahawa Khalifah Yazid telah memanggil pulang umat Islam dari Pulau Cyprus setelah mendapat rasuah dari kerajaan Rom Byzantin. Betul ke fakta ini? Sanggupkan Yazid melalakukan perkara terkutuk ini. Perlukah saya melatah juga. Berbulan lamanya juga saya merujuk buku itu dan ini untuk memdapat maklumat yang sebenar. Ini kerana ia melibatkan maruah seorang khalifah Islam. Sehinggalah saya bertemu satu fakta yang tidak begitu sebenarnya. Khalifah Yazid tidak begitu.

Jika anda ingin merujuk isu-isu panas sejarah Islam, maka lihat Ibn al-Arabi (468-543H) dalam al-awasim. Walau pun dilahirkan di bumi Andalus tetapi beliau mengikuti manhaj Madrasah Madinah yang menekankan penggunaan sanad. Kerana catatan beliau ini berkaitan dengan isu fitnah maka penekanan penggunaan Isnad sama penting dengan bab halal dan haram. Bahkan saya berpendapat beliau juga terkesan dengan jawatannya sebagai qadhi di Sevilla yang memerlukan ketegasan dalam pembuktian dalam memerlukan hukum. Bahkan kedudukannya sebagai mujtahid menjadikannya seorang yang berhati dan teliti ketika mengeluarkan sebarang hukum. Biar orang lain cepat melatah bukan kita. Sejarah utu untuk ibrah bukan menyebar fitnah.

Sumber sejarah Islam isu kontroversi

Apabila kita membaca sejarah umat Islam yang murni ini kita akan menemui banyak isu-isu kontroversi. Antaranya tentang peribadi Muawiyah bin Abu Sufian yang merupakan pengasas kerajaan Banu Umayyah (41-132H). Begitu juga puteranya khalifah Yazid. Kadang-kadang kita pun terkesan seolah-olah membenci Muawiyah. Buktinya jarang orang Melayu meletakkan nama putera meraka dengan nama Muawiyah. Sedangkan beliau sebenarnya adalah penulis wahyu nabi saw. Menjadi gabenor Sham pada zaman Khalifah Umar dan Usman selama 20 tahun. Beliau orang pertama menggerakkan pembukaan laut selepas mendapat restu Khalifah Uthman bin Affan. Kemudian beliau menjadi khalifah seluruh empayar Islam tanpa tandingan selama 20 tahun. Sepanjang hayatnya beliau telah melancarkan 2 kali percubaan untuk membuka kubu kuat Rom Byzantin di Konstantinopal. Beliau melihat pembukaan Islam dikubu utama musuh adalah sebaik-baik strategi pembukaan Islam. Buktinya apabila tentera Islam berjaya menumbangkan kubu utama kerajaan Parsi Banu Sassan di al-Madain maka Parsi tidak mampu lagi bangkit mengekang kekuatan tentera pembukaan Islam. Berilah hak Muawiyah dengan mengembangkan biodata dan sejarah hidup beliau yang sebenar.